Wednesday, December 23, 2009

Hadiah Untuk Kakak Ana..."Sukarkah Meraih Solehah"

Mungkin kerna dak nung baru sahaja menjadi isteri pada 18hb Disember...so ini bagikan "hadiah" untuk nya..Maafkan dulung anung...tak dapat menyertai rombongan ke Terengganu sabtu ini,"Quantum load" masih memerlukan "perhatian" apatah lagi diri ini untuk bersedia menerima "bom atom" sebelum "quantum load" dilepaskan....maaf sekali lagi,Mulut ini tidak mampu berkata secara "direct"..mungkin kerna untuk menyimpan "air mata" bagi memadamkan api dari "bom atom"...cuma tulisan...saja...SEMOGA MENJADI ISTERI YANG SOLEHAH..SEMOGA MAMPU MEMBAHAGIAKAN SEMUA ORANG...SAYANG DARI ADIK MU...


..."Sukarkah Meraih Solehah"

Sukarnya meraih solehah. Acap kali keluhan itu keluar dari bibir merahnya. Sesekali pandangannya dilempar jauh. Bagai merenung ke satu dimensi yang hanya dia dapat mengerti.

“Mengapa ni..kak. Kakak ada masalah?” saya bertanya ramah. Senyuman menguntum agar berkurang gelodak resah.

Kami sebenarnya sering berbual bersama. Berbincang, bertukar pandangan dan mencari titik persamaan tentang pelbagai topik kehidupan. Dan biasanya, tajuk yang menjadi fokus perbincangan kami ialah pendidikan anak-anak, kehidupan suami isteri serta pahit manis alam perkahwinan.

Jarak umur yang berbeza beberapa tahun, menjadikan saya lebih mesra memanggilnya ‘kakak’ sebagai tanda hormat.

“Tidak..hanya meluah kebimbangan yang sekian lama terpendam. Terutama bila ketiadaan insan tersayang. Saat-saat berjauhan begini, kakak manfaatkan untuk memuhasabah diri sebagai isteri,” dia menjawab sambil melempar senyuman manis. Wajah yang tadi muram, mulai sedikit berseri.

“Apa yang merisaukan kakak?” soal saya. Sengaja meminta dia bercerita dan berkongsi rasa. Mana tahu ada pedoman yang dapat saya ambil manfaat darinya.

Saya membetulkan duduk. Mencari posisi selesa agar perbualan nanti berjalan lancar tanpa gangguan suasana.

MUDAH

“Bimbang melihat kadar perceraian suami isteri dalam masyarakat kita hari ini. Sudah terlalu biasa. Bermacam-macam sebab dan punca..kerana itu, kakak selalu mengingatkan diri agar apa yang terjadi pada mereka menjadi pengajaran dan ingatan,” suaranya bergetar tanda insaf dan sedar.

“Pada kakak peranan seorang isteri amat penting untuk mengekalkan hubungan yang harmoni. Namun, bukan mudah nak jadi isteri yang baik dan solehah kepada suami. Andai dibaca sepintas lalu kalam Rasulullah yang mulia, gelaran itu amat senang diperoleh. Tidaklah serumit mana. Ina ingat tak? Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sebaik-baik isteri. Lalu Baginda menjawab:

“Iaitu isteri yang menghadirkan rasa gembira kepadamu apabila memandangnya. Bila disuruh, dia patuh, menjaga rahsiamu sebaiknya dan menjaga hartamu." ( Hadis Riwayat Ahmad dan lainnya ; dianggap ‘hasan’ oleh al-Albani ).

Dan sabda Baginda juga yang bermaksud :

"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suaminya, masuklah dia ke dalam syurga melalui mana-mana pintu yang dikehendaki." ( Hadis Riwayat Ahmad )

Saya menganggukkan kepala. Memang tepat apa yang dibicara. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Baginda SAW, antara punca kebahagiaan bagi seseorang anak Adam adalah dari tiga perkara iaitu: isteri yang solehah, tempat tinggal yang selesa dan kenderaan yang memudahkan perjalanan dan pergerakannya.

TAPI

“Sayangnya ramai di antara kita yang tidak memahami dan menghadam peringatan Rasul yang mulia itu dengan sempurna,” dia menambah. Masih bernada resah pada pendengaran saya.

“Maksud kakak?” saya membalas tanya.

“Banyak peranan seorang isteri yang perlu kita muhasabah kembali. Lihat sahaja..tentang menjaga rahsia suami. Berapa ramai wanita hari ini yang dapat menyimpan rahsia suami dengan erat. Sungguh menyedihkan, masalah rumahtangga sering dijadikan tajuk cerita bersama teman-teman sekerja...” tuturnya kecewa.

“Ya..betul tu kak. Ramai yang beralasan, mereka sekadar ingin meluah rasa dan meminta nasihat sepatah dua...” saya mengiyakan butir katanya.

“Ya..itu ada benarnya dan berkonsultasi tentangnya memang dibolehkan dalam agama. Meminta nasihat daripada orang yang boleh dipercayai, baik akhlak dan mampu menjaga rahsia. Tetapi apa maknanya jika masalah tersebut diketahui bukan seorang dua..tetapi seramai yang berada di tempat kerja? Ada yang boleh ketawa lagi bercerita perihal rumahtangga mereka. Bukankah itu sudah membuka aib suami dan diri sendiri?

Seorang isteri yang menjaja keburukan suami, di mana lagi rasa hormatnya kepada ketua rumahtangga? Sudah tentu isteri yang begini tidak akan mampu berada di depan suami dalam keadaan ceria dan menceriakan suami yang memandangnya?” bertalu dia melontarkan persoalan yang membuka lagi kesedaran saya.

“Lebih malang, jika masalah bersama suami didedahkan kepada rakan sekerja lelaki dan akhirnya mereka jatuh dalam perangkap cinta ’gelap’ tanpa disedari. Kononnya cinta itu lahir dari rasa ‘ambil berat’, ‘perhatian’ dan ‘kesudian si lelaki mendengar luahan hati, “ saya menambah isi.

SOLAT DAN PUASA

Sungguh benar persoalan yang diketengahkannya. Itu belum lagi menyentuh tentang solat dan puasa. Pada saya, seorang wanita dan isteri belum layak bergelar solehah jika dalam melaksanakan kedua-dua ibadah ini mereka masih bermasalah.

Ada sebahagian yang melengah-lengahkan solat dengan pelbagai sebab yang tidak sepatutnya dijadikan alasan hingga solat tergadai. Terutama kepada kaum perempuan yang masa kitaran haid mereka sudah hampir sampai. Golongan ini harus lebih peka dan beringat dengan masa yang ada. Jika mereka melambat-lambatkan solat, dibimbangi ketika masuk waktu sedang mereka masih sibuk dengan pelbagai urusan.

Ibadah wajib yang wajar didahulukan, ditangguh-tangguh hingga hampir ke pengakhiran. Ketika mahu mengerjakan solat, didapati darah haid telah pun keluar. Sayang sekali. Solat yang sepatutnya boleh dikerjakan secara ‘tunai’, terpaksa diqada’ dan diganti setelah suci dek kerana lalai dan cuai.

Tidak kurang juga, ada yang terlalu obses dengan kerja hingga solat dilakukan secara tergesa-gesa. Allah SWT berfirman, mengingatkan tentang kemurkaan-Nya ke atas mereka yang melalaikan tanggungjawab sebagai hamba, bermaksud :

“Maka celakalah orang-orang yang solat, iaitu orang-orang yang lalai dari solatnya” (Al-Mau’n ayat 4 dan 5 )

Lalai yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah tiadanya konsentrasi dan kekhusyukan selama melaksanakan solat. Keadaan ini merupakan suatu kerosakan yang besar bagi seorang mukmin. Dan dalam konteks seorang wanita dan isteri, ia boleh memberi kesan buruk terhadap pelaksanaan-pelaksanaan lain agamanya.

Demikian juga dengan ibadah puasa Ramadhan yang hadirnya hanya sebulan. Atas rahmat dan kasih sayang-Nya, kaum wanita yang didatangi haid atau berada di dalam nifas, gugur ke atas mereka kewajipan berpuasa Ramadhan.

Begitu juga dibenarkan kepada wanita-wanita hamil dan menyusu anaknya untuk tidak menunaikan puasa. Namun, ramai yang terleka dengan nikmat kemurahan Ar-Rahman. Puasa yang ditinggalkan, mengambil masa yang lama untuk diganti semula. Hari berganti hari, minggu berganti bulan. Sehingga akhirnya, Ramadhan tiba kembali, puasa itu masih juga belum berganti. Sekali lagi, cuai...lalai.

Lalu, bagaimana mungkin keadaan-keadaan ini mampu membawa pelaksananya meraih gelaran solehah di sisi Ilahi?

SUKARKAH MERAIH SOLEHAH?

“Tepuk dada, tanyalah iman di dalamnya,”dia menyimpulkan sebelum menamatkan perbualan kami.

“Hakikatnya, pilihan berada di tangan kita. Untuk menjadi solehah, al Quran dan hadis Rasulullah SAW ada pedoman pada kedua-duanya. Tinggal lagi, sama ada kita mahu atau membiarkan masa dan ruang yang ada terus berlalu,”dia menambah .

“Memang benar. Kesedaran tanpa perubahan, umpama mimpi-mimpi sementara. Tiada makna,”saya membuat rumusan di samping mengingatkan diri yang juga sering kealpaan.


Justeru, sempena ketibaan tahun baru 1431 Hijriah ini, mari bersama memuhasabah diri. Membina azam untuk terus memperbaiki diri. Baik saya, anda dan sesiapa sahaja di luar sana, jadikan gelaran wanita dan isteri solehah sebagai motivasi untuk kita mempertingkatkan kualiti.

Ilmu dan amal seiring menghiasi peribadi, keimanan dan keyakinan kepada Hari Akhirat menjadi inspirasi mukminah muslimah sejati. Semoga kitalah harta bernilai bagi seorang lelaki bernama suami selepas ketaqwaan dan keimanannnya kepada Ilahi.

Berhijrahlah..berusahalah...mudah-mudahan kita berjaya meraih gelaran solehah, ameen.

“Sesungguhnya dunia ini adalah perhiasan yang indah, dan sebaik-baik perhiasan di dalamnya ialah wanita (isteri) yang solehah” ( Hadis riwayat Muslim )

Mencari dan terus mencari cinta Ilahi.

Jumpa lagi, InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment