Sunday, January 29, 2012

Keputihan Melampau

Istilah "keputihan" adalah simptom yang lazim dialami oleh wanita. Penyebab utamanya sejenis kulat (jamur) yang dikenali sebagai candida albicans. Keputihan yang disebabkan oleh candida albicans dikenali dengan vulvovaginal candidiasis.

Permasalahan ini kerap berlaku kepada gadis dan juga wanita dewasa. Simptom umum yang biasa muncul adalah rasa gatal teramat sangat pada bahagian luar faraj, kemerahan dan terkadang bengkak pada bahagian labia majora (bibir luar kemaluan), pengeluaran cairan daripada faraj yang berwarna putih dan berkeladak serta berketul-ketul menyerupai susu basi. Penghidap mungkin juga mengalami rengsa atau rasa sakit semasa hubungan seks.

Dalam keadaan normal, kehadiran candida albicans dalam tubuh manusia tidak menimbulkan gangguan. Gangguan hanya akan muncul apabila keseimbangan populasi flora normal ini mengalami perubahan.

Perubahan keseimbangan flora normal dalam faraj terjadi kerana pengambilan ubat perancang kehamilan, menstruasi, semasa hamil, membasuh bahagian faraj dengan sabun atau pencuci faraj secara berlebihan. Ini dapat menyebabkan perubahan hormon yang akhirnya akan mempengaruhi keasidan pH pada bahagian faraj. Adanya perubahan pH ini akan mempengaruhi keseimbangan flora normal yang ada di dalamnya dan menyebabkan flora yang tidak normal membiak secara berlebihan.

Rawatan untuk masalah keputihan dilakukan dengan menggunakan ubat antikulat (antijamur). Tindakan tanpa ubat yang patut juga dipraktikkan adalah dengan menghindar penggunaan sabun atau parfum pada bahagian faraj untuk mencegah iritasi, menjaga agar bahagian tersebut tetap bersih dan kering dan mengelak pakaian dalam yang ketat dan tidak dapat menyerap peluh. Ubat-ubatan antijamur (dalam nama generik) seperti klotrimazol, mikonazol, ekonazol, nystatin, ketokonazol, itrakonazol, dan flukonazol, boleh didapati di klinik-klinik dan farmasi. Ubat-ubatan tersebut dapat digunakan secara oral, diminum atau digunakan langsung pada bahagian faraj.

Hendaklah berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Pencegahan

Anda disaran menjaga bahagian sulit supaya bersih dan tidak lembap dengan menggunakan pakaian dalam serap peluh diperbuat daripada kain kapas.

Penggunaan cairan pembasuh faraj harus secara bijaksana dengan mengetahui suatu prinsip bahawa bahagian itu bersifat asid yang juga lingkungan biasa bagi flora normal (mikroorganisma yang dalam jumlah normal tidak menyebabkan penyakit).

Adanya perubahan lingkungan normal tersebut, misalnya dengan penggunaan pembersih cecair faraj yang bersifat alkali (mengandung sabun) dapat meningkatkan pertumbuhan flora secara abnormal. Jadi hendaklah menggunakan pencuci atau pembersih faraj secara berpada-pada dan tidak keterlaluan.

Sumber

Tuesday, January 24, 2012

Usah Abai Buang Air Besar

JIKA di kawasan perumahan anda ada tertampal poster yang mengajak menjalani saringan kanser usus secara percuma, janganlah memandangnya sebelah mata. Ia adalah peluang baik untuk membawa ibu bapa yang sudah berumur menjalani pemeriksaan awal tanpa perlu bersusah payah ke hospital.

PELIHARA KESIHATAN...usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa

Meskipun kanser usus lebih kerap berlaku pada warga senior (berumur 50 tahun ke atas) kaum Cina, tidak bermakna kita yang berbangsa lain terlepas daripada kemungkinan menghidap penyakit ini kerana serangan kanser tidak mengenal batasan keturunan dan kedudukan.

Anda tidak perlu risau menyertai program saringan kanser usus atau kolon anjuran Persatuan Advokasi Kanser Malaysia, Empowered! kerana ia dikendalikan doktor pakar dan sukarelawan yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan perubatan. Malah anda juga tidak perlu beratur panjang di hospital kerana kumpulan sukarelawan ini yang akan datang ke kawasan perumahan terpilih untuk memberikan perkhidmatan mereka secara percuma.

Menurut Presiden dan Pengasas Empowered!, Dr Christina Ng, saringan ini diadakan khas untuk golongan berpendapatan rendah supaya jika ada kanser bahaya ini dapat dikesan awal. Semua orang tahu rawatan untuk kanser bukan murah, justeru lebih baik jika ia dapat dikesan awal kerana rawatannya akan lebih mudah (dan pastinya agak murah).

Berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seramai 610,000 orang meninggal dunia akibat kanser usus di seluruh dunia pada 2008. Di negara kita, menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia, kanser usus atau kolon (juga kadangkala dipanggil kolorektal) adalah kanser kedua paling lazim menyebabkan kematian dengan anggaran 3,500 kes baru setahun.

Di kalangan wanita, kanser usus berada di tangga ketiga selepas kanser payudara dan serviks. Di kalangan lelaki, inilah kanser paling kerap berlaku. Lebih membimbangkan, insiden kanser usus pada lelaki dan wanita semakin meningkat di kalangan individu berumur 50 tahun ke atas.

Kanser usus adalah istilah merujuk kepada kanser yang bermula dalam usus (180 sentimeter atau enam kaki pertama usus besar). Di sinilah makanan kita bertukar menjadi najis dan ia akan digerakkan ke arah rektum. Rektum ialah bahagian 15 sentimeter atau enam inci terakhir usus besar yang berakhir dengan dubur.

Usus dan rektum adalah sebahagian daripada sistem pencernaan yang bertugas mengasingkan nutrien daripada makanan dan menyimpan bahan sisa sehingga ia dikeluarkan daripada badan sebagai najis.

Punca sebenar kanser usus masih tidak diketahui dengan tepat, tetapi ia dikatakan ada kaitan dengan tabiat pemakanan dan gaya hidup seseorang. Kanser usus ialah pertumbuhan sel tidak normal dan tidak terkawal dalam usus besar atau rektum sel malignan yang hidup di dinding usus (atau rektum) yang bermula dengan pembentukan polip (ketulan kecil), membesar menjadi tumor dan akhirnya berubah kepada kanser. Proses ini mengambil masa bertahun-tahun dan tidak menunjukkan gejala jelas sehinggalah ia semakin teruk.

Tanda-tanda

Kanser usus boleh terjadi tanpa gejala yang jelas tetapi ada beberapa tanda yang perlu diberi perhatian iaitu apabila anda mengalami masalah untuk buang air besar. Peringkat awal kanser usus mungkin tidak menunjukkan gejala, tetapi apabila polip mula membesar menjadi tumor, ia boleh menyekat laluan usus dan mungkin menyebabkan pendarahan. Antara gejala kanser usus ialah:

•Kerap buang air tetapi tetap rasa tidak puas.
•Alami masalah sembelit dan cirit-birit berselang-seli.
•Najis bercampur dengan darah.
•Najis berwarna kehitaman (akibat kehadiran darah). Warna najis menunjukkan lokasi pendarahan dalam usus. Jika darah itu merah dan terang bermakna pendarahan berlaku pada bahagian hujung usus yang berdekatan dengan rektum. Najis yang kehitaman menunjukkan pendarahan berlaku pada pertengahan atau pangkal usus (dekat dengan apendiks).
•Perubahan pada bentuk najis (sama ada menjadi semakin kecil atau nipis).
•Perut rasa memulas.
•Terasa asyik hendak buang air besar (walaupun sebenarnya tidak perlu).
•Perut rasa tidak selesa (sama ada senak, sakit atau kembung).
•Muntah.
•Hilang selera makan.
•Berat badan turun tanpa sebab.
•Kerap penat.
•Pada keadaan serius, pesakit mungkin tidak boleh buang air.

Faktor risiko

Ada banyak faktor risiko boleh mendedahkan seseorang kepada penyakit ini seperti:

•Umur. Golongan berumur 50 tahun ke atas lebih berisiko dan lebih 90 peratus kes kanser usus di negara kita membabitkan warga emas.
•Kehadiran polip dalam usus. Kebanyakan kanser usus bermula dengan polip. Ketumbuhan kecil yang bersifat bukan kanser ini tumbuh pada dinding usus besar. Sesetengah polip ini boleh berubah kepada kanser. Pengesanan awal membolehkan polip ini dibuang dan boleh mencegah pertumbuhan sel kanser.
•Sejarah keluarga. Individu yang mempunyai ahli keluarga mendapat kanser usus lebih berisiko untuk mendapat penyakit ini berbanding orang lain.
•Sejarah diri yang pernah menghidap kanser. Wanita yang pernah menghidap kanser lain seperti payudara, ovari atau uterus berisiko mendapat kanser usus.
•Pemakanan. Pemakanan yang kaya lemak, banyak daging dan terlalu kurang serat adalah faktor utama yang meningkatkan risiko diserang kanser usus.
•Rokok. Selain menjadi penyebab kepada banyak jenis kanser lain, asap rokok boleh meningkatkan risiko terhadap pertumbuhan polip. Kajian menunjukkan perokok mempunyai risiko 30 hingga 40 peratus menghidap kanser usus berbanding bukan perokok.
•Obesiti. Individu obes berisiko tinggi mendapat kanser usus.
•Alkohol. Ada penyelidik mengatakan terlalu banyak minuman keras boleh meningkatkan risiko kanser usus.
•Kurang bersenam.

Saringan dan pengesanan

Diagnosis kanser boleh datang secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda amaran dan oleh kerana ia biasanya dianggap ‘pembawa maut’, ramai pesakit mengalami gangguan emosi tatkala disahkan menghidap penyakit ini.

Kanser adalah sejenis penyakit yang boleh melemahkan seseorang dari segi fizikal dan emosi. Kebanyakan pesakit menerima keputusan diagnosis kanser dengan perasaan yang sedih, terkejut, hampa dan bimbang. Ada juga yang berasa marah dan sangat kecewa kerana tidak dapat menerima hakikat mereka menghidap kanser.

Sebenarnya pesakit kanser usus ada peluang sembuh yang tinggi, iaitu antara 85 hingga 95 peratus, jika penyakit dikesan awal (pada peringkat pertama) dan peluang ini menurun kepada 60 hingga 80 peratus andai menerima rawatan ketika kanser di peringkat kedua.

Namun dalam kebanyakan kes, pesakit lambat datang mendapatkan rawatan. Jawatankuasa Gabungan Amerika Untuk Pengenalan Peringkat Kanser Usus melaporkan, kebanyakan pesakit (30 hingga 40 peratus) berjumpa doktor ketika kanser mereka pada peringkat ketiga dan 20 hingga 25 peratus lagi apabila penyakit di tahap serius (peringkat keempat).

Kelewatan mendapatkan rawatan menjadi punca peningkatan jumlah kematian pesakit kanser usus di kalangan masyarakat Asia, termasuk di negara kita. Jika dilihat peluang keterusan hidup dalam tempoh lima tahun, peratusannya turun mendadak daripada 30 hingga 60 peratus (peringkat ketiga) kepada kurang lima peratus bagi peringkat keempat.

Sebabnya sebaik disahkan menghidap kanser, usah bertangguh mendapatkan rawatan di hospital. Lebih cepat anda mendapat rawatan, peluang sembuh lebih tinggi dan bagi kes serius, rawatan dapat memanjangkan hayat anda antara 26 hingga 29 bulan.

Mungkin ada yang berkata, perlu apa bersusah payah mendapatkan rawatan jika hanya dapat memanjangkan jangka hayat kepada beberapa bulan. Itu pendapat orang sihat tetapi bagi pesakit, ia sangat penting kerana dalam tempoh itu mereka boleh melakukan banyak perkara seperti menghabiskan masa berkualiti dengan orang tersayang.

Menyedari ramai pesakit tidak mampu membayar kos rawatan kanser yang mahal, Dr Christina memulakan program saringan sejak dua tahun lalu dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah.

“Cara paling berkesan untuk mengurangkan risiko kanser usus ialah dengan menjalani ujian saringan terutama bagi individu berumur 50 tahun ke atas dan mempunyai sejarah kanser atau penyakit keradangan usus yang lain. Pengesanan awal dan pembuangan polip sebelum ia bertukar menjadi kanser adalah cara terbaik mencegah penyakit ini.

“Pesakit kanser usus peringkat awal sebenarnya mempunyai peluang sembuh yang tinggi jika ia dikesan awal dan diberikan rawatan sewajarnya. Apa yang penting ialah datang ke hospital menjalani ujian saringan atau menyertai program Empowered! bagi yang berkelayakan,” kata perunding onkologi itu.

Apa yang pasukan sukarelawan Empowered! lakukan? Mereka akan mengagihkan risalah ke setiap rumah untuk memberitahu mengenai kanser usus. Selain itu di kawasan terpilih, sukarelawan ini akan menampal poster dan kain rentang mengajak penduduk menyertai program saringan berkenaan.

Sasaran Empowered! ialah golongan berpendapatan rendah yang kurang pendedahan dan pengetahuan mengenai kanser usus, serta tidak mempunyai masa menjalani saringan kesihatan mahu pun menyertai ceramah kesihatan. Ini kerana setiap kes kanser usus menunjukkan peningkatan dengan purata 3,500 kes setahun dan program ini menjadi lebih penting kerana Malaysia kini menuju ke arah masyarakat berumur-yang bermakna setiap orang berisiko mendapat kanser usus.

“Program ini sangat berkesan dan bermanfaat. Tahun lalu, kami mendapat 600 penyertaan, lebih tinggi berbanding tahun pertama program ini diperkenalkan. Setiap peserta akan diberikan penerangan mengenai kanser usus dan kit untuk mengambil sampel najis masing-masing. Peserta akan diajar bagaimana cara mengambil sampel najis mereka dan kit ini akan dipungut oleh sukarelawan yang datang ke rumah peserta sebelum dihantar ke makmal untuk dianalisis.

“Empowered! bukan saja menyediakan buku panduan malah ada perkhidmatan bas untuk membawa penduduk mendengar ceramah dan penerangan mengenai kanser usus. Saya rasa susah payah sukarelawan yang bersengkang mata melaksanakan program kemasyarakatan ini termasuk bermesyuarat, mengorbankan cuti hujung minggu dan mengetuk 20,000 pintu rumah penduduk adalah sangat berbaloi, apatah lagi apabila melihat penduduk mula sedar dan faham mengenai penyakit,” katanya. Penduduk yang menyertai program ini bukan saja mendapat saringan awal kanser usus percuma tetapi turut diberikan sekampit beras!

Namun cabaran sebenar dihadapi 240 sukarelawan yang terdiri daripada pakar pemakanan, pakar fisioterapi, kaunselor, pelajar perubatan dan rakan yang menemani peserta ke hospital ialah apabila peserta disahkan menghidap kanser. Dalam keadaan ini mereka (peserta) sangat memerlukan sokongan daripada keluarga, rakan dan anggota kesihatan supaya mereka tabah serta segera menjalani rawatan. Inilah sebabnya ada sukarelawan yang dikhususkan bertugas menemani pesakit ke hospital.

Biasanya apabila ada acara kesihatan, rata-rata pesertanya adalah wanita tetapi berbeza dengan Empowered! kerana 60 peratus peserta terdiri daripada lelaki. Ini dianggap satu perkembangan yang memberangsangkan kerana semakin ramai ketua keluarga mulai sedar kepentingan menjaga kesihatan. Bahkan pasukan sukarelawan menggalakkan seisi keluarga untuk menyertai program yang diadakan di tempat mereka.

Berdasarkan pemeriksaan makmal untuk saringan tahun pertama didapati dua peratus peserta mempunyai keputusan tidak normal iaitu najis mereka mengandungi darah. Peserta ini kemudiannya dihubungi untuk menjalani ujian susulan bagi memastikan sama ada kandungan darah dalam najis mereka disebabkan kanser atau masalah kesihatan lain dan diberikan rawatan sewajarnya.

Pakar kesihatan menganggarkan 70 peratus kes kanser usus boleh dicegah melalui perubahan tabiat pemakanan dan bersenam. Malah, melakukan aktiviti yang kurang menggunakan tenaga selama dua jam seperti membersihkan rumah juga didapati boleh memberi banyak perubahan kepada kesihatan seseorang.

Melalui program yang sama, penduduk diajar cara untuk mengurangkan risiko mendapat kanser iaitu dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti:

•Mengambil pemakanan seimbang
•Mengekalkan berat badan normal
•Meningkatkan aktiviti fizikal
•Melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan.
Sumber

Minum Air Mencukupi

SEMPENA cuti sekolah dan sambutan perayaan Hari Natal, baru-baru ini serta kini, Tahun Baru Cina, ramai yang makan banyak ditambah pula dengan undangan ke rumah terbuka rakan.

Pelbagai juadah lazat yang dihidang di depan mata. Apabila sudah berkumpul beramai-ramai, kita biasanya terlupa dengan pengambilan makanan dan minuman secara berhemah kerana rambang mata.
Ingatlah bahawa mengambil makanan secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan terutama jika makanan yang diambil itu banyak kalori. Ia secara tidak langsung boleh diibaratkan seperti ‘perangkap’.

Kebanyakan hidangan yang disediakan terdiri daripada makanan tinggi kalori atau dalam bahasa saintifiknya, makanan yang padat dengan tenaga.

Semua jenis makanan itu memang tidak dinafikan sedap apatah lagi kalau ia mendapat sentuhan air tangan orang tersayang seperti ibu atau isteri tercinta.

Dalam keadaan tidak sedar, semua itu boleh menjadikan pengambilan makanan yang cukup mencabar terutama kepada mereka yang mempunyai penyakit atau dalam proses ingin menurunkan berat badan.

Ingin saya mengingatkan bahawa tidak menjadi satu kesalahan untuk makan hidangan yang lazat itu tetapi harus berjaga-jaga. Bak kata pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada merawat’.

Amat mudah untuk berat badan meningkat tetapi bagaimana cara mahu menurunkannya dalam tempoh masa yang singkat? Agak sukar bukan? Perkara ini akan bertambah sulit lagi apabila kita tidak mempunyai disiplin diri yang tinggi.

Jangan khuatir dan bimbang kerana saya mempunyai 10 tip mudah untuk anda ikuti agar dapat menghilangkan berat badan dalam jangka waktu pendek.

Syaratnya, anda harus lakukan dengan bersungguh-sungguh sama seperti yang saya sarankan pada edisi sebelum ini.

Berikut adalah 10 tip yang boleh diikuti dan diuar-uarkan kepada rakan serta mungkin juga anda boleh melakukannya bersama-sama.

•Ambil kesempatan terhadap air minuman
Salah satu cara terbaik untuk menurunkan berat badan adalah dengan meningkatkan pengambilan air minuman. Minum sejumlah air yang mencukupi akan memberi rasa kekenyangan pada perut dan secara automatik, keinginan anda terhadap makanan menjadi berkurangan.
Ambil minuman sebelum makan turut membantu mengurangkan minat kepada jumlah makanan yang bakal diambil.

•Tetapkan matlamat sukar tapi diyakini mampu dicapai
Jangan menetapkan sebarang sasaran jangka masa panjang tetapi sentiasa buat sasaran jangka masa sederhana. Anda perlu beri penekanan lebih kepada jumlah kehilangan berat badan tertentu dalam minggu tertentu. Sebaik saja anda sudah berjaya melakukannya, berhenti dan jangan sama sekali kembali semula mengambil makanan kurang berkhasiat.

•Gembirakan diri sendiri
Jangan pula berasa berputus asa untuk menjamah makanan kegemaran anda. Ini kerana jika anda berbuat demikian, keinginan untuk menikmati makanan lazat akan semakin meningkat dan akhirnya, anda akan makan apa jua jenis makanan terutama makanan kurang berkhasiat dalam kuantiti yang banyak. Makanlah makanan kegemaran anda sekali atau dua kali sebulan.

•Mulakan pengiraan
Setiap kali anda berasa lapar, berehat selama 10 minit dan berfikir mengenai perkara lain. Dengan cara ini, ia akan mengalihkan keinginan anda terhadap makanan.
Kajian sudah membuktikan keinginan untuk makanan berlangsung tidak lebih daripada 10 minit dan dalam tempoh itu, rasa lapar akan terus hilang.

•Makan makanan kurang berlemak
Sebaiknya, makan makanan yang tidak terlalu berat dengan kerap kerana ia akan membuat anda berasa lebih bertenaga. Cara ini akan mengehadkan selera anda di samping meningkatkan kadar metabolisme. Lebihkan pengambilan teh hijau kerana ia salah satu cara terbaik untuk membakar kalori dan meningkatkan kadar pencernaan.

•Buat perubahan dalam jadual
Anda tidak akan dapat menambah berat badan dalam tempoh satu malam saja. Jadi, jangan pernah terfikir untuk berjaya menurunkan berat badan dalam waktu yang singkat pula. Jangan melakukan banyak perubahan drastik untuk mencapai sasaran sehingga akan menimbulkan masalah lain dalam kehidupan seharian.Jayakannya secara satu persatu sambil disusuli usaha berterusan. Kemudian, barulah anda boleh bergerak ke arah perubahan bahagian yang lain seterusnya mengubah gaya hidup ke arah yang lebih baik.

•Sasar 10 peratus
Tetapkan matlamat jangka masa panjang dan mulakan dengan bahagian kecil terlebih dulu. Sebagai contoh, anda boleh menetapkan matlamat akan mengurangkan 23 kilogram berat badan tetapi lebih wajar sekiranya anda fokus untuk menghilangkan 10 peratus daripada jumlah itu terlebih dulu.

•Berikan makanan anda rasa baru
Menambah cili ke dalam makanan anda akan memberikan rasa lazat tanpa meningkatkan tahap kandungan lemak sedia ada. Selain itu, campuran seperti salsa atau yogurt pada burger contohnya juga boleh dilakukan kerana ia rendah lemak.

•Kurangkan hidangan anda kepada satu pertiga
Cuba kurangkan jumlah pengambilan makanan anda. Jika anda melihat makanan yang sedap dan kemudian gagal mengawal godaan, maka ambil ia dalam kuantiti satu pertiga daripada pinggan anda saja. Cuba lakukan formula ini di persekitaran yang berbeza seperti di rumah atau restoran. Dengan mengaplikasikannya, anda boleh membakar kira-kira 500 kalori pada setiap hari.

•Pastikan anda makan
Bagi membolehkan anda menurunkan berat badan, jangan sesekali berhenti makan atau melangkaui waktu makan. Cuba makan lima hingga tujuh jenis makanan dalam kuantiti yang kecil. Menerusi cara ini, ia bukan saja mengawal tahap kelaparan anda tetapi turut membantu mengekalkan kadar metabolisme badan.

Sumber

Wednesday, January 11, 2012

Kurang Gula dalam Darah Disebabkan Keturunan

PROFESOR Stephen O Rahilly dari Universiti Cambridge, Britain, percaya penyakit kurang gula dalam darah disebabkan faktor keturunan.

Beliau membuat kesimpulan itu berdasarkan kajiannya ke atas 1,000 orang bayi yang berpotensi mendapat penyakit itu kelak.

Katanya, ini disebabkan terdapat mutasi dalam gen bayi berkenaan sekali gus mendorong kepada penyakit itu. Kajian itu diterbitkan dalam jurnal perubatan Science.

Namun, Rahilly memberitahu, kecenderungan individu menghidap penyakit itu berkurangan sekiranya dia mengambil ubat yang sesuai selain menjalani rawatan pemulihan berkala.

Sumber

Lelaki Lebih Terdedah Pada Diabetes Jenis 2

SEORANG pengkaji dari Universiti Glasgow, Scotland, Profesor Naveed Sattar berkata lelaki lebih terdedah kepada penyakit diabetes jenis 2 berbanding wanita disebabkan faktor biologi dan pemakanan.

Kenyataannya itu berdasarkan kajian terhadap 51,290 lelaki dan 43,137 wanita di Scotland dengan mengambil kira berat badan, faktor kegemukan serta indeks jisim badan (BMI) mereka.

Kata Sattar dalam kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Diabetologia itu, kebanyakan lemak lelaki tersimpan di dalam organ seperti limpa dan buah pinggang manakala wanita di pinggul dan muka.
Diabetes jenis 2 terjadi disebabkan terlalu banyak gula dalam badan hingga merosakkan buah pinggang dan organ lain.

Katanya lagi, penyakit itu dapat dicegah dengan mengurangkan berat badan berlebihan, makan makanan yang sihat dan seimbang selain selalu bersenam.

Sumber

Diabetes Sebabkan Mati Mengejut

KEMATIAN mengejut wartawan penyiaran NBC News, Tim Russert, 58, dan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail, 59, pada tahun 2008 memeranjatkan ramai orang.

Tidak terkecuali Ahli Parlimen Bukit Gantang, Roslan Shaharom, 50, dan penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohamad Asri Ibrahim, 40, pada tahun 2009.

Kesemua mereka meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung.

Biarpun begitu, petanda awal kepada serangan jantung itu sudah diduga kerana masing-masing merupakan penghidap diabetes.

Perkara tersebut diakui oleh Ketua Endikronologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Nor Azmi Kamaruddin.

Jelas Nor Azmi, selain daripada kesan fizikal seperti gangren iaitu anggota tubuh mati atau membusuk akibat diabetes, penyakit itu juga menjadi pencetus kepada pelbagai penyakit kronik yang lain.

“Ramai orang yang hanya mengaitkan diabetes dengan kesan buruk yang berakhir dengan kaki pesakit terpaksa dipotong. Namun, hakikatnya ia boleh menyumbang kepada masalah kesihatan seperti kegagalan fungsi buah pinggang, katarak mata, sakit jantung dan serangan angin ahmar,” kata Nor Azmi.

Menurut kajian di Amerika Syarikat, sakit jantung yang berpunca daripada diabetes merupakan sebab utama kematian di negara itu iaitu sebanyak 55 peratus. Sebanyak 10 peratus pula kematian disebabkan angin ahmar yang berpunca daripada diabetes.


Obesiti
AMALAN pengambilan makanan seimbang boleh mencegah penyakit diabetes.

“Statistik itu hampir sama jika dibandingkan dengan pesakit di Malaysia.

“Justeru anda seharusnya mengambil langkah yang penting bagi mengelakkan kedua-dua penyakit yang boleh meragut nyawa itu,” katanya ketika membentangkan hasil kaji selidik pesakit diabetes PPUKM di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam kaji selidik tersebut, pihaknya mendapati majoriti penghidap penyakit itu terdiri daripada mereka yang mengalami obesiti.

Perkara itu dibuktikan apabila 62 peratus responden dalam kajian tersebut adalah terdiri mereka yang mengalami obesiti ketika pertama kali didiagnosis dengan diabetes.

“Pesakit yang mengalami obesiti dan berat badan berlebihan mempunyai risiko yang besar dalam menyebabkan komplikasi penyakit diabetes.

“Justeru perkara utama yang perlu dilakukan bagi mengelakkan penyakit jantung dan angin ahmar serta penyakit bahaya lain yang disebabkan oleh penyakit diabetes adalah dengan mengawal berat badan,” katanya lagi.

Kebimbangan terhadap penularan penyakit tersebut perlu diambil kira kerana kira-kira seorang daripada tujuh rakyat Malaysia merupakan penghidap diabetes.


Tambah Nor Amin, kaedah utama untuk menjauhkan diri daripada masalah diabetes adalah dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Bukan sahaja dengan mengawal makanan yang diambil bahkan bersenam sebagai kaedah pencegahan.
“Jika kita mengubah gaya hidup dengan mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat sekarang, ini bermakna statistik obesiti dan penyakit diabetes di negara ini akan menurun dalam tempoh 20 tahun lagi.

“Memang payah untuk mengurangkan berat badan dan mengawal diabetes. Tetapi dengan kaunseling yang betul dan intervensi gaya hidup, hal ini boleh diatasi,” katanya.

Jelas Nor Azman lagi, ibu bapa seharusnya peka terhadap masalah obesiti dalam kalangan anak-anak kerana masalah obesiti di peringkat umur tersebut sukar dikawal kerana faktor perkembangan sel.
Berbeza pula seseorang yang mengalami kegemukan pada usia dewasa kerana ia kurang melibatkan penghasilan sel lemak baharu.

“Kegemukan pada usia kanak-kanak melibatkan penghasilan sel. Justeru adalah begitu sukar untuk mengurangkan berat badan mereka.

“Berbeza pula bagi golongan dewasa kerana kegemukan berlaku akibat pembesaran saiz sel tersebut dan lebih mudah untuk menurunkan berat badan,” tutur Nor Azmi.

Sumber

Ereksi Petunjuk Kesihatan

SALURAN darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi. Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik memberitahu, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan mencukupi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat,” kata Teng Aik.

Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah.

Jelas Teng Aik, pembentukan plak dan lemak akibat pertambahan kolesterol di dalam badan mampu menyekat saluran darah.

Oleh kerana saluran darah zakar lebih kecil berbanding pada bahagian lain tubuh, tanda awal kepada masalah kesihatan kardiovaskular ditunjukkan oleh tahap ereksi.

“Penyakit kardiovaskular menyebabkan sekatan kepada aliran darah ke bahagian zakar dan menyebabkan masalah mati pucuk.

Tahap
“Sebenarnya dalam tempoh tiga tahun selepas masalah mati pucuk dikesan, pesakit berisiko mendapat penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung selain diabetes dan obesiti.

“Merokok dan amalan sedentari atau gaya hidup tidak aktif turut memberi kesan kepada kemerosotan kekuatan ereksi zakar.

“Apa yang ramai orang tidak sedar adalah kualiti ereksi rendah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung,” kata Teng Aik.

Terdapat empat tahap ereksi iaitu mati pucuk teruk, mati pucuk sederhana, ereksi separa optima dan ereksi optima.


ZAKAR akan menegang jika kedua-dua tisu korpus kavernosum dipenuhi darah.


Bagaimanapun, tahap tiga dan empat iaitu ereksi separa optima dan ereksi optima sahaja yang mampu untuk melakukan penetrasi dan menjayakan hubungan seksual.

Menurut Teng Aik, biarpun kedua-dua tahap itu mampu menyumbang kepada kejayaan aktiviti seksual, namun kesannya menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Jelas sekali bahawa ereksi separa optimum boleh membawa kekecewaan dalam kepuasan seksual buat seorang lelaki. Zakar tidak menegang sepenuhnya walaupun ia berkeupayaan untuk melakukan penetrasi.
“Risiko untuk mendapat penyakit jantung iskemik bagi mereka yang menghadapi masalah ereksi tahap tiga adalah lebih tinggi berbanding mereka di tahap empat kerana faktor ketidakpuasan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.
Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sekiranya memenuhi keperluan seksual, pasangan mereka akan rasa lebih disayangi. Sebanyak 93 peratus lelaki dan 83 peratus wanita memilih kekuatan dan ketegangan zakar sebagai faktor yang memberi kepuasan seksual,” ujar Wah Yun.

Wah Yun menjelaskan, usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar.

Gangguan kepada keupayaan tersebut yang dialami oleh mereka yang berusia emas adalah dikaitkan dengan penyakit kardiovaskular yang dihidapi.

“Tidak kisah tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” kata Wah Yun.

Sumber

Punca Kemerosotan Kesihatan Manusia -Kemerosotan Hormon

SERING kita membuat pelbagai tanggapan apabila berdepan dengan masalah berat badan, kemurungan, keletihan, cepat marah, sakit otot, sakit sendi, masalah tidur dan stres.

Adakah ia mempunyai kaitan dengan keadaan persekitaran, pola pemakanan, tabiat dan gaya hidup ataupun kerana menghidap penyakit tertentu?

Masalah tersebut merupakan beberapa perubahan negatif yang menjejaskan kesihatan ramai wanita, sama ada dalam lingkungan usia 20-an, 30-an mahupun 40-an. Lelaki juga tidak terkecuali.

Seringkali simptom-simptom itu mudah dikaitkan dengan sikap malas atau kegagalan menyusun rutin harian secara rasional. Hakikatnya, ramai yang tidak menyedari bahawa ia berlaku kerana masalah ketidakseimbangan hormon.

Hormon memberikan pengaruh yang besar pada tubuh badan, cerminan penampilan dan emosi. Badan manusia bergantung pada hormon untuk tidur, bangun pagi setiap hari, berfikir dengan jelas, membantu pertumbuhan, mengekalkan kesihatan, berat badan dan paras rupa.

Ia juga mempengaruhi mood, kemampuan seksualiti, keinginan seksualiti, kesuburan, kulit, rambut, penglihatan dan suhu badan. Pendek kata, ia memainkan peranan penting dalam perkembangan tubuh badan dan minda.

Namun, bermula umur 25 tahun, manusia mengalami kemerosotan perlahan dalam pengeluaran hormon lalu menyebabkan penurunan fungsi normal tubuh dan penuaan.

“Banyak penyakit berpunca daripada ketidakseimbangan hormon. Antaranya ialah letih, murung, darah tinggi, kegemukan, masalah tidak boleh tidur, obesiti dan malas.

“Tidak terkecuali adalah masalah tidak subur, lesu, mudah keguguran, haid tidak betul, migrain dan senggugut,” ujar Pakar Antipenuaan, Perubatan Regeneratif dan Estetik, Dr. Wan Julia Sham Ariffin.

Peningkatan usia

Jelas Wan Julia, ketidakseimbangan hormon terjadi kerana beberapa faktor penyebab iaitu peningkatan usia, pemakanan tidak sihat, kurang senaman, pencemaran alam sekitar, kebisingan dan juga radiasi.
Akibatnya, berlaku gangguan yang menyebabkan komunikasi antara sel melalui hormon menjadi kurang efektif lalu menyumbang kepada mutasi sel. Keadaan itu sekali gus menyebabkan kemerosotan tahap imunisasi.

Wan Julia menambah, ramai doktor kini tidak mengaitkan sesuatu penyakit itu dengan hormon. Sebaliknya, mereka hanya merawat pesakit tanpa melihat penyebabnya.

“Dalam badan kita mempunyai pelbagai hormon iaitu hormon estrogen, hormon pertumbuhan manusia, melatonin, pregnenolon, progesteron, testosteron, kortisol, dehidroepiandrosteron (DHEA) dan tiroid. Setiap daripadanya mempunyai fungsi unik.

“Misalnya, hormon estrogen dan progesteron adalah untuk sistem reproduktif wanita manakala testosteron pula untuk lelaki. Pregnenolon untuk ingatan, kortisol untuk imuniti dan stres,” ujarnya.

Wan Julia memberi senario contoh; merawat seseorang yang tidak boleh tidur dengan ubat tidur hanya akan menyebabkan seseorang itu berhadapan dengan stres kerana masalah tersebut akan sentiasa berulang.

Mereka seharusnya memastikan paras melatonin, kortisol, progesteron dan serotonin berada pada paras optimum terutamanya bagi wanita yang berada dalam lingkungan usia pramenopaus atau menopaus.

“Kekurangan hormon akan menyebabkan seseorang itu tua sebelum masanya. Individu itu juga bakal berhadapan dengan pelbagai jenis penyakit seperti sakit sendi, sakit pinggang, kuku pecah, stres, lingkaran hitam bawah mata dan muka cengkung,” katanya sambil memberitahu kekurangan atau berlebihan hormon tidak baik untuk kesihatan seseorang.

Faktor penyumbang


Banyak perkara yang boleh menyumbang kepada masalah ketidakseimbangan hormon iaitu tekanan daripada persekitaran, toksik, makanan, dadah, alkohol, bahan kimia dan makanan segera.

“Makanan segera boleh menyebabkan obesiti kerana ia mengandungi banyak gula yang akan menyerang insulin sekali gus mempengaruhi paras kortisol, estrogen dan progesteron.

“Ia berakhir dengan sindrom metabolik seperti kencing manis, kolesterol tinggi, obesiti dan darah tinggi,” ujarnya.

Menurut Wan Julia, hormon-hormon di dalam badan memerlukan mineral yang seimbang, vitamin dan antioksidan untuk berfungsi.

Senaman juga merupakan salah satu cara untuk menggalakkan pengeluaran hormon. Malangnya, kebanyakan orang pada hari ini tidak mempunyai masa untuk bersenam tetapi ada masa pula untuk berjumpa doktor dan ambil ubat-ubatan.

Wan Julia sempat mengulas mengenai masalah gemuk tanpa sebab dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang sibuk diperkatakan kini.

“Ramai yang terlepas pandang bahawa ia adalah masalah ketidakseimbangan hormon. Mereka sebaliknya menuding jari kepada pesakit, dan kemudian hanya merawat simptom penyakit tetapi tidak mempedulikan puncanya.

Golongan berisiko


Mereka yang terlalu sibuk dan tiada masa untuk menjaga kesihatan serta tiada masa untuk beriadah mempunyai kecenderungan untuk berdepan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.

“Selain itu, orang yang tidak cukup tidur, orang gemuk, orang yang makan makanan segera, juga berisiko.
“Antara lelaki dan wanita, wanita lebih berisiko mengalami masalah ketidakseimbangan hormon kerana sistem tubuh wanita adalah lebih kompleks,” katanya.

Wanita yang tidak beranak turut dalam senarai golongan berisiko kerana setiap kali mengandung, hormon akan meningkat 200 peratus iaitu 10 hingga 20 kali ganda tinggi daripada biasa. Jadi, wanita-wanita yang tidak beranak berisiko berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan hormon.

Masalah ketidakseimbangan hormon boleh diperbaiki atau dirawat dengan menyeimbangkannya melalui rawatan penggantian hormon semula jadi (bioidentical hormone replacement therapy) dan bukannya hormon sintetik.

Fungsi hormon sintetik adalah sama seperti hormon semula jadi tetapi ia mempunyai struktur molekul yang berbeza. Tubuh manusia lazimnya menerimanya sebagai benda asing namun reaksi dan tindak balasnya boleh menyebabkan kanser.

Hindari simptom


“Begitupun, kita seboleh-bolehnya mahu mengelakkan orang daripada pengambilan ubat-ubatan (dadah), maka mereka boleh berikan penumpuan kepada senaman, nutrisi pemakanan seimbang dan hormon semula jadi bagi memperbetulkan ketidakseimbangan hormon,” ujarnya.

Wan Julia memberitahu, sains membuktikan manusia boleh lari daripada simptom-simptom penuaan dengan tiga cara iaitu senaman, pemakanan sihat (suplemen) dan menyeimbangkan hormon (seimbangkan dengan hormon dan bukannya dengan ubat).

“Bagaimana untuk mengetahui seseorang itu mengalami masalah ketidakseimbangan hormon atau tidak? Seseorang itu akan nampak tua berbanding usia, keletihan, kemurungan, tidak bersemangat, kurang ceria, penampilan kurang menarik dan tidak bertenaga.

“Rawatannya mudah sahaja. Pertama sekali, seseorang itu perlu membuat ujian darah yang komprehensif untuk lihat paras hormon-hormon yang bermasalah. Bukan buat ujian darah biasa,” jelasnya.

Selepas doktor mengenal pasti hormon apa yang kurang, seseorang pesakit itu akan diberikan hormon sama ada dalam bentuk kapsul, pil, suntikan, krim ataupun patch selain diberi nasihat mengenai aspek pemakanan, suplemen antioksidan serta jenis senaman yang perlu dilakukan.

Pesakit kanser dan mereka yang berisiko kanser perlu lebih berhati-hati apabila mengambil rawatan hormon.
Menurutnya, rawatan hormon bukan dilakukan untuk jangka masa pendek kerana ada segelintir hormon perlu diambil sepanjang hayat.

“Hormon yang digunakan dalam rawatan pula bukannya hormon sintetik tetapi hormon semula jadi.

“Segala permasalahan ada penyelesaiannya. Jika anda mempunyai tanda-tanda seperti yang diperkatakan, berjumpalah dengan pakar antipenuaan untuk lihat sama ada paras hormon anda normal atau tidak,” pesannya.

Sumber