Tuesday, February 9, 2010

Bagaimana dan Tanda Jika Kita gagal?

Bagi na, ini adalah artikel untuk melengkapkan daripada artikel sebelum ini Click Here.

Apa Tanda Jika Anda Gagal ?
Oleh Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/

Tidak dapat dinafikan, kegagalan merupakan sesuatu yang amat pahit untuk ditelan. Kesakitan hasil darinya boleh menyebabkan seseorang amat terganggu dari sudut fizikal , mental, malah juga spritualnya.

Dari sudut mental, selain dari menjadi seseorang dan sesuatu yang boleh dipersalahkan, adakalanya ramai juga yang akan mengutuk diri sendiri, atas kegagalan yang menimpanya. Kutukan demi kutukan terhadap diri sendiri akhirnya bakal memakan dan membarahkan lebih banyak kekecewaan hingga membawa putus asa.

Menerima diri sebagai terus gagal dan akan terus terbuang. Diri akan terus menjauh dari masyarakat kerana terasa kerdil dan malu atas kegagalannya.

Dari sudut fizikal, bagi sesetengah individu, selera menjadi menurun hingga membawa implikasi kesihatan tubuh. Mankala yang lain pula sebaliknya bertambah selera makan akibat kegagalan, juga membawa kesan negative kepada kesihatan fizikalnya.

Akhirnya tanpa kesihatan fizikal, mental dan minda turut merosot, akhirnya kedua-duanya rebah dan sukar untuk bangkit kembali.

Dari sudut spiritual, kegagalan boleh mendatangkan dosa, ia juga boleh menambah pahala dan iman seseorang. Saya pernah bertemu seseorang yang gagal dalam PhD, terhakis keyakinannya terhadap konsep qada' dan qadar Allah. Imannya tergoncang.

Tidak kurang ada yang menyalahkan Allah ta'ala sewaktu menghadapi sebuah kegagalan. Akhirnya, dia terus jatuh dari sudut spiritualnya, kejatuhan bersama mental dan fizikal. Sukar dirawati.

Namun begitu, ada juga kegagalan yang berjaya menjadi asbab seseorang mendekatkan diri kepada Allah ta'ala. Kembali kepada jalan lurus setelah bengkok. Lalu dia kembali bangkit dengan azam, plan dan laluan yang baru, lalu dia berjaya.

KEGAGALAN DAN SAYA

Saya sendiri pernah gagal dalam banyak perkara, namun Alhamdulillah, ia tanda kita perlu membuat perubahaan yang agak besar bagi memperbetulkannya. Tanpa usaha tersebut, kegagalan akan terus bernanah dan membunuh. Biasanya sebuah perubahan itu amat perit dan berat, lagi kurang selesa. Walau sukar dan berat, ia sebuah kemestian. Hasilnya apabila tepat cara pengendalikan kegagalan dan perubahan yang diperlukan, ia akan membuahkan hasil yang lebih baik.

Tatkala itu baru kita sedari, rupanya kegagalan itu adalah sebuah titik kepada penyambungan titik yang lain dalam kehidupan kita. Ia seperti sebuah simpang yang menjauhkan kita dari kesesatan atau melorongkan kita kepada satu laluan yang lebih baik untuk masa hadapan.

Saya teringat betapa kecewanya saya apabila tidak berjaya menyambung pelajaran di peringkat bachelor di Timur Tengah. Sekarang saya sedar dan tahu betapa besar hikmah untuk saya belajar di dalam Universiti Malaya, segala pengalaman yang diperoleh itu amat banyak mencorak kehidupan saya selepas itu. Akhirnya selepas tiga tahun menamatkan pengajian di UM, saya berjaya ke Jordan, bukan untuk peringkat Bachelor, tetapi Masters.

Banyak perkara dan jenis kegagalan dan saya kini sedar, hikmah dan kebaikan darinya, namun ia agak personel untuk dikongsikan. Apapun, semua jenis kegagalan yang menimpa, memerlukan satu proses perit yang lain. Bukankah Allah ta'ala telah mengingatkan "Sessunguhnya dengan kesukaran itu adalah kesenangan"

Apa yang mesti dan pasti, kita mesti meyakini bahawa kegagalan itu adalah sebuah proses yang amat perlu ditangani secara positif. Ia ibarat sebuah konflik yang mendesak minda dan aqal kita untuk lebih agresif dan kreatif untuk mencari jalan keluar. Tanpa disedari rupanya tanpa kegagalan, kita mungkin akan berterusan di takuk lama dan kurang kreatif.

UCAPAN STEVE JOBS YANG ‘BRILLIANT'

Di ketika saya menulis ini, saya amat kagum dengan tips dan nasihat Steve Jobs, CEO syarikat ternama dunia, Apple dan PIXAR. Pengasas iPhone, iPod dan iPAd.

Beliau menceritakan bagaimana beliau gagal di university yang akhirnya membuahkan idea penciptaan perisian dan komputer Macintosh, sebuah revolusi dalam dunia komputer malah ia merupakan idea yang ditiru kemudiannya oleh Bill Gates, pengasas Microsoft, dengan sedikit perubahan.

Beliau menceritakan bagaimana pada umur 30 tahun, akibat kebuntuan syarikat yang diasaskannya iaitu Apple, lembaga pengarah syarikat telah menolaknya keluar dari syarikat tersebut. Hasil kegagalan itu, lahirlah revolusi kartun moden menggunakan animasi komputer. Lahirlah animasi Toy Story yang amat popular. Jika tidak kerana kegagalan pertama, revolusi animasi seperti Toy Story mungkin belum pasti bila akan wujud.

Selain itu, pelbagai nasihat lain turut diberikan oleh Steve Job dalam ucapannya, termasuklah memastikan kita sudah menjumpai kerja dan bidang yang kita cinta dan minat, tanpa minat dan kecintaan kepada tugasan kita, setiap kerja akan menjadi beban. Namun bagi Muslim, minat tersebut mestilah dipastikan TIDAK BERLANGGAR dengan Hukum Islam. Apabila haram, ia wajib diubah kepada yang halal.

Ucapan beliau semakin menarik apabila mendedahkan bagaimana perana ‘merasa akan mati' memotivasikan diri untuk membuat keputusan tepat dalam kehidupan. Jobs berkata

"Remembering that I'll be dead soon is the most important tool I've ever encountered to help me make the big choices in life. Because almost everything - all external expectations, all pride, all fear of embarrassment or failure - these things just fall away in the face of death, leaving only what is truly important. Remembering that you are going to die is the best way I know to avoid the trap of thinking you have something to lose"

Dalam Islam, kematian memang sudah lama dijadikan prinsip oleh Rasulullah saw untuk diterapkan kepada umatnya agar berusaha berfikri sesuatu yang lebih penting dan meninggalkan yang penting dan kurang penting. Bagi umat Islam, apa yang paling penting adalah apa yang akan kita bawa selepas mati. Justeru, fikirkan dan berubahlah. Janganlah menganggap kegagalan itu sesuatu yang terlalu besar, jadikan ia kunci untuk kejayaan seterusnya.

Benar, apa sahaja kegagalan boleh diatasi kesan buruknya, sehingga dilihat kerdil dan kecil serta boleh diatasi JIKA KITA MENYEDARI, kematian itu pasti dan sesuatu perlu dilakuakn segera untuk mempersiapkan diri kepadanya.

Dengarkan ucapan Steve Job, pengasas computer Apple, Animasi PIXAR, salah seorang billionaire di planet bumi.(anggaran asetnya bernilai USD5.1 billion). Pada hemat saya, ucapan beliau ini amat cemerlang. Sayangnya beliau belum mendapat hidayah kepada Islam.

Akhirnya, kegagalan jangan dicari, tetapi apabila ia datang, Ia tanda bahawa satu perubahan drastik diperlukan dalam rutin harian, mengubah zon selesa yang lapuk kepada sebuah zon baru yang tidak lagi gagal.

Jadikan kegagalan sebagai ubat penawar yang maha pahit tetapi menyembuh luka yang dalam, terlihat dan tidak terlihat.

Sesungguhnya orang mukmin itu tidak sedih dan tidak takut kecuali Allah.






Sumber

No comments:

Post a Comment