Sunday, December 13, 2009

Risiko Tulang Rapuh

Kajian dapati rakyat Malaysia kurang ambil kalsium iaitu cuma 300 hingga 500 miligram sehari

TUBUH manusia memiliki 206 tulang bagi membentuk keseluruhan rangka badan. Setiap daripada tulang ini berpotensi mengalami keretakan atau patah jika anda tidak menjadikan pengambilan kalsium sebagai rutin.

Tulang yang dijaga dengan baik, tidak akan merosot kepadatannya walaupun anda sudah berusia. Wanita misalnya, memerlukan lebih banyak kalsium berbanding lelaki kerana kalsium membantu pengecutan otot, pembekuan darah dan gerakan saraf.

Wanita hamil pula memerlukan kalsium bukan saja untuk dirinya tetapi juga untuk bayi dalam kandungan. Ketika hamil, kalsium si ibu dipindahkan kepada janin sekitar 270 miligram menjelang tempoh tiga bulan terakhir kehamilan.

Sungguhpun begitu, tidak semua wanita mengambil berat mengambil pengambilan kalsium mereka. Selepas putus haid, ketiadaan hormon estrogen menyebabkan kepadatan tulang merosot mendadak. Dengan kadar jangka hayat wanita yang lebih lama berbanding lelaki, risiko tulang rapuh lebih tinggi di kalangan wanita.

Antara komplikasi tulang rapuh yang biasa ditemui adalah patah tulang pinggul dan ia adalah masalah global. Di Amerika Syarikat misalnya, kajian mendapati lebih 300,000 dimasukkan ke hospital setiap tahun kerana masalah itu.

Di negara-negara Asia pula dianggarkan kira-kira 50 peratus kes patah tulang sendi pinggul berlaku menjelang 2050. Dalam satu kajian, pengambilan kalsium di kalangan rakyat Malaysia adalah antara 300 hingga 500 miligram (mg) sehari - satu jumlah yang sememangnya tidak mencukupi.

Masalah tulang rapuh berlaku apabila tulang kehilangan mineral dan kurang padat. Ia menyebabkan tulang lemah dan mudah patah. Selain pinggul, tulang belakang dan pergelangan tangan adalah tulang yang kerap patah. Pereputan tulang berlaku lebih cepat dari dalam. Justeru, pengambilan kalsium harus ditingkatkan sejak muda. Perlu diingat, usaha mengekalkan tulang sihat dan kuat, bukan kerja yang boleh dilakukan dalam tempoh singkat seperti sehari semalam. Ia memakan masa lama dan belum terlambat bagi anda memulakannya sekarang. Kekuatan tulang bergantung pada saiz dan kepadatannya.

Kepadatan tulang diperoleh dengan bantuan kalsium yang bukan saja diperoleh daripada susu atau produk tenusu tetapi juga daripada sayur-sayuran hijau seperti brokoli dan sawi. Selain itu tingkatkan pengambilan ikan, buah-buahan, kekacang, vitamin D, zink dan magnesium.

Mengurangkan risiko tulang rapuh juga boleh dilakukan dengan meminimumkan risiko seperti tidak merokok, tidak minum arak dan mengurangkan jumlah pengambilan minuman berkarbonat serta yang mengandungi kafein.

INFO: Gejala tulang rapuh

Sakit belakang, ia boleh menjadi lebih teruk jika berlaku keretakan.
Ketinggian badan terjejas dan tubuh mula membongkok.
Keretakan tulang di pergelangan tangan dan pinggul.

‘Vitamin’ tulang

Susu dan produk tenusu
Sayur hijau seperti brokoli dan sawi
Ikan, buah-buahan, kekacang, vitamin D, zink dan magnesium

Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment