Tuesday, April 19, 2011

Info Student : First Class Dunia Akhirat

Assalamualaikum wbt...

Bersyukur ke hadrat Illahi dengan limpah nikmat kurniaan iman dan Islam, telah Allah beri kesempatan untuk saya berkongsi ilmu. Alhamdulillah pejam celik kita sudah tiba ke minggu mengulangkaji pelajaran.

Namun ada juga yang masih sibuk dengan kelas ganti dan membuat persiapan pembentangan projek subjek. Tidak lupa juga ada yang sedang sibuk mengumpul  kertas, nota-nota sem lepas. Begitulah senario persekitaran universiti bila tiba peperiksaan akhir. 

Tidak lupa juga kesibukan pensyarah-pensyarah dan para penyelia melayan karenah pelajarnya yang sibuk membuat temu janji untuk mendapatkan tips-tips dan mendengar serta menilai keseluruhan projek dan kertas-kertas ujian untuk di masukkan dalam sistem pemarkahan carry mark.

Sungguhpun kita dalam kesibukan, sebagai mahasiswa/i muslim jangan sesekali meninggalkan tanggungjawab sebagai Hamba Allah, anak yang soleh/solehah kepada ibu bapa dan sebagai ahli masyarakat. Belajarlah bersungguh-sungguh, bak kata orang putih “don’t study hard, but study smart”. Betulkan niat dengan menjawab persoalan-persoalan berikut, Kenapa kita belajar? Untuk apa kita belajar? Untuk siapa? 
Dan semuanya pasti pada akhirnya semata-mata mencapai keredhaan Allah.


           Oleh yang demikian disini saya ingin berkongsi 6 sifat yang perlu kita ikuti dengan istiqamah bagi memperoleh kejayaan seterusnya diberkati dan diredhai Allah. Begitu juga dalam memiliki syurga Allah, ketahuilah syurga Allah itu hanya dimiliki oleh orang-orang yang diredhai Allah SWT dan diberi rahmat olehNya, bukannya dengan banyaknya amalan yang kita lakukan. 6 sifat ini saya perolehi daripada Ukhti Ummu solihin semasa program yang HELWI PMI anjurkan iaitu “Diskusi Bersama First Class”.

Antara sifat-sifat itu adalah:

  • 1.       Taat pada perintah Allah SWT dan amalkan sunnah Rasulullah SAW – kerana hanya Allah SWT yang mempu untuk mengurnian kepada kita sebesar-besar kejayaan. Jaga hubungan dengan Allah serta yakin dengan kalimah “tiada Tuhan selain Allah”. Sebarkan kejayaan yang kita peroleh kerana semua Allah yang beri. Orang-orang yang mengamalkan sunah Rasulullah tidak kira perbuatan, akhlah dan pergaulan dialah orang yang berjaya.

  • 2.       Khusyuk dalam solat dan tawaduk dalam melakukan amal kebajikan – kusyuk dalam solat tidak seperti kita berpuasa, jika dengan puasa kita dapat rasa kelaparan itu, namun jika solat yang kita lakukan tanpa kekusyukan ia tidak beri kesan apa-apa pun, jadi cubalah untuk mencapai kusyuk dalam solat. Jika dalam study kita boleh fokus dengan tajuk-tajuk yang masuk final kenapa dalam solat kita tidak boleh? Fikir-fikirkan dan renung cubalah insyaAllah kekhusyukan itu dapat kita perolehi. Paling penting jaga tahajud kerana ciri-ciri orang yang berjaya disisi Allah SWT ialah golongan yang tidak meninggalkan solat sunat tahajud. Salah satu fadilat bila tahajud seseorang diterima Allah, pada hari tersebut ia sangat segar dan cerdas berbanding orang-orang yang tidur lebih lama. Tak percaya cubalahJ

  • 3.       Sentiasa berzikir dan bersungguh dalam menuntut ilmu – Allah meniggikan kedudukan orang-orang yang menuntut ilmu kerana mencari redhaNya. Begitu juga dengan amalan zikir, kerana zikir itu senjata orang mukmin. Amalkan  Zikir 100 kali setiap pagi dan petang, selawat keatas Nabi SAW junjungan Mulia, dan banyakkan beristighfar. Sikit-sikit tapi selalu, ala bisa tegal biasa.

  • 4.       Banyak muliakan orang-orang Islam – tunaikan hak orang lain, hormat ibu bapa, jaga percakapan, memuliakan pensyarah, suka tolong orang lain, bersangka baik dengan sahabat, buat kebaikan pada orang-orang islam walau dia tiada kedudukan sekalipun, dan pastikan sentiasa jaga kebersihan dan selalu kemas bilik, kerana apabila bilik bersih kita akan menjadi lebih tenang untuk belajar.

  • 5.     Ikhlas dalam melakukan apa jua amalan – siapa yang ikhlas maka dia akan peroleh ganjaran yang paling besar dari Allah SWT. Surah Muhammad :7 “bila kita bantu agama Allah, Allah akan bantu kita....”. Apabila ada masalah jangan cerita dengan orang lain, tapi ceritalah dengan Allah. Orang-orang yang ikhlas terpancar cahaya pada wajahnya. 

  • 6.       Mujahadah dan berdakwah – tahan nafsu, kerana syaitan sangat takut bila kita tahan nafsu. Ia juga dapat membantu kita memperoleh hidayah daripada Allah SWT. Jadi berusahalah kerana tiada putus asa dalam Islam. 

        
     Semoga ianya memberi manfaat dan sebati dalam diri kita sebagai orang islam dan khususnya sebagai mahasiswa/i yang memiliki ilmu yang dikurniakan oleh Allah. Gunakanlah akal dengan memilih dan berfikir yang baik demi meneguhkan agama dan diri. Semoga dengan sifat-sifat ini dapat membantu kita semua untuk menjawab peperiksaan akhir dengan tenang dan memperoleh kejayaan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat, sugguh kehidupan diakhirat itu memang benar dan kekal abadi.  

      Akhir kalam, ketahuilah juga sebagai seorang mahasiswa/i Islam “ dakwah paling besar kita adalah AKADEMIK”. Saya yakin dengan semangat yang ada pada teman-teman semua  mampu untuk melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan pesanan terakhir untuk diri saya sendiri dan teman-teman belajarlah dengan penuh pengharapan pada Allah dan ingatlah “bila kita jaga urusan kita dengan Allah SWT, maka Allah SWT akan menjaga urusan dan mempermudahkan urusan kita”. 

Semoga berjaya, “Semoga kita mencapai first class di dunia dan di akhirat”....

“Apabila kita mendoakan kejayaan orang lain, malaikat akan mendoakan kejayaan kita”- kata-kata hikmah

Penulis adalah:
Norsutriana binti Hj Babu
3 SHR
Naib Presiden II (HELWI)
Persatuan Mahasiswa Islam

No comments:

Post a Comment