Thursday, April 7, 2011

Telur Ayam Tiruan: Telur ayam di Pasar Pulau Tikus dirampas

GEORGETOWN: Sepasukan pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini merampas 270 biji telur ayam di tiga gerai di Pasar Awam Pulau Tikus, di sini.

Pemeriksaan pada 10.30 pagi itu dibuat berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) semalam mengenai telur ayam tiruan selepas aduan seorang pembeli yang dipercayai membeli telur itu.

"Kami merampas 90 biji telur ayam dari setiap gerai untuk dihantar ke makmal bagi menjalani ujian untuk menentukan kesahihan telur itu sama ada ia telur sebenar atau tiruan," kata Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK M Gunaselan. Bercakap kepada pemberita di sini, hari ini beliau berkata telur ayam yang dirampas itu dijual dengan harga 35 sen hingga 38 sen sebiji di pasaran tempatan.

Gunaselan berkata, pihak penguatkuasa akan bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi membantu siasatan kes itu.

Sementara itu, seorang peniaga Lim Siew Eng, 85, berkata dia terkejut dengan dakwaan berkenaan sehingga pihak penguatkuasa melakukan pemeriksaan di gerainya pagi ini.

"Saya sudah 50 tahun menjual telur ayam di sini dan hingga kini tidak pernah menerima aduan atau rungutan daripada pelanggan...ini kali pertama gerai saya diperiksa.

"Sejak berniaga di sini, saya langsung tidak tahu mengenai hal ini kerana saya mendapat bekalan telur ayam daripada seorang pembekal di Pasar Jalan Anson di sini. Saya tidak pernah mendapatkan bekalan dari tempat lain," katanya.

Semalam, CAP menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur ayam yang didakwa tiruan pada harga RM11 di pasar itu. Telur tiruan itu dikatakan mempunyai saiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar. - BERNAMA

Sumber

No comments:

Post a Comment