Sunday, April 25, 2010

Cara atasi cirit-birit

KEADAAN kanak-kanak yang mengalami cirit-birit memang menyedihkan. Keadaan ini bukan saja membuat si kecil berasa tidak sihat dan kurang selesa, malah hilang selera makan yang boleh menyebabkan berat badan susut mendadak.


Masalah ini menjadi antara punca utama kematian bayi dan kanak-kanak kecil di seluruh dunia, terutama di negara miskin. Bahkan masalah cirit-birit juga dikaitkan dengan banyak faktor seperti kekurangan zat, kemiskinan dan kebersihan.

Walaupun masalah biasa, cirit-birit pada kanak-kanak kecil tidak boleh dipandang ringan kerana boleh mengakibatkan beberapa komplikasi seperti kekurangan air, keradangan paru-paru (pneumonia) dan pereputan tisu akibat bakteria (sepsis).

Bayi yang mengalami cirit-birit mungkin muntah terlebih dulu sebelum cirit. Apabila kanak-kanak mengalami cirit-birit, najis dikeluarkan adalah lembut dan mengandungi banyak air.

Dua keadaan ini menyebabkan bayi atau kanak-kanak kecil cepat mengalami masalah kekurangan air (dehidrasi) yang boleh berlaku dalam masa beberapa jam saja.

Keadaan ini lazimnya berpunca daripada jangkitan bakteria (E coli, Shigella, Salmonella, Campylobacter); virus (Rotavirus) yang mengakibatkan masalah kekurangan air (kekeringan atau dehidrasi) pada pesakit kecil ini, kata Perunding Paediatrik dan Penyakit Berjangkit, Institut Paediatrik Hospital Kuala Lumpur, Dr Kamarul Azahar Mohd Razali.

Cirit-birit boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu: 1. Cirit-birit akut — Iaitu cirit-birit yang berlaku sekejap. Biasanya mengambil masa tiga hingga lima hari dan menyebabkan pesakit menjadi lemah. Kuman penyebab cirit-birit ini boleh berjangkit jika penjaga kurang menitikberatkan aspek kebersihan sepanjang masalah berlaku. Ia disebabkan oleh:
•Bakteria (E coli enterotoksigenik atau ETEC; cholerae, Shigella, Salmonella)

•Virus (Rotavirus)

•Parasit (Crytosporidium, Cyclospora) 2. Cirit-birit berpanjangan atau kronik — Masalah ini berlanjutan sekurang-kurangnya dua minggu. Ia boleh disebabkan oleh jangkitan atau punca yang tiada kaitan dengan jangkitan seperti masalah pada sistem penghadaman kanak-kanak. Antara punca cirit-birit jenis ini ialah: a. Jangkitan

•Bakteria (Salmonella spp, Campylobac spp, Yersenia spp, Enteroadhrnt)

•Protozoa iaitu mikroorganisma satu sel (Giardia lamblia, Cryptosporidium, Cylospora, entamoeba)

•Cacing parasit (Strongyloides, Schistosoma, Capillaria) b. Bukan jangkitan

•l Masalah pemakanan (tidak toleran laktosa, cirit-birit osmotik)

•Masalah usus-gastro (penyakit Chron’s, ulser kolitis, pertumbuhan berlebihan bakteria dalam usus, penyakit Celiac) Cirit-birit yang disertai muntah akan membuatkan kanak-kanak lebih cepat mengalami masalah kekeringan dan kekurangan elektrolit seperti natrium dan potasium yang diperlukan tisu untuk berfungsi dengan baik.

Ini sebabnya ibu bapa perlu memberi lebih perhatian pada perubahan keadaan anak. Namun, yang lebih baik ialah segera membawa anak ke klinik berhampiran jika masalah cirit-birit berlanjutan melebihi 24 jam.

Doktor akan memastikan tahap kekeringan anak anda dengan memerhatikan beberapa tanda. Bayi yang alami kekeringan tahap rendah (kurang lima peratus) jarang menunjukkan tanda jelas.

Apabila tahap kekeringan mencapai lima hingga 10 peratus, antara tanda yang boleh dilihat ialah mata tenggelam, ubun-ubun kelihatan turun, kulit menjadi kendur, bayi mengantuk dan kurang buang air kecil.

Tanda bagi tahap kekeringan serius (melebihi 10 peratus) ialah bayi kelihatan tidak sedarkan diri, kulit kendur dan sejuk, ubun-ubun dan mata tenggelam serta lembik dan ringan apabila bayi diangkat. Jangan tunggu hingga bayi menunjukkan tanda ini kerana ia boleh membawa maut.

Menurut Dr Kamarul, bagi cirit-birit akut, rawatan pertama ialah mengembalikan cecair badan yang hilang sama ada melalui minum air atau cecair isotonik mahupun larutan garam rehidrasi (ORS).

Larutan garam ini boleh dibeli di klinik atau mana-mana farmasi. Cara penyediaannya mudah, hanya patuhi arahan pada label supaya anak mendapat sukatan betul.

Walaupun anak kerap buang air, dia masih boleh minum walaupun sedikit. Jadi berikan air, minuman isotonik atau larutan garam rehidrasi dengan kerap.

Antibiotik jarang diberi untuk kes cirit-birit akut kecuali dalam kes tertentu kerana masalah biasanya berakhir dalam masa tiga hingga lima hari.

“Malah, ada kalanya antibiotik itu sendiri boleh menyebabkan cirit-birit, contohnya Clindamysin atau penisilin (yang digunakan secara meluas bagi merawat jangkitan bakteria). Masalah cirit-birit akibat antibiotik biasanya bermula empat hingga sembilan hari selepas pengambilan ubat.

“Biasanya doktor akan mengesyaki kes cirit-birit akibat antibiotik jika ia berlaku pada pesakit kanak-kanak di hospital apabila najis mereka mengandungi darah.

“Najis pesakit juga kurang berair atau berlendir kehijauan. Mereka juga mungkin demam panas dan keadaan pesakit akan dipantau rapi,” katanya pada Seminar Kesihatan Tahunan Pertama anjuran Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Apa perlu dilakukan? Dr Kamarul menasihatkan supaya memberi anak minum banyak air, minuman isotonik atau larutan garam rehidrasi.

Beri dalam kuantiti sedikit tetapi kerap. Kaedah ini penting untuk mengelak masalah kekurangan air dan elektrolit badan.

Anda boleh memberi anak minum jus buah, air kelapa atau teh O yang dicampur sedikit madu. Berikan susu badan dengan lebih kerap.

Ubah pemakanan anak buat sementara waktu dengan memberinya makanan lembut seperti bubur, susu tanpa laktosa, bijirin, yogurt, buah-buahan seperti pisang dan sayur celur.

Jika di rumah tiada makanan seperti disaran di atas, anda boleh mencuba petua ini untuk menghentikan masalah cirit-birit si kecil.

Beri air rebusan nasi kepada anak. Cara menyediakannya mudah, masak nasi sehingga menjadi bubur dan ambil airnya. Sejukkan air ini (atau sehingga suam) dan berikannya kepada anak anda.

Yang menarik, saintis Singapura menjalankan kajian ke atas petua lama ini dan ia terbukti berkesan. Pada masa sama, pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan dengan mencuci tangan sekerap mungkin selepas menukar lampin anak. Bersihkan juga lapik yang digunakan ketika menukar lampin.

Untuk mengelak dubur bayi menjadi merah dan rengsa, lap secara perlahan-lahan dengan menekap tuala lembut di bahagian berkenaan. Jika perlu, sapukan krim atau jeli petroleum dan mandikan anak dengan air suam.

No comments:

Post a Comment