Sunday, April 25, 2010

Mudah diserang kanser

ANTARA cabaran besar dalam penjagaan kesihatan ialah mengajak orang menukar gaya hidup dan memperbaiki tabiat pemakanan demi kebaikan diri sendiri. Walaupun semua orang tahu kita perlu bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari tiga atau empat kali seminggu dan melebihkan pengambilan sayur-sayuran serta buah-buahan untuk kekal sihat tetapi tidak ramai yang mengamalkan saranan ini.
Berbanding lelaki, wanita lebih ramai menghidap kanser dan apa yang menyedihkan ialah kebanyakan jenis kanser ini boleh dicegah melalui sedikit perubahan gaya hidup, kata Ketua Penyelidik Program Promosi Kesihatan Di Tempat Kerja Untuk Pencegahan Kanser, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mirnalini Kandiah.

Antara kanser yang paling kerap berlaku di Semenanjung Malaysia ialah kanser payudara diikuti kanser kolorektal. Di kalangan wanita kes paling banyak direkodkan ialah kanser payudara diikuti kanser pangkal rahim, kolorektal, ovari dan kelenjar tiroid. Manakala kanser utama di kalangan lelaki ialah kanser kolorektal, paru-paru, nasofarinks dan hati.

Apa yang boleh menyebabkan seseorang berhadapan dengan risiko diserang kanser? Menurut Dr Mirnalini, ada beberapa faktor risiko yang dikenal pasti boleh membuatkan seseorang sangat berisiko mendapat kanser iaitu:

•Peningkatan umur - Semakin kita berusia, semakin banyak sel tidak normal terhasil dalam badan. Oleh kerana ini adalah faktor yang tidak boleh diubah, maka seseorang itu perlu memberi lebih perhatian kepada faktor lain yang boleh dikawal.

•Berat badan - Risiko meningkat dengan peningkatan berat dan pertambahan saiz badan. Pertambahan berat badan berlaku apabila pengambilan makanan tidak diseimbangkan dengan aktiviti fizikal bagi membakar tenaga (kalori) berlebihan yang akan disimpan sebagai lemak.

•Jantina - Lebih ramai wanita menghidap kanser.

•Sejarah keluarga menghidap kanser - Individu yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai risiko lebih tinggi untuk diserang kanser. Bagaimanapun kebanyakan kes yang dilaporkan tidak mempunyai sejarah keluarga dan ini menunjukkan semua orang berpeluang untuk menghidap kanser jika kurang menjaga kesihatan.

•Pemakanan yang terlalu kurang sayur-sayuran dan buah-buahan (dianggarkan kurang daripada dua hidangan sehari) sedangkan pakar kesihatan menyarankan kita mengambil sekurang-kurangnya lima hidangan sumber serat setiap hari iaitu tiga hidangan sayur dan dua hidangan buah. Satu hidangan bersamaan dengan 80 gram atau setengah cawan sayur berdaun hijau.

•Gaya hidup kurang aktif - ini adalah faktor risiko utama yang boleh mengundang banyak penyakit terutama kanser untuk bersarang dalam badan. Untuk mencegah penyakit kanser kita disaran untuk bersenam lima kali seminggu (sekurang-kurangnya 30 minit setiap sesi). Apa yang menyedihkan ialah 60 peratus rakyat negara ini mengamalkan gaya hidup tidak aktif iaitu pergerakan aktif mereka tidak sampai 30 minit sehari.

“Risiko kanser boleh dikurangkan sebanyak 30 hingga 50 peratus hanya dengan mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat. Banyak kajian mengaitkan kanser dengan gaya hidup tidak sihat contohnya individu yang gemuk mempunyai risiko kanser usus, uterus, payudara, pankreas dan esofagus. Semakin lebar ukuran pinggang seseorang, semakin tinggi peluangnya menghidap pelbagai penyakit kronik.

“Laporan WCFR mengatakan faktor pemakanan dan gaya hidup termasuklah pengambilan makanan tidak sihat, kurang bersenam atau melakukan aktiviti cergas, merokok, banyak minum minuman beralkohol dan obesiti menjadi penyumbang utama kepada pelbagai jenis kanser,” katanya pada pelancaran laman web www.nutrihealth-upm.com yang mempromosikan pencegahan kanser yang dikendalikan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Hasil laporan berkenaan mendorong kepada penghasilan laman web ini yang dilengkapi pelbagai maklumat dan panduan pencegahan kanser melalui pemakanan dan gaya hidup sihat untuk semula lapisan masyarakat dalam Bahasa Malaysia. Asalnya ia dikhususkan untuk mahasiswa dan kakitangan UPM saja tetapi menyedari semakin ramai rakyat negara ini menghidap kanser, laman web berkenaan diperluaskan untuk kegunaan umum.

Pada masa sama, beliau turut menjalankan penyelidikan pengurangan risiko kanser ke atas 360 kaki tangan UPM yang dimulakan dua tahun lalu. Daripada jumlah itu 34 peratus mempunyai masalah berat badan dan kebanyakannya memberi alasan tidak ada masa kerana sibuk bekerja walaupun universiti berkenaan mempunyai pelbagai kemudahan dan pusat riadah. “Masalah pada masyarakat kita ialah terlalu banyak makan terutama makanan berlemak sedangkan pengambilan lemak keseluruhan sepatutnya tidak melebihi 30 peratus daripada makanan seharian. Berdasarkan kumpulan kajian di UPM ini, didapati pengambilan lemak dalam diet harian masyarakat kita melebihi 55 peratus yang boleh menyebabkan masalah kegemukan. Apa yang membimbangkan ialah kegemukan boleh meningkatkan risiko kanser usus sebanyak 34 peratus,” katanya.

Walaupun keputusan kajian dua tahun itu masih dalam penganalisaan, tetapi berdasarkan soal jawab susulan setiap tiga bulan beliau mendapati rata-rata peserta menunjukkan kesedaran terhadap kanser, perubahan yang perlu dilakukan dan berkongsi maklumat yang diperoleh itu dengan ahli keluarga mereka. Malah pembabitan semua pihak seperti penyedia makanan, pengusaha kantin dan restoran juga penting untuk mengurangkan risiko kanser akibat pemakanan.
Beliau turut berkongsi berkongsi panduan mudah untuk mencegah kanser seperti:

•Bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu, 30 minit setiap sesi.

•Kekalkan berat badan seimbang (Indeks Jisim Tubuh antara 18.5 hingga 24.9 kilogram/meter²

•Lilitan pinggang mestilah kurang daripada 90 sentimeter (35.4 inci bagi lelaki) dan 80 sentimeter (31.5 inci bagi wanita)

•Makan sekurang-kurangnya lima hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan sehari. Lebihkan pengambilan kacang dan kekacang. Pelbagaikan pilihan sayur-sayuran dan buah-buahan anda supaya lebih berwarna-warni (contohnya sayur berdaun hijau, tomato, lobak merah, lada benggala, terung dan bawang serta beraneka jenis buah) kerana ia mengandungi banyak bahan fitokimia yang mampu mencegah kanser. Ada yang mendakwa sayur-sayuran dimakan mentah lebih baik tetapi langkah sewajarnya ialah seimbangkan pengambilan sayur mentah dan masak kerana ada sesetengah sayur mengandungi lebih banyak khasiat selepas dimasak. Lagi pun makanan yang dimasak lebih mudah dihadam tetapi pastikan ia tidak dimasak terlalu lama sehingga lembik kerana ia boleh menyebabkan banyak khasiat terutama vitamin hilang.

•Kurangkan pengambilan daging merah kepada hanya 80 gram sehari atau sebesar kotak mancis saja dan daging yang diproses seperti daging salai, sosej, salami dan pastrami.

•Hadkan pengambilan garam supaya tidak melebihi lima gram (satu camca teh) sehari dan gula kepada kurang daripada 10 camca teh sehari.

•Kurangkan kekerapan makan di luar kerana kebanyakannya mengandungi banyak garam, gula dan lemak.

•Minum banyak air kosong, teh herba dan jus buah-buahan segar.

Sumber

No comments:

Post a Comment