Showing posts with label Umum. Show all posts
Showing posts with label Umum. Show all posts

Tuesday, November 11, 2014

Penyelesaian Apabila Card Reader Tak boleh baca dek Komputer

Hi,
Open Folder Options by clicking the Start button Image , clicking Control Panel , clicking Appearance and Personalization , and then clicking Folder Options .
Find these settings on the View tab in Folder Options.

Clear the Hide empty drives in the Computer folder check box, and then click OK .




Tuesday, April 8, 2014

MH370-Sumber Berita harian




Operasi SAR guna satelit

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan bertujuan untuk mendapatkan dan menstabilkan mangsa yang dalam kecemasan (distress).
Setiap bidang SAR menggunakan teknik yang khusus bergantung kepada keadaan semasa dan tempat kecemasan tersebut.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad bagaimanapun berkata, asas untuk semua bentuk SAR ialah penentuan lokasi.

“Semasa kecemasan, masa adalah amat berharga, cepat kawasan carian dikenal pasti, maka lebih tinggi keberangkalian untuk berjaya.

Antara teknologi penentuan lokasi ialah menggunakan cara optik (kamera), sonar di laut dan radar di daratan.
Menjelaskan lebih lanjut Noordin berkata, dalam zaman teknologi angkasa, operasi SAR boleh digerakkan dengan dua bantuan atau dua kaedah utama iaitu satelit penderiaan jauh dan juga sistem berasaskan konstelasi satelit.

Satelit penderiaan jauh dapat mengambil gambar permukaan bumi dari angkasa.

Oleh kerana ketinggian satelit tersebut, ia dapat meliputi kawasan yang luas dan gambar yang dihasilkan bentuk digital yang boleh diproses untuk mengenal objek di bumi.

Beliau berkata, sistem pemantauan penderiaan jauh boleh mengatasi kelemahan dan kekurangan pandangan mata manusia serta meningkatkan kelajuan mencari serta meningkatkan kadar kejayaan menyelamat.
Kaedah tersebut katanya, amat popular untuk pengesanan dan pengurusan bencana.
“Sesetengah satelit ini juga menghantar gelombang ke bumi dan menyimpan hasil pantulan dari bumi iaitu konsep yang sama dengan radar) manakala data boleh dianalisis untuk tujuan pengelasan dan kejelasan objek.
“Antara satelit ini ialah Ikonos dan Quickbird (Amerika Syarikat), SPOT (Perancis), Alos (Jepun), Radarsat (Kanada), Yaogan (China) dan IRS (India).

Kaedah kedua pula ialah sistem SAR berasaskan konstelasi satelit seperti Cospas-SARSAT yang merupakan sistem satelit antarabangsa untuk tujuan tersebut.
Noordin berkata, satelit tersebut terdiri daripada beberapa konstelasi satelit dalam orbit kutub dan geopegun dan rangkaian stesen bumi.

Sistem berkenaan memberikan amaran berlaku sesuatu dan maklumat lokasi dalam SAR kepada pihak berkuasa di peringkat global bagi maritim, penerbangan dan pengguna yang dalam kesusahan.
Menurut Noordin berdasarkan rekod, dari September 1982 hingga Disember 2011, sistem Cospas-SARSAT telah membantu menyelamatkan 33,026 mangsa dalam 9,031 operasi SAR.

“Bagaimanapun rekod untuk penggunaan satelit penderiaan jauh bagi tujuan SAR tidak didapati kerana boleh dilakukan oleh negara-negara individu," katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau terdapat antara 20 dan 30 satelit penderian di angkasa ketika ini.
“Namun begitu, menurut Noordin , tidak semuanya sesuai untuk SAR kerana kekangan kepada teknologi terutama tahap kejituan yang rendah.

“Sistem Cospas-SARSAT adalah lengkap melengkapi dan menggunakan tidak kurang dari 14 satelit iaitu enam di orbit rendah dan lapan di orbit geopegun di seluruh dunia sertan beroperasi 24 jam.



Satelit jejak MH370

Bukan mudah mencari objek yang hilang. Apatah lagi di kawasan yang terlalu luas dan tidak ada petunjuk. Itulah cabaran pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang daripada radar pada 8 Mac lalu.
Ketika artikel ini ditulis Jumaat lalu usaha menjejak pesawat MH370 masih diteruskan menggunakan segala kemudahan yang ada daripada kapal laut dan udara.
Satu daripada kaedah yang telah mula digunakan ialah satelit.
“Inilah (penggunaan satelit) sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk membantu pencarian operasi dan menyelamat (SAR) daripada aspek teknikal,’’ kata Ketua Pengarah Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), Datuk Darus Ahmad dalam satu pertemuan di pejabatnya.
ARSM menggunakan kemudahannya dengan memanfaatkan imej satelit bagi mencari objek yang boleh digunakan sebagai petunjuk dalam operasi mengesan.
Penggunaan satelit remote sensing hanyalah usaha untuk mengesan objek dan bukan kali pertama ia digunakan.
Teknologi remote sensing atau satelit penderiaan jauh sebenarnya satu bidang yang penting dalam mengurus dan merancang aset semula jadi berkaitan hutan, tanah serta ladang. Begitu juga dengan pengurusan bencana alam yang memerlukan satelit jenis itu.
ARSM menerusi kerjasama rapat dengan beberapa pengendali satelit antarabangsa memanfaatkan hubungan tersebut bagi mendapatkan data-data secepat yang boleh.
“Tiga satelit yang digunakan ialah SPOT-6, RadarSat-2 dan LandSat-8 yang mana hasil hubungan rapat pengendali satelit terbabit memberi keutamaan kepada kita untuk memberi perkhidmatan,’’ katanya.
Menurut Darus kawasan seluas 157,225 kilometer persegi telah diliputi oleh satelit terbabit dengan kebanyakannya di Teluk Siam manakala kawasan baharu melibatkan seluas 100,000 kilometer persegi sejak Jumaat lalu.
Imej satelit SPOT-6 diterima di Stesen Penerima Bumi ARSM di Temerloh, Pahang manakala imej dua lagi satelit di muat turun dengan kaedah fast transfer protocol (FTP).
Antara hasil awal analisis imej yang dijalankan tersebut dengan pihak antarabangsa ialah mengesan banyak tompokan minyak di kawasan operasi tetapi sukar dikaitkan dengan pesawat kerana dipercayai daripada kapal yang berlayar di Teluk Siam.
Kerja-kerja pengesan menggunakan teknologi satelit remote sensing turut menghadapi kesukaran kerana ketiadaan maklumat lokasi kehilangan atau laluan penerbangan yang jelas.

sumber

Saturday, June 2, 2012

Salasilah Kesultanan Kedah


TUANKU Abdul Halim (dua dari kiri) bersama ayahanda dan bonda serta adik-beradik. Foto ini dirakam pada tahun 1930-an.

AYAHANDA bonda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah.

TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama Tuanku Haminah Hamidun ketika berangkat pulang selepas sambutan penuh istiadat di Dataran Parlimen tahun lalu.

Mengikut Hikayat Merong Maha Wangsa, Kedah diasaskan oleh Merong Maha Wangsa dengan gelaran Sultan Mudzaffar Shah. Baginda memerintah dari tahun 1136 hingga 1179. Apabila menyentuh sejarah kesultanan yang panjang, ia pasti berkait rapat dengan salasilah keturunan diraja itu hingga ke hari ini.


Setelah dihitung dari kurun ke-11 hingga abad ke-20, Kedah mempunyai 28 Sultan dengan pemerintah ketika ini ialah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-14 menggantikan Tuanku Mizan Zainal Abidin pada 13 Disember lalu.

Sebelum keberangkatan Tuanku Abdul Halim sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berkenan melantik Jemaah Pemangku Sultan yang terdiri daripada adinda dan anakanda baginda.

Jemaah itu dipengerusikan oleh adinda baginda Tunku Bendahara, Datuk Seri Tunku Annuar Sultan Badlishah.

Tiga lagi ahli jemaah ialah adinda baginda, Tunku Temenggong, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah, Tunku Laksamana, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan anakanda baginda, Tunku Panglima Besar, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

Seri Paduka ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 11 April lalu secara gilang-gemilang di Istana Negara yang baharu di Jalan Duta, Kuala Lumpur manakala hari ini, 2 Jun, merupakan tarikh sambutan rasmi keputeraan Seri Paduka. Tuanku Abdul Halim dilahirkan pada 28 November 1927 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Tuanku Abdul Halim bertemu jodoh dengan Almarhumah Tuanku Sultanah Bahiyah pada Mac 1956 dan istiadat perkahwinan berlangsung di Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan.

Almarhumah merupakan puteri sulung Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman Muhammad yang juga Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Baginda berangkat ke England pada bulan Februari 1949 hingga 1955 bagi melanjutkan pelajaran di Wadham College, Oxford dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Pentadbiran Awam.

Menurut tokoh sejarah Kedah, Datuk Wan Shamsuddin Mohd. Yusof, baginda berkenalan dengan Almarhumah ketika belajar di England.

Katanya, proses perkahwinan baginda berdua mengikut adat istiadat silam yang dimulai dengan majlis merisik, meminang, hantar belanja dan mas kahwin, akad nikah seterusnya kenduri kahwin.

“Proses itu sama seperti kebiasaan yang dibuat rakyat dengan menghantar rombongan meminang. Seperti lazimnya, beberapa barang hantaran berupa cenderamata termasuk cincin dan tepak sirih berisi buah pinang melambangkan majlis meminang,” katanya.

Wan Shamsuddin memberitahu, kemuncak istiadat ialah pada hari ketiga apabila berlangsung upacara mandi-manda iaitu aktiviti simbah-menyimbah air. Acara diadakan di pentas khas yang dipanggil Panca Persada.

“Pada istiadat itu, baginda berdua saling menyiram air antara mereka selain turut dimeriahkan dengan kehadiran pembesar negeri dan rakyat jelata,” ujarnya membuat kajian tentang sejarah Kesultanan Kedah mulai tahun 1956.

Hasil perkahwinan diraja ini, Tuanku berdua dikurniakan tiga puteri iaitu Tunku Soraya, Tunku Sarina (mangkat) dan Tunku Puteri Intan Safinaz.

Pada 26 Ogos 2003, Tuanku Sultanah Bahiyah mangkat di Istana Kuala Chegar, Anak Bukit.

Istiadat perkahwinan

Pada 9 Januari 2004 telah berlangsung satu istiadat gilang-gemilang permasyhuran Che Puan Haminah Hamidun pula sebagai Sultanah Kedah yang baru dengan gelaran Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultanah Kedah.

Tuanku Sultanah Haminah dilahirkan di Bagan Serai, Perak dan berkahwin dengan Tuanku Sultan Abdul Halim pada 25 Disember 1975.

Mengimbas perkahwinan ayahanda Tuanku Abdul Halim, Sultan Badlishah Sultan Abdul Hamid pula, baginda menikahi Tunku Sofiah Tunku Mahmud pada tahun 1943 di Istana Anak Bukit.

Menurut Wan Shamsuddin, istiadat perkahwinan baginda berdua berlangsung penuh meriah selama tiga hari dengan dihadiri pembesar negeri dan rakyat jelata.

“Istiadat perkahwinan baginda mengikut adat resam dan turun-temurun sejak Sultan Abdul Hamid. Upacara mandi-manda ini turut dibuat pada istiadat perkahwinan baginda berdua,” kata pengkaji sejarah berusia 79 tahun ini.

Hasil perkahwinan Sultan Badlishah dan Tunku Sofiah, baginda dikurniakan tiga putera, Tunku Abdul Hamid, Tunku Abdul Halim dan Tunku Mansor selain dua puteri Tunku Hamidah dan Tunku Sakinah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Tunku Sofiah adalah anak saudara Tunku Abdul Hamid kerana Tunku Mahmud merupakan adinda Tunku Abdul Hamid.

Bagi Wan Shamsuddin, perkahwinan Tunku Sofiah dan Sultan Badlishah yang merupakan sepupu adalah bagi mengukuhkan hubungan dalam kalangan institusi kekeluargaan kerabat diraja Kedah.

Sultan Badlishah juga pernah berkahwin dengan Tunku Asma Sultan Sulaiman iaitu kerabat diraja Terengganu dan dikurniakan tujuh anak iaitu Tunku Husna, Tunku Kamariah, Tunku Anuar, Tunku Bishariah, Tunku Badriyatul Jamil, Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Salehuddin.

Lapan kali kahwin

Berlainan pula bagi nenda Tuanku Abdul Halim, Tuanku Abdul Hamid Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-26 dalam institusi beraja Kedah yang memerintah dari tahun 1882 hingga 1943.

Baginda adalah anakanda Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah atau Halim Shah yang merupakan Sultan Kedah Ke-24 yang memerintah dari tahun 1854 hingga 1879.

Sultan Ahmad Tajuddin dicatatkan dalam salasilah mempunyai dua orang isteri iaitu Wan Jah Long Nik Abidin dan Wan Hajar Wan Ismail. Sultan Abdul Hamid adalah anak kepada Wan Hajar manakala Sultan Kedah yang Ke-25 ialah Sultan Zainal Rashid Muadzam Shah II (1879 hingga 1881) pula adalah anak Wan Jah.

Menurut salasilah Kesultanan Kedah, Sultan Abdul Hamid berkahwin sebanyak lapan kali dengan menikahi wanita Siam dan keturunan Sharifah selain wanita bernama Che Sofiah.

Isteri baginda ialah Che Spachendra, Che Laraseh, Che Samanirat, Che Manjalara, Sharifah Meriam, Sharifah Seha, Sharifah Fatimah dan Che Sofiah.

Menurut Wan Shamsuddin, perkahwinan dengan wanita keturunan Siam merupakan perkahwinan politik bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan Kedah dan Siam.

Katanya, Sultan Abdul Hamid mempunyai 45 anak iaitu 23 putera dan 22 puteri. Sultan Badlishah merupakan anak daripada isteri baginda bernama Che Sofiah.

“Menariknya dalam salasilah ini ialah Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama adalah adik-beradik Sultan Badlishah dan bapa saudara kepada Tuanku Abdul Halim sekarang.

“Tunku Abdul Rahman merupakan anak Sultan Abdul Hamid daripada isteri baginda, Che Manjalara,” katanya.

Sumber

Friday, April 13, 2012

Friday, March 30, 2012

Thursday, March 8, 2012

Ubah Sikap Lebih Positif

KITA selalu mendengar orang berkata, perlu ada perubahan sikap untuk menghasilkan tingkah laku yang positif. Para pekerja selalu diingatkan untuk mempunyai sikap yang baik bagi memastikan prestasi dalam dunia kerjaya. Pelajar juga disuruh menyematkan diri dengan sikap terpuji bagi memastikan mereka berjaya.


Apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai sikap? Mengapa pula sikap dikatakan sangat penting?

Ubah sikap

Secara umumnya, sikap adalah penilaian individu terhadap sesuatu perkara. Sesuatu perkara itu akan dinilai secara positif atau negatif bergantung kepada sikap seseorang. Dalam erti kata yang lain, sikap adalah permainan minda manusia. Sikap jugalah yang menghasilkan sesuatu tingkah laku.

Jadi, dalam keadaan normal untuk mengubah sesuatu tingkah laku, yang pertama harus diubah ialah sikap dahulu. Kita tidak mampu mengubah tingkah laku seseorang tanpa terlebih dahulu mengubah sikap mereka.

Misalnya, untuk mengubah tingkah laku merokok. Banyak kempen telah dijalankan oleh kerajaan bagi mengurangkan tabiat merokok. Kempen itu sebenarnya adalah usaha untuk mengubah sikap.

Kempen yang baik harus bersungguh-sungguh menyemaikan idea bahawa merokok itu perbuatan buruk, membazir dan memudaratkan kesihatan. Dengan cara menimbulkan persepsi negatif terhadap perbuatan merokok misalnya, kita boleh menggalakkan seseorang itu berhenti merokok.

Kejayaan atau kegagalan untuk menyedarkan masyarakat untuk tidak merokok sebenarnya bergantung kepada sejauh mana berjayanya mengubah penilai individu terhadap tabiat merokok.

Para perokok biasanya mempunyai sikap yang positif terhadap rokok. Misalnya, mereka percaya bahawa dengan tidak merokok sekalipun, ada orang sakit jantung atau diserang penyakit. Perokok juga percaya bahawa dengan tidak merokok sekali pun, orang masih tidak mampu menabung. Semua ini adalah sikap.

Lantaran itulah, bagi mengubah tingkah laku manusia, yang perlu dilakukan adalah usaha mengubah sikap. Kita tidak akan mampu menghentikan banyak perkara buruk dengan terus melakukan proses perubahan tingkah laku.

Perubahan tingkah laku

Kita tidak boleh memaksa pelajar untuk mendapatkan skor yang baik dalam peperiksaan, kalau kita tidak mampu merubah sikap belajar mereka. Kita juga tidak akan berjaya menggalakkan budaya menjaga kebersihan kalau kita tidak mampu menyedarkan masyarakat bahawa membuang sampah di merata-rata tempat adalah perbuatan tercela.

Begitu jugalah kalau ingin mengubah tabiat memandu tanpa mengikut peraturan. Saman dan tindakan pihak berkuasa semata-mata tidak akan berjaya mengurangkan kesalahan lalu lintas sekiranya ada individu yang percaya bahawa dengan memandu laju mereka akan kelihatan lebih hebat atau mereka juga yakin bahawa kemalangan jalan raya hanyalah satu perkara yang telah ditakdirkan.

Apapun, kejayaan mengubah sikap manusia memungkinkan perubahan tingkah laku. Banyak perkara yang baik hanya bermula dengan sikap dan penilaian yang positif terhadap sesuatu perkara.

Sumber

Monday, December 12, 2011

Pemandu Cekap Letak Kereta di Ruang Sempit

SIRI urutan gambar di New York menunjukkan seorang pemandu meletak kereta sedan di ruang yang cuma boleh memuatkan sebuah kereta kompak. - YouTube

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu yang menunjukkan kecekapannya meletak kereta di ruang sempit menjadi sensasi di laman perkongsian video YouTube, lapor akhbar MailOnline.

Lelaki tidak dikenali itu meletak kereta sedan miliknya di ruang sempit yang cuma muat untuk sebuah kereta bersaiz kompak.

Malah, dia berjaya keluar dari ruang parkir sama tanpa mencalarkan bampar kenderaan di hadapan dan belakangnya.

Dia mengambil masa sekitar lima minit untuk meletakkan keretanya di ruang parkir berkenaan di sini baru-baru ini. - Agensi

Sumber

p/s- wahh, bilalah na nak jadi macam tur?..hehehe

Monday, October 10, 2011

Rahsia Kening

Ramai buat perubahan pada alis untuk tampil menawan

Wanita amat mengambil berat soal kecantikan dan penampilan diri terutama untuk menambah kejelitaan wajah kerana ia memberikan tarikan tersendiri terhadap mata yang memandang. Tidak mustahil mengapa ramai yang sanggup membelanjakan wang untuk mendandankan diri demi menambah aura wajahnya. Di samping penjagaan kulit wajah dan mengenakan solekan, ramai wanita menganggap mencukur atau membentuk kening adalah cara untuk tampil kemas, seksi dan menarik. Bulu kening akan dibentuk semula dengan alat solekan seperti celak dan pensil alis sehingga kelihatan lebih cantik dan menarik. Amalan itu bukanlah perkara baru dalam dunia persolekan wanita tetapi sudah diamalkan sejak zaman berzaman hingga ke hari ini.

Wanita juga dilihat semakin berani untuk mencuba mencukur kening mereka hingga tinggal garisan halus ibarat kehilangan keningnya. Dengan cara itu, mereka lebih mudah melukis bentuk dan mewarnakan kening sama mengikut gaya solekan yang ingin dikenakan sebelum keluar rumah.

Malah, proses mencukur kening yang dilakukan sekadar untuk merubah keadaan fizikal sebenar terbahagi kepada beberapa jenis mengikut wajah untuk mendapatkan kesan rapi yang lebih anggun dan menawan.

Sebagai contoh, wanita yang berwajah petak perlu membentuk keningnya secara melengkung bagi menghilangkan pandangan pada rahang pipi sekali gus elakkan kening berpotongan membulat atau bersegi bagi melembutkan penampilan tulang rahang yang agak besar.

Selain itu, untuk mereka yang memiliki bentuk wajah panjang, kening yang dicukur adalah sebaiknya rata dan panjangkan pada ekor bagi impak keseimbangan pada bentuk wajah.

Berbeza pula dengan wanita berwajah bulat, mereka digalakkan tajamkan sedikit bahagian puncak kening untuk membuat bentuk wajah menjadi sedikit bujur dan bagi si gadis yang memiliki wajah berbentuk hati adalah lebih cantik jika kening itu lebih pendek untuk memberikan kesan penampilan dagu yang serata dengan muka.

Tidak hanya itu, evolusi melukis mahupun mencantas kening juga sentiasa merubah ikut aliran seperti kening tebal dan nipis. Apapun jenis atau bentuk kening yang dipamerkan, wanita seharusnya arif mengenai tujuan mereka menghias diri jangan sampai keterlaluan dan tidak saja melanggar ajaran agama, malahan dipandang pelik pada pandangan umum.

Dengan kebanjiran pelbagai jenis alat solek di pasaran serta kepakaran yang ada, bulu kening atau alis yang sesuai dengan raut wajah seseorang boleh dibentuk dengan mudah. Walau bagaimanapun, wanita hari ini perlu memastikan apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, termasuk bidang persolekan.

Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan kini ramai dilihat wanita mencabut bulu kening dan bagaikan fenomena yang kononnya ingin mengikut aliran fesyen.

Sedar atau tidak sebenarnya mencabut bulu kening atau alis hukumnya haram kerana ia dianggap mengubah ciptaan Allah. Bagaimanapun, merapi kening masih boleh dilakukan atas alasan tertentu.

“Mencabut bulu kening hingga mengubah bentuk asal kejadian Allah adalah haram. Namun, jika seseorang itu terasa aib dengan keadaan keningnya yang berselerak atau bercantum, mereka hanya dibenarkan untuk mencukur sedikit bahagian yang tidak diingini untuk kelihatan rapi dan kemas.

“Allah suka pada yang cantik. Bagaimanapun di dalam Islam, untuk kelihatan cantik ada tata tertibnya. Mencabut semua bulu kening dan kemudian membentuknya semula adalah berdosa kerana dikira mengubah kejadian Allah,” jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Mohamad Shukri yang juga Mufti Kelantan menjelaskan, perkara itu adalah berdasarkan hadis diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah melaknat wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu mengubah ciptaan Allah.

Jelasnya, hadis itu jelas membuktikan bahawa seseorang wanita atau lelaki yang mencabut bulu kening sempurna atau sebaliknya membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu supaya menepati cita rasa sendiri untuk kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan haram di sisi Islam.

Di samping itu, tokoh agama itu turut berpendapat melukis kening sementara seperti tatu yang banyak diamalkan adalah satu lagi perkara yang perlu dititikberatkan sebelum keputusan untuk melakar kening diambil oleh wanita.

“Melukis kening tidak membawa kepada kesalahan jika bahan yang digunakan tidak menyekat air dari terkena kulit. Andai kata tatu yang disapu pada alis kening adalah bersifat gel, maka ia perlu di elak jauh dari terkena kulit sebegitu juga dengan peralatan atau bahan yang mengandungi najis.

“Begitu juga dengan meletakkan minyak pada bulu kening supaya lebat dan hitam bagi individu yang mempunyai bulu kening yang jarang dan tipis, ia tidak haram dilakukan. Bagaimanapun, seseorang isteri perlu mendapatkan izin suami terlebih dulu untuk berbuat demikian.

“Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah kerana itu sikap diwarisi daripada syaitan.” jelasnya sebelum menamatkan perbualan.

Bagaimanapun, walaupun menyedari tentang hukum dan kesalahan yang melanggar syariah Islam masih ramai wanita yang melihat merapi kening sebagai perkara penting untuk menambah seri bahkan menjadikannya sebagai rutin amalan walaupun tidak mempunyai masalah yang mengaibkan penampilan mereka.
INFO

SEHINGGA kini, ramai enggan mencukur atau membuang kening. Sama ada mereka bertindak sedemikian kerana mematuhi hukum syarak mahupun memang minatnya adalah lebih kepada bentuk kening yang lebih tebal menghiasi wajah dan penampilan harian mereka.

Namun tidak semuanya yang bernasib baik dan memiliki bentuk kening yang tersusun rapi dan tebal. Penampilan wajah yang sudah disolek mungkin nampak kurang menyerlah kerana bentuk kening yang tidak seberapa jelas. Justeru, untuk menyelamatkan keadaan itu, anda boleh cuba melakukan beberapa teknik melakar kening menggunakan warna yang betul tanpa perlu mencukur.

Solekan melakar bentuk kening

MULAKAN dengan menyapu krim asas untuk mendapatkan sapuan solekan yang lebih sekata dan tahan lama.

SAPU dan ratakan bedak asas ke seluruh kulit. Seeloknya gunakan span kemudian diikuti dengan bedak.

GUNAKAN pembayang mata warna asas seperti coklat gelap untuk disapukan ke kening mengikut bentuk dengan menggunakan berus kening. Lakarkan perlahan-lahan agar nampak sekata. Jangan sesekali lukis kening dengan warna hitam kerana ia akan menimbulkan tekstur yang tidak asli.

BAGI memberikan kesan yang lebih cantik dan asli, sebarkan warna menggunakan berus bersesuaian dengan teliti.

SELESAI mewarnakan kelopak mata, jangan lupa untuk turut mengenakan maskara bulu mata atau menambahkan bulu mata palsu sebagai penyeri. Kening yang dilukis tadi pasti membuatkan anda tampak lain dan lengkap untuk menjalankan aktiviti.

Rahsia Di Sebalik Bulu Kening (bagi na, jangan percaya)

Bulu kening bertemu di tengah (bersambung)

Gemar mengambil tahu hal remeh.
Emosional.
Kuat berfikir dan cemburu
Perlukan seseorang yang selalu bagi semangat dan kongsi masalah.
Gemar membantah

Bulu kening tidak teratur dan liar

Cepat terburu-buru
Kurang berhemah
Sering terbabit dalam pertengkaran kerana kerap campur tangan dalam urusan orang lain.

Bulu kening lurus

Gagah
Suka berdebat

Bulu kening melengkung

Antara individu yang suka menghiburkan orang lain.

Bulu kening tipis

Tahap keyakinan diri yang rendah
Ragu-ragu dengan kebolehan sendiri

Bulu kening tebal

Orang yang gemarkan aktiviti lasak dan mengembara
Sukar untuk setia pada pasangannya
Banyak berceloteh

Sumber

Thursday, September 15, 2011

Thursday, May 19, 2011

Sakit jantung sudah wujud pada zaman firaun



Gambar yang disiarkan kelmarin menunjukkan salah satu mumia yang diimbas dengan menggunakan komputer di Muzium Kaherah Mesir pada 10 Mei lalu.

PARIS - Seorang puteri Mesir yang hidup di antara 1580 dan 1550 Sebelum Tahun Masihi merupakan manusia pertama dalam sejarah diketahui menghidap penyakit jantung koronari.

Penyakit itu dikesan menerusi imbasan komputer yang memberikan imej terperinci ke atas mumia Puteri Ahmose-Meryet-Amon yang meninggal dunia semasa berumur dalam lingkungan 40-an.

Menurut Persatuan Kardiologi Eropah, puteri itu didapati mempunyai aterosklerosis atau satu pengumpulan bahan lemak di dua dari tiga saluran koronari.

"Pada hari ini, dia mungkin memerlukan pembedahan pintasan jantung," kata ketua analisis mumia itu, Gregory Thomas yang juga Pengarah Pendidikan Nuklear Kardiologi di Universiti of California di Irvine, Amerika Syarikat menerusi telefon.

Menurutnya, dia berasa terkejut dengan jumlah pengumpulan lemak yang ditemui itu.Separuh daripada mumia yang dikaji itu menunjukkan terdapat tanda-tanda pengapuran dalam saluran arteri yang menunjukkan tanda aterosklerosis. Purata kematian mumia itu ialah kira-kira 45 tahun. - AFP

Sumber

6 wanita Osama




























3 balu, 3 janda

Lulusan PHD, berketurunan mulia, gadis hantaran antara suri Osama bin Laden

PEPATAH manusia mati meninggalkan nama cukup tepat menggambarkan apa yang berlaku kepada pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, yang dilaporkan maut dalam serangan tentera Amerika Syarikat pada 2 Mei lalu di Pakistan.

Statusnya sebagai musuh nombor satu Amerika dan didakwa Washington sebagai perancang utama serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 sudah cukup menjulang namanya dalam sejarah untuk tempoh cukup lama. Namun masih ada sesuatu lain yang ditinggalkan Osama dan pastinya turut melakar sejarah tersendiri dan menarik untuk diikuti - enam wanita yang pernah menjadi suri hatinya biarpun hanya tiga kekal menemaninya ke saat akhir. Lebih menarik lagi, perkahwinannya itu turut dikurniakan lebih 20 cahaya mata biarpun angka sebenarnya tidak diketahui.

Pemimpin kelahiran Arab Saudi berusia 54 tahun itu meninggalkan zaman bujangnya pada usia semuda 17 tahun apabila mengahwini Najwa Ghanem, sepupunya pada tahun 1974. Perkahwinan yang diatur keluarga itu akhirnya menemui noktah pada 2001, sebelum serangan 11 September dilancarkan.

Namun perkahwinan 27 tahun itu diserikan kehadiran 11 anak termasuk Abdullah, yang kini menerajui firma pengiklanan di Jeddah, Arab Saudi; Saad, yang mungkin maut dalam serangan Amerika di Pakistan pada 2009; Omar, seorang ahli perniagaan yang mencetuskan kontroversi mengahwini wanita Britain, Jane Felix-Browne pada 2007 dan Mohammed, dipercayai anak kesayangan Osama, yang mengahwini anak perempuan orang kanan al-Qaeda, Mohammed Atef. Mohammed terbunuh dalam serangan Amerika pada 2001.

Najwa kemudian bermadu dengan Khadijah Sharif yang sembilan tahun lebih tua daripadanya pada tahun 1983 dan mereka memiliki tiga anak. Khadijah berpendidikan tinggi dan didakwa berketurunan Nabi Muhammad. Mereka kemudian bercerai ketika menetap di Sudan pada 1990-an dan Khadijah dilaporkan kembali ke Arab Saudi. Menurut pengawal peribadi Osama, Khadijah yang memohon untuk bercerai kerana tidak sanggup lagi hidup susah dengan pemimpin al-Qaeda itu.

Isteri ketiga Osama pula bukan calang-calang sebaliknya diatur sendiri oleh Najwa. Khairiah Sabar yang mengahwini Osama pada 1985, juga wanita berpendidikan tinggi dengan kelulusan peringkat doktor falsafah dalam undang-undang Islam. Namun, tidak diketahui sama ada wanita itu selamat dalam serangan pada 2001 ke atas kem al-Qaeda di Afghanistan. Anak lelaki pasangan itu, Hamza pula dilingkari pelbagai laporan yang ada mendakwanya mati dibunuh dalam operasi ketenteraan Amerika minggu lalu, manakala satu lagi laporan media mendakwa dia berjaya memboloskan diri. Hamza ditampilkan dalam video al-Qaeda sebagai remaja dan dilatih untuk memimpin pertubuhan yang diasaskan oleh bapanya. Dia juga pernah disebut dalam autobiografi bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, yang diterbitkan selepas kematiannya, sebagai merancang pembunuhan wanita itu.

Kuota memiliki isteri dalam Islam cukup buat Osama apabila dia mengahwini Siham Sabar sebagai isteri keempat pada tahun 1987 dan memilik empat anak termasuk Khalid yang pada awalnya disangka Hamza. Siham juga dikatakan berketurunan Nabi Muhammad. Siham kekal di Afghanistan dengan Osama selepas serangan 11 September dan tidak diketahui sama ada dia atau anaknya selamat dengan kempen ketenteraan Amerika pada 2001 di negara itu.

Tidak lama selepas Khadijah meninggalkan Osama pada tahun 1990-an dan kembali ke Arab Saudi, Osama memenuhkan semula kuota empat isteri dengan mengahwini seorang wanita lain di Khartoum, Sudan. Namun tidak banyak diketahui mengenai perkahwinan kelimanya kerana ia dibatalkan dalam masa 48 jam!

Perkahwinan keenam Osama terjadi apabila pemimpin itu dihadiahkan dengan seorang gadis, Amal Ahmed al-Sadah, 17, sebagai isteri pada 2000 iaitu ketika Osama berusia 44 tahun, sebagai tanda memeterai perjanjian antara Osama dan satu puak yang dilihat berpotensi merekrut anggota al-Qaeda di Yaman.

Perkahwinan Osama dengan Amal itu juga dilaporkan diatur oleh pemimpin al-Qaeda di Yaman, Sheikh Mohammed Rashed Saeed Ismail. Menggambarkan Amala, Sheikh Mohammed Rashed, berkata: “Berasal dari keluarga sederhana Yaman, Amal boleh hidup susah dengan Osama dalam gua di kawasan pergunungan dan menjadi seseorang yang boleh Osama bentuk.

“Amala juga tidak kisah mengahwini lelaki sebaya bapanya dan amat percaya menjadi isteri yang taat dan setia kepada suami akan memberinya tempat di syurga.”

Amal yang berwajah cantik, tinggal bersama-sama Osama di Abbottabad, Pakistan sejak 2005 sehinggalah ke saat kematiannya. Malah, dia dikatakan sanggup bergadai nyawa menjadi perisai Osama daripada serangan komando Amerika, yang menyebabkannya turut cedera ditembak pada kakinya.

Anak pertama mereka dilahirkan sejurus selepas serangan 11 September 2001 yang dinamakan Safiya, sempena nama seorang tokoh wanita yang membunuh perisik Yahudi. Safiya dilaporkan berada dalam kediaman berkenaan ketika serbuan yang meragut nyawa bapanya. Tidak diketahui sama ada pasangan itu mempunyai anak lain. Namun, berita kematian Osama disambut kini menebarkan berita mengenai ramainya lelaki, khususnya di Yaman yang sudi mengahwini janda Osama ini andai Amal kembali ke negara asalnya.

Setakat rencana ini ditulis, Amal dilaporkan masih dalam tahanan Pakistan dan menjadi sasaran pihak berkuasa Amerika untuk ditahan. Sudah pasti nasibnya selepas ini akan diekori rapat ramai yang bukan saja mahu mengetahui kesudahan dirinya. Biar apa yang dilabelkan Amerika dan dunia kepada Osama, cuma wanita yang pernah berkongsi hidup dengannya yang lebih mengenali pemimpin al-Qaeda itu.

Sumber

Sunday, April 10, 2011

'Bersedia hadapi bencana dahsyat'

Malaysia mula berisiko kesan perubahan cuaca

PUTRAJAYA: Malaysia perlu bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan berlakunya bencana alam lebih dahsyat seperti banjir besar, gempa bumi berskala kecil dan sederhana akibat perubahan tiupan angin serta iklim global sekarang.

Presiden Persatuan Kejuruteraan dan Teknologi Malaysia (mSET), Prof Datuk Abang Abdullah Abang Ali, berkata ramai berpendapat Malaysia selamat dan berisiko rendah untuk menghadapi bencana alam kerana kadar taburan hujan sekata sepanjang tahun dan hanya merasai gegaran akibat gempa bumi berskala kecil. Bagaimanapun, beliau berkata, situasi sekarang berbeza kerana statistik dikeluarkan Jabatan Meteorologi mendapati Malaysia semakin berisiko menghadapi bencana alam berikutan perubahan cuaca yang mendadak seperti peningkatan kadar taburan hujan, ribut petir dan tanah runtuh.

“Sama ada suka atau tidak, situasi di Malaysia sekarang semakin buruk. Malah, kita boleh lihat perubahan cuaca yang ketara apabila banjir, ribut petir dan tanah runtuh semakin kerap berlaku.

Thursday, April 7, 2011

Telur Ayam Tiruan : Telur tiruan dihantar ke Kuala Lumpur untuk ujian makmal

GEORGETOWN: Jabatan Kesihatan Pulau Pinang sudah menghantar contoh telur yang dipercayai tiruan yang diperoleh dari dua penjual telur di pasar Pulau Tikus, untuk ujian makmal di Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Kualiti dan Keselamatan Makanan, Ku Nafishah Ku Ariffin, berkata contoh telur itu dihantar ke makmal di Kuala Lumpur kira-kira 2 petang tadi.

"Kami akan menguji contoh telur itu dan hasil ujian dijangka diperoleh dalam tempoh seminggu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata, ini adalah kali pertama beliau berhadapan dengan kes telur tiruan sepanjang 22 tahun bekerja di jabatan itu.

Mengikut Peraturan Makanan 1985, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap penjual dan pengeluar telur jika telur itu disahkan tidak tulen.

"Kita perlu menunggu keputusan ujian itu sebelum menentukan tindakan selanjutnya yang boleh diambil," katanya.

Sementara itu, Prof Abd Karim Alias dari Fakulti Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia, berkata beliau telah mendengar kes seumpama itu beberapa tahun lalu.

Beliau berkata, semua perkara perlu diuji untuk menentukan sama ada telur tiruan itu boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan.

Semalam, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata beliau menerima aduan daripada seorang suri rumah yang membawa telur berkenaan ke pejabatnya selepas mendapati sesuatu yang mencurigakan ketika cuba memasaknya.

Siasatan yang dijalankan oleh persatuan itu mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan. - BERNAMA

Sumber

Telur Ayam Tiruan: Telur ayam di Pasar Pulau Tikus dirampas

GEORGETOWN: Sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini merampas 270 biji telur ayam di tiga gerai di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini.

Pemeriksaan pada 10.30 pagi itu dibuat berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam mengenai telur ayam tiruan selepas aduan seorang pembeli yang dipercayai membeli telur itu.

"Kami merampas 90 biji telur ayam dari setiap gerai untuk dihantar ke makmal bagi menjalani ujian untuk menentukan kesahihan telur itu sama ada ia telur sebenar atau tiruan," kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK M Gunaselan. Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini beliau berkata telur ayam yang dirampas itu dijual dengan harga 35 sen hingga 38 sen sebiji di pasaran tempatan.

Gunaselan berkata, pihak penguatkuasa akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, seorang peniaga Lim Siew Eng, 85, berkata dia terkejut dengan dakwaan berkenaan sehingga pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan di gerainya pagi ini.

"Saya sudah 50 tahun menjual telur ayam di sini dan hingga kini tidak pernah menerima aduan atau rungutan daripada pelanggan...ini kali pertama gerai saya diperiksa.

"Sejak berniaga di sini, saya langsung tidak tahu mengenai hal ini kerana saya mendapat bekalan telur ayam daripada seorang pembekal di Pasar Jalan Anson di sini. Saya tidak pernah mendapatkan bekalan dari tempat lain," katanya.

Semalam, CAP menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur ayam yang didakwa tiruan pada harga RM11 di pasar itu. Telur tiruan itu dikatakan mempunyai saiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar. - BERNAMA

Sumber

Hebat! : Lukisan guna ratusan ribu perkataan

 Sumber

Tuesday, March 15, 2011

Susulan Tsunami Jepun: Imej ombak tsunami di bandar San Francisco

Imej menunjukkan ombak bergerak di Teluk San Francisco, Amerika Syarikat 13 jam selepas tsunami melanda timur laut Jepun pada Jumaat lalu. Sumber