Tuesday, December 28, 2010

Punca suara serak, batuk lama

Oleh Hafizah Iszahanid

hafiza@bharian.com.my
2010/10/31

Berkait dengan masalah asid refluks, pedih ulu hati

PENYAKIT berkaitan sistem gastro usus seperti pedih ulu hati atau masalah asid refluks (gastroesophageal reflux disease - GERD) dari perut yang menghakis struktur salur penghadaman, sebenarnya sudah menjadi sebahagian daripada statistik permasalahan kesihatan di Asia.

Tanyalah sesiapa saja, pasti ada yang tahu peritnya kalau ditimpa masalah pedih ulu hati ini. Namun, masalah GERD bukan saja pada sistem gastro usus tetapi juga boleh menjejaskan suara anda. Ada pesakit yang datang dengan sejarah penyakit GERD mengadu mereka suara menjadi serak selain tekak terasa masam atau batuk yang berpanjangan. Namun, ada juga pesakit yang datang dengan masalah sebegini, selepas dikenal pasti mempunyai masalah GERD.


Bagi pesakit GERD, masalah yang dialami sebenarnya mempengaruhi perubahan suara dan masalah lain di sekitar tekak. Jika dilihat anatomi manusia, saluran makanan kita bersambung dari mulut hingga ke anus. Di sepanjang laluan itu, makanan yang kita telan akan ‘dipindah-pindahkan’ bagi melancarkan proses pencernaan dan penyerapan.

Pemindahan makanan dari satu bahagian ke bahagian yang lain berlaku melalui bukaan-bukaan yang terdapat antara keduanya seperti antara esofagus dengan perut, atau perut dengan duodenum. Apabila keabnormalan berlaku baik pada kuantiti asid yang dihasilkan dalam perut, atau masalah lain pada saluran makanan yang sebelum ini berupaya menghalang asid daripada refluks maka ia akan melimpah keluar dengan jumlah yang melebihi had biasa.

Tidak kurang juga tabiat pemakanan menjadi faktor penggalak terjadinya masalah ini. Keadaan refluks ini menyebabkan asid daripada perut berpotensi merebak keluar daripada rongga perut. Ia boleh merebak ke salur makanan (esofagus) dan juga duodenum (bahagian pertama usus kecil).

Dalam keadaan normal, kuantiti asid yang kecil masih boleh diterima dinding esofagus dan mekanisme perut boleh mengurangkan gejala GERD. Bagaimanapun, jika asid ini berlebihan, kuantitinya dan naiknya pula mencapai tahap lebih tinggi iaitu sehingga ke permulaan esofagus iaitu di bahagian tekak (farinks) dan saluran pernafasan yang dipanggil larinks, asid ini akan termasuk ke dalam larinks. Ia akan menyebabkan gejala refluks laringofarinks (LPR) terjadi.

Pensyarah Perubatan Telinga, Hidung dan Tekak,Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian Kelantan, Dr Irfan Mohamad berkata, punca tunggal sebenar yang menyebabkan sesetengah orang mengalami LPR masih belum diketahui.

Jelasnya, pelbagai faktor risiko dan kaedah gaya hidup, dikaitkan dengan gejala suara serak dalam pesakit GERD ini. Bagaimanapun, di Amerika Syarikat, insidennya cukup tinggi sehingga boleh mencapai 50 peratus daripada mereka yang mengalami masalah suara. Antara gejala LPR adalah suara serak, selalu berdehem (akibat tidak selesa pada tekak), terasa ada benda dalam tekak, sukar menelan makanan, rasa masam di bahagian tekak, batuk berpanjangan dan gangguan pernafasan.

“Gejala berkaitan suara dan pernafasan ini boleh berlaku secara berasingan atau mungkin juga secara serentak. Ini kerana dalam saluran pernafasan, ada struktur peti suara yang mengawal kualiti suara yang dituturkan.

“Apabila berlaku radang kronik akibat asid yang terpercik daripada saluran makanan, simptom keradangan akan terjadi. Jika keradangan ini berlaku secara kronik dan berpanjangan, tisu granulasi pula akan terbentuk.

“Tisu ini jika cukup besar dan mengganggu saluran pernafasan. Jika tidak pun, peti suara yang secara kroniknya mengalami keradangan akibat asid, akan membengkak dan pembengkakan itu sedikit sebanyak akan mengganggu proses pernafasan,” katanya.

Mengenai rawatan, kata Dr Irfan, ia boleh dibahagikan kepada tiga cara iaitu ubah suai cara pemakanan dan gaya hidup, penggunaan ubat-ubatan atau pembedahan. Kombinasi kaedah rawatan ini, terutama amalan pemakanan dan ubat-ubatan sering kali umumnya berupaya menyelesaikan LPR.

Menu si kecil-Puasa

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/08/15

Kenali pemakanan latih anak berpuasa


MELATIH si kecil berpuasa juga bermaksud memastikan mereka mendapat makanan yang seimbang dan sihat. Selain memberi kesihatan yang baik kepada mereka, pemakanan seimbang adalah sumber tenaga untuk mereka mengharung sepanjang hari berpuasa. Paling penting, pengambilan makanan perlu berpandukan piramid makanan.

Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia Norlaily Md Nasir berkata, ibu bapa perlu memastikan pengambilan makanan anak-anak mereka seimbang, sihat dan tidak berlebihan. Sebagai contoh, ketika waktu bersahur sediakan makanan kaya serat seperti nasi, mi, roti, bijirin yang mana makanan seperti ini membantu melambatkan proses lapar. "Penting juga untuk pastikan makanan yang diambil itu kurang lemak, kurang berminyak dan kurang gula. Begitu juga dengan waktu berbuka. Jangan sesekali melatih anak-anak memulakan buka dengan makanan atau minuman manis. Sebaliknya, amalkan seperti sunnah Rasulullah dengan memakan kurma. Kurma kaya dengan nutrisi dan baik untuk kesihatan sistem penghadaman kanak-kanak,"katanya.


Jelas Norlaily, walaupun berdasarkan syarat wajib berpuasa mengariskan seseorang yang sudah mencapai akil baligh, namun mengajar anak kecil didikan asas dalam mengerjakan ibadah ini sangat dialu-alukan. Justeru, dalam memastikan mereka mendapat bekalan tenaga yang cukup dan berasa selesa sepanjang berpuasa, pastikan menu makanan mereka adalah makanan kaya serat ketika berbuka dan sahur.

Bagaimanapun, tidak digalakkan untuk anda memberi makanan tambahan kepada anak-anak ini terutama semasa berpuasa.

"Ada sebilangan ibu bapa yang percaya, makanan tambahan membantu pola pemakanan sihat anak-anak. Sebenarnya, pemakanan yang sihat dan seimbang adalah daripada makanan yang anak-anak ambil setiap hari,"

"Justeru, pastikan mereka dibekalkan dengan kesemua nutrisi yang diperlukan seperti karbohidrat, protein, vitamin dan mineral yang penting untuk pertumbuhan dan kesihatan mereka. Makanan tambahan pula hanya membekalkan nutrien-nutrien tertentu sahaja. Jadi sekiranya ia diambil secara berlebihan dan tidak teratur, ia akan hanya menyebabkan toksik di dalam badan,"katanya.

Norlaily berkata, apa yang penting pelbagaikan jenis makanan anak-anak anda bagi memastikan tubuh badan mereka mendapat apa yang diperlukan untuk kesihatan kanak-kanak terutamanya dalam menjalani ibadah puasa. Apatah lagi, makanan tambahan umumnya hanya perlu diambil oleh kanak-kanak yang mengalami masalah kesihatan dan atas nasihat doktor atau pakar pemakanan.

Ada kala, soal pemakanan walaupun nampak remeh tetapi memeningkan kepala ibu bapa. Ini disebabkan ada sesetengah kanak-kanak tidak suka makan terutama nasi. Selain nasi sebagai makanan ruji, nasi juga sebenarnya pemberi tenaga. Justeru, jika anak tidak gemar makan nasi, gantikan dengan makanan jenis yang sama berdasarkan piramid makanan. Misalnya, mi, mihun, pasta, roti dan bijirin.

Makanan jenis ini juga kaya serat dan melambatkan proses lapar.
INFO: Tip menu Ramadan untuk kanak-kanak:

Sediakan masakan panas untuk bersahur. Biasanya, masakan panas boleh menambahkan selera anak-anak.
Masak juadah kegemaran anak-anak. Jika boleh, tanya dulu makanan ingin dimakan ketika bersahur.
Pelbagaikan jenis masakan. Anak-anak cepat jemu dengan masakan sama setiap hari.
Sediakan masakan berkuah seperti sup yang lebih mudah dimakan dan mengenyangkan.
Elak masakan pedas dan berempah yang boleh sebabkan ketidakselesaan sewaktu berpuasa.
Galakkan anak-anak mengambil buah-buahan dan minum banyak air sewaktu bersahur.
Menu sahur:

2 biji kurma (mulakan dengan saiz sederhana)
1 cawan nasi goreng cina (menarikkan dengan menambah sayur campur di dalam nasi goreng)
1 gelas air masak / 1 gelas air susu
Menu berbuka:

2 biji kurma (mulakan dengan saiz sederhana)
1 cawan nasi putih
1/2 ekor ikan (saiz sederhana) masak kicap
2 sudu makan sayur sawi goreng
1 gelas air masak
Sehiris buah

Sumber

Makanan asas puasa

Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
2010/08/29

Minum 9 gelas air bagi tempoh berbuka hingga sahur elak letih

BERAPA gelas air yang anda ambil antara waktu berbuka hingga sahur semalam? Jika dua gelas saja, ia sebenarnya tidak mencukupi untuk keperluan tubuh anda walaupun mungkin tidak berasa dahaga.

Air adalah antara komponen kimia utama tubuh dan membentuk 60 peratus berat badan. Setiap sistem tubuh anda bergantung kepada air. Misalnya, organ utama memerlukan air untuk menyingkirkan toksin selain air membawa nutrisi ke sel-sel badan. Ia juga membekalkan persekitaran lembab kepada telinga, hidung dan tisu di tekak. Sumber penting ini juga melicinkan sendi dan bertindak sebagai penyerap kejutan di dalam mata dan tulang belakang. Kekurangan air akan menyebabkan tubuh tidak boleh berfungsi seperti biasa - keadaan yang disebut dehidrasi.

Malah jika anda berhadapan dengan maslah kurang air atau dehidrasi tahap sederhana pun ia akan menyebabkan anda lemah dan kurang bertenaga.

Dehidrasi sebenarnya masalah umum ketika berpuasa. Ini kerana tubuh kehilangan air dan garam secara berterusan apabila bernafas, berpeluh dan membuang air kecil. Bagaimanapun jumlah air yang hilang bergantung juga kepada cuaca, berapa banyak air yang anda ambil sebelum berpuasa selain tahap aktiviti fizikal anda dan keupayaan ginjal anda mengekalkan air dan garam.

Justeru, pengambilan air antara waktu berbuka dan bersahur seharusnya tidak dipandang ringan. Kurang mengambil air meningkatkan risiko dehidrasi.

Dua pertiga daripada tubuh adalah air. Apabila seseorang itu berhadapan dengan dehidrasi, ia bermakna tahap air dalam tubuhnya menurun daripada keperluan tubuh yang biasa. Bagaimanapun, jumlah penurunan yang sedikit tidak akan menyebabkan masalah. Malah dalam kebanyakan kes, ia akan berlalu begitu saja tanpa disedari. Namun, jika jumlah air yang hilang terlalu banyak, ia akan menyebabkan anda berasa tidak selesa.

Kerap kalinya, jika anda muntah, cirit birit, mengambil ubat-ubatan yang meningkatkan kekerapan anda membuang air (diuretik) dan kerap berpeluh akan membawa kepada masalah dehidrasi.

Masalah Dehidrasi ditandai dengan rasa tidak sihat, lemah, kejang, pening malah ada yang rebah dan pengsan.

Selain warga tua dan pesakit diabetes, mereka yang berisiko berhadapan dengan masalah dehidrasi adalah mereka yang berhadapan dengan penyakit kelenjar. Dehidrasi juga biasa ditemui di kalangan kanak-kanak, terutama mereka yang baru belajar berpuasa. Justeru, memastikan anak anda mendapatkan jumlah air yang mencukupi sangat penting.

Bagaimanapun, elakkan pengambilan minuman kafein. Ini disebabkan minuman jenis ini bersifat diuretik. Tidak dapat dipastikan sama ada kafein menyebabkan dehidrasi namun, dalam keadaan cuaca panas dan anda berpuasa, seharusnya minuman kafein dielakkan.

Jadi, berapa sebenarnya keperluan air anda? Umumnya anda disarankan mengambil antara lapan hingga sembilan gelas. Bagaimanapun, ini panduan ringkas untuk anda;

Umumnya kadar air kencing dewasa adalah sekitar 1.5 liter (kira-kira 6.3 cawan) sehari. Umumnya anda akan hilang empat cawan air kerana bernafas, berpeluh dan pergerakan sistem pencernaan. Makanan pula selalunya membentuk 20 peratus daripada jumlah pengambilan cecair anda. Justeru jika anda mengambil dua liter air selain amalan diet normal anda, pengambilan air anda lebih bersifat ‘mengantikan’ jumlah air yang hilang dari tubuh.

Lapan gelas air sehari. Lapan gelas air bermakna 1.9 liter. Walaupun tidak ada bukti saintifik menguji keberkesanannya, tetapi pengambilan air lapan gelas sehari sudah menjadi sebahagian daripada panduan pengambilan air yang sihat.

Ada juga pendapat yang mengatakan lelaki harus mengambil air sekitar 13 cawan (tiga liter) daripada keseluruhan pengambilan air dan makanan manakala wanita pula sembilan cawan (2.2 liter) sehari.

Apapun pendekatan anda, apa yang penting pastikan anda mengambil jumlah air yang mencukupi. Jangan menunggu hingga timbul simptom dehidrasi untuk mengambil air yang cukup sebaliknya anda boleh memastikannya dengan memerhatikan warna urin anda. Jika ia terlalu kekuningan, maknanya jumlah air yang anda ambil tidak mencukupi dan harus berjumpa doktor bagi maklumat lanjut.

Sumber

Kuasa buah

Ketahui khasiat sebenar makanan wajib bantu ubati, hindari penyakit .

BUAH-BUAHAN memiliki kandungan gizi, vitamin dan mineral yang sangat baik untuk tubuh. Khasiat buah-buahan diletakkan pada aras dua Piramid Makanan bersama sayur-sayuran. Pengambilan buah-buahan mengikut jumlah hidangan mencukupi dapat memastikan tubuh badan dan otak kita menerima semua nutrien mencukupi bagi membolehkan ia berfungsi dengan baik.

Malangnya, berapa ramai antara kita tahu kelebihan sebenar khasiat buah-buahan kecuali vitamin C yang sudah terlalu kerap dikaitkan dengan buah-buahan tertentu seperti oren dan epal. Bagaimana pula dengan aspek lain buah-buahan seperti khasiatnya membantu mengurangkan penyakit?

Pakar Diet Klinikal, Pusat Perubahan Gaya Hidup, Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing menjelaskan, kajian menunjukkan pengambilan lebih daripada lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari dikatakan boleh mengurangkan sehingga 17 peratus penyakit jantung koronari.

“Pada 2005, 17.5 juta orang mati akibat penyakit kardiovaskular iaitu 30 peratus daripada jumlah kematian global. Pemakanan yang baik adalah pendekatan terbaik untuk mencegah penyakit dan penjagaan kesihatan.

“Nutrien adalah khasiat yang mesti kita peroleh daripada makanan. Khasiat pemakanan ini adalah penting untuk pertumbuhan dan penjagaan tubuh badan sepanjang hayat,” katanya.

Lebih menarik lagi, hasil penyelidikan mengenai manfaat buah-buahan kepada kesihatan turut dikongsi pada kempen kemasyarakatan, Kesihatan Itu Kekayaan anjuran MBG Fruitshop di Jaya 33, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Antara fakta menarik yang dikongsi termasuk, ramai tidak tahu pisang membantu menentang kemurungan. Selain itu, antioksidan daripada buah-buahan dan sayur-sayuran mengurangkan risiko kanser esofagus; buah kiwi meningkatkan kesihatan seksual lelaki dan kismis membantu menjaga kesihatan gigi serta pembangunan mental kanak-kanak.

Bagi kanak-kanak misalnya, buah-buahan yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti karbohidrat, mineral dan vitamin penting dalam pertumbuhan mental fizikal mereka. Karbohidrat dalam buah-buahan misalnya, adalah dalam bentuk gula yang menyumbang kepada tenaga badan. Selain itu, buahan-buahan juga tinggi dengan serat yang membantu dalam mengelak masalah sembelit terutama di kalangan kanak-kanak.

Khasiat buah-buahan:

Anggur/kismis

Mengurangkan risiko kanser; strok; penyakit jantung dan hilang ingatan; antipenuaan; antioksidan; antiradang; kesihatan kulit; mata; kardiovaskular; kesihatan gastrik; kesihatan saluran kencing dan penyakit gusi.


Buah oren

Kesihatan jantung; penglihatan; pelalian dan mengurangkan risiko penyakit kanser. Pada masa sama, buah sitrus ini turut memiliki kelebihan sebagai antioksidan; membantu perkembangan otak janin dan mengawal tekanan darah.

Buah Epal

Pengambilannya yang kerap dikatakan dapat mencegah dementia atau nyanyuk; mencegah kenaikan berat badan; menurunkan kolesterol; menentang kanser dan antioksidan.

Buah pear

Bersifat antioksidan; menjaga kesihatan kardiovaskular; antiradang; menjaga kesihatan jantung; menyembuhkan luka dan lebam; membaiki tisu; menjaga kesihatan penglihatan; menentang jangkitan; menyokong transmisi saraf dan melawaskan perut.

Pisang kaki

Menjaga kesihatan penglihatan, melegakan sembelit, cirit-birit, hemoroid (buasir) dan antioksidan.

Mangga

Anti kanser; menjaga kesihatan penglihatan; membantu penghadaman; menjaga kesihatan kulit; membantu membaiki kesihatan seksual; menambah berat badan; menguatkan daya ingatan; berfaedah untuk anemia (kurang darah) dan mencegah selaran panas.

Kiwi

Buah yang kaya dengan vitamin C dan berasal dari New Zealand ini membantu mengatasi insomnia (sukar tidur); mencairkan darah untuk kesihatan kardiovaskular (menurunkan kolesterol dan trigliserida); membantu membaiki pernafasan kanak-kanak (pendek nafas dan batuk malam); mencegah kerosakan kulit yang menyebabkan kanser kulit; menjaga kesihatan penglihatan; kesihatan kolon dan kesihatan prostat.

Pisang

Bagi mereka yang mudah stres atau alami tekanan, buah pisang boleh menjadi pilihan. Ini disebabkan ia kaya khasiat antikemurungan (membantu membaiki mood dan tidur); antioksidan; mengawal tekanan darah; meningkatkan daya tumpuan dan menguatkan ingatan; meningkatkan tenaga; menjaga kesihatan jantung; mengurangkan risiko kanser; menentang ulser peptik; melegakan cirit-birit dan sembelit.

Sumber

Letih punca kemalangan

Kemalangan yang berpunca daripada rasa letih lazimnya menyebabkan kecederaan teruk. Ini kerana berbanding kemalangan akibat punca-punca lain pemandu yang keletihan bertindak balas lebih lambat dan pertimbangannya mudah terganggu.

Keletihan yang amat sangat lazimnya disebabkan oleh masalah psikologi seperti berasa kekurangan tenaga atau kepenatan. Dalam kebanyakan kes, keletihan yang amat sangat dikaitkan dengan kebosanan, kesedihan, kekecewaan, kurang tidur atau teruk bekerja.

Rasa letih yang keterlaluan tidak sama seperti rasa mengantuk, tetapi biasanya keinginan untuk tidur akan timbul seiring dengan rasa letih sebegini.

Menurut Dr. Raymond pernafasan yang terhenti-henti sepanjang malam boleh menyebabkan pesakit asyik terjaga.

"Jangankan tidur yang berkualiti, hendak tidur lena pun payah. Oleh sebab tidur yang tidak berkualiti, mangsa OSA biasanya akan menunjukkan beberapa kesan simptom umum pada waktu siang seperti rasa mengantuk, sakit kepala dan letih," katanya.

Dalam konteks ini, dianggarkan hampir 5.55 juta penduduk Malaysia, tidak mengira jantina dan umur, menghasilkan orkestra dengkur setiap malam, sama ada 'berdengkur tetap' ataupun 'berdengkur sambilan'.
Masalah dengkur bukan sahaja mengganggu penghidap malahan orang di sekitarnya, dan mungkin menjejaskan kualiti tidur lebih satu pertiga penduduk negara ini setiap malam.
Sebagai contoh, Albert Enstein memerlukan 10 jam untuk tidur agar dia dapat beraktiviti dengan baik. Presiden Amerika ke-30, Calvin Coolidge memerlukan 11 jam untuk tidur. Ronald Reagan dan Winston Churchill bahkan menganggap tidak cukup hanya tidur pada malam hari. mereka tidur siang.

Sumber

Gangguan hubungan intim

Kes 1

SAYA seorang gadis berusia 21 tahun. Saya sering berasa gatal-gatal pada bahagian bibir dalam dan luar vagina dan setiap kali ia gatal, saya akan menggaru bahagian tersebut sehingga keluar pepejal putih seperti daki dengan banyaknya jika saya menggaru untuk kali pertama.
Jika saya menggaru kali kedua, kuantitinya akan menjadi sedikit. Selepas itu saya akan berasa lega kerana tiada kegatalan lagi.
Saya juga pernah menggaru sehingga berdarah dan luka. Jika saya ingin membuang air kecil, bahagian berkenaan juga akan terasa pedih.
Rasa kegatalan itu berlaku dengan sangat kerap dan bahagian vagina saya juga kerap mengeluarkan bau yang menyengat.
Warna keputihan saya pula menjadi kuning pekat dan keluar dalam kuantiti yang tidak seimbang, kadangkala banyak, kadangkala sikit tetapi tidak pernah pula berwarna hijau.

Kes 2

Saya berusia 22 tahun. Masalah yang saya hadapi sekarang adalah keputihan yang berlebihan sehinggakan saya tidak mampu menahan bau keputihan tersebut.
Saya menghadapi masalah ini sejak saya belum datang haid lagi. Setelah datang haid, masalah ini semakin menjadi-jadi sehinggakan saya segan berada berhampiran dengan kawan-kawan, sama ada kawan lelaki mahupun perempuan.
Kadangkala saya sendiri berasa rimas dan tidak selesa dengan masalah ini. Macam-macam jenama pencuci sulit wanita telah saya cuba tapi masalah sama tetap berterusan.
Kadangkala, bau keputihan saya menjadi lebih teruk kerana salah memilih pencuci sulit wanita. Apa yang patut saya lakukan untuk mengurangkan masalah ini?

Kes 3

Saya seorang wanita yang telah pun berumah tangga dan sering mengalami lelehan cecair putih pada faraj. Apa yang membimbangkan saya, masalah ini telah menyebabkan ketidakselesaan melakukan hubungan intim bersama suami saya.
Keputihan merupakan lelehan daripada vagina yang keluar daripada kuantiti biasa (banyak). Berdasarkan beberapa kes ini, kita dapati masalah ini bukan sahaja dialami oleh wanita yang sudah berkahwin, bahkan gadis remaja turut mengalaminya.
Lelehan ini merupakan perkara normal yang mungkin dialami kebanyakan wanita tetapi jika ia berlaku luar daripada jangkaan, masalah ini menganggu kehidupan seharian.

Menurut Pakar Runding Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pantai, Ampang, Selangor, Dr Suhaimi Isa, keputihan terdiri daripada dua jenis iaitu fisiologi (normal) dan patologi (tidak normal).

Langsing apabila metabolik lancar

Saya bertemu Nina tiga bulan lalu. Pada masa itu berat badan beliau adalah 82 kilogram. Sebagaimana orang orang gemuk yang lain, Nina berwajah sembap dan berpipi montok. Bila tersenyum matanya seolah-olah tertutup oleh pipi yang terlalu montok itu. Nina juga mempunyai garis hitam di bawah mata. Kulit Nina juga meskipun tiada jerawat dipenuhi pigmentasi yang tebal di sana sini. Ketiaknya kehitaman. Kulit di lipatan siku dan paha juga kehitaman. Nina mengadu lehernya turut menjadi hitam. Kulit pada perut dan badan juga menjadi semakin gelap. Bentuk tubuh Nina besar dari atas ke bawah. Lengannya melendut dan berlemak.
Nina sentiasa memakai jubah yang besar. Dia juga terpaksa berhati-hati memilih tudung demi menutup bentuk wajahnya yang terlalu bulat itu.

Menurut Nina masalah berat badan yang dihadapi bermula selepas habis sekolah rendah. Semasa di universiti berat meningkat dengan banyak sekali. Meskipun Nina tidak makan banyak namun berat badannya tidak pernah menurun. Bila berdiet berat badan menurun sedikit namun kemudiannya naik dengan banyak sekali. Hal itu membuatkan Nina serik dan putus asa untuk mengamalkan sebarang diet. Nina sering berasa lemah dan kerap demam. Oleh itu dia jarang mahu keluar ke mana-mana. Sekiranya dia membuat aktiviti yang berlebihan dia akan menjadi lemah seakan-akan demam. Nina juga takut mahu tidur lewat kerana dia akan demam keesokan harinya. Apabila demam dia tidak mampu pergi kerja. Justeru Nina dianggap sebagai seorang yang lemah, tidak aktif dan pemalas oleh kawan-kawannya.

Rokiah pula seorang suri rumah. Selepas kelahiran cahaya mata pertama beratnya naik mendadak dan tidak mampu turun lagi. Wajahnya bulat dan lemak menggeleber di bawah dagu. Bahagian belakang tubuhnya juga berlemak dan lengannya menjadi terlalu besar. Coli menjadi ketat dan tubuh mula melebar. Kesemua baju baju lama tidak dapat dipakai lagi. Yang merisaukan Rokiah tubuhnya semakin membesar tahun demi tahun. Saiz bajunya terpaksa diubah saban tahun. Sejak akhir-akhir ini beliau merasa terlalu letih. Jirannya Siti mengajak Rokiah berjoging bagi menguruskan badan namun Rokiah merasa terlalu letih untuk mengikutinya. Setiap langkah terasa berat dan sukar sehingga akhirnya Rokiah membuat keputusan untuk berhenti bersenam. Anehnya apabila berehat dia tidak berasa hilang keletihan itu. Akibat nya Rokiah gemar berbaring selepas membuat kerja-kerja rumah. Segala kerja yang memerlukan tenaga sukar dilakukan oleh Rokiah. Beliau terasa mudah bosan dan tertekan. Suaminya berasa hairan melihat isteri yang sering ceria menjadi murung. Dia cuba membawa Rokiah berjalan-jalan namun isterinya masih lagi tidak berubah. Apabila bertemu saya Rokiah memberitahu dia berasa sukar mengendalikan suasana di sekelilingnya. Satu perkara yang diminatinya hanyalah mengadap facebook dan mendengar radio. Dia bencikan suasanan yang menyebabkan dia perlu berinteraksi dengan orang lain. Dia lebih senang berdiam diri dan menjadi pemerhati sahaja.

Dalam rawatan obesiti, simptom-simptom sebegini adalah fenomena yang melanda golongan yang mempunyai kadar metabolik rendah.

Batuk pagi, malam tanda asma

BATUK antara penyakit yang sering di pandang ringan. Ada yang menganggap ia kurang berbahaya termasuk yang dialami di kalangan kanak-kanak.

Tetapi ibu bapa perlu sedar, ia mungkin merupakan petanda awal asma atau lelah terutama apabila anak-anak sering batuk pada waktu malam.

Biasanya penyakit asma di kalangan kanak-kanak bermula dengan batuk berpanjangan di waktu malam dan awal pagi.

Pakar Kanak-kanak, Hospital Perubatan Pantai, Dr. Amir Mohd. Nor memberitahu, asma sememangnya biasa berlaku pada kanak-kanak yang mana ia akan hilang apabila mereka meningkat dewasa.

''Dalam keadaan ini, mereka selalunya berkahak yang boleh menyebabkan batuk dan muntah. Sesetengah kanak-kanak juga mudah berhingus atau hidung berair pada waktu malam," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Secara umumnya menurut Dr. Amir, asma berlaku apabila salur pada paru-paru sempit atau tersumbat.
''Di sini, udara yang beroksigen akan menyerap ke salur darah dan menyebabkan kandungan oksigen dalam darah tinggi.

"Apa yang dimaksudkan dengan asma ialah keadaan di mana salur paru-paru kecil (bronchiol) menjadi radang sekali gus menyebabkan salur paru-paru tersebut sempit," terangnya lagi.

Secara klasiknya, asma menyebabkan kanak-kanak akan mengalami batuk berterusan, nafas berbunyi dan semput. Biasanya batuk yang dialami kanak-kanak itu adalah basah dan berkahak.
Bagaimanapun, terdapat sebahagian daripada kanak-kanak yang tidak mempunyai tanda-tanda klasik tersebut.

Monday, December 27, 2010

Wednesday, December 15, 2010

Kartun...

Ia mengingatkan na sesuatu :)


 


 

Friday, December 3, 2010