Sunday, February 12, 2012

Kuat Dengkur Isyarat Bahaya

TIDAK dinafikan, berdengkur memang mengganggu tidur dan ketenangan orang lain tetapi kadang kala ia melucukan terutama apabila ia berirama serta bersahut-sahutan antara lebih seorang kaki dengkur. Situasi itu boleh kita lihat jikalau dalam perjalanan jauh menaiki bas, kereta api mahupun kapal terbang.

Walaupun ia dianggap perkara lumrah terutama di kalangan lelaki, masalah itu tidak seharusnya dipandang ringan kerana jika berlarutan, ia petanda seseorang itu terdedah penyakit berbahaya seperti darah tinggi, sakit jantung dan diabetes.

Berdengkur menyebabkan seseorang itu tidak lena tidur malam dan sering berjaga pada waktu malam kerana pernafasan tersekat. Akibatnya, individu terbabit keletihan sehingga sanggup mengorbankan waktu makan tengah hari semata-mata untuk membayar ‘hutang tidur’.

Perunding Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Peru- batan Taman Desa, Dr Khairuzzana Baharudin, berkata berdengkur adalah satu gejala dan jika semakin teruk boleh membawa masalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) iaitu laluan udara dari hidung dan mulut tersekat.

Bagi kanak-kanak, dengkuran disebabkan hidung tersumbat atau alahan, bengkak pada tonsil dan adenoid (daging berlebihan seperti tonsil di belakang hidung).

Masalah menjadi lebih teruk jika terdapat masalah jangkitan kuman di hidung dan tekak seperti selesema. Ada juga kanak-kanak yang berdengkur sejak dilahirkan kerana peti suaranya belum matang. Bagi orang dewasa, berdengkur terjadi disebabkan masalah di hidung.

FAKTOR PENYEBAB

•Alahan
•Tulang hidung yang bengkok
•Masalah tisu berlebihan di anak tekak
•Obes
•Alkohol
•Kesan pengambilan ubat yang boleh membuatkan seseorang tertidur
•Kedudukan tidur yang terlentang
•Tonsil yang bengkak

LANGKAH PENCEGAHAN

•Jaga berat badan dengan mengekalkan Indeks Jisim Tubuh (BMI) kurang 22
•Tidur mengiring
•Berhenti merokok
•Jauhi minuman beralkohol
•Ubat tidur

RAWATAN

•Diagnosis - lakukan skor untuk mengetahui tahap dengkur.
•Masukkan kamera dari hidung ke peti suara untuk melihat tahap serius dengkuran pesakit.
•Hantar pesakit ‘sleep study’ - ada mesin yang mengesan dengkuran ketika pesakit tidur. Ia mengesan pergerakan tangan, kaki dan oksigen di dalam badan dan gelombang otak sewaktu tidur.

Bersandarkan keputusan ‘sleep study’, doktor boleh mengetahuikan sama ada pesakit mengalami masalah OSA atau ‘central’. Jika masalah itu berpunca daripada central (paru-paru atau otak), pesakit tidak boleh dibedah.

Pembedahan dilakukan bergantung kepada punca yang menyebabkan dengkuran. Terdapat sejenis mesin yang membantu membekalkan oksigen untuk mereka yang obes atau tidak mahu menyelesaikan masalah itu menerusi pembedahan.

Antara pembedahan dilakukan ialah ‘pillar implant’ iaitu bagi meluaskan sedikit ruang di antara lelangit dan lidah, pembedahan tonsil, pembedahan ke atas lelangit atau pembedahan hidung seperti septoplasty untuk meluruskan tulang hidung.

Menurut Dr Khairuzzana, mereka yang berdengkur mengalami kering tekak apabila bangun tidur disebabkan bernafas daripada mulut. Mereka juga mudah tertidur pada waktu siang dan dada mudah berdebar-debar dan cepat marah kerana letih.

Masalah berdengkur boleh membawa kepada kemalangan kerana orang berdengkur tidak mendapat tidur berkualiti. Ketika memandu, mereka mudah terlelap terutama ketika berhenti di lampu isyarat.

Ia turut menjejaskan hubungan kelamin suami isteri berikutan salah seseorang mudah penat padah tiada tidur yang berkualiti. Ada juga yang mengambil keputusan tidur berasingan kerana tidak tahan mendengar bunyi dengkuran pasangannya.

Sementara itu, sering mengantuk dialami pesakit boleh menjejaskan kerja di pejabat manakala pelajar tidak dapat menumpukan perhatian di dalam kelas.

Epworth Sleepiness Scale (ESS) dilakukan untuk mengukur mengantuk waktu siang menggunakan soal selidik. Ini boleh membantu dalam mendiagnosis gangguan tidur. Skor dibahagikan kepada 0 (tidak tidur), 1 (ada kemungkinan akan tertidur), 2 (mudah tertidur) dan 3 (kemungkinan besar akan tertidur).

Skor keadaan berikut:

1) Ketika duduk dan membaca.

2) Ketika menonton televisyen.

3) Duduk bersahaja di tempat awam.

4) Duduk sebagai penumpang kereta tanpa berhenti.

5) Baring berehat pada waktu tengah hari.

6) Duduk dan bercakap dengan seseorang.

7) Duduk berseorangan selepas makan tengah hari tanpa pengambilan alkohol.

8) Di dalam kereta, berhenti selama beberapa minit ketika kesesakan lalu lintas.

Sekiranya skor berkenaan melebihi sembilan, seseorang itu dinasihatkan berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan. Ini kerana, bagi orang yang normal, jumlah skor akan kurang daripada lapan manakala kadar sewajarnya ialah enam.
 
Sumber

Leher Bengkak Tanda Kanser

Ia bukan jenis kanser yang popular dan sering diperkatakan seperti kanser paru-paru, payudara mahupun usus besar. Namun, kanser kepala dan leher yang kurang diberi perhatian sebenarnya penyakit yang lazim dihadapi penduduk di negara ini serta Asia Tenggara.

Kanser kepala dan leher merujuk jenis kanser yang menyerang bahagian tertentu, antaranya leher, hidung dan rongga mulut (lidah, lantai lidah dan air liur, tonsil di tekak dan peti suara).

Pertumbuhan sel tidak normal yang mengambil masa lama untuk berkembang biak itu disebabkan faktor luar kawalan seperti genetik, usia dan jantina manakala faktor penyumbang ialah gabungan tabiat gaya hidup seperti pemakanan, merokok dan minum arak.

Pakar Perunding Telinga, Hidung dan Tekak Pusat Perubatan Prince Court, Dr Yeo Sek Wee, berkata kira-kira 90 peratus punca kanser kepala dan leher ialah Squamous Cell Carcinoma.

“Mereka yang ada ahli keluarga menghidap kanser kepala dan leher terdedah risiko mendapat penyakit yang sama. Faktor gabungan yang meningkatkan risiko ialah tabiat suka memakan ikan masin, makanan diawet dan makanan dalam tin selain merokok dan minum arak. Penyakit itu juga boleh berpunca daripada virus Epstein Barr (EPV),” katanya.

Menurutnya, bukan semua pesakit mengalami bengkak di leher mendapat penyakit kanser kerana mungkin disebabkan penyakit lain. Namun, kira-kira 90 peratus sebab bengkak di bahagian itu berpunca daripada kanser. Endoskopi hidung perlu dilakukan untuk melihat sama ada terdapat ketumbuhan di belakang hidung bagi mengesahkan ia kanser.

Kira-kira 10 hingga 20 peratus pesakit mungkin mengalami hidung tersumbat atau pendarahan. Kanser ini sangat sensitif dan jika dikesan lebih awal, rawatan menggunakan radioterapi dapat mematikan sel pembunuh senyap itu.

Penyakit biasa dialami mereka berusia 30 hingga 50 tahun itu juga boleh menyebabkan pendengaran berkurangan akibat halangan ketumbuhan.

Jika pesakit mengalami bengkak di leher, kanser berkenaan berada di tahap satu atau dua. Kanser berkenaan boleh merebak ke otak dan jika ini berlaku, pesakit mengalami penglihatan berbayang/bertindih atau kabur kerana kerosakan saraf. Kanser pada tahap tiga dan empat pula boleh menyebabkan sel berkenaan merebak ke anggota badan lain seperti paru-paru dan tulang.

Kanser kepala dan leher banyak dihadapi penduduk di China tenggara, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Kanser pada rongga mulut atau lidah boleh terjadi kerana kelemahan dalam penjagaan kebersihan gigi dan gusi. Gigi yang pecah dan mempunyai serpihan tajam boleh melukakan lidah dan kesakitan berpanjangan seterusnya menjadi kanser lidah. Kanser lidah juga mungkin terjadi disebabkan tabiat suka makan hidangan panas terutama di kalangan kaum Cina dan Melayu.

Ulser yang berlarutan dalam tempoh agak lama biarpun sudah diberi rawatan antiobiotik memberi petanda kemungkinan seseorang itu mengalami kanser rongga mulut atau bahagian dalam pipi.

Bagi kaum India pula, tabiat mengunyah sirih, pinang dan gambir mendedahkan mereka kepada kanser di bahagian lompang pipi. Ia boleh merebak ke gusi dan bawah lidah.

Kanser air liur bukan berpunca daripada squamous cell tetapi disebabkan Human Papilloma Virus (HPV). Setiap individu mempunyai tiga pasang kelenjar air liur utama di bawah lidah dan di belakang rahang iaitu parotid, sublingual dan submandibular.

Kanser kelenjar air liur di pipi (parotid cancer) boleh dikesan melalui satu ketumbuhan/benjolan di bawah pipi. Bagaimanapun, ada juga kanser jenis ini yang tidak dapat dikesan awal kerana benjolan berlaku di bahagian dalam.

Kanser air liur di bawah lidah (submandibular cancer) disebabkan pleomorphic adenoma. Bagaimanapun, punca sebenar kanser itu tidak diketahui dan ia tidak boleh merebak ke bahagian tubuh lain sebaliknya berupaya merosakkan saraf.

Pada tahap satu dan dua, kadar kejayaan rawatan untuk menyembuhkan penyakit ini ialah 80 peratus manakala pada tahap empat kadar kejayaan sebanyak 10 peratus.

Rawatan dilakukan dengan pembedahan membuang ketumbuhan dan bengkak di leher manakala radioterapi untuk tahap kanser yang lebih teruk. Bagi kanser parotid, keseluruhan kelenjar pesakit akan dibuang.

Pesakit digalakkan membuat radioterapi dan kemoterapi. Sekiranya rawatan awal tidak dilakukan, kanser yang kronik boleh menyebabkan saraf muka lumpuh hingga muka pesakit senget sebelah.

Kanser tonsil di tekak boleh dijangkakan sekiranya bahagian tekak sebelah kanan dan kiri tidak sama besar. Walaupun kanser ini jarang berlaku, ia boleh merebak ke leher.

Kanser peti suara, lazimnya dihadapi golongan warga emas. Kanser ini mudah dialami perokok tegar juga yang merokok selama bertahun-tahun ataupun mereka yang gemar minum arak. Gejala kanser ini ialah suara pesakit tidak jelas. Pada tahap empat, kanser boleh merebak ke leher.

Untuk kanser peti suara tahap satu dan dua, rawatan dilakukan ialah laser radioterapi. Kadar penyembuhan bagi kedua-dua kaedah rawatan ini ialah 80 peratus.

Pada tahap satu, pesakit yang menjalani pembedahan mempunyai suara yang tidak jelas. Pada tahap empat atau yang lebih kronik, rawatan ialah dengan prosedur membuang peti suara diikuti radioterapi selepas pembedahan. Bagi membolehkan pesakit bercakap seperti sedia kala, peti suara tiruan dinamakan voice prosthesis digunakan.

FAKTOR

1. Genetik - ada sejarah keluarga yang menghidap kanser.

2. Pemakanan - kaum Cina dan Melayu. Tabiat: antaranya makanan dengan pengawet, makanan dalam tin, ikan masin.

3. Merokok.

4. Virus Epstein Barr (EPV).

GEJALA

1) Majoriti mengalami bengkak di leher.

2) Paraneoplastic neurological syndromes (PNS) - bengkak di belakang hidung yang dikesan menggunakan endoskopi.

JENIS KANSER KEPALA DAN LEHER

1) Leher

2) Hidung

3) Rongga mulut

Sumber

Sakit Perut Petanda Awal Endometriosis

PERHATIAN kepada golongan wanita. Adakah anda sering sakit perut, pinggul, kitaran haid tidak teratur dan sakit sewaktu melakukan hubungan seksual? Jika jawapan anda ya, ia mungkin disebabkan penyakit endometriosis.

Ketika ini, pelbagai tafsiran dibuat mengenai penyebab penyakit itu, namun punca sebenar masih belum diketahui. Yang pasti, endometriosis menyerang wanita tanpa disedari.

Perunding Obstetrician dan Pakar Sakit Puan Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr Dharmini Veerakumaran berkata, endometriosis adalah satu keadaan luar biasa yang mana tisu daripada selaput dalam rahim yang digelar endometrium tumbuh di bahagian yang tidak sepatutnya iaitu di luar rahim.

Selaput ini biasanya hadir bersama darah haid. Oleh itu campuran darah daripada rahim dengan tisu yang berkecai daripada lapisan endometrium serta bakteria yang digelar sebagai darah haid.

“Ramai wanita masih tidak mengetahui penyakit ini sedangkan mereka menghadapinya. Antara simptom yang biasa berlaku apabila diserang penyakit ini adalah sering keguguran, mandul, senggugut selain boleh menyebabkan masalah pendarahan, kesakitan dan gangguan air kecil.


“Sehingga kini punca sebenar penyakit endometreosis masih belum diketahui, namun ada teori mengatakan ia berpunca daripada darah haid yang berundur ke belakang dan membawa bersama tisu endometrium menyebabkan ia tumbuh pada pelvis dan berdarah seperti mana kitaran haid,” katanya sewaktu ditemui di pusat perubatan itu, baru-baru ini.

Menurutnya, ada juga yang menyatakan ia tersebar melalui darah ke pelbagai bahagian lain di dalam badan. Ia juga mungkin membabitkan mekanisma lebih kompleks, yang mana wujud interaksi tidak normal pada peringkat sel dan perubahan hormon.

Endometriosis juga kerap terjadi pada wanita dalam lingkungan umur lewat 20-an dan 30-an, juga kepada wanita yang tidak pernah melahirkan anak. Endometriosis memiliki komponen genetik iaitu jika seseorang wanita yang mengalami endometriosis mempunyai saudara terdekat, ada kemungkinan saudaranya itu turut mengalaminya.

Jelasnya, endometriosis turut memberi kesan kepada tahap kesuburan wanita. Dalam keadaan normal, lapisan endometrium hanya ada pada dinding rahim manakala bagi kes endometriosis, lapisan tisu itu dijumpai pada kawasan badan lain, terutama di dalam pelvis seperti ovari, salur Fallopio, permukaan rahim, sekitar pelvis, usus, rektum dan pundi kencing.

Ia boleh juga dijumpai di bahagian yang lebih jauh pada tubuh, termasuk paru-paru dan hati, tetapi sangat jarang berlaku.

“Meskipun tisu endometrium berada di luar kawasan yang sepatutnya, ia masih responsif terhadap perubahan hormon yang berlaku ketika kitaran haid wanita.

“Seperti haid, tisu endometriosis akan gugur dan berdarah, begitu juga dengan cara sama dengan dinding rahim yang akan gugur dan berdarah ketika kitaran haid.

“Tisu yang gugur dan berdarah di sekitar organ pelvis akan menyebabkan parut dan organ lain yang berhampiran melekat antara satu sama lain.

“Jika tiada rawatan dan tidak dikesan lebih awal, ia akan menyebabkan struktur organ pelvis beralih dari kedudukan normal,” katanya yang berharap golongan wanita akan lebih peka terhadap penyakit ini.

Sebagai contoh paling kerap berlaku, kedudukan ovari yang melekat pada uterus akan menyebabkan salur Fallopio berjauhan daripada ovari dan jika berlaku ovulasi, telur tidak dapat dicapai salur fallopian dan persenyawaan tidak akan berlaku.

Dalam kes lebih serius, kerosakan mendalam pada salur Fallopio menyebabkan ia tersumbat, rosak dan kemandulan akan berlaku.

Ovari yang ditumbuhi endometriosis pula akan mengumpul darah ketika kitaran haid dan berlakulah ovarian cyst yang mengandungi darah, iaitu seakan-akan seperti coklat cair di dalamnya.

Jika keseluruhan ovari diselaputi oleh endometriosis, ovari tidak dapat lagi berfungsi dengan normal dan gagal melepaskan telur disebabkan folikel terperangkap oleh parut pada bahagian permukaan ovari.

Endometriosis juga boleh menjejaskan kesuburan dengan melepaskan bahan kimia beracun pada pelvis. Jika telur berjaya dilepaskan juga daripada ovari, bahan kimia ini boleh mengurangkan kemampuan telur untuk disenyawakan.

Bahkan, ia juga boleh memberikan petunjuk kepada sel pemusnah badan untuk melemahkan telur, sperma dan juga embrio menyebabkan janin kurang sihat dan keguguran senang berlaku.

Apakah gejala endometriosis?

•Sakit pada bahagian pelvis antara gejala utama dan ia kerap terjadi sebelum kitaran haid bermula lagi. Sakit juga kerap terasa ketika melakukan hubungan seks, membuang air kecil atau air besar.
•Bagaimanapun, kekerapan dan intensiti rasa sakit sebenarnya tidak berkait dengan keseriusan penyakit dialami. Sesetengah wanita mungkin mengalami sakit keterlaluan, tetapi endometriosis mungkin masih pada peringkat awal dan mereka yang tiada gejala atau sakit yang ringan mungkin berada pada tahap endometriosis teruk.
•Dalam kebanyakan kes, endometriosis gagal didiagnos pada peringkat awal hinggalah wanita berkenaan berjumpa doktor disebabkan kegagalan untuk hamil kerana kebanyakan pesakit tidak mempunyai tanda atau gejala.

Bagaimana diagnosis dilakukan?

Doktor selalunya akan mengambil sejarah perubatan terperinci dan melakukan pemeriksaan fizikal, termasuk pemeriksaan faraj dan ultra sound. Jika mengesyaki kemungkinan wanita itu mengalami endometriosis, doktor mungkin menyarankan pembedahan laparoskopi untuk melihat keadaan bahagian dalam ruang pelvis.
Rawatan

Rawatan untuk endometriosis bergantung pada sejauh mana penyakit, gejala dan keinginan pesakit untuk memiliki anak. Endometriosis boleh dirawat dengan ubatan, pembedahan atau kedua-duanya sekali.

Sumber

Wednesday, February 1, 2012

Terima Kasih Terima Kasih......

Terima kasih kepada yang memberi nasihat kepada na untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD...ermm, yup memang lama na berehat....semakin lama semakin na berminat ke arah lain..Kerja?...Lom lagi.....so memang patut na buat sesuatu kan...

adakah ia terbaik?...Hanya Allah jek yang tahu...na berdoa supaya sentiasa mendapat terbaik, membuat perkara yang berfaedah dan yang penting mendapat restu Allah,mak dan abah...