Monday, February 8, 2010

Teknologi Nuklear untuk Mempelbagaikan Tanaman Hiasan Akuarium

TEKNOLOGI nuklear yang sering dikaitkan sebagai penyebab kemusnahan kepada manusia dan alam, sebenarnya boleh dimanfaatkan, khususnya bidang sains dan teknologi bagi membantu memajukan produk atau kajian dalam pelbagai disiplin ilmu.

Teknik menggunakan sinaran gamma, neutron, alfa atau beta itu boleh diterapkan untuk pelbagai tujuan termasuk membangunkan bidang pertanian dengan memperbaiki hasil tanaman serta mempelbagaikan kegunaan tumbuhan.

Penyelidik Institut Sains Biologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Profesor Dr Norzulaani Khalid, misalnya memanfaatkan teknologi nuklear bagi menjalankan pembiakan tisu kultur mutasi tumbuhan menggunakan sinaran gamma untuk mempelbagaikan tumbuhan akuatik sebagai hiasan akuarium.

Beliau berkata, dua jenis tumbuhan digunakan dalam kajiannya iaitu Sansevieria yang lebih dikenali sebagai tumbuhan lidah mak mentua serta Cryptocoryne atau tumbuhan trompet air yang menghasilkan perubahan menarik dari segi warna, saiz dan bentuk tumbuhan berkenaan.

“Penggunaan tumbuhan akuatik sebagai hiasan akuarium digalakkan berbanding penggunaan rumput atau tumbuhan tiruan yang meluas ketika ini kerana ia boleh menyumbang kepada penambahan oksigen terlarut, sekali gus membantu kehidupan ekosistem dalam akuarium itu termasuk dapat memastikan ikan lebih sihat.

“Teknik mutasi tumbuhan menggunakan teknologi nuklear ini mampu mempelbagaikan pilihan tumbuhan akuatik untuk hiasan akuarium termasuk dari segi saiz, warna dan bentuk daun.

“Walaupun kajian saya setakat ini hanya menggunakan dua jenis tumbuhan, teknik ini boleh digunakan kepada pelbagai tumbuhan hiasan lain jika ada permintaan terutama di kalangan pembekal hiasan akuarium,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Norzulaani berkata, kajian pertamanya menggunakan tumbuhan hiasan lidah mak mentua dijalankan bersama Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (Mint) membabitkan mutasi tumbuhan menggunakan sinaran gamma.

Katanya, menerusi proses itu, tumbuhan yang didedahkan kepada sinaran gamma mengalami mutasi gen dan kepatahan kromosom, sekali gus mempelbagaikan ciri fizikal tanaman, selain membaiki ciri agronominya termasuk peningkatan hasil dan rintangan penyakit.

"Menerusi teknik ini beberapa sifat tumbuhan dapat disesuaikan dengan keperluan seperti meningkatkan hasil keluaran, daya tahan ke atas serangan penyakit serta mempercepatkan tempoh matang, selain menghasilkan pelbagai ciri fizikal berbeza berbanding asal.

“Bagi tumbuhan lidah mak mentua, antara ciri perubahan fizikalnya adalah bentuk daun yang lebih lebar serta kewujudan jalur putih di sekeliling bahagian tepi daun berbanding tumbuhan asal,” katanya.

Selepas mendapat pendedahan penggunaan teknologi nuklear menerusi pakar dan infrastruktur di Mint, Norzulaani melanjutkan penyelidikan itu di UM menggunakan teknik sama ke atas tumbuhan akuatik trompet air menerusi kerjasama dengan Jabatan Perikanan.

Beliau berkata, antara perubahan fizikal dihasilkan menerusi mutasi tumbuhan berukuran 7.5 sentimeter (cm) itu adalah mutan kerdil iaitu 5.5 cm serta mutan besar berukuran 9.5 cm.

“Terdapat perubahan pada warna tumbuhan juga iaitu daun hijau gelap serta perang berbanding warna hijau asalnya, warna kemerahan lebih ketara pada batang pokok mutan berbanding coklat kehijauan pada asalnya serta bentuk daun mutan lebih halus dan kecil berbanding panjang serta lebar secara semula jadi,” katanya.

Selain terpilih mewakili UM bagi mendedahkan hasil kajiannya di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008 baru-baru ini, hasil penyelidikan Norzulaani kini ditempatkan di Jabatan Perikanan yang menjadi pusat rujukan industri bidang itu, sekali gus mencerahkan peluang projek berkenaan untuk dikomersilkan terutama di kalangan pembekal dan pengusaha hiasan akuarium.

Sumber :Berita Harian

p/s diambil daripada sumber ini

2 comments: