Thursday, January 7, 2010

ISLAM DAN SAINS FUTURISTIK


Islam adalah agama yang lengkap, bersifat universal dan sejagat. Ajarannya tidak sahaja mengajak seluruh umat manusia mementingkan kehidupan ukhrawi semata-mata dan mengabaikan hal-hal keduniaan tetapi menjadikan dunia sebagai landasan yang baik kepada kehidupan akhirat serta mengajak manusia sentiasa berusaha untuk memperbaiki mutu kehidupan dengan cara yang berlandaskan syarak.
Ia seiring dengan fitrah manusia yang sentiasa memerlukan suatu perubahan dan anjakan supaya ia tidak hanya statik dan beku di suatu tahap sahaja.

Disebabkan fitrah manusia yang menginginkan perubahan, maka manusia sentiasa mencari jalan dan mereka idea supaya tahap kehidupan boleh dipermudahkan dan dipertingkatkan.

Manusia mula mencipta alat-alat untuk memudahkan komunikasi, berhubung dari suatu tempat ke tempat yang lain, menggalakkan bidang pertanian dan perikanan, memacu bidang perubatan malah penerokaan ke angkasa lepas.

Hari ini teknologi seakan-akan menjanjikan manusia segalanya kerana apa yang diimpikan, diimaginasikan akan dicipta menggunakan ilmu dan akal yang telah dikurniakan Allah kepada manusia.

Menjana Sains Futuristik

Sains futuristik boleh digambarkan sebagai imaginasi yang melibatkan sains dan dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang akan mencetuskan sesuatu idea yang hebat dan di luar jangkauan manusia.

Pemikiran futuristik pula adalah kemampuan atau daya khayalan untuk menggambarkan sesuatu secara angan-angan atau khayalan. Sekiranya ia diseiringkan dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan alat bantu yang sesuai, makan angan-angan tadi tidak mustahil dizahirkan untuk kegunaan manusia.

Manusia sudah lama mengkaji bagaimana untuk mengeksploitasikan alam untuk kegunaan sejagat, daripada penggunaan gas dan petrol untuk tujuan pergerakan kenderaan, ataupun teknologi nuklear untuk penjanaan tenaga atau senjata, sehinggalah penggunaan tenaga suria untuk tujuan tenaga solar bagi sebagai alternatif kepada tenaga elektrik.

Manusia juga telah lama mendarat di bulan, sesuatu yang pastinya menjadi imaginasi dan khayalan manusia suatu ketika dulu.

Evolusi teknologi futuristik juga dilihat berkembang pesat, terutamanya dalam bidang maklumat dan komunikasi. Sistem telefon tanpa wayar (wireless phone) yang berkembang pesat daripada 2G, EGDE, GPRS, 3G, sehinggalah ke 4G yang bermatlamat untuk menyediakan perkhidmatan 'ultra' jalur lebar (kelajuan gigabit) akses kepada internet kepada pengguna telefon selular dan juga talian tetap.

Jarak yang jauh tidak begitu terasa lagi dengan banyaknya perkhidmatan video yang menghubungkan insan tersayang yang jauh di mata.

Kini telefon bimbit bukan sahaja berfungsi sebagai alat perhubungan, malah dimasa hadapan direka untuk pelbagai tujuan kerana ciri-ciri semulajadinya yang mudah dibawa.

Terbaru, telefon digunakan oleh saintis untuk memantau pencemaran alam dengan mengenalpasti jaringan 'kawasan panas' tempat-tempat yang mempunyai indeks udara yang kurang baik dan ini amat penting bagi orang yang menghidap penyakit asma.

Malah telefon skrin sesentuh juga dikatakan bakal digunakan sebagai pengimbas pantas untuk menentukan sakit apendiks. Teknologi RFID juga sedang giat dikaji untuk aplikasi seperti 'Smart Tag', perubatan, dan juga penanda untuk jemaah haji.

Saintis juga sedang mengkaji mereka alat perhubungan kepada pasukan tentera untuk berhubung sesama sendiri dan berkongsi taktik dan video ketenteraan melalui jaringan yang dipasang hanya di topi keselamatan mereka!

Nah, itu baru sahaja mengenai telefon dan komputer. Bayangkan banyak lagi aplikasi dan peralatan yang telah dan bakal dicipta untuk kemudahan dan kegunaan manusia. Teknologi nano, yang kini hangat diperkatakan sedang cuba dieksploitasi saintis untuk tujuan perubatan, elektronik, pembuatan dan sebagainya.

Penciptaan kereta canggih dan pintar juga bakal popular berikutan isu simpanan gas dan petroleum dunia yang semakin menyusut. Saintis dan jurutera sentiasa mencipta robot atau aplikasi robotik untuk digunapakai dalam bidang perubatan, penjagaan harian, ketenteraan, pembuatan dan sebagainya.

Begitu juga dengan perancangan untuk mewujudkan 'hotel angkasa' dan hotel bawah laut suatu hari nanti. Dengan adanya ilmu pengetahuan dan pengkajian yang mendalam, semua ini dan lain-lain tidak mustahil direalisasikan suatu hari nanti.

Kesalingan antara Islam dan Sains

Justeru, persoalannya adakah Islam menggalakkan perkembangan sains dan pemikiran kreatif? Sesetengah orang berpendapat bahawa agama adalah sesuatu yang statik, dan sains adalah sesuatu yang dinamik. Maka kedua-duanya tidak boleh sealiran.

Apatah lagi sesuatu yang futuristik. Pandangan ini adalah salah sama sekali, kerana Islam dan sains bukanlah sesuatu yang asing. Islam ialah agama yang mendukung faktor a'lamiah (universal).

Rasulullah SAW diutuskan sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam. Faktor alamiah ini telah membuktikan Islam berkembang sebagai suatu tamadun besar dan kemajuannya diterima oleh orang-orang Barat atau Eropah.

Ilmuwan Islam juga mengamalkan tradisi litaarafu atau kekenalan yang menyebabkan suburnya sikap terbuka untuk memperkongsikan aspek-aspek positif tamadun lain iaitu dan Barat dan Timur.

Daripadanya wujud sifat kesalingan (reciprocacity) yang menyebabkan tamadun Islam mampu berkembang hampir 700 tahun.

Asas apa yang telah menyebabkan ilmu sains dan teknologi Islam boleh diterima di Barat kalau tidak kerana manfaat dan sifat-sifat alamiahnya?

Bagaimana pula Islam boleh berkembang ke seluruh alam ini kalau tidak kemampuan agama ini melakukan adaptasi budaya dan tradisi yang didapati tidak bercanggah dengan prinsip dan akidah Islam?

Justeru adalah salah sama sekali tentang anggapan bahawa Islam mengongkong pemikiran umatnya, bahkan ia adalah agama yang menggalakkan tradisi berfikir, mengkaji dan berkreatif.

Di dalam al-Quran juga Allah telah banyak mengungkapkan banyak ayat yang melangkaui zaman. Isi kandungan al-Quran yang tidak pernah berubah dan sentiasa relevan dengan setiap perubahan zaman, malahan ilmu yang terdapat di dalamnya melampaui zaman ia diturunkan.

Pada zaman Rasulullah SAW yang dikenali zaman jahiliah, Allah menerangkan secara jelas kepada manusia mengenai pelbagai fakta sains yang melampaui batas pemikiran manusia ketika itu.

Antara fakta sains yang ditemui dan terdapat dalam al-Quran adalah semua cakerawala bergerak secara terapung (Yasin: 40), bumi bergerak (An-Naml: 88), atom adalah benda terkecil (Yunus: 61), pokok menghasilkan bahan bakar (Yasin: 80), dan mengenai altitud dan pernafasan (Al-An'aam: 125).

Begitu juga mengenai fakta bahawa adalah semua makhluk berpasangan (Adz-Dzaariyaat: 49), proses kejadian manusia (Al-Mu'minuun), kegunaan besi (Al-Hadiid: 25) dan langit yang terkawal (Al-Anbiyaa': 32). Justeru, al—Quran telah menceritakan kesemua ini dan banyak lagi untuk manusia mengkaji dan mengagungkan kebesaran Allah SWT.

Tokoh-tokoh saintis Islam juga telah banyak membawa rekaan, ilmu dan idea yang merentasi zaman. Abbas ibn Firnas contohnya seorang yang pakar dalam pelbagai bidang; kimia, kejuruteraan, muzik, astronomi dan sebagainya. Beliau dikatakan orang pertama untuk mereka payung terjun pada tahun 852M yang menjadi nadi kepada penciptaan kapal terbang selepas itu.

Abu'l Qasim al-Zahrawi juga terkenal dengan alat-alat pembedahan pada abad ke-11 dan cadangannya terhadap penubuhan hospital, dan kita pastinya maklum dengan tokoh perubatan Islam yang masyhur iaitu Ibnu Sina dengan kitabnya al Qanoun fi al Toubb yang telah menjadi rujukan di Eropah dan Latin selama beratus-ratus tahun.

Ini menunjukkan bahawa Islam sememangnya menggalakkan umatnya berfikir, mengkaji serta berusaha untuk memperbaiki diri dan umat.

Alat Bukan Matlamat

Namun harus diingat bahawa teknologi selamanya kekal sebagai alat dan bukan matlamat. Teknologi yang dikagumi tidak seharusnya dijadikan sebagai matlamat untuk mencapai tujuan yang tidak baik.

Sains dan teknologi seharusnya menjadi jambatan untuk menyedari tentang kebesaran Allah SWT. Sehebat manapun alat-alat yang dicipta, ia tidak setanding dengan kebesaran dan ketinggian Allah SWT. Amat malang apabila ada manusia yang menjadi hamba kepada teknologi, dan beranggapan bahawa sains dan teknologi adalah segala-galanya untuk mencapai tujuan dalam hidup.

Justeru, Islam tidak membataskan had pemikiran dan kreativiti manusia untuk mereka dan mencipta alat-alatan untuk manfaat manusia. Ia cuma menegah manusia menjadi taksub kepada ciptaan manusia sehinggakan nilai-nilai kemanusiaan dan kepercayaan kepada Allah terpinggir.

Saintis yang berjaya sewajarnya berupaya mengadunkan 'high-tech' (teknologi canggih) dengan 'high-touch' (nilai kemanusiaan yang tinggi) supaya manfaat besarnya dapat dikongsi bersama. Gabungan high-tech dan high touch adalah pemahaman bahawa teknologi itu adalah sebahagian dari evolusi kebudayaan, produk kreatif dari imaginasi manusia dan hasrat menciptakan teknologi baru yang lebih manusiawi. Dengan kata lain, high tech high touch adalah usaha memilih dan memanfaatkan teknologi tatkala ia menambahkan nilai pada kehidupan manusia.

Kesimpulan

Sains futuristik semakin sinonim dengan manusia hari ini. Iamembantu mempertingkatkan mutu kehidupan manusia sejagat dalam pelbagai bidang. Justeru, umat Islam terutamanya remaja harus sedar akan kepentingan ilmu dan aplikasi sains supaya kita bukan sahaja menjadi pengguna, malah mampu mencipta teknologi sendiri untuk kebaikan umat seluruhnya.

SUMBER

No comments:

Post a Comment