Monday, April 30, 2012

Friday, April 13, 2012

Info Duit Baru Malaysia



Sinar Harian

Romantik itu Sunnah Rasulullah

Siapa suami pilihan anda? Percaya atau tidak, antara kriteria suami pilihan para gadis ialah lelaki yang romantik. Bagi kebanyakan lelaki pula, romantik biasanya hanya ketika usaha memikat, tetapi bila si dia sudah menjadi miliknya, romantik terus hilang.

Apabila isteri bersuara, kerap lelaki ini memberi alasan: "Romantik apanya, tak perlu nak jadi orang Baratlah!".

Ini antara tanggapan kebanyakan lelaki Malaysia khususnya lelaki Melayu. Hakikatnya, romantik bukan sikap orang Barat, bukan juga budaya hero Hindi sebaliknya romantik, bersikap baik dan melayan isteri dengan lembut adalah sunnah Rasulullah SAW.

Isteri rasa dihargai

Malu memegang tangan isteri? Kenapa perlu malu? Saya akui, budaya ini memang agak asing bagi masyarakat kita. Kenapa jadi asing? Sebab kita tidak membiasakan diri kita melakukannya.
Setiap isteri mendambakan suami yang romantik. Tidak perlu berikan bunga setiap hari, bukan harapkan hadiah yang menghabiskan gaji. Memadailah cara anda membelai, tingkah anda merayu. Sikap anda memberi perhatian juga diinginkan selain pelukan dan ciuman kasih sayang malah luahan rasa cinta.

Pakar psikologi pernah mengatakan, pengucapan cinta satu kali sehari akan memanjangkan usia. Kenapa?

Apakah kaitan pengucapan cinta dengan panjangnya usia?

Sebenarnya, maksud pendapat tersebut adalah ucapan cinta akan membuatkan diri orang yang menerimanya rasa disayangi dan dihargai lantas akan membuahkan seribu rasa kegembiraan dan kebahagiaan. Rasa gembira dan bahagia pula membuatkan seseorang ingin terus hidup bagi terus menikmati kebahagiaan tersebut.
 
Contoh Rasulullah

Menurut riwayat, Rasulullah SAW sering mengucup isteri baginda dengan penuh rasa kasih sayang. Rasulullah SAW pernah mencium isterinya sebelum pergi menunaikan solat di masjid. Aisyah RA berkata yang bermaksud: "Rasulullah pernah mencium salah seorang isteri baginda, lalu berangkat menunaikan solat tanpa memperbaharui wuduk" - Hadis riwayat Abu Daud.

Walaupun hadis itu menjadi hujah atau perbincangan dalam hukum wuduk, namun tujuan saya mengemukakan hadis ini ialah untuk mengetengahkan kepada umum tentang sikap romantik Rasulullah SAW. Saya tahu, memang ramai yang mencium isteri tapi berapa kalikah anda mencium isteri anda dengan penuh kasih sayang, bukan sekadar ciuman selamba atau ciuman penuh ghairah?

Aisyah RA berkata: "Aku biasa mandi berdua-duaan bersama Rasulullah SAW menggunakan satu bekas air." - Hadis riwayat al-Bukhari.

Pernahkah anda berbuat demikian? Berapa kerap? Baginda juga sering memanggil isterinya dengan panggilan yang indah dan disukai oleh isterinya. Baginda memanggil Aisyah RA dengan gelaran Humaira' yang bermaksud putih kemerah-merahan, bertujuan memuji kecantikannya. Rasulullah SAW juga memanggil Aisyah dengan nama yang digemarinya iaitu Aisyah.

Lantas, ciumlah isterimu wahai para suami! Lafazkanlah kata-kata cinta. Panggillah isteri anda dengan panggilan disukainya. Berkongsilah makanan dan minuman anda.

Sentiasalah luangkan masa bersamanya malah banyak perkara lain yang boleh anda lakukan bagi membuktikan anda benar mencintai dan menghargai isteri anda. Apabila isteri rasa dihargai, dia bukan sahaja sanggup berikan layanan istimewa malah sanggup menggadaikan hidupnya demi suaminya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku." - Hadis Riwayat al-Tirmizi.

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu. Malah, batu juga boleh pecah dan hancur dek titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.

Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Menjadi seorang suami malah isteri juga, rasa cinta perlu ditunjukkan setiap masa dan ketika.
Bersikap romantik merupakan antara cara meluahkan rasa cinta anda. Sebelum terfikir mahu melaksanakan sunnah Rasulullah SAW dengan poligami, apa kata usahakan untuk laksanakan sunnah baginda dengan bersikap romantik terlebih dahulu dengan isteri yang ada! Pasti boleh!

Sumber

p/s- dapat tips dari rancangan Semanis Kurma , peluklah pasangan anda sambil mengurut belakangnya....

Bertih Jagung


Bertih jagung dikatakan antara makanan ringan yang baik untuk kesihatan kerana mengandungi lebih banyak bahan antioksida yang dipanggil folifenol daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

Menurut Profesor kimia di Universiti Scranton, Pennsylvania, Amerika Syarikat, Dr. Joe Vinson, folifenol ialah sejenis antioksida tumbuhan yang membantu mencegah radikal bebas di dalam tubuh.

Apa yang lebih mengejutkan, para penyelidik memberitahu bahagian atas bertih jagung yang tidak digemari orang ramai kerana mudah terperangkap di celah gigi-gigi sebenarnya mengandungi kepekatan tertinggi folifenol dan serat.

Begitupun, Vinson menjelaskan bertih jagung tidak boleh menggantikan buah-buahan dan sayur-sayuran segar memandangkan buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi vitamin dan nutrien lain yang penting untuk kesihatan yang baik tetapi tidak wujud dalam bertih jagung.

Sumber

Wednesday, April 11, 2012

Kenapa Wajah Jelita Berubah Jadi Hodoh?

Di zaman kampus, Zaiton merupakan antara pelajar jelita dan pandai bergaya. Malah semasa di universiti dia pernah menang peraduan ratu cantik. Selain memiliki kecantikan semula jadi, Zaiton juga pandai bergaya dan bersolek. Dia sentiasa menjadi rujukan rakan-rakan setiap kali mereka mahu membeli pakaian baru. Namun pada majlis perjumpaan semula atau reunion baru-baru ini, ramai rakan terkejut melihat perubahan pada Zaiton.

Dia bukan sahaja gemuk, malah mempunyai masalah bentuk badan. Perut besar dan mukanya kembang. Meskipun dia bersolek untuk menutup masalah kulit, namun tetap dapat dikesan kulitnya yang kasar dan pigmentasi yang bertompok.

Zaiton memberitahu, sudah banyak usaha di lakukan seperti diet, bersenam, mengunjung pusat kecantikan namun semuanya gagal. Dia merasa dirinya hodoh dan sering berasa malu berhadapan dengan orang ramai.

Simptom lain yang dialaminya termasuk kejang otot dan kerap sakit. Zaiton juga mengalami masalah tidur tidak lena dan haid tidak menentu.  Selain itu, dia tidak tahan dengan perubahan cuaca, masalah badan berpeluh dan berbau di samping cepat lenguh, sakit sendi, kebas kaki serta mudah terseliuh. Dia juga sering mengantuk dan rasa cepat bosan. Pemeriksaan doktor mendapati dia mempunyai kadar kolestrol dan gula yang tinggi dalam darah.

Menurut doktor, jika tidak berjaga-jaga besar kemungkinan dia akan diserang kencing manis. Malah, dia merasakan pada usianya yang masih muda, tahap kesihatannya seperti orang tua. Wajahnya yang sembap dan pipi terlalu tembam menjadikan dia lebih tua dari usia sebenar. Ini menyebabkan Zaiton sering menyendiri dan malu keadaan dirinya dilihat orang.

Menurut pengamal perubatan estetik, Dr. Rushmini Maris Ismail, masalah yang dihadapi Zaiton itu di panggil cushinoid. Cushinoid merujuk kepada sindrom montel yang jika tidak dikawal boleh membawa kepada kegemukan.

Katanya, Zaiton mengalami perubahan daripada cushinoid mimic kepada cushings syndrome, iaitu hormon kortisol terlalu tinggi hingga mengubah rupa dan penampilan seseorang.

Lebih lama seorang itu terdedah kepada permasalahan tersebut maka lebih banyak perubahan akan berlaku pada fizikalnya.

Antara yang ketara ialah penambahan berat badan, lemak berkumpul pada muka perut, leher dan belakang leher manakala kaki dan tangan kelihatan kecil.

Garisan-garisan atau stretch mark mula kelihatan pada perut, payu dara dan bahu selain jerawat mudah tumbuh serta pertumbuhan bulu pada muka.

Kulit wajah kelihatan kusam dan sesetengah wanita mengalami rambut gugur. Kulit juga kasar dan tidak sekata. Wajah menjadi bulat dan pipi terlalu besar, hidung juga menjadi kemik sehingga hilang wajah asal.

Kortisol yang berlebihan akan merangsang rasa lapar dan membuatkan insulin meningkat dan rosak. Oleh kerana sel lemak bergantung kepada isyarat daripada kortisol untuk berpecah dan menghasilkan tenaga, maka masalah hormon kortisol berlebihan akan menjadikan sel lemak berkumpul dan membesar.

Rawatan bagi masalah itu ialah memulihkan semula hormon dalam badan. Sebarang program diet dan senaman tidak mungkin berjaya lantaran kehadiran kortisol yang terlalu tinggi.

Kortisol ialah hormon yang terhasil dari kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang. Ia terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Ia juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat dihasilkan dengan baik.

Justeru, hormon kortisol harus berada pada tahap yang optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik,

Pada kebanyakan mereka yang gemuk, masalah hormon kortisol berlebihan sering berlaku menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan.

Kortisol yang tidak seimbang juga mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon thyroid, estrogen, progesterone dan lain-lain.

Ini kerana hormon saling bertindak secara sinergi. Kesan kelebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain. Faktor ini menyebabkan seseorang itu di ganggu masalah haid tidak teratur, tubuh sembap dan degupan jantung yang tidak sekata.

Oleh itu program penurunan berat badan yang ideal bagi masalah itu ialah membaiki kadar hormon, senaman yang membantu meningkatkan aktiviti hormon dan pemakanan yang memulihkan sistem hormon.

Sehubungan itu Dr. Rushmini mencadangkan rawatan untuk masalah yang dihadapi Zaiton ialah terapi enzim bagi membetulkan semula sistem hormon dalam badan. Rawatan itu turut membantu menurunkan paras kortisol.

Sumber

Meningitis meningokokal rosakkan otak, bawa maut

Sebanyak 500,000 kes dengan 50,000 kematian akibat jangkitan meningitis meningokokal dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia.  Ini menyebabkan ia pembunuh dalam senyap yang menggerunkan lebih-lebih lagi jangkitannya boleh membawa maut dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Neonatologi, Hospital Pakar Damansara, Datuk Dr. Musa Mohd. Nordin, berkata, hampir setiap orang termasuk mereka yang sihat berisiko menghidapinya kerana bakteria ini mudah tersebar melalui udara lebih-lebih lagi dalam persekitaran yang sesak.

"Bagi mengelak dijangkiti, individu tersebut mestilah dilindungi dengan suntikan vaksin bagi membina antibodi yang kuat," katanya ketika menyampaikan ceramah kesihatan mengenai jangkitan meningitis meningokokal, di Petaling Jaya , Selangor baru-baru ini..

Jelasnya, meningitis meningokokal ialah satu bentuk jangkitan bakteria meningitis pada membran yang menyelaputi otak dan saraf tunjang, kadang-kadang ia juga dirujuk sebagai meningitis tulang belakang.

Malah meningitis meningokokal boleh menyebabkan kerosakan otak yang teruk dan mengakibatkan kematian jika ia tidak dirawat segera.

''Walaupun penyakit didiagnosis awal dan rawatan sepatutnya sudah dimulakan, sebanyak lima hingga 10 peratus daripada pesakit meninggal dunia dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas gejala atau simptomnya dikenalpasti.

''Meningitis yang disebabkan virus lazimnya kurang teruk dan boleh pulih tanpa rawatan spesifik.

"Bagaimanapun meningitis disebabkan bakteria pula agak serius dan mungkin membawa kepada kerosakan otak, hilang pendengaran, kurang upaya pembelajaran dan boleh membawa kepada kematian," ujarnya.

Dr. Musa menambah, neisseria meningitidis pula dikenali sebagai meningokokal, ia adalah bakteria yang berpotensi boleh menyebabkan wabak yang lebih besar.

''Sifatnya sukar diramal kerana kumpulan bakteria yang dominan ini menyebabkan penyakit tersebut berbeza mengikut negara dan rantau serta berubah mengikut masa," katanya.

Bagaimana ia berjangkit?

Menurut Dr. Musa, penyakit ini mudah untuk dijangkiti kerana kedua-dua bakteria ini boleh tersebar melalui udara atau sentuhan secara langsung dengan penghidapnya.

Meningitis mudah berjangkit secara langsung melalui titisan rembesan salur pernafasan dari hidung dan tekak orang yang dijangkiti.

Melalui salur pernafasan ia memasuki saluran darah dan akan menyebabkan septisemia (keracunan darah) yang teruk dan akan terus ke otak seterusnya akan menyebabkan berlakunya meningitis.

''Bakteria ini boleh menjangkiti seseorang melalui titisan pernafasan iaitu secara bersin, batuk, berkongsi gelas atau straw minuman, rokok, bercium dari mulut ke mulut (mouth to mouth resuscitation).

''Keadaan yang bersesak-sesak juga memudahkan penyebaran penyakit ini.

''Begitupun terdapat juga individu yang dijangkiti bakteria ini tetapi tidak menunjukkan gejala penyakit. Golongan seperti ini dikenali sebagai pembawa bakteria (carrier), mereka ini mungkin menjadi punca jangkitan kepada orang lain," katanya.

Menurut Dr. Musa, tempoh pengeraman bakteria itu, puratanya selama empat hari tetapi boleh berkisar antara dua hingga 10 hari.

Katanya, hubungan yang rapat dan berpanjangan dengan orang yang dijangkiti memudahkan lagi penyebaran penyakit tersebut.

Golongan yang berisiko mendapat penyakit meningitis meningokokal adalah di kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, penyakit ini juga boleh melibatkan pelbagai peringkat umur serta mereka yang mempunyai tahap imuniti yang rendah, berhubung dekat dengan pesakit dan pelancong yang melawat kawasan wabak juga mempunyai risiko tinggi mendapat jangkitan tersebut.

Simptom penyakit

Terdapat banyak simptom atau gejala meningitis meningokokal seperti demam dan menggigil, perubahan mental, loya dan muntah, lebam, ruam, bintik merah (petechiae), sensitif kepada cahaya (fotofobia), sakit kepala yang teruk serta sakit tengkuk (meningismus).

Komplikasi meningitis meningokokal boleh menjadi teruk jika pesakit tidak mendapatkan rawatan segera.

Lebih teruk lagi jika risiko serangan secara mengejut berlaku di mana pesakit mungkin mengalami masalah sistem saraf yang berkekalan termasuk hilang pendengaran, buta, mudah lupa, bisu, lumpuh, kurang upaya dalam pembelajaran dan sebagainya.

Sumber

Masalah Mengawal Air Kencing

Masalah untuk mengawal air kencing ini juga dikenal sebagai inkontinens. Masalah ini kerap dialami wanita. Bagaimanapun, kebanyakan wanita terlalu malu untuk berkongsi masalah sebegini dengan sesiapa pun, termasuklah dengan doktor. Mereka beranggapan tiada apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah tersebut. Sebenarnya masalah ini tidak boleh dianggap remeh dan dibiarkan begitu sahaja tanpa diatasi segera.

Otot lantai pelvis lemah

Memang tepat tanggapan anda yang masalah ini berpunca daripada otot lantai pelvis yang lemah. Keadaan inkontinens terjadi apabila wujud masalah pada otot dan saraf yang mengawal dan membuang air kencing. Ia boleh berlaku kerana otot lantai pelvis menjadi lemah (umumnya disebabkan kehamilan, melahirkan bayi, berat badan yang berlebihan, usia tua dan tabiat merokok) dan tidak cukup kuat untuk mengawal air kencing daripada terkeluar. Kelemahan otot lantai pelvis mungkin juga disebabkan faktor kesihatan, sembelit, kesan sampingan pelbagai ubat-ubatan dan fasa pasca menopaus.

Kesan

Masalah ini boleh menjejaskan kualiti hidup dan membuatkan seseorang itu berasa tertekan. Malah ia menjadi isu penting dalam aspek kebersihan terutama bagi wanita beragama Islam untuk beribadat. Ia juga mampu memberi kesan psikologi lebih besar kepada wanita sehingga ada yang perlu mengubah gaya hidup dan mengelak terbabit dalam kegiatan sosial kerana bimbang dan malu jika masalah mereka diketahui. Aktiviti menjadi terhad dan ke mana saja mereka pergi, mereka perlu tahu di mana kedudukan tandas. Mereka juga keberatan bercampur dengan orang ramai kerana malu masalah itu diketahui dan bimbang jika 'berbau hancing' (berbau air kencing).

Oleh kerana pundi kencing dan faraj terletak berdekatan, masalah ini turut memberi kesan terhadap hubungan seks. Ada wanita mengadu suami tidak berkeinginan untuk melakukan hubungan seks. Malah, ada yang terpaksa merelakan suami mencari isteri lain. Pada masa sama, inkontinens boleh menyebabkan wanita mengalami banyak masalah lain seperti jangkitan, ruam, gatal, tidak selesa dan kadangkala sakit kerana kawasan berkenaan sentiasa lembap.

Rawatan

Meskipun inkontinens bukan penyakit, ia perlu dirawat kerana ia gejala akibat masalah kesihatan lain. Bagaimanapun, hanya satu pertiga penghidap mendapatkan rawatan kerana 50 peratus mendakwa masalah itu tidak menjejaskan kehidupan mereka. Ada juga wanita yang berkata boleh bertahan dengan keadaan tersebut. Hanya sekumpulan kecil sahaja yang mengakui berasa betul-betul terganggu. Ramai yang berpendapat ia adalah masalah kecil dan merasakan tidak perlu mendapatkan rawatan kerana ia bukan penyakit. Ada juga yang menganggapnya sebagai sebahagian daripada proses penuaan atau ada yang tidak tahu di mana hendak mendapatkan rawatan.

Anda boleh belajar untuk melakukan senaman menguatkan lantai pelvis dan otot pada pundi kencing iaitu senaman Kegel atau secara kemutan. Senaman ini dilakukan dengan bernafas seperti biasa ketika anda 'mengecutkan' otot. Tarik nafas dan 'kecutkan' otot faraj ketika anda menghembuskan nafas dan bernafas seperti biasa. Jika anda menahan nafas, ia menekan lantai pelvis ke bawah. Senaman ini sama seperti ketika kita hendak menahan kencing. Ia boleh dilakukan di atas katil (sebaik sahaja bangun daripada tidur), sambil duduk atau ketika anda berdiri. Sebaik-baiknya buat 10 hingga 20 kali bagi satu sesi senaman dan ulang dua kali sehari atau seberapa kerap yang anda mahu. Bagi wanita yang melahirkan anak, sebaik-baiknya buat empat sesi setiap hari. Jika sudah bersenam dan melakukan perubahan gaya hidup tetapi masih berlaku masalah kebocoran, segeralah berjumpa doktor.

Artikel Penuh, Klik Sini.

p/s- na ada menonton rancangan Dr OZ di tv al hijjrah ( ketika duduk di Terengganu). Beliau ada menyatakan pengambilan magnesium adalah terbaik untuk mengatasi masalah ini selain melakukan senaman kegel...dan tahu kah anda, biji labu adalah sumber terbaik untuk magnesium :)

Tuesday, April 10, 2012

Irfan Makki feat Maher Zain

Maher Zain : Number One For Me

Makna Bacaan Solat

Langkah Langkah Keselamatan: Bahaya Tersedak Susu



Ibu bapa usah panik, pelajari CPR sebagai persediaan saat cemas

Kes bayi tersedak susu sebenarnya sering berlaku. Namun keadaan ini yang boleh dikawal dengan teknik tertentu, menjadi sesuatu yang amat ditakuti berikutan meningkatnya laporan kes bayi yang mati akibat tersedak susu.

Selepas menelannya, ia perlu diselaras pula dengan otot di belakang tekak. Semua proses itu jika difikirkan, sangat rumit bagi seorang bayi kerana ia bukan saja membabitkan satu otot sebaliknya banyak otot berbeza.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Anthony James Mansul berkata, bagi bayi yang masih kecil, ada saraf yang belum matang terutama bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau pra-matang.

Dr Anthony berkata, pengamal perubatan perlu berhati-hati dengan bayi pra-matang di bawah 34 minggu terutama apabila menyusu menggunakan botol atau susu badan.

“Agak sulit untuk menjelaskan kepada setiap ibu bapa mengenai penyelarasan otot ini. Jadi sebagai langkah pertama, perkara terbaik ialah usah berfikiran negatif dan anggap semua bayi yang dilahirkan tiada masalah serta secara automatik pandai menyusu.

“Ini kerana 90 peratus bayi yang baru lahir tidak menghadapi masalah ini,” katanya kepada Sihat & Selamat.

Dr Anthony berkata, faktor yang boleh mengganggu penyusuan bayi dan menyebabkan tersedak ialah gejala seperti selsema, bayi tidak cukup bulan, tidak sihat atau menyusukan bayi dalam keadaan yang tidak betul.

"Kebanyakan kes tersedak susu yang kita lihat selalunya disebabkan masalah penyelarasan seperti mungkin ketika menyusu ada sedikit mukus atau kahak yang masuk atau susu tiba-tiba terlampau laju, contohnya susu badan bagi ibu dan bayi yang baru pertama kali menyusu badan.

“Akibat tekanannya laju, kita selalu lihat bayi tersedak,” katanya.

Dr Anthony berkata, lazimnya nasihat doktor kepada ibu yang anaknya kerap tersedak ialah memerah sedikit susu dari payu dara bagi mengurangkan tekanannya ketika bayi menyusu atau periksa puting botol susu untuk memastikan lubangnya tidak terlalu besar.

“Jika bayi masih lagi tersedak, jumpa doktor untuk pastikan keseluruhan saluran udara, pernafasan, lidah dan mulut bayi tiada masalah dan tidak sakit.

“Jika semuanya baik, mungkin teknik penyusuan yang diamalkan tidak betul dan kebanyakan hospital dan bidan-bidan boleh membantu menasihati ibu mengenai teknik penyusuan yang betul,” katanya.

Apa yang kita perlu buat jika bayi tersedak - pertama sekali jangan panik sebab ibu bapa sering bimbang susu akan masuk ke saluran udara. Berikutan rekaan saluran udara manusia yang baik, jika ada sesuatu yang tidak betul, ia akan tertutup serta merta (dipanggil spasm).

Bagaimanapun, bayi akan kelihatan sedikit biru atau mungkin pucat pada permulaan. Apa yang perlu dilakukan ialah dukung bayi dan tepuk belakang badan di mana lazimnya teknik itu sudah mencukupi.

Dalam kes yang agak kurang bernasib baik, kemungkinan susu itu masuk ke dalam paru-paru sehingga pernafasan terganggu. Jika ini berlaku, bantuan pernafasan mulut ke mulut atau CPR diperlukan untuk bayi. Sehubungan itu, ibu bapa sangat digalakkan mempelajari teknik CPR kerana ia bukan saja baik untuk bayi, malah orang dewasa.

Bagi ibu bapa yang terpaksa meninggalkan bayi di pusat jagaan kanak-kanak, disaran memantau pusat jagaan terbabit sebelum menghantar anak-anak. Cuba selidik dan bertanya dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan sama, lawat dan luangkan masa beberapa jam sambil memerhatikan keadaan kebersihan, persekitaran dan cara penjaga mengendalikan bayi dan kanak-kanak. Selain itu, pastikan jumlah kanak-kanak tidak terlalu ramai hingga sukar dikawal.

Paling penting, pilih pusat jagaan berdaftar secara sah dan pastikan pengusaha serta kakitangan yang mengendalikan pusat berkenaan cukup terlatih serta cekap mengenal pasti bayi bermasalah. Selain itu, pusat penjagaan kanak-kanak yang memiliki sijil bantuan pernafasan mulut ke mulut adalah satu kelebihan dan pada masa sama, mempunyai pelan kecemasan terancang dan terletak berhampiran pusat perubatan.

Sumber