kurang aktif, aktiviti fizikal mengejut sebabkan sendi, pangkal saraf terjejas
MASALAH sakit leher atau lebih dikenali ‘salah bantal’ adalah keluhan yang biasa kita dengar di kalangan masyarakat negara ini. Sakit yang ketara pada sebelah pagi dan berlanjutan sehingga lewat petang, bukan setakat menyukarkan pergerakan, tetapi mengganggu tugasan seharian selain membataskan kegiatan seperti memandu.
Malah, berdasarkan penyelidikan pengguna, satu daripada setiap empat dewasa di Malaysia mengalami sengal otot dan sendi. Apakah punca masalah ini? Berbeza daripada tanggapan ramai yang mengaitkannya dengan bantal semata-mata, masalah sakit leher ini sama ada disebabkan otot dan sendi kurang aktif atau pun kerana melakukan aktiviti mekanikal dan fizikal secara mengejut.
Gerakan paling asas seperti berjalan dan duduk sekalipun, jika dilakukan dalam adab yang tidak betul juga, lambat laun akan memberi kesan pada otot dan sendi tubuh andai dibiarkan berlarutan.
Perlu diketahui, kebanyakan pengidap sakit sendi tidak mengalami kerosakan pada sendi mereka. Sebaliknya kesakitan yang mengganggu ini mungkin berpunca daripada lapisan tisu luaran, otot, ligamen, sendi atau pangkal saraf.
Kesakitan ringan pula mungkin disebabkan oleh terseliuh atau ligamen atau otot yang terkoyak sedikit. Ini boleh disebabkan oleh aktiviti berat, mengangkat berat, postur atau kedudukan tubuh tidak elok, kecederaan atau pergerakan yang tidak betul.
Presiden Persatuan Fisioterapi Malaysia (MPA) Dr Balwant Singh Bains, menjelaskan kawasan yang paling kerap mengalami masalah ini ialah leher, bahagian atas dan bawah belakang serta sendi-sendi yang menanggung bebanan seperti lutut dan pergelangan kaki.
Sakit otot dan sendi boleh timbul daripada dorongan melampau dan atau kerja-kerja mekanikal atau fizikal yang berulang-ulang.
“Sesetengah orang mengalaminya akibat duduk atau bekerja terlalu lama di depan komputer, manakala yang lain mungkin mengalaminya selepas bersenam di gimnasium atau bersukan.
“Malah, bukanlah sesuatu yang luar biasa untuk berasa sedikit sengal otot dan sendi apabila berdiri atau berjalan terlalu lama.”
Antara punca utama kesakitan sengal sendi dan otot adalah disebabkan postur yang tidak betul. Sebagai contoh, kepala seberat 16 paun adalah bahagian tubuh yang tergantung sepanjang hayat manusia. Jika seorang individu berjalan atau berdiri secara bongkok, ia akan mengganggu postur.
“Jika seseorang berasa sakit, maknanya mereka tidak menggerakkan otot. Ini kerana otot yang tidak kerap digerakkan, lama kelamaan akan menjadikan sendi tegang dan akibatnya kita akan mula merasa sakit.
“Duduk sepanjang hari di pejabat tanpa banyak bergerak sama dengan mengundang masalah pada otot dan sendi,” katanya.
Dr Balwant berkata, mengikut kajian, lelaki dan wanita berusia 20 hingga 45 tahun lebih banyak mengalami kesakitan bahagian atas tubuh berbanding mereka dalam kumpulan usia 45 hingga 55 tahun.
“Bayangkan apa akan jadi apabila kumpulan pertama beralih menjadi kumpulan kedua. Ini bermakna ramai akan mengalami masalah leher dan sekali gus menyebabkan negara menanggung kerugian kos perubatan berjuta-juta ringgit,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, kata Dr Balwant, rakyat negara ini sememangnya bukanlah tergolong dalam kategori ‘prihatin’ diri dengan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala.
Ini ditambah pula dengan demam atau kecenderungan bermusim terhadap aktiviti sukan seperti badminton, bola sepak, kriket dan renang.
Atas alasan inilah, adalah disarankan sebelum terbabit dalam apa-apa aktiviti sukan, individu perlu mendapat pandangan dan nasihat doktor mengikut tahap kecerdasan individu.
Sementara itu, syarikat pengeluar produk farmaseutikal dan kesihatan pengguna, GlaxoSmithkline (GSK) memperkenalkan Panaflex sejenis koyok berubat berasaskan teknologi hidrogel unik, khusus bagi kelegaan sengal otot dan sendi. Selain mudah digunakan, produk ini juga mampu memberikan kesan serta merta.
Penghasilan produk itu bertepatan dengan penyelidikan GSK yang mana 45 peratus daripada mereka yang mengalami sengal otot dan sendi menggunakan kombinasi pelega kesakitan topikal dan oral selain Panadol Extend.
INFO: Tip elak sakit otot dan sendi
1. Postur- elakkan berdiri atau berjalan secara bongkok
2. Tidur atas tilam yang keras
3. Elakkan mengangkat barang berat secara membongkok
4. Kerap bersenam - elok untuk memastikan otot dan sendi berfungsi dengan lancar
5. Pastikan berat badan ideal kerana pengurangan berat badan boleh membantu
6. Amalkan rehat seketika termasuk melakukan regangan ketika memandu, berdiri atau duduk yang lama
7.Pelajari teknik menangani tekanan.
Antara kaedah menangani kesakitan sendi/otot:
1. Sakit ringan akan reda dengan langkah-langkah mudah seperti merehatkan sendi itu secukupnya contohnya menerusi penggunaan ‘splint’ (alat khas)
2. Kerap mengenakan ’cold pack’ (ais yang dilipat dalam tuala) pada sendi yang tercedera sekurang-kurangnya 30 minit untuk mengurangkan bengkak dan kemerahan (keradangan)
3. Selepas beberapa hari, guna pek sejuk dan panas secara berselang. Urut secara lembut juga boleh membantu
4. Gunakan pek panas untuk meringankan ketegangan sendi.
5. Guna ubat penahan sakit seperti paracetamol (panadol) atau ubatan jenis ubat bukan steroid anti-radang (NSAID).
6. jika paracetamol tidak melegakan. Ini boleh didapati di farmasi.
7. Guna kasut bertumit rendah
8. Andai sakit berterusan, dapatkan rawatan dengan berjumpa pakar.
SUMBER: BERITA HARIAN
No comments:
Post a Comment