Saturday, February 13, 2010

Rai kejatuhan kerajaan Islam = Hari Kekasih atau Valentine Day

Harian Metro 12/2/2010

 TERINGAT penulis ketika memulakan sesi pengajaran di sebuah kelas apabila mengemukakan soalan; “ Siapa tahu bilakah Nabi Muhammad dilahirkan?”

Kelas menjadi senyap seketika dan ternampak beberapa pelajar menundukkan kepala.

“Baiklah, soalan kedua, bila perayaan menyambut Hari Kekasih diadakan?” Penulis terkejut kerana masing-masing berebut mahu menjawab. Begitulah senario masa kini menunjukkan budaya asing lebih menerap dan jadi ingatan kepada anak-anak muda. Salah satu acara tahunan yang seolah-olah sudah membudaya dalam kalangan generasi muda ialah perayaan menyambut Hari Kekasih atau Valentine Day yang diraikan pada 14 Februari setiap tahun.

Sambutan hari itu turut diraikan oleh generasi muda Islam yang tidak peduli mengenai asal-usulnya. Jadi, kita seharusnya melihat kembali sejarah wujudnya Hari Kekasih ini agar kita tidak mudah terjerumus dalam situasi yang boleh merencatkan iman.

Sejarah Hari Kekasih itu ada beberapa versi sumbernya dan di sini diceritakan semula agar kita dapat memahami secara jelas betapa terpesong kita jika turut sama meraikan hari berkenaan. Mengikut sejarah, Valentine adalah seorang paderi yang mempunyai pengaruh besar pada zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol. Dia adalah orang kedua selepas kedudukan Paderi Besar Pope. Dikisahkan, Valentine adalah orang yang memainkan peranan besar semasa menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap tidak boleh dilupakan dan sewajarnya dihargai. Justeru, tarikh 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan yang diterajui Valentine itu pada setiap tahun.

Dengan demikian, sekali gus digunakan sebagai hari mengingati kejayaan Valentine dalam menumpaskan orang-orang Islam di Sepanyol.

Manakala dalam cerita versi kedua pula dikisahkan bahawa paderi Valentine sebelum menumpaskan kerajaan Islam di Sepanyol dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam dan yang kedua beragama Kristian Protestan. Namun, disebabkan kekasih pertama itu beragama Islam dia dikatakan hanya menumpukan pada kekasih kedua saja.

Dewasa ini banyak sangat unsur budaya Barat yang diagung-agungkan malah menjadi amalan generasi muda.

Terdapat satu lagi versi yang menyatakan pada 14 Februari 270M, paderi Valentine dibunuh kerana penentangannya terhadap penguasa Rome pada waktu itu, Raja Claudius II (268-270M). Ekoran peristiwa pembunuhan Valentine itu, dia dianggap sebagai simbol ketabahan dan keberanian. Sebagai memperingati Valentine, pada 14 Februari setiap pengikutnya yang beragama Kristian Katholik meraikannya sebagai ‘upacara keagamaan’. Jadi berdasarkan sumber sejarah asal-usul Hari Valentine itu jelas ia adalah satu tradisi dalam agama Kristian dan sememangnya sangat diraikan oleh penganut agama berkenaan. Persoalannya, mengapa pula anak-anak muda Islam di Malaysia begitu beria-ia sangat untuk bersama menjayakannya? Inilah akibatnya apabila mengikut sesuatu budaya asing secara membuta tuli tanpa mengkaji selok-belok sejarahnya. Ingatlah akan pesan Rasulullah yang bermaksud; “Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan itu.” Itulah peringatan Rasulullah kepada kita agar sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara agar iman tidak tergelincir daripada landasan sebenar. Jadi, berdasarkan kedua-dua versi sejarah bermula perayaan Hari Kekasih maka jelaslah bahawa kita sebagai umat Islam tidak sepatutnya bersama penganut agama lain meraikannya.

Islam memberi banyak jalan untuk kita merayakan atau meraikan sesuatu. Percayalah, seandainya generasi muda Islam terus hanyut dalam anutan budaya asing yang bertentangan dengan agama, dikhuatiri jiwa dan hati mereka berjaya ‘dijajah’ oleh musuh Islam yang sentiasa memasang perangkap dalam usaha mereka memporak-perandakan pegangan akidah umat Islam. Perkara paling ditakuti oleh musuh-musuh Islam sejak awal sejarah Islam lagi ialah kemantapan akidah dan keutuhan tauhid ummah. Selagi umat Islam berpegang teguh kepada akidah yang benar selagi itulah anasir luar cuba memesongkan hala tuju ummah akan kecundang. Justeru, amatlah malang dan mengecewakan sekali apabila saban tahun bukan sedikit anak muda Islam terpengaruh dengan budaya dan gaya hidup yang jelas bertentangan dengan Islam.

Tentu sekali pihak musuh ketawa besar melihat begitu mudahnya golongan muda Islam dihanyutkan dengan amalan budaya asing.

Sebenarnya, beberapa fatwa berkenaan sambutan Hari Kekasih itu pernah dikeluarkan oleh Jawatan kuasa Fatwa Negeri Johor 2005 yang menyatakan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan itu jelas mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah serta dilarang oleh Islam.

Oleh itu, umat Islam dilarang membabitkan diri dalam meraikan hari berkenaan.

Terdapat satu lagi fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang telah bersidang pada 22-24 November 2005 di Kuching, Sarawak telah menetapkan bahawa budaya merayakan Hari Kekasih itu tidak pernah dianjurkan Islam dan umat Islam dilarang turut sama meraikannya. Oleh itu, jelas kedua-dua fatwa berkenaan memberikan garis panduan kepada seluruh umat Islam di negara ini mengenai haramnya menyertai perayaan Hari Kekasih itu. Kedua-dua fatwa yang dikeluarkan itu bukannya bersifat mengongkong golongan muda sebaliknya satu ketetapan agar mereka terpelihara dari penyelewengan akidah. Ingatlah wahai generasi muda, syaitan dan musuh Islam sentiasa mengintai-intai ruang dan peluang pada setiap ketika agar dirimu kecundang dalam arus kehidupan yang melalaikan. Berwaspadalah! Islam adalah agama yang suci bersih, jadi janganlah dikotorkan dan dihitamkan dengan pengamalan budaya yang memesongkan. Mengapakah perlu kita mencedok budaya asing yang bersifat negatif sedangkan kita sejak turun-temurun sudah tersedia pelbagai khazanah adat budaya yang penuh beradab. Kemajuan dan kemodenan tidak bermakna segala-gala yang terdapat di negara maju harus diikut kerana sebagai umat Islam kita seharusnya menolak amalan yang bertentangan dengan agama dan bersifat jahiliah moden. Insaf dan kembalilah hidup dalam kehidupan beragama yang sebenar.

No comments:

Post a Comment