Sunday, April 25, 2010

Sakit punggung

JIKA anda seorang wanita berumur 40 tahun ke atas dan sering mengalami sakit pada punggung, anda perlu baca artikel ini kerana anda mungkin mengalami penyakit artritis sendi pinggul.


Apa itu penyakit artritis sendi pinggul? Sendi pinggul (sendi sakroiliak) adalah sepasang sendi besar yang terletak pada kiri dan kanan punggung. Sendi ini menyambungkan tulang pinggul (pelvik) dengan tulang sakrum pada bahagian punggung.

Fungsinya ialah menyokong dan menstabilkan tulang pelvik dan tulang belakang ketika kita melakukan pergerakan. Ia juga berfungsi sebagai penyerap gegaran pada tulang pelvik dan tulang belakang.

Sakit pada sendi pinggul selalunya disebabkan oleh artritis yang biasanya disabitkan dengan proses penuaan. Penuaan ini pula disabitkan oleh permukaan sendi yang haus dan proses keradangan disebabkan penggunaan yang melampau.

Sebab lain boleh berlaku ialah kecederaan, kanser, penyakit artritis lain seperti ankilosing spondilosis atau reumatoid artritis. Struktur belakang yang tidak seimbang dan panjang kaki yang tidak seimbang juga diketahui sebagai penyebab kesakitan pada sendi pinggul.

Insiden sakit sendi pinggul ialah 22.5 peratus di kalangan penghidap sakit pinggang yang kronik. Kebanyakan pesakit adalah wanita berumur 40 tahun ke atas. Ini kerana faktor hormon dan fungsi serta aktiviti harian mereka menyebabkan penggunaan sendi yang lasak.

Aktiviti berkenaan menyebabkan regangan dan penggunaan ligamen yang terlampau di keliling tulang pelvik, menyebabkan banyak ligamen tercedera dan lemah.

Keadaan ini menyebabkan pergerakan abnormal pada sendi ini dan seterusnya keradangan atau artritis.

Gejala klinikal artritis sendi pinggul Pesakit akan mengalami sakit pada belakang pinggang, terutama di kiri atau kanan pinggul, yang kadangkala menjalar turun ke punggung dan belakang paha.

Pergerakan seperti bangun dari katil, kerusi atau tunduk ke bawah akan mencetuskan rasa sakit ini.

Pesakit mungkin tidak dapat duduk atau berdiri lama kerana tidak tahan rasa sakit pada punggung. Dalam keadaan serius, pesakit akan berasa sakit bila tidur terlentang dan tidak mampu melakukan hubungan seksual kerana ia memberi tekanan langsung pada sendi ini.

Biasanya pesakit akan dirawat oleh pakar tulang dengan ubat penahan sakit seperti celebrex atau paracetamol. Sebahagian akan dirujuk pada fisioterapi untuk rawatan haba dan senaman tertentu.

Namun strategi di atas hanya berkesan untuk sakit yang ringan. Jika rawatan di atas gagal, anda perlu dirujuk kepada pakar kesakitan kronik kerana ada rawatan terkini yang berkesan untuk merawat penyakit ini.

Rawatan untuk artritis sendi pinggul Diagnosis artritis sendi pinggul boleh dilakukan dengan teknik pemeriksaan klinikal saja. Ujian sinar-X, imbasan resonan magnetik (MRI) dan imbasan tulang tidak banyak membantu dan membazir.

Anda perlu tahu bahawa banyak penyakit lain yang boleh menyerupai sakit sendi pinggul ini. Oleh itu anda perlu berjumpa doktor yang terbaik dalam merawat penyakit anda. Dapatkan pendapat kedua jika rawatan pembedahan disaran pada anda.

Rawatan mujarab yang diberikan pakar kesakitan kronik ialah teknik radiofrekuensi dan juga suntikan ubat steroid pada sendi pinggul. Seperti rawatan radiofrekuensi yang saya tulis dalam artikel yang lalu, teknik ini membabitkan suntikan pada beberapa saraf kecil yang mensarafi sendi ini.

Arus elektrik yang berfrekuensi tinggi disalurkan pada jarum khas berkenaan yang bertujuan ‘melumpuhkan’ saraf ini. Kesannya ialah isyarat rasa sakit akan terbantut dan pesakit akan rasa tidak sakit serta-merta.

Kejayaan kami merawat pesakit dengan kaedah ini mencapai 90 peratus. Jadi, kenapa anda perlu hidup dalam kesakitan jika ada rawatan berkesan yang dapat mengembali kehidupan anda?

Sumber

1 comment: