Sunday, December 13, 2009

Sawan Demam Panas

Jenis biasa atau kompleks kerap dialami kanak-kanak berusia 18 bulan hingga tiga tahun

DEMAM di kalangan kanak-kanak sememangnya masalah yang kerap dihadapi. Namun, apa yang membimbangkan, peningkatan suhu badan yang tinggi secara mendadak boleh menyebabkan sawan demam panas.

Masalah ini secara umumnya berlaku di kalangan kanak-kanak berusia antara enam bulan hingga enam tahun. Bagaimanapun ia lebih kerap berlaku di kalangan kanak-kanak berusia 18 bulan hingga tiga tahun.

Pensyarah Kanan dan Pakar Pediatrik, Jabatan Pediatrik, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia Dr Mohd Rizal Mohd Zain berkata sawan demam panas berlaku disebabkan oleh peningkatan suhu badan yang mendadak.

Ia boleh disebabkan oleh sebarang penyakit yang boleh menyebabkan demam seperti demam selsema, jangkitan telinga, jangkitan salur kencing, jangkitan virus dan lain-lain.

"Faktor genetik juga turut mempengaruhi. Dalam 24 peratus daripada kes sawan demam panas didapati mereka mempunyai sejarah keluarga mengidap masalah yang sama," katanya.

Dr Rizal berkata, dalam kebanyakan kes, sawan demam panas ini hanya berlaku sekali saja. Bagaimanapun 30% kanak-kanak yang terbabit akan mengalami serangan yang kedua dan kurang dari 10 peratus akan mengalami serangan yang ketiga atau lebih apabila demam itu berulang pada masa hadapan.

Sawan demam panas boleh dibahagi kepada dua iaitu sawan demam panas biasa dan sawan demam panas kompleks. Bagaimanapun, sawan demam panas biasa adalah yang paling kerap berlaku iaitu lebih kurang 70 peratus daripada semua kes sawan demam panas. Kanak-kanak yang mengalaminya akan diserang demam dengan mukanya kelihatan kemerahan dengan matanya melihat ke atas atau terbalik.

"Mereka kelihatan lali dan tidak sedarkan diri. Keseluruhan badan akan kejang dan kemudian bergoncang terutama pada bahagian kaki dan tangan. Biasanya ia berlaku untuk untuk beberapa saat saja dan jarang sekali melebihi tempoh lima minit," katanya.

Selepas serangan itu, kanak-kanak itu tertidur dan akan kembali pulih sejam selepas itu diikuti suhu badan yang mulai menurun. Ia juga tidak akan berulang dalam masa 24 jam.

"Sawan demam panas kompleks pula mempunyai gejala yang sama seperti sawan demam panas biasa tetapi mempunyai satu atau lebih ciri tambahan seperti jangkamasa sawan lebih dari 15 minit, berulang lebih dari sekali dalam masa 24 jam, pesakit tidak pulih semula selepas satu jam dan sawan yang berlaku hanya membabitkan sebahagian anggota badan saja," katanya.

Dr Rizal berkata rawatan sawan demam panas cuma memerlukan rawatan sokongan bagi memastikan demam terkawal.

"Selalunya ubat demam seperti 'paracetamol' dan 'ibuprofen' perlu diberi secara berkala. Jika suhu badan terlalu tinggi, membasahkan kepala (berjelum) boleh dilakukan bagi menurunkan suhu badan," katanya.

Biasanya antibiotik hanya diberikan jika demam yang berlaku disyaki berpunca daripada jangkitan bakteria. Bagi kesan jangka panjang, sawan demam panas ini tidak membahayakan dan majoriti pesakit pulih sepenuhnya. Kajian juga menunjukkan masalah ini tidak menyebabkan kerosakan pada otak dan tidak menjejaskan pencapaian akademiknya.

Kejadian sawan demam panas ini biasanya akan hilang apabila kanak-kanak mencapai umur enam tahun. Siasatan lanjut dan penilaian oleh pakar neurologi perlu dibuat jika ia masih terus berlaku walaupun kanak-kanak itu sudah berusia lebih enam tahun.

INFO: Pencegahan Sawan Panas

Jika anak demam, usaha turunkan suhu badan dengan segera dengan memberi ubat demam selain berjelum.
Ubat demam boleh diberi secara berkala mengikut dos ditetapkan doktor.
Pastikan juga anak anda meminum air yang cukup dan elak memakai pakaian tebal.
Suhu badan hendaklah sentiasa diperhatikan untuk mengelak peningkatan yang mendadak.

Sumber Berita Harian

No comments:

Post a Comment