Friday, December 23, 2011

Sebak...Kad HariJadi Tuk Abah Na

Kad ni , anak buah na yang pertama bagi untuk atuknya . Harijadi abah na 21hb Disember :)


Thursday, December 22, 2011

Atasi Sakit Belakang

Pembedahan MIS pulihkan tisu rosak, cepat sembuh

ANATOMI bahagian belakang tubuh adalah kombinasi tulang yang kuat, ligamen dan tendon yang fleksibel selain otot dan saraf yang sensitif.

Rekaannya bukan saja ‘kuat’ tetapi berfungsi melindungi akar saraf yang sensitif. Bagaimanapun, seperti juga bahagian badan yang lain, ada kalanya ia tidak dapat lari daripada kesakitan. Malah, sakit belakang adalah yang paling ‘digeruni’ kerana selain kesakitan, ia turut menjejaskan rutin harian kerana menyebabkan individu sukar bergerak. Kesakitan bahagian tulang belakang mungkin disebabkan pelbagai faktor misalnya, akar saraf yang bengkak; otot besar (erector spinae) menegang; tulang, ligamen atau sendi cedera atau mungkin juga diska tergelincir.

Berbanding rawatan lain, bagi tulang belakang, pembedahan adalah pilihan terakhir melainkan dalam kes-kes kecemasan. Selalunya, doktor hanya akan mencadangkan pembedahan jika kesakitan berterusan meskipun anda sudah melakukan rawatan bukan pembedahan. Andai berdepan situasi sedemikian, anda mungkin boleh menimbangkan pembedahan minima invasif (MIS).

Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Harwant Singh, berkata berbanding dengan prosedur lama pembedahan tulang belakang, MIS dibantu dengan peralatan canggih berkomputer dan teknik pembedahan minima yang mengurangkan kesakitan.

Jelasnya, prosedur MIS mengurangkan rasa sakit, cepat sembuh, memendekkan masa pembedahan, kurang kerosakan pada tisu lembut selain saiz tusukan pembedahan yang lebih kecil sekali gus menyebabkan bekas tusukan kurang berparut.

Bagi pembedahan cara terbuka, pakar bedah membuat potongan panjang melalui kulit, otot dan ada kalanya tulang. Tempoh pemulihan untuk pembedahan jenis ini selalunya sakit dan lambat. Ada juga pesakit yang belum pulih sepenuhnya selepas sebulan tempoh pembedahan.

“Terma minima invasif digunakan bagi merujuk pada prosedur yang hanya memerlukan tusukan pembedahan kurang daripada 1.5 sentimeter. Hari ini dunia perubatan moden bergerak ke arah rawatan jenis ini. Namun ada banyak pembedahan berbeza yang didefinisikan sebagai ‘minima invasif” dan menggunakan pendekatan berbeza. Justeru, penting untuk pesakit memahami setiap perbezaan itu dan membuat pilihan terbaik untuk mereka,” katanya.

Meskipun MIS tidak merujuk kepada satu jenis pembedahan saja, namun tujuan pembedahan jenis ini adalah untuk mencapai kesan yang sama dengan pembedahan terbuka. Bezanya ia dilakukan dengan tusukan yang lebih kecil. Ada kala pembedahan jenis ini dilakukan melalui tiub kecil. Perlu juga diketahui bukan semua pesakit boleh menjalani prosedur ini.

Satu daripada kelebihan prosedur MIS adalah dalam pembedahan ‘open lumbar’ (bahagian bawah tulang belakang) yang dulunya menyebabkan pembedahan sebesar lima ke enam inci. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan pada tisu normal. Namun menerusi MIS, ia membantu mengurangkan ‘gangguan’ pada otot.

Dalam sesetengah pendekatan MIS yang juga disebut sebagai ‘keyhole surgeries’ pakar bedah menggunakan endoskopi kecil dengan kamera di hujung yang dimasukkan melalui bawah kulit. Kamera itu membolehkan pakar bedah melihat lokasi yang terjejas. Hari ini MIS sudah menjadi pilihan popular di kebanyakan hospital di seluruh dunia.

Bagaimanapun pesakit perlu menjalani rawatan konservatif seperti terapi fizikal, pengambilan ubat-ubatan sebelum memilih pembedahan sebagai alternatif rawatan. Selalunya doktor memberi tempoh p penilaian bergantung pada keadaan pesakit, umumnya antara enam minggu ke enam bulan.

Sumber

Kawal Kolesterol Secara Semula Jadi

Diet makanan seimbang termasuk buah dan sayur bantu mengawal tahap kolesterol
PENYAKIT jantung dan strok adalah dua masalah kesihatan serius yang berpunca daripada tahap kolesterol tinggi. Keadaan itu dikatakan berkait rapat dengan beberapa faktor seperti keturunan, diet pemakanan dan gaya hidup seseorang.

Bagi mengatasi kebimbangan seseorang berhubung risiko menghidap penyakit jantung dan strok, kajian terkini membuktikan sumber semula jadi juga dapat membantu merendahkan tahap kolesterol secara berkesan.

Kajian itu juga menunjukkan, ada empat produk berasaskan sumber semula jadi yang kini berada di pasaran mampu mengurangkan tahap kolesterol secara sihat dan efektif, tanpa kesan sampingan. Empat bahan itu adalah sterol tumbuhan (plant sterols), bijirin oat, serbuk minyak ikan Omega 3 dan Psyllium Husk. Sterol tumbuhan yang turut dikenali Phytosterols atau Stanols adalah sebatian pada tumbuhan dan bersifat merendahkan tahap kolesterol. Malah, pengambilan produk itu akan menurunkan tahap kolesterol sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus.

Oat pula bijirin yang mengandungi serat larut dikenali ‘beta glukan’ yang terbukti merendahkan tahap kolesterol mereka yang mengamalkan pemakanannya. Kandungan serat, karbohidrat kompleks dan protein yang tinggi itu turut membantu menstabilkan kadar glukos dalam darah.

Minyak ikan Omega 3 atau produk Omega 3 Fish Oil Powder pula adalah asid lemak yang penting bagi metabolisma normal kerana ia mengandungi Asid Lemak Tak Tepu (EPA) bagi mengurangkan inflamasi seluruh badan.

Produk ini juga sesuai untuk penghidap masalah kesihatan hipertrigliseridemia, kardiovaskular sekunder dan tekanan darah tinggi.  Selain itu, Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan kepada pesakit jantung koronari supaya mengambil 1 gram minyak ikan seperti produk ini setiap hari.

Psyllium Husk pula secara lazimnya digunakan untuk menangani sembelit, sindrom sakit perut serta meningkatkan kemampuan dan mengekalkan otot usus.  Pada masa sama, penggunaannya mampu untuk menurunkan tahap kolesterol, mengawal diabetes dan mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Hasil kajian dijalankan The American Journal of Clinical Nutrition menunjukkan produk itu jika digunakan bersama bahan makanan, berkesan untuk mengurangkan glukosa dalam darah.

Sumber

Rumah selamat: Tip Bersih Kediaman Elak Si Kecil Alami Alahan

Alahan adalah masalah kesihatan lazim yang dihadapi semua golongan tanpa mengira usia. Namun, tidak semua orang terdedah atau berisiko mengalami alahan. Pemerhatian menunjukkan, jika ibu bapa mengalami alahan, anak-anak lebih berisiko tinggi untuk menghadapi situasi sama.

Perunding Pediatrik DEMC Specialist Hospital, Shah Alam, Dr Iftikhar Ahmad Mohamed Akup berkata, allergic rhinitis atau alahan adalah radang yang biasanya berlaku di sekitar hidung akibat terdedah kepada faktor alergen terutama alam sekitar seperti debunga, hama, debu, habuk, kulapuk dan haiwan. Dalam hal ini, adalah mustahil untuk mengelak anak-anak dari terdedah kepada faktor alergen. Ini kerana penyumbang ini ada di mana-mana. Namun, pelbagai cara boleh dilakukan bagi menyediakan persekitaran baik dan sihat bagi mengelak berlakunya masalah alahan. Langkah pertama ialah dengan mengenalpasti faktor alergen itu terlebih dulu.  Ini disusuli langkah membasmi atau mengurangkan risiko terdedah kepada faktor alergen bermula dari rumah.

Ibu bapa boleh mula melakukannya dengan memperbaiki kualiti udara dalam rumah. Antara langkah yang boleh diambil ialah menjadikan rumah sebagai zon larangan merokok; mengelak pembakaran kayu api dan jangan gunakan penyegar udara, sabun atau penyembur serangga berbau wangi. Selain itu, anda digalakkan untuk memasang penghawa dingin dan menukar penapisnya secara berkala.

Jika langkah itu tidak mencukupi, anda boleh memasang penapis udara di bilik anak-anak atau bilik permainan mereka.

Perlu diingatkan, habuk dan hama adalah satu lagi faktor lazim yang menyebabkan alahan di rumah. Hama adalah pepijat bersaiz mikroskopik yang hidup dengan memakan sel kulit mati manusia dalam habuk di serata kediaman. Ini terutamanya pada perabot, cadar, tilam dan karpet. Hama lazimnya banyak ditemui di bilik tidur.

Bagi mengurangkan hama, bersihkan rumah terutama bilik anak anda secara kerap dengan vakum seminggu sekali. Kesat habuk dengan kain lembap supaya ia tidak melayang. Elak bantal kekabu atau bulu, sebaliknya pilih batal diperbuat daripada sintetik.

Selain itu, cuci cadar anak-anak seminggu sekali dengan air panas. Alihkan karpet dan tanggalkan dari dinding bilik anak anda dan ruang permainan mereka. Pastikan hamparan di rumah mudah dibasuh dan dibersihkan dengan air panas.

Anda juga dinasihat menyimpan koleksi buku anak-anak di bilik lain. Ini kerana ia boleh menjadi perangkap habuk. Permainan anak-anak yang boleh memerangkap habuk dan hama perlu disimpan dalam beg plastik berasingan. Bagi permainan kegemaran, basuhlah ia sekerap mungkin.

Selain itu, kulapuk dan kulat pula boleh membiak di permukaan lembap seperti bilik mandi dan bilik bawah tanah. Seperti debunga, kulapuk membiak dengan melepaskan debunga di udara. Dalam hal ini, kanak-kanak yang sensitif dengan debunga kulapuk, boleh mendapat alahan termasuk lelah.

Sehubungan itu, pastikan bilik air mempunyai peredaran udara yang baik dengan kebocoran dan kerosakan diperbaiki segera. Selain itu, tanggalkan kertas dinding dan karpet dinding di bilik air dan bilik bawah tanah; elak pokok hiasan; ganti atau cuci langsir pancuran; tukar marmar yang sudah berkulat di siling dan periksa paip bocor yang menyebabkan kehadiran kulat.

Seperkara lagi, haiwan juga boleh menjadi punca alahan. Kajian menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada mereka yang menghidap lelah, alah kepada haiwan. Ini kerana tubuh memberi tindak balas protein tertentu terhadap air liur, air kencing atau sel mati haiwan terbabit.

Bulu haiwan bagaimanapun tidak menyebabkan alahan, tetapi ia memerangkap hama, debunga dan kulapuk. Haiwan yang dikurung seperti burung akan menghasilkan najis yang menarik kulapuk dan habuk.

Jika anda memiliki haiwan peliharaan di rumah dan anak-anda alah kepadanya, saranan terbaik ialah mendapatkan kediaman baru untuk haiwan terbabit.

INFO: Lima langkah mudah kurangkan risiko alahan

Alas semua tilam anak anda dengan cadar bersih
Simpan semua permaidani
Kurangkan habuk
Hapuskan serangan haiwan perosak
Jadikan kediaman zon bebas merokok

Sumber

Membina Idealisme, Memahami Realiti

Memiliki idealisme adalah sesuatu yang amat dituntut. Idealisme dalam maksud yang luas tidak sekadar lahir daripada idea-idea manusia, tetapi pedoman daripada ALLAH. Membina idealisme mengarah kepada suatu faham yang serba sempurna terhadap sesuatu dan ia menjadi idaman setiap manusia.

Idealisme perlu berjejak di bumi nyata. Pemahaman terhadap realiti atau waqi’ adalah amat penting supaya sesuatu yang murni dihajatkan berlaku dapat diimbangi dengan pemahaman terhadap realiti itu sendiri. Ia bakal melahirkan strategi bijaksana supaya antara matlamat dan usaha ke arah sesuatu, mampu menemui titik keseimbangannya.

Seseorang yang sifatnya idealis perlu menjadi realis. Gandingan kedua-duanya menghasilkan kebijaksanaan. Bersifat idealis tanpa memahami realiti boleh menyebabkan seseorang kehilangan tempat berpijak, arah dan sasaran.

Idea-idea besar dan indah memberi sumbangan kepada ketangkasan berfikir. Tetapi apabila ingin dilaksanakan ia menuntut perancangan rapi, bekalan sumber tenaga yang kompeten, sumber kewangan baik dan strategi bijaksana.

Hijratul Rasul umpamanya adalah gagasan besar daripada ALLAH untuk melonjakkan Islam sebagai sumber rahmah alamiah (rahmatan lil ‘alameen). Rasulullah SAW melakukan itu dengan perancangannya sendiri dan bantuan daripada ALLAH. Cita-cita besar Rasulullah SAW ialah untuk menyebarkan aqidah tauhid dan menjadikan Islam sebagai agama anutan umat manusia.

Tetapi usaha Rasulullah terhalang dengan sikap pemuda Quraisy yang akhirnya merancang membunuh Baginda. Walaupun aqidah tauhid sesuatu yang murni dan Islam itu aman dan mendamaikan, tetapi realiti yang ada ialah penentangan dan kezaliman.

Strategi Hijratul Rasul itu membimbing ke arah kebijaksanaan dan kemenangan bersama campur tangan ALLAH. Meletakkan Saidini Ali di tempat tidur Rasulullah, keluar pada waktu malam ke Gua Thur yang berada di Selatan Mekah disertai oleh Saidina Abu Bakar AsSiddik orang yang amat dipercayai, bersama sumbangan anak Abu Bakr iaitu Abdallah dan Asma’ yang memberikan maklumat pergerakan musuh dan makanan adalah perancangan Rasulullah. Terlenanya pemuda Quraisy sewaktu Rasulullah meninggalkan rumah, terbinanya sarang labah-labah yang mengelirukan musuh adalah pertolongan ALLAH.

Meminta seorang Yahudi memandu jalan ke arah Madinah adalah strategi bijaksana. Terbenamnya kaki kuda Surakah bin Malik di pasir sewaktu mengejar Rasulullah adalah perancangan ALLAH. Akhirnya Rasullah sampai ke Madinah dan membina masjid di tempat unta berhenti. Ia menjadi turning-point atau titik penting ke arah perubahan lebih bermakna.

Dalam bahasa mudah merancang ke arah perubahan tidaklah salah. Mengatur strategi bijaksana dengan pertolongan ALLAH, itulah yang seharusnya menjadi pedoman. Islam ialah agama perubahan dan perubahan yang ingin berlaku menuntut usaha dan perancangan.

Oleh itu memiliki idealisme atau gagasan cita-cita tidaklah salah. Memahami realiti menjadi tuntutan yang tidak boleh dielakkan dan perubahan tidak boleh berlaku secara mendadak. Ia kena dirancang dan mengambil kira banyak perkara.

Asas perubahan bermula dengan pemerkasaan ilmu dan keterampilan. Keterampilan yang didapati mestilah mampu memberi nilai guna yang baik. Jika ini terjadi corak modal insan yang terbina memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan bermakna.

Perubahan yang bermakna mengikut acuan al-Quran ialah perubahan terhadap rijal atau manusia itu sendiri. Manusia perlu dibangunkan aqidah, ibadah, syariah dan akhlaknya. Keseimbangan terhadap corak pembangunan yang Qurani ini bakal mencetuskan perubahan diri dan sistem lebih bermakna. Tidak ada jalan singkat dalam melakukan perubahan.

Namun, realiti yang sering berlaku ialah gagasan besar tanpa asas pemahaman terhadap realiti menyebabkan kebebangan terjadi. Ibarat pelanduk yang ingin berak besar seperti gajah, teran punya teran keluar najis sebesar biji saga lalu pelanduk mengalami kebebangan. Impiannya tinggi tetapi tidak mampu mengukur baju di badan sendiri.
 
Sumber

Siapa Mudah Dipengaruhi Syaitan?

Permusuhan syaitan dengan manusia tidak akan berubah. Ia berlaku lantaran pengusirannya dari syurga serta kutukan yang diterimanya, gara-gara bapa seluruh manusia iaitu Nabi Adam AS. Tujuan utama dan sasaran terakhir syaitan ialah untuk melemparkan manusia ke dalam neraka dan menjauhkan mereka dari syurga.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Al Fathir: 6).

“Dia (Iblis berkata), “Terangkanlah kepada ku inikah orang yang Engkau muliakan atas diri ku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepada ku sampai Hari Kiamat, nescaya benar-benar aku akan sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.” (Surah Al-Isra’: 62).

Sebahagian kecil yang dimaksudkan ayat merujuk kepada golongan beriman lagi bertakwa. Kebanyakan ulama mengajar ilmu tasawuf membicarakan akhlak dari sudut nafsu. Mereka kurang menghuraikan musuh manusia yang utama iaitu syaitan. Antara paling jelas seperti ditekankan oleh ulama sufi-falsafah iaitu Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin.

ALLAH memperingatkan manusia kewujudan syaitan dan memerintahkan mereka agar berlindung daripadanya. Rasulullah SAW pada awal khutbah bersabda, “Dan kami berlindung kepada Allah daripada kejahatan nafs (diri) dan keburukan amal kami.” Jadi ketika membicarakan akhlak, ulama tasawuf harus memberi perhatian untuk memerangi syaitan.

ALLAH sediakan dua jenis makhluk untuk mendampingi manusia sepanjang masa iaitu malaikat dan syaitan. Muslim dan Ahmad mentakhrij daripada Ibnu Masud, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah ada salah seorang antara kalian melainkan diserahi pendampingnya daripada jenis jin dan daripada seorang pendampingnya daripada malaikat.” Mereka bertanya, “Begitu juga engkau wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Begitu juga aku. Tetapi Allah menolong ku dalam menghadapi jin, hingga aku terselamat dan tidak menyuruhkan kecuali kepada kebaikan.”

Pendamping manusia

Iblis dan syaitan sebenarnya berasal daripada makhluk yang serupa dengan hantu iaitu jin. Iblis ialah ketua syaitan akan terus hidup sampai hari kiamat. Jin kafir ialah syaitan. Jin Islam yang jahat dengan tipu daya dan mengganggu manusia juga adalah syaitan. Maksud jahat ialah menyesatkan manusia dengan pelbagai cara dengan mencemar kehidupan dan kerohanian manusia.

ALLAH SWT dan Rasulullah SAW mengajak manusia kepada pertunjuk dan keimanan. Jin pendamping manusia atau qarin ialah kategori syaitan. Ia tidak dapat mempengaruhi manusia yang benar-benar beriman lagi bertakwa. Orang ini ialah orang yang ikhlas sama ada dari segi kehidupannya dan kerohaniannya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Wahai Rabbku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba Engkau yang ikhlas antara mereka.” (Surah Al Hijr: 39-40).

Untuk menjadikan seluruh amalan kehidupan dan kerohanian ikhlas kerana ALLAH, perlukan kepada elemen utama iaitu berdasarkan kepada keimanan yang benar. Pemfokusan keseluruhan amalan perlu berpaksikan kepada dua kalimat syahadah. Maksudnya sesuatu perbuatan ibadah itu diamalkan ikhlas kerana ALLAH dan ia harus benar seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.

Sebagai pendamping manusia, malaikat dan qarin saling bersaing. Malaikat pendamping menganjurkan manusia kepada kebaikan. Sebaliknya jin kafir pendamping bertugas bermati-matian menghasut agar manusia mengingkari perintah ALLAH dan berbuat maksiat.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Barang siapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (Surah Al Zukhruf: 36).

Maksud maksiat secara umum ialah tidak taat kepada Allah iaitu dengan meninggalkan suruhan-Nya serta melanggar larangan-Nya. Ia meliputi dosa besar mahupun dosa kecil. Tipu daya syaitan bukan sahaja meliputi lingkungan ibadah tetapi kehidupan manusia secara keseluruhan.

Mereka yang sering meremehkan perintah ALLAH ialah orang yang dalam hatinya ada penyakit. Pendusta (termasuk mereka yang menyembunyikan kebenaran) serta orang yang banyak dosa amat disukai syaitan seperti firman ALLAH dalam Surah Asy-Syu’araa: 222.

Sebahagian orang menyangka amalan mereka benar padahal ia menyimpang dari petunjuk seperti firman ALLAH maksudnya, “Dan sesungguhnya syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka mereka mendapat petunjuk.” (Surah Az-Zukhruf: 37).

Senjata mukmin

Terdapat beberapa cara bagi membentengi diri daripada bisikan dan godaan syaitan. Pertama lengkapkan diri dengan ilmu dengan berguru kepada guru agama yang benar ilmunya. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan bahawa Yang Kami perintahkan ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kalian mengikut jalan yang lain, kerana jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintah kepada kalian agar kalian bertakwa.” (Surah Al-An’am: 153)

Inilah cara yang paling utama untuk berlindung daripada syaitan iaitu dengan memberi komitmen secara bersungguh-sungguh terhadap Quran dan Sunnah. Syaitan tidak mengganggu orang yang sering berlindung kepada ALLAH seperti dinyatakan dalam Surah al-A’raf ayat 199-120 dan Surah al-Mukminun ayat 97-98.

Rasulullah SAW sentiasa mohon perlindungan ALLAH daripada syaitan pada pelbagai tempat dan keadaan. Syaitan tidak mampu menghasut orang yang sentiasa berzikir kepada ALLAH.

Maksud zikir sangat luas, bukan terbatas kepada solat, membaca al-Quran dan kalimah wirid sebagaimana dicontohkan Rasulullah SAW. Zikir juga bermaksud mendengar ceramah atau membaca buku bertujuan menambah ilmu agama dan mendekatkan diri kepada ALLAH. Hidup secara islamik dan dalam lingkungan orang bertakwa dibenci syaitan. Ini seperti dinyatakan Rasulullah dalam hadis, “Barang siapa antara kalian yang inginkan kesenangan hidup di syurga, maka hendaklah ia mengikut jemaah. Sesungguhnya syaitan itu bersama satu orang dan dia semakin jauh daripada dua orang.” (Riwayat at-Tarmidzi).

Orang yang sering bermuhasabah dan bertaubat sepanjang hayatnya tidak disukai syaitan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang bertakwa apabila mereka ditimpa waswas daripada syaitan, mereka ingat kepada ALLAH, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan mereka.” (Surah al-A’raf: 201).

Sumber

Syirik Runtuhkan Akidah, Hancurkan Ibadah

Semua orang yang beriman berkehendakkan amalan yang dikerjakannya bernilai dan diterima oleh Allah SWT. Amalan yang dilakukan akan dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak batal. Amalan yang terbatal tentunya tidak mempunyai nilai. Iia hanya sia-sia seumpama debu-debu yang berterbangan. Antara perkara yang boleh membatalkan aqidah kita ialah syirik kepada Allah SWT.

Syirik boleh terjadi dengan dua keadaan. Pertama adalah menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Ia dikenali sebagai syirik kecil. Ini termasuklah menyembah dan menyamakan Allah SWT dengan batu, pokok, matahari, bulan, Nabi, pemimpin, malaikat dan sebagainya.

Syirik merupakan dosa yang paling besar berbanding dosa-dosa besar yang lain. Ia boleh meruntuhkan akidah seseorang. Apabila akidah telah runtuh, maka ibadah yang dilakukan sia-sia dan tidak berguna sama sekali.

Lebih dahsyat dari itu ialah dosa syirik tidak diampunkan dosa oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (an-Nisa': 48).

Jelas daripada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengampunkan dosa-dosa orang yang telah melakukan syirik kepada-Nya. Namun, sekiranya orang yang melakukan syirik itu sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum meninggal dunia, maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengampun, dia akan diampunkan dosa walaupun telah melakukan syirik.

Manakala orang yang tidak sempat bertaubat setelah mengerjakan dosa syirik tidak akan diampunkan dosa.

Dengan kata lain, dia kekal dalam seksaan neraka selama-lamanya. Adapun mereka yang melakukan dosa-dosa yang lain walaupun tidak sempat bertaubat, akan diampunkan dosa-dosa mereka setelah melalui tempoh hukuman di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.  Inilah pandangan yang dikemukakan oleh para ulama termasuk Imam Az-Zahabi dalam kitab terkemukanya, Al-Kabair.

Antara amalan-amalan yang boleh membawa kepada berlakunya syirik ialah mempercayai dukun atau bomoh dan meminta pertolongan daripada mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menemui tukang tilik atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka, lalu dia mempercayai apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW." (Riwayat Ashabus Sunan).

Amalan bertemu dengan dukun, pawang dan bomoh banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya disebabkan sikap permusuhan yang membuahkan perasaan cemburu dan iri hati yang tidak berkesudahan. Lantas, jalan singkat untuk menjatuhkan dan menghancurkan kehidupan musuhnya ialah dengan meminta pertolongan bomoh yang sesat.

Di samping itu, kepercayaan bahawa pada tarikh dan bulan tertentu boleh membawa malang dan sial juga boleh membawa kepada syirik. Ini adalah kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa menentukan segalanya. Ia tiada kaitan dengan detik dan masa tertentu.

Perbuatan lain yang boleh menyebabkan berlakunya syirik menggunakan atau memakai barangan tertentu untuk mendapat tuah atau menghalang sial. Ini termasuklah memakai tangkal atau azimat yang dipercayainya boleh menyembuhkan penyakit, pelaris perniagaan, ilmu kebal dan sebagainya.

Begitu juga yang menggunakan alatan seperti keris, tengkorak dan barangan mistik yang lain untuk dipuja bagi meraih sesuatu untuk keuntungan duniawi. Semua perbuatan ini juga dianggap syirik berdasarkan hadis Nabi SAW: "Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik". (riwayat Abu Daud).

Keadaan kedua yang boleh menyebabkan syirik ialah riak iaitu melakukan sesuatu ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi untuk mempamerkannya kepada manusia. Riak adalah sebuah penyakit hati yang berpunca dari perasaan ingin dilihat hebat melebihi orang lain. Lalu ditunjuk-tunjukkan amalannya supaya orang yang melihatnya menyanjungi dan memujinya.

Riak juga dikenali sebagai syirik kecil. Ini adalah kerana orang yang melakukan amalan dengan hati yang riak seolah-olah melakukan amalan untuk orang lain, bukan untuk Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka barang siapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan Tuhannya hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh (baik), dan janganlah mempersekutukan sebarangpun dalam beribadah kepadanya. (al-Kahfi: 110)

Nabi SAW bersabda: "Jauhilah kamu dari syirik yang kecil." Lalu para sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu?" Nabi SAW menjawab: "Riya.'" (riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Ini bermakna, apabila seseorang itu melakukan sesuatu amalan dengan riak, maka amalannya sudah tidak bermakna lagi kerana ia tidak mendatangkan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: Dan kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amalan itu seperti debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23).

Sumber

Bacaan Na : Suami Isteri Idola

Daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Di antara sumber kebahagiaan anak Adam itu tiga perkara, manakala di antara punca kecelakaan anak Adam itu juga tiga perkara. Tiga sumber kebahagiaan mereka adalah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang baik. Manakala punca kesengsaraan mereka pula adalah isteri yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan yang tidak menyenangkan.

Menurut Abdul Aziz( Pensyarah di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Abdul Aziz Abdul Samad ) ,

1. Isteri yang solehah yang disebutkan dalam hadis itu bermaksud patuh dan taat kepada perintah Allah, Rasul malah perintah daripada para suami juga perlu ditaati isteri selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat agama.

2.  Manakala yang dimaksudkan dengan tempat tinggal yang baik pula ialah di dalamnya dilakukan aktiviti ketaatan kepada Allah dan Rasul.  Contohnya solat, membaca al-Quran, melaksanakan ibadat dan begitu juga dengan wirid. Di samping itu juga rumah yang baik juga adalah rumah yang dikunjungi oleh tetamu.  "Rumah yang di dalamnya tidak ada bacaan al-Quran seumpama tanah perkuburan. Oleh kerana itu, isteri yang baik daripada keluarga yang baik mereka akan melakukan ketaatan di dalam rumah-rumah mereka.

3. "Sementara itu, kenderaan yang baik pula bermaksud, kenderaan yang digunakan kepada ketaatan kepada Allah ataupun kenderaan tersebut bergerak kepada jalan-jalan kebaikan bukan sebaliknya," kata Abdul Aziz pada slot pertama seminar tersebut.

"Sebenarnya, apabila kita memahami ilmu, kita akan sedar sebenarnya ada panduan yang jelas berkaitan kebahagiaan. Ini kerana ilmu yang datang kepada kita adalah berpandukan kepada al-Quran manakala dijelaskan menerusi hadis. "Sekiranya kita berpandukan kepada al-Quran dan hadis, walau hebat mana cabaran duniawi itu, kita tidak akan mudah diperdayakan oleh kesenangan di dunia semata-mata," ujar Abdul Aziz.

Artikel lengkap, Klik di sini

Pencipta Tanda Baca Al-Quran

AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu dalam bentuk hafalan. Rasulullah tidak tahu membaca dan menulis untuk membuat catatan bagi setiap wahyu yang diterima.

Ada hikmahnya kenapa baginda dizahirkan ke dunia oleh Allah sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Antaranya tentulah supaya umat yang diseru kepada Islam dan agar beriman kepada kalamullah tidak akan menganggap al-Quran hasil karangan baginda.

Ayat-ayat al-Quran itu sendiri terlalu indah dan tidak mampu diatasi oleh susunan bahasa hasil karya para sasterawan sejak dulu hingga kiamat.

Bukan sahaja setiap ayat tetapi juga setiap huruf ada kekuatan dan manfaatnya kepada manusia yang beriman dan bertakwa.

Sebenarnya, bukan tidak ada catatan ayat-ayat al-Quran dibuat tetapi ia sangat terhad dan catatannya pula dibuat pada belulang, kayu, batu, pelepah tamar dan sebagainya oleh para penulis wahyu, pada umumnya untuk simpanan peribadi.

Rata-rata pemilikan ayat-ayat al-Quran pada waktu itu adalah dalam bentuk hafalan. Kebetulan ayat-ayat al-Quran pula diwahyukan kepada baginda secara berperingkat-peringkat dan pendek. Secara tidak langsung ia mudah diingat.

Cara yang betul dan tepat bacaan al-Quran pula dirujuk kepada baginda oleh para penulis wahyu serta para sahabat ketika baginda belum wafat manakala baginda pula bertadarus dengan Jibril bagi membetulkan bacaan.

Semasa hayat baginda, soal ketepatan bacaan al-Quran tidak menjadi masalah. Tetapi bila baginda wafat, diikuti pula dengan kematian sahabat-sahabat besar dan penulis wahyu, mahu tidak mahu akan timbul masalah kerana bahasa Arab sendiri ada pelbagai loghatnya.

Disebabkan bimbang generasi di luar era hayat para sahabat akan terpisah daripada al-Quran, maka para sahabat telah mencadangkan supaya ayat-ayat al-Quran dibukukan. Ia dilaksanakan pada era Uthman Affan sebagai khalifah. Uthman adalah antara penulis wahyu.

Bagaimanapun ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para penulis wahyu tanpa titik dan tanpa baris. Kepada bangsa Arab tentulah ia tidak menjadi masalah kerana al-Quran ditulis dalam bahasa mereka walaupun loghatnya berbeza.

Namun, ia mendatangkan masalah kepada umat Islam yang bukan berbangsa Arab. Islam diturunkan kepada semua manusia, tidak hanya terhad kepada bangsa Arab sahaja.

Dalam pada itu, timbul perbezaan lahjah dan menimbulkan pelbagai qiraat di kalangan bangsa Arab sendiri berdasarkan loghat masing-masing. Pada tahun 200 Hijrah muncul ahli qiraat yang tidak terhingga banyaknya. Antaranya qiraat Ibnu Mas'ud.

Sebagaimana yang telah dicatatkan di atas, al-Quran pada mulanya ditulis tanpa titik dan baris. Pun begitu ia tidak mempengaruhi bacaan kerana para sahabat dan tabi'en adalah orang yang fasih dalam bahasa Arab.

Sebab itu mereka dapat membaca dengan baik dan tepat. Tetapi setelah agama Islam tersebar luas dan dianuti oleh kalangan yang bukan berbangsa Arab, sulit bagi mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab untuk membaca dengan baik dan tepat.

Jika keadaan itu kekal, tentu ia menimbulkan kesalahan bacaan 'ain di kalangan mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab. Justeru Abul Aswad mengambil inisiatif memberi tanda-tanda dalam al-Quran dengan tinta yang berlainan warnanya dengan tulisan al-Quran.

Tanda-tanda itu adalah titik di atas bagi fathah, titik di bawah untuk kasrah, titik di sebelah kiri untuk dhammah dan dua titik untuk tanwin. Usaha murni itu dilakukan pada era kekhalifahan Muawiyah.

Pada era khalifah Abdul Malik bin Marwan (685-705 Masehi), Nasyir bin Asyim dan Yahya bin Ya'mar menambahkan lagi tanda-tanda untuk huruf-huruf yang bertitik dengan tinta yang sama dengan tulisan al-Quran.

Ia untuk membezakan antara maksud dari titik Abul Aswad Ad-Duali dengan titik yang baru. Titik Abul Aswad adalah untuk tanda baca dan titik Nasyir bin Asyim adalah titik huruf.

Cara penulisan jenis ini tetap berlaku pada era pemerintahan Bani Umaiyyah dan pada permulaan era pemerintahan Bani Abbasiyah. Malah telah dipakai pula di Sepanyol sampai pertengahan abad ke-4 Hijrah.

Kemudian ternyata bahawa cara pemberian tanda seperti itu menimbulkan kesulitan kepada para pembaca al-Quran kerana terlalu banyak titik yang mana titik-titik itu lama kelamaan hampir menjadi serupa warnanya.

Maka Al-Khalil mengambil inisiatif membuat tanda-tanda yang baru iaitu huruf wau kecil dibuat untuk tanda dhammah, huruf alif kecil untuk tanda fathah, huruf ya kecil untuk tanda kasrah, kepala huruf sin untuk tanda syaddah, kepala huruf ho untuk sukun dan kepala huruf 'ain untuk hamzah.

Berteraskan itulah maka tanda-tanda bacaan al-Quran dipermudah, dipotong dan ditambah sehingga menjadi bentuk seperti sekarang dan dapat dibaca dengan baik dan tepat oleh setiap umat Islam yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab.

Justeru amat patut jika setiap kali membaca al-Quran, kita sedekahkan al-Fatihah dan Qul-Huallah kepada Abul Aswad, Nasyir, Yahya dan Al-Khalil kerana inisiatif mereka mencipta tanda bacaan al-Quran, maka umat Islam sehingga kiamat dapat membaca al-Quran dengan baik dan tepat.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mereka mendapat kemuliaan di alam barzakh dan di akhirat.

Sumber

Kesan Fibroid Terhadap Kehamilan

Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Bagi wanita, mengetahui sesuatu yang asing sedang tumbuh dan membesar di dalam rahimnya merupakan perkara yang merunsingkan. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun.

Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid.

Kehamilan dan fibroid

Fibroid biasanya terdapat dalam kalangan wanita pada usia subur. Maka tidak hairanlah fibroid ditemui dalam kalangan wanita hamil. Kadang-kadang fibroid boleh menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa seseorang itu hamil. Ada fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada yang tidak. Akan tetapi, kebanyakan fibroid tidak akan membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid bergantung pada aras hormon estrogen di dalam badan. Kesan kehamilan terhadap fibroid mungkin bergantung pada faktor genetik dan juga aras faktor pertumbuhan yang terdapat di dalam darah yang mungkin boleh mengawal pertumbuhan fibroid tersebut.

Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70 peratus wanita hamil tersebut tidak mengalami pembesaran fibroid semasa hamil.

Sebanyak 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid, dan fibroid ini didapati membesar dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang berada pada aras yang tinggi ketika awal kehamilan.

Hanya segelintir wanita hamil yang diketahui mempunyai fibroid ketika menjalani ujian imbasan ultrabunyi dan kebanyakan wanita yang menghidap fibroid jarang mengalami masalah ketika hamil. Walaupun fibroid didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar kerana fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak.  Pasti ramai di kalangan wanita hamil akan tertanya-tanya adakah fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah.

Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala. Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik. Ia juga untuk membantu ibu supaya tidak mengalami keguguran dan kesakitan semasa hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu juga berpeluang mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak mengalami perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi.

Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin berlaku. Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi.

Keguguran

Hal ini berlaku disebabkan oleh kesan fibroid jenis submukosa yang membesar di dalam kaviti (rongga) rahim. Apabila pembesaran berlaku, fibroid ini akan menyebabkan lapisan rahim, iaitu bahagian bagi penempelan janin menjadi nipis dan menghalang bekalan darah yang mencukupi untuk tumbesaran janin tersebut. Selain itu, fibroid juga akan menyebabkan inflamasi di lapisan penempelan dan mengakibatkan janin tidak dapat menempel dengan baik dan hal ini akan menyebabkan keguguran.

Kelahiran pramatang

Keadaan ini berlaku kerana fibroid yang makin membesar semasa janin dalam kandungan membesar akan menyebabkan rahim membesar pada masa yang sama. Keadaan ini lebih kerap berlaku bagi fibroid yang berada di bahagian bawah rahim yang pada masa yang sama boleh menekan kepala bayi yang belum matang. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita tersebut mengalami kontraksi (kesakitan bersalin) lebih awal sebelum waktu yang sepatutnya.

Pembesaran fibroid

Ketika hamil, kebanyakan hormon akan dihasilkan oleh uri (plasenta) dan kebiasaannya menyebabkan peningkatan aras hormon estrogen. Peningkatan aras hormon estrogen yang tinggi akan menyebabkan pembesaran fibroid yang mungkin secara mendadak.

Jika pembesaran fibroid berlaku terlalu cepat, salur darah yang membekalkan nutrien kepada fibroid mungkin tidak boleh membekalkan oksigen yang mencukupi kepada tisu fibroid.

Jadi, sebahagian fibroid yang tidak mendapat bekalan darah akan mengalami degenerasi atau dikenal sebagai 'degenerasi merah' (red degeneration).

Proses degenerasi ini akan menyebabkan wanita yang sedang hamil mengalami kesakitan. Biasanya, kesakitan ini akan hilang dalam jangka masa yang pendek tanpa rawatan dan tidak akan mendatangkan masalah kepada kandungan. Bagi wanita yang tidak dapat menahan kesakitan, mereka boleh diberikan ubat penahan sakit jika perlu.

Kelahiran yang tidak normal

Kelahiran normal terganggu jika fibroid berada pada bahagian bawah rahim. Bentuk rahim juga mungkin akan berubah disebabkan kewujudan fibroid. Hal ini akan meningkatkan risiko kedudukan bayi tidak normal seperti melintang atau songsang.

Bayi yang berada dalam keadaan melintang atau songsang terpaksa dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Wanita yang mempunyai masalah sebegini akan diberikan tarikh tertentu bagi pembedahan Caesarean secara terancang.

Pendarahan yang banyak selepas melahirkan bayi

Rahim akan mengalami masalah untuk mengecut. Keadaan ini merupakan salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pakar perbidanan akan memberikan suntikan ubat yang kuat untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.

Rawatan fibroid ketika hamil

Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam bentuk suntikan. Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak dilakukan pada masa yang sama.

Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar dikawal. Keadaan ini berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak dan besar di bahagian rahim ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil. Pembedahan hanya boleh dilakukan selepas ibu melahirkan anaknya, sekiranya fibroid tersebut berbahaya jika tidak dibuang. Oleh itu, lazimnya saiz fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila aras hormon kembali normal.

Sumber

Kualiti Ereksi Gambarkan Tahap Kesihatan

Sebelum  ini ada laporan pernah mendedahkan ramai wanita menganggap aktiviti seks hanya untuk mendapat zuriat tanpa perlu memikirkan soal kepuasan.

Hakikatnya, seks lebih daripada itu. Ia lebih daripada sekadar mendapatkan zuriat. Sebab itu dalam setiap perlakuan seks perlu mengambil kira kemuncak kepuasan bagi setiap pasangan.

Walaupun kebanyakan wanita menganggap soal kepuasan seks merupakan perkara biasa, tetapi sebenarnya ia juga adalah hak mereka.

Bagi kebanyakan lelaki pula, mereka percaya aspek fizikal dalam hubungan seks seperti kualiti ketegangan atau ereksi dapat memberi kepuasan kepada pasangan masing-masing.

Sebenarnya perkara ini merupakan sesuatu yang serius untuk diperbincangkan bagi kebanyakan pasangan iaitu ketegangan atau ereksi bukanlah sesuatu yang dianggap enteng.

Menurut kaji selidik Seks Yang Ideal Pfizer 2011, pasangan Asia bersetuju sepenuhnya bahawa kualiti ereksi serta kebolehan untuk mengekalkan ketegangan adalah kriteria penting dalam mencapai pengalaman seks yang ideal.

Menurut Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan secukupnya. Tambahnya, saluran darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat.

“Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah,” ujarnya ketika ditemui ketika sesi bersama media yang dianjurkan oleh Pfizer bagi membincangkan keputusan Kaji Selidik Seks Ideal 2011 baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, kepuasan seks merupakan satu yang begitu subjektif dan berbeza-beza kepada setiap pasangan mengikut umur.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun pula berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sebenarnya, dalam situasi ini, sekiranya setiap pasangan memenuhi keinginan seks, mereka akan rasa lebih disayangi.

“Tetapi perlu diingatkan usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar. Malah selagi pasangan sihat anda akan merasai kepuasan seks.

“Tidak kira tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” ujarnya.

Begitupun, hari ini, apabila membicarakan mengenai tahap kepuasan seks bagi setiap pasangan, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat satu ukuran untuk menentukan ereksi iaitu menerusi Skala Ketegangan Ereksi atau EHS (Erection Hardness Scale).  Ukuran ini dapat menentukan sama ada seseorang lelaki itu mengalami masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk. EHS digunakan untuk menyukat ketegangan ereksi semasa hubungan seks.

Gred 4 merupakan keadaan ereksi paling optimum yang memberikan kepuasan seks sebenar untuk pasangan mereka. Dalam pada itu, golongan doktor juga sering menggunakan ukuran ini bagi memantau hasil rawatan ke atas setiap pesakit mereka. Ketegangan paling maksimum dapat dicapai pada Gred 4 iaitu zakar tegang dan keras sepenuhnya.

Kualiti ereksi sebenarnya melibatkan nilai dan harga diri untuk lelaki dan wanita. Apabila kedua-dua lelaki dan wanita mendapat kepuasan seks, keperluan emosi dan psikologi mereka juga turut dicapai.

Lelaki Malaysia yang meletakkan mereka di gred yang teratas mengikut skala EHS mempunyai keyakinan dan imej diri tiga kali ganda lebih daripada rakan yang kurang bertenaga dan berkebolehan di negara lain.

Tetapi bagaimana pula mereka yang tidak mencapai ketegangan tahap yang memuaskan? Menurut kaji selidik tersebut, 25 peratus daripada kaum lelaki Malaysia menilai ketegangan mereka pada gred 3 EHS.

Ini menunjukkan keadaan kesihatan yang lemah atau sederhana jika dibandingkan 17 peratus responden dengan penilaian gred 4. Penemuan itu penting kerana ketegangan separa optimum selalu dikaitkan dengan penyakit jantung ischemic.

Kebanyakan orang tidak menyedari kualiti ereksi lemah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung. Akibat peningkatan tahap kolestrol dan kencing manis, saluran darah akan disekat oleh bahan berlemak di sepanjang permukaan arteri.

Saluran menjadi keras dan sempit mengakibatkan kurang pengaliran darah kepada organ-organ penting yang lain.

Lagi pula saluran darah yang sampai ke organ seks lelaki adalah lebih kecil dibandingkan dengan saluran lain.
Oleh itu apabila ia mengalami kesulitan, bahagian tubuh yang lain juga akan turut terjejas terutamanya di bahagian jantung.

Mengambil kira kualiti ereksi dan mendapatkan rawatan awal menerusi perundingan dengan pakar perubatan bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman seks bahkan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Sekiranya berhadapan dengan masalah ini, setiap pasangan perlu membincangkannya secara terbuka. Isu ereksi berkualiti tidak harus ditolak begitu sahaja kerana selain menjejaskan hubungan intim ia boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan kesihatan.

Sumber

Kelakar Tapi Betul...Hehehe...

Na dapat dari FB adik na...

Monday, December 12, 2011

Pemandu Cekap Letak Kereta di Ruang Sempit

SIRI urutan gambar di New York menunjukkan seorang pemandu meletak kereta sedan di ruang yang cuma boleh memuatkan sebuah kereta kompak. - YouTube

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu yang menunjukkan kecekapannya meletak kereta di ruang sempit menjadi sensasi di laman perkongsian video YouTube, lapor akhbar MailOnline.

Lelaki tidak dikenali itu meletak kereta sedan miliknya di ruang sempit yang cuma muat untuk sebuah kereta bersaiz kompak.

Malah, dia berjaya keluar dari ruang parkir sama tanpa mencalarkan bampar kenderaan di hadapan dan belakangnya.

Dia mengambil masa sekitar lima minit untuk meletakkan keretanya di ruang parkir berkenaan di sini baru-baru ini. - Agensi

Sumber

p/s- wahh, bilalah na nak jadi macam tur?..hehehe

Monday, December 5, 2011

LSD penyakit jarang ditemui

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

adawiyah.koh@utusan.com.my

ADNIN Baharudin, 11, dan Aqilah Baharudin, 9, sepatutnya membesar dan sama tinggi dengan kanak-kanak sebaya.

Namun, takdir tidak mengizinkan mereka melayari kehidupan seperti insan lain yang dibuai keseronokan meneroka keindahan alam kanak-kanak. Kanak-kanak comel ini menderita Mucopolysaccharidosis jenis IV A (MPS IV A) iaitu penyakit penyimpanan lisosom (LSD) yang berlaku pada kadar satu bagi setiap 7,700 kelahiran di sesetengah negara.

MPS IV A adalah sejenis penyakit menyerang kanak-kanak yang jarang berlaku disebabkan gangguan metabolik kerana kekurangan enzim dalam badan. Sewaktu dilahirkan, Adnin dan Aqilah adalah seperti bayi normal yang lain dengan berat 3.25 kilogram dan 3.3 kilogram.

Menurut ibu Adnin dan Aqilah, Nor Hayati Abdul Hamid, sehari sebelum menyambut ulang tahun Adnin yang ke-8 pada 15 April 2008, sindrom ini mula menyerang Adnin. Ketika itu, mereka menetap di United Kingdom bersama ibu bapa dan tiga adik beradik yang lain.

"Saya menyedari perubahan Adnin dan Aqilah apabila melihat tumbesaran mereka tidak sama seperti sepupu-sepupunya.

''Kemudian, saya dan suami merujuk masalah ini ke Klinik Genetik, Hospital City, Nottingham, United Kingdom,'' kata Nor Hayati yang juga Setiausaha Pertubuhan Penyakit Lisosomal Malaysia (PPLM).

Setelah ujian air kencing dan darah, doktor mengesahkan Adnin dan Aqilah menghidap MPS IV A. Rangkaian Mucopolyssaccharides gagal berfungsi menyebabkan mereka gagal untuk menerima enzim seperti seperti galactosamine-6-sulphate sulphatase nyebabkan pertumbuhan sel dalam tubuh badan mereka terganggu. Mereka juga tidak dapat membesar seperti kanak-kanak seusia.

Perubahan fizikal

Dalam pada itu, Adnin dan Aqilah mengalami perubahan fizikal seperti lutut dan dada mereka membengkok ke depan, dahi menonjol dan masalah sendi-sendi lain. Bahkan ramai yang mengatakan mereka adalah kembar seiras.

Adnin yang mengalami gangguan pada saraf tunjang telah pun menjalani pembedahan pada kakinya di United Kingdom. Pergerakan tangan dan kakinya dapat berfungsi dengan baik tetapi sering keletihan.

Bersyukur MPS IV A tidak memberi kesan kepada otak Adnin dan Aqilah, Nor Hayati memastikan mereka menerima pembelajaran yang sempurna di sekolah sama seperti rakan-rakan seusia.

"Cuma mereka tidak mengikuti aktiviti jasmani kerana tahap kemampuan fizikal mereka kurang daripada kanak-kanak yang lain.

''Tetapi dari segi pembelajaran, kedua-duanya tidak pernah ketinggalan,'' katanya.

Aqilah yang mengalami injap jantung rosak dan lemah menjalani pembedahan membetulkan saraf dan tulang lutut di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini. Manakala pembedahan Adnin akan menyusul kemudian.

Bagi Nor Hayati, penyakit LSD seperti MPS bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Bagaimanapun kebanyakan ibu bapa tidak tahu mengenainya.

''Saya tidak pernah menganggap mereka kurang sempurna tetapi saya dan suami akan memastikan mereka mendapat layanan yang baik tanpa mengabaikan rawatan. ''Alhamdulillah, mereka mampu bergerak sendiri dan melakukan urusan harian tanpa bantuan orang lain," ujarnya.

Tambah Nor Hayati, Adnin dan Aqilah sedang menunggu keputusan untuk mendapatkan Rawatan Penggantian Enzim (ERT) iaitu rawatan sejenis cecair yang akan dimasukkan ke dalam badan bagi untuk menggantikan enzim baru dan yang menelan belanja RM1 juta seorang pesakit.

Pertubuhan

Pertubuhan Penyakit Lisosomal Malaysia (PPLM) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak pesakit dan mendidik orang ramai mengenai pelbagai jenis penyakit penyimpanan lisosom yang mengancam nyawa.

Terdapat lebih kurang 50 jenis penyakit LSD yang berbeza dan kebanyakannya memudaratkan kanak-kanak. Mereka kebiasaannya meninggal dunia pada usia muda malah kebanyakannya beberapa bulan atau tahun selepas kelahiran.

Disebabkan gejala penyakit LSD yang sangat bermasalah, para pesakit memerlukan penjagaan perubatan oleh doktor-doktor daripada pelbagai agensi. Akses kepada penjagaan dan perkhidmatan perubatan tersebut adalah sukar diperolehi bagi kebanyakan pesakit LSD. Untuk maklumat lanjut tentang PPLM, orang ramai boleh layari www.mymlda.com.

Sumber

Awas tempias bersin!

Oleh DATUK DR. ZULKIFLI ISMAIL

Jangkitan virus influenza, ada kalanya dikenali sebagai "flu", sangat mudah berlaku dan menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sengal otot, serta hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan batuk. Pada masa dahulu, masyarakat di negara tropika dan subtropika menganggap influenza hanya berlaku di negara barat yang beriklim lebih sejuk.

Bagaimanapun, sistem pemantauan influenza di Malaysia dan negara jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit di kalangan kanak-kanak. Sejak virus influenza yang biasanya terdapat dalam burung (A/H5N1) menjangkiti manusia di Asia Timur pada 1997, kerajaan telah menambah baik dan meluaskan pemantauan. Selain mengenal pasti virus jenis baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius, sistem pemantauan ini memberi maklumat yang berharga tentang siapa yang mendapat influenza dan bila jangkitan paling banyak berlaku. Di Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun dan memuncak antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini boleh membantu pihak berkuasa kesihatan dan doktor anda membuat keputusan yang lebih baik untuk mencegah influenza menerusi pemvaksinan dan untuk merawat jangkitan influenza di kalangan kanak-kanak yang lebih berisiko mengalami komplikasi serius.

Kita perlu mengubah tanggapan umum bahawa influenza bukan penyakit biasa dan bukan pula penyakit teruk. Virus influenza sentiasa tersebar di seluruh dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian ekonomi yang sangat besar, terutamanya dari segi kehilangan hari kerja dan sekolah, dan berjuta-juta kunjungan ke klinik. Dalam selang waktu yang tidak dapat diramalkan, virus influenza jenis baru boleh muncul, menyebabkan kebanyakan orang tidak mempunyai pelalaian untuk melindungi diri daripada ancamannya. Ini boleh mengakibatkan wabak global, seperti yang berlaku pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat Ogos 2010, lebih 214 negara telah diserang wabak H1N1, dengan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga bulan Mei 2010, sebanyak 14,772 kes H1N1 disahkan dengan 87 kematian dilaporkan.

Amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap, menutup mulut apabila bersin dan batuk, dan tidak keluar rumah apabila merasa tidak sihat, boleh membantu mengurang penyebaran influenza. Bagaimanapun, pada hakikatnya, tabiat ini sukar diamalkan, lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak dan dalam keadaan sesak. Cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan pemvaksinan tahunan.

Tempias bersin

Sebab utama influenza sangat mudah berjangkit ialah kerana ia boleh tersebar daripada seorang kepada seorang menerusi tempias daripada mulut apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin ataupun bercakap. Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara ini. Virus influenza boleh juga tersebar apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

Anda boleh menyebarkan influenza sebelum anda sendiri menyedari anda dijangkiti, kerana manusia boleh menjangkitkan virus ini kepada orang lain bermula satu hari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya. Orang yang dijangkiti boleh terus menjangkitkan virus ini kepada orang lain sehingga 5 hari selepas mereka jatuh sakit, iaitu apabila mereka mula menunjukkan gejala penyakit. Kanak-kanak yang dijangkiti influenza selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan juga cirit-birit.

Menjauhkan masalah

Jika dibiarkan dan tidak dikawal, virus influenza sering menyebabkan wabak di rumah, sekolah dan dalam masyarakat. Pemvaksinan adalah langkah paling penting yang anda boleh ambil untuk mencegah jangkitan influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksin influenza sentiasa dikemas kini untuk memastikan perlindungan daripada jenis virus yang sedang tersebar. Terdapat juga virus jenis utara dan jenis selatan, merujuk kepada wabak yang berlaku semasa musim sejuk di kedua-dua hemisfera. Inilah juga sebabnya kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza paling baru bagi 2010-2011 melindungi kita daripada tiga jenis virus – influenza A (H3N2 dan H1N1) dan influenza B – jenis yang paling biasa tersebar.

Tahukah anda bahawa jangkitan influenza juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang serius?

Sumber

Monday, November 28, 2011

Ujian ...Ujian...

Ini lah kehidupan...tak semua indah , tak semua manis...tetapi kepahitan dan kesakitan itu menyebabkan kehidupan na sebagai hamba Allah menjadi warna warni.....tidak semua dirancang menjadi kenyataan....adakalanya na terpaksa berusaha sehingga terasa tidak bermaya untuk mendapatkan sesuatu...namun, na memujuk diri, inilah dia....inilah tanda Allah masih memandang na....dalam kesulitan melanda,na masih boleh dikategorikan "bertuah" kerna segala kekusutan pasti ada jawapan disebaliknya....hanya sedikit Allah uji nurul ain!!! hanya sedikit jika dibandingkan orang lain....entah kenapa ana mula tersenyum...Bohong jika na tulis, tiada setitis air mata na keluar...bohong...cuma na bijak menyoroknya :)..

Cuma sekarang, na cuba melalui/ mengendalikan semua ujian dengan cara terbaik ameen . Dek ujian Allah ini, na yakin apa yang berlaku di dalam hidup ini adalah terbaik untuk diri na. Baik pahit, tapi itulah ubat mujarab untuk na....insyaallah......

p/s- Melihat ombak ganas menghempas di pantai  Ganu bagaikan merasaikan bagaimana Allah murka...astagfiruallah....semoga kami sentiasa menjadi hambaMu yang sentiasa menjauhi melakukan perkara yang menyebabkan Kau murka kepada kami...amenn

Sunday, October 23, 2011

Denyutan Menjadi ‘Rintihan’

APABILA ritma denyutan jantung anda tidak tetap atau dikenali sebagai pemfibrilan atrium (atrial fibrillation - AF), ia memberi isyarat anda perlu berhati-hati. Ini kerana, berbanding jenis strok lain, AF menyebabkan risiko diserang strok yang lebih parah iaitu lima kali ganda. Pesakitnya mungkin lumpuh atau meninggal dunia.



Dengan AF, risiko mendapat strok meningkat kerana kebuk atas jantung seseorang (atrium) tidak mengecut dengan efektif yang menjejas kelancaran pengaliran darah dalam jantung.

Ini menyebabkan darah bertakung dalam atrium dan apabila alirannya terganggu, pembekuan darah boleh berlaku. Darah beku yang terbentuk di atrium boleh terpisah dan bergerak melalui arteri terus ke otak dan menyebabkan strok.

Dua kajian dijalankan Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 2003 dan tahun ini menunjukkan ramai pesakit tidak menunjukkan gejala AF yang jelas. Ketika episod AF, sebilangan mereka mengalami sensasi debaran atau kelajuan di dada manakala pesakit lain mungkin pitam, pengsan atau pening.

Perunding Kanan Pakar Pulmonari dan Penjagaan Kritikal HKL, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai, berkata dalam kedua-dua kajian, kebanyakan pesakit mengadu sesak nafas disebabkan kadar denyutan jantung mereka yang laju dan tidak tetap.

Hasil kajian terbabit, kira-kira lima peratus pesakit yang menghidap AF pernah diserang strok.


“Strok memberi kesan terhadap berjuta-juta pesakit dan keluarga mereka di seluruh negara setiap tahun. Dianggarkan 15 juta orang di seluruh dunia menderita strok setiap tahun dengan lima juta meninggal dunia.

“Semakin meningkat usia, semakin tinggi risiko diserang AF. Mereka yang berusia 40 tahun ke atas terdedah kepada penyakit ini tetapi ia lebih banyak dihidapi individu berusia 60 tahun ke atas.

“Bagi pesakit yang menghidap AF, risiko mendapat strok lebih tinggi. Mereka yang mengalami gejala tertentu perlu berjumpa doktor untuk memastikan mereka tidak menghidap AF,” kata Dr Jeyaindran ketika ditemui dalam program anjuran Bayer HealthCare bertemakan ‘Strok: Dengar Kata Jantung Anda’ di ibu negara, baru-baru ini.

Program sempena Hari Strok Sedunia 2011 bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai AF, gangguan ritma denyutan jantung paling lazim serta risikonya terhadap strok.

Jabatan Ubat-Ubatan HKL terbabit dengan banyak percubaan klinikal antarabangsa dalam pemfibrilan atrium dan menarik minat penyelidik berkaitan AF apabila mereka menjadi salah satu pusat terbesar dengan pesakit paling ramai dalam percubaan kritikal. Ini menyebabkan lebih banyak percubaan kini dijalankan di HKL.

Di Malaysia, strok penyebab kematian ketiga terbesar selepas penyakit jantung dan kanser. Ia punca utama kecacatan parah, dan setiap tahun dianggarkan 40,000 rakyat negara ini menderita akibat penyakit itu. Kadar AF di Malaysia masih belum diketahui tetapi kejadian ini dijangka meningkat apabila populasi mengalami peningkatan usia dan faktor risiko AF yang sudah dikenal pasti tidak ditangani.

APAKAH AF?

Apabila ritma denyutan jantung tidak normal.
Degupan jantung yang tidak teratur.
Kadar degupan jantung sangat pantas iaitu 350-700 seminit.
Atrium tidak mengecut dengan efektif.

INDIVIDU/PESAKIT TERDEDAH AF

Darah tinggi
Diabetes
Paru-paru
Tiroid
Buah pinggang
Sesak nafas
Obes

SEBAB TERJADI AF

Mereka yang mempunyai sejarah sakit jantung.
individu yang minum arak/alkohol dan pneumonia.


GEJALA AF

Jantung berdebar
Lesu
Sakit dada
Pening kepala
Pengsan
Sesak nafas

FAKTOR RISIKO AF

Usia: lazimnya semakin usia bertambah, risiko AF meningkat.
Gender: AF lebih banyak dihidapi lelaki berbanding wanita.

Keadaan jantung:

masalah injap jantung.
serangan jantung.
kegagalan jantung berfungsi.

Faktor lain:

Diabetes.
Darah tinggi.

Matlamat merawat AF ialah mengembalikan ritma denyutan jantung yang normal dan tetap serta mengurangkan risiko serangan strok. Lazimnya ia dapat dilakukan dengan pengambilan ubat atau penggunaan rangsangan elektrik.

Jika dua usaha itu tidak membuahkan hasil, rawatan AF akan memfokuskan perlindungan daripada darah beku yang mungkin bergerak dari jantung ke otak, seterusnya mengelakkan strok. Untuk mengurangkan risiko strok, doktor boleh memberikan ubat untuk mencairkan darah atau antikoagulan yang berupaya mengurangkan risiko strok jika diambil dengan betul.

Pakar Perunding Kardiologi Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Azhari Rosman, berkata antikoagulan dengan warfarin berkesan mencegah strok pada pesakit yang menghidap AF dan ia rawatan standard sejak separuh abad lalu.

Bagaimanapun, terdapat banyak had dalam penggunaannya seperti pesakit perlu mengawal ketat diet mereka kerana warfarin bertindak balas dengan banyak jenis makanan lazim serta ubatan lain.

Pengambilan warfarin juga memerlukan pesakit ke hospital dengan kerap bagi menjalani pemantauan serta mengambil masa sekurang-kurangnya lima hari untuk mendapatkan kesan antitrombotik yang stabil.

“Kini terdapat beberapa antikoagulan oral baru yang berpotensi memberikan pesakit AF perlindungan lebih baik terhadap strok tanpa kesulitan. Satu antikoagulan jenis ini kini berada di pasaran dan dua lagi dalam perancangan yang mana satu daripadanya hanya perlu diambil sekali sehari,” katanya.

Risiko terjadinya pembekuan darah lebih tinggi jika anda menghadapi penyakit/masalah:

Denyutan jantung tidak seragam.
Darah beku terbentuk di saluran darah.
Darah beku di paru-paru.
Injap jantung tiruan; sama ada mengguna jenis mekanikal atau - bioprosthetik (sumber semula jadi)
Penyakit injap jantung.

Warfarin menghalang pembentukan darah beku yang baru dalam saluran darah dan menyekat darah beku yang sudah terbentuk daripada semakin membesar. Bagaimanapun, warfarin tidak berupaya melarutkan darah beku yang sudah terbentuk.

Vitamin K jejas kesan warfarin

Vitamin K membantu proses pembekuan darah. Oleh itu, vitamin K dalam makanan boleh menjejaskan kesan warfarin.
Makan makanan mengandungi terlalu banyak vitamin K boleh mengurangkan kesan warfarin.
Makan makanan mengandungi terlalu sedikit makanan vitamin K boleh menambahkan kesan warfarin.

Pastikan pengambilan jenis sayuran yang mengandungi vitamin K yang konsisten setiap hari.

Kandungan vitamin K yang tinggi:
Asparagus, bayam, brokoli, kailan, daun kucai, daun bawang, daun pasli, kacang soya, daun salad, kacang pistachio, ketumbar dan sawi hijau.

Kandungan vitamin K yang sederhana:
Minyak zaiton, kacang buncis, kacang pis, kubis merah, epal hijau dan kiwi.

Sumber

Sunday, October 16, 2011

Pembedahan Sendi Lutut

PEMBEDAHAN menggunakan artroskop berkembang dengan ketaranya seiring perkembangan teknologi kamera beresolusi tinggi, fiber optik dan skrin monitor berdefinisi tinggi. Teknologi ini dapat menghasilkan gambar lebih jelas dan tepat ketika pembedahan artroskopik. Ini membantu pakar bedah ortopedik melihat ke dalam sendi lutut lebih jelas, seterusnya melakukan diagnosis dan rawatan lebih tepat dan cekap.

Penciptaan implan dan peralatan artroskop berteknologi tinggi turut memudahkan dan mempercepatkan pakar bedah ortopedik melakukan pembedahan untuk merawat masalah di dalam sendi lutut.  Pembedahan artroskopik sendi lutut satu kaedah pembedahan secara memasukkan kamera bersaiz pensil ke dalam rongga sendi lutut melalui satu tebukan kecil pada kulit, yang mana kamera itu berfungsi sebagai mata kepada pakar bedah ortopedik untuk melihat di dalam rongga sendi dan seterusnya imej dalaman sendi lutut itu dapat dipapar pada monitor.

Peralatan artroskop untuk sebarang prosedur pembedahan pula dimasukkan ke dalam rongga sendi lutut melalui satu tebukan lain.

Pembedahan secara artroskopik teknik terkini untuk merawat kebanyakan masalah sakit di dalam sendi lutut. Antara masalah sendi lutut yang biasa dirawat secara pembedahan atroskopik ialah:


Meniskus koyak

Menisektomi kaedah pembedahan membuang sebahagian meniskus yang terkoyak sehingga meniskus yang stabil dan normal dikekalkan. Meniskus ialah satu struktur rawan di dalam sendi lutut yang terletak antara hujung tulang femur dan tibia yang berbentuk baji berfungsi sebagai penyerap hentakan, kusyen dan penstabil sendi lutut.

Koyak bersaiz kecil pada meniskus boleh dipulih menggunakan peralatan artroskop untuk melegakan gejala sakit disebabkan meniskus koyak.

Membaik pulih meniskus

Membaik pulih meniskus satu prosedur membetulkan meniskus rosak atau koyak.

Dengan itu, anatomi asal meniskus dapat dikembalikan seterusnya jika berjaya, prognosis jangka panjangnya adalah lebih baik. Bagaimanapun, membaik pulih meniskus tidak semestinya boleh dilakukan kerana bekalan darahnya terhad dan proses sembuh yang panjang.

Rekonstruksi ACL

Ligamen krusiat depan atau ACL satu ligamen penting dalam lutut untuk kestabilannya dan pesakit yang ACL cedera selalu mengadu lutut mereka longgar. Oleh itu, ramai memilih rawatan secara pembedahan. Majoriti pembedahan rekonstruksi ACL dibuat secara artroskopik.

Membuang plika

Plika ialah baki tisu ketika perkembangan fetus. Jika tisu plika terlalu besar dan tebal, ia menyebabkan geseran kepada permukaan sendi ketika pergerakan. Sakit yang terhasil daripada iritasi plika dikenali Sindrom Plika dan plika terbabit perlu dibuang.

Prosedur pembedahan boleh dilakukan secara artroskopik.

Hirisan tisu lateral

Jika tisu lateral sendi lutut terlalu ketat sehingga menyebabkan tulang tempurung tertarik ke lateral atau terkeluar daripada alur, tulang paha akan menghasilkan rasa sakit ketika sendi lutut dibengkokkan. Satu prosedur biasa dilakukan untuk melonggarkan tisu bahagian lateral sendi lutut ialah hirisan kapsul dan ligamen menggunakan artroskop.

Patahan mikro

Patahan mikro kaedah rawatan merangsang pembentukan tisu rawan di kawasan permukaan sendi yang rosak. Dalam prosedur ini, dengan bantuan artroskop, permukaan tulang ditebuk sehingga tembus ke tulang sumsum. Sel sumsum akan keluar ke permukaan sendi rosak dan menutup permukaan sendi rosak dengan pembentukan tisu parut rawan.

Implantasi autologus chondrocyte (ACI)

Prosedur itu membabitkan teknologi pembiakan sel rawan di makmal. Secara artroskopik, sedikit tisu rawan diambil daripada permukaan sendi yang tidak menampung beban dan dikulturkan (dibiakkan). Selepas sel rawan cukup jumlahnya, ia diletakkan kembali ke dalam lutut pada permukaan sendi rosak.

Pemindahan tulang rawan/OATS

Ia prosedur membabitkan pemindahan rawan yang diambil daripada permukaan sendi sihat ke permukaan sendi yang rosak rawannya. Rawan ini diambil berbentuk silinder kecil bersama sedikit tulang di permukaan sendi yang tidak menampung beban ketika pergerakan, dan dipalamkan ke dalam lubang yang dibentuk pada permukaan sendi rosak.

Prosedur ini boleh dilakukan menggunakan artroskop. Artroskopik sendi lutut boleh dilakukan bersama bius am, bius kawasan atau bius setempat. Pesakit yang menjalani pembedahan artroskopik sewaktu diberi bius setempat atau bius kawasan, boleh menonton secara langsung pembedahan dilakukan pada skrin monitor.

Tempoh pembedahan artroskopik sendi lutut berbeza bergantung kepada jenis prosedur. Selepas pembedahan, lutut dibalut dengan pembalut. Bergantung prosedur dilakukan, doktor mungkin atau tidak mungkin membenarkan anda berpijak atau berjalan di atas kaki yang dibedah.

Pesakit perlu bekerjasama dengan jurufisioterapi untuk mendapatkan balik kekuatan kaki dan pergerakan sendi lutut sepenuhnya. Tempoh rehabilitasi juga bergantung jenis prosedur dilakukan.

Komplikasi pembedahan lutut secara artroskopik termasuk jangkitan kuman, bengkak dan pembekuan darah dalam salur darah kaki.

Namun, komplikasi jarang berlaku selepas pembedahan secara artroskopi kerana luka pada kulit adalah kecil dan membolehkan proses rehabilitasi dilakukan lebih awal berbanding pembedahan secara konvensional. Tempoh penyembuhan juga lebih cepat berbanding cara pembedahan tradisional.

Sumber

Sakit Bagai Dicucuk

Sakitnya pedih seperti dicucuk pin dan jarum atau terkena tusukan pada kaki dan tangan. Kadangkala kesakitan dialami tidak tertanggung hingga menyukarkan pesakit untuk berjalan, tidur, bekerja dan menjejaskan mood dan aktiviti harian.

Itu antara penderitaan yang sering dialami pesakit diabetes. Dianggap ibu segala penyakit, diabetes bukan saja boleh menyebabkan pelbagai komplikasi lain seperti serangan jantung, kegagalan buah pinggang, strok, buta dan gangren kaki, malah kerosakan saraf atau painful diabetic peripheral neuropathy (pDPN). Edisi ketiga Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 menunjukkan penularan diabetes meningkat kepada 14.9 peratus. Berbanding satu dekad lalu, kadar penularan diabetes hanya 8.3 peratus. Cukup membimbangkan apabila diabetes di Malaysia didapati meningkat hampir dua kali ganda dalam dekad lalu iaitu kadar lebih cepat daripada ramalan Persekutuan Diabetes Antarabangsa.

Ia selari dengan pertambahan dua kali ganda masalah berat badan berlebihan atau obesiti di kalangan penduduk. Daripada jumlah itu, 50 peratus pesakit tempatan yang disahkan menghidap diabetes dalam enam hingga 10 tahun lalu didapati mengalami pDPN. Biarpun berterusan menanggung kesakitan, 58 peratus pesakit tidak menyedari kesakitan dialami mereka berpunca daripada diabetes. Disebabkan kesakitan saraf dihadapi pesakit dianggap peribadi, sukar untuk mengenal pasti pDPN, sekali gus menimbulkan cabaran dalam proses rawatan.

Malah, cabaran untuk mendiagnosis pDPN turut menyebabkan pesakit belajar menyesuaikan diri untuk hidup dengan menahan kesakitan. Bagaimanapun, dengan perkembangan terbaru dalam pengurusan kesakitan, pakar penyelidik mendapati mereka tidak lagi perlu menanggung penderitaan ini.

Kesedaran terhadap kesakitan neuropati atau penyakit saraf periferal begitu kurang. Sistem saraf periferal atau peripheral nervous system (PNS) ialah satu daripada dua cabang utama sistem saraf.

Satu lagi ialah sistem saraf pusat atau central nervous system (CNS) yang membentuk otak dan saraf tunjang. Saraf dalam PNS menyambungkan CNS kepada organ deria (seperti mata dan telinga), serta organ badan lain, otot, saluran darah dan kelenjar.

Ketua Jabatan Perubatan dan Profesor Bahagian Neurologi, Universiti Malaya (UM), Prof Dr Goh Khean Jin berkata, pesakit menanggung kesakitan neuropati apabila satu dan lebih banyak saraf mereka rosak.

Menurutnya, banyak faktor menyumbang kepada kerosakan saraf dan ia sebahagian daripada gangguan, penyakit atau keadaan. “pDPN satu contoh kerosakan saraf disebabkan keadaan (diabetes). Gejala kesakitan neuropati termasuk kesakitan seperti terkena tusukan dan kepedihan, menggelenyar atau rasa kebas.

“Disebabkan kesakitan perkara yang begitu subjektif dan menyentuh peribadi, pDPN sering kurang dilaporkan dan kurang dirawat.

“Satu daripada lima pesakit diabetes menanggung penderitaan ini dan bilangan mereka terus meningkat. Mereka yang berdepan masalah pDPN biasanya menderita tanpa rawatan. “Untuk mendiagnosis neuropati periferal, pesakit perlu menjalani beberapa pemeriksaan neurologi untuk mengenal pasti punca dan sejauh mana kerosakan saraf,” katanya.

American Diabetes Association mengesyorkan pemeriksaan tahunan terhadap semua pesakit neuropati diabetes. Profesor Perubatan dan Pengarah Kampus Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mafauzy Mohamed, berkata pesakit diabetes tidak sepatutnya hidup dengan menanggung kesakitan.

“Kesan neuropati periferal akibat diabetes sangat buruk dan menyakitkan.  Kesakitan ini menyukarkan kehidupan harian. Pengurusan kesakitan secara berkesan membolehkan pesakit yang mengalami keadaan ini membaiki kualiti hidup mereka.

“Semua data penyelidikan menunjukkan peningkatan kes diabetes global dan juga tempatan. Lama-kelamaan penularan penyakit ini menyebabkan kerosakan saraf yang pasti menimbulkan komplikasi.

“Oleh itu, penting untuk membantu pesakit diabetes menguruskan kesakitan yang ditimbulkan oleh komplikasi diabetes,” katanya.

Menurutnya, pada April lalu, Akademi Neurologi Amerika (AAN), Persatuan Perubatan Saraf Otot dan Elektrodiagnostik Amerika dan Akademi Perubatan Fizikal dan Pemulihan Amerika mengeluarkan laporan bersama yang menggariskan rawatan paling berkesan untuk melegakan kesakitan saraf akibat diabetes.

Garis panduan itu menyebut, pregabalin adalah satu-satunya rawatan Tahap A yang disyorkan, berasaskan bukti kukuh yang menunjukkan keberkesanan pregabalin dalam usaha merawat kesakitan saraf akibat diabetes.

Beberapa ujian klinikal yang menilai pregabalin mendapati pesakit yang mengambil pregabalin kurang mengalami kesakitan berbanding mereka yang mengambil plasebo.

Sesetengah pesakit berasa lega dalam masa secepat satu minggu, manakala yang lain mungkin mengambil masa lebih lama. Sementara itu, Penasihat Perubatan Pfizer, Dr Gene Lee berkata, Pfizer komited untuk meningkatkan kesedaran terhadap kesakitan itu dan menggesa pesakit membincangkan pilihan rawatan dengan doktor mereka.

“pDPN tetap keadaan yang kurang mendapat diagnosis di banyak negara di dunia. Sebahagian besarnya disebabkan kurang kesedaran dan kefahaman mengenai keadaan dan hakikat bahawa hanya ada beberapa pilihan rawatan yang terbukti."

Sistem Saraf Manusia


Sistem saraf manusia mempunyai dua komponen utama:

sistem saraf pusat — termasuk otak dan saraf tunjang
sistem saraf periferal — saraf yang membawa dari otak dan saraf tunjang kepada semua bahagian badan. Satu sistem saraf khusus yang banyak membentuk sistem saraf periferal yang bertanggungjawab untuk pelbagai fungsi penting.

Saraf khusus termasuk:

motor saraf yang membawa mesej dari otak ke badan dan bertanggungjawab bagi menggerakkan bahagian badan (contohnya tangan, kaki)
saraf deria yang membawa maklumat dari organ sistem saraf pusat dan ia diproses menjadi sensasi (misalnya, sentuhan, perubahan suhu, dan getaran)
saraf yang mengawal autonomi fungsi termasuk kadar jantung, tekanan darah, pernafasan, penghadaman dan fungsi pundi kencing

Sakit neuropati

Sakit neuropati biasanya terjadi akibat kerosakan sistem saraf pusat. Ia dicirikan oleh luka atau kekurangan keupayaan sistem saraf pusat untuk menunjukkan kesakitan. Sakit neuropati sukar dikenal pasti dan merawat disebabkan beberapa cabaran seperti:

Tiada ujian diagnostik yang boleh menentukan dan mengesahkan gejala
Persepsi kesakitan semata-mata subjektif dan kesakitan masih tidak terukur
Perbezaan antara diagnosis yang pasti, mungkin dan mungkin tidak jelas
Sakit — tidak statik, ia berubah dalam cara yang dinamik dan tidak dapat diramal
Tanda dan gejala boleh berubah

Gejala pDPN

Kebas atau tidak sensitif kepada kesakitan atau suhu
Rasa pedih dan mencucuk
Terlalu sakit atau kekejangan
Terlalu peka sentuhan walaupun cahaya
Hilang keseimbangan
Lemah otot dan hilang refleks
Gejala biasanya lebih teruk pada waktu malam.

Sumber

Friday, October 14, 2011

Dengar, Adakah Anak Anda Berdehit?

PERNAHKAH anda mendengar orang yang merungut tentang penyakit asma mereka? Atau ternampak seseorang yang bernafas menggunakan ubat sedut (inhaler)? Meskipun asma bukan penyakit luar biasa, namun ia masih misteri dalam dunia perubatan moden.

Sehingga hari ini, puncanya masih belum diketahui dan tiada ubat untuk menyembuhkannya. Oleh kerana asma merupakan penyakit keturunan yang diwarisi dalam keluarga, kanak-kanak akan cenderung mendapat asma jika mempunyai anggota keluarga yang menghidapnya.

Setiap kanak-kanak mempunyai enam peratus kecenderungan mendapat asma. Namun, ia meningkat kepada 30 peratus jika salah seorang daripada ibu atau bapa menghidapnya, dan 70 peratus jika kedua-dua ibu dan bapa merupakan penghidap asma.

Secara amnya, asma adalah keadaan saluran pernafasan ke paru-paru yang mengecil atau tersumbat buat sementara waktu lalu mengakibatkan gejala seperti batuk, berdehit, pendek nafas dan sesak dada.

Pesakit yang menghidap asma sering menyamakan serangan asma seperti bernafas melalui penyedut minuman di dalam mulut sambil menutup hidung!

Melihat anak anda tiba-tiba tercungap-cungap untuk bernafas adalah pengalaman yang menakutkan bagi ibu bapa, kerana kanak-kanak lebih mudah mendapat serangan asma kerana saluran pernafasan mereka lebih sempit berbanding orang dewasa.

Semua serangan asma memerlukan perhatian dan rawatan perubatan segera. Begitupun, ibu bapa boleh belajar mengenali tanda-tanda amaran awal serangan, seperti:

Batuk. Adakalanya, batuk merupakan satu-satunya gejala serangan asma. Jika anak anda kerap batuk, terutama sekali pada waktu malam dan tanpa sebarang penyakit lain yang boleh menjadi punca, segeralah membuat pemeriksaan doktor. Jika batuk itu berterusan selama 2 minggu atau lebih tanpa sebab nyata, maka besar kemungkinan si anak sedang diserang asma.

Bernafas. Jika anak anda sukar bernafas, dengar dengan teliti kerana ini mungkin menandakan dia akan diserang asma. Dengarkan sebarang bunyi berdehit, bunyi nafas yang kuat dan cepat, dan perhatikan sama ada dia bernafas dengan hidung kembang, atau jika dia kerap berdehem. Kanak-kanak penghidap asma juga sering berdehit apabila bernafas secara normal.

Simptom lain. Periksa sama ada anak anda menunjukkan gejala fizikal lain seperti muntah, berpeluh dan kulit pucat yang boleh menandakan serangan asma. Dia juga mungkin akan mengadu rasa sesak atau tidak selesa di dada.

Pencetus asma

Walaupun asma seringkali diwarisi daripada ahli keluarga, namun kanak-kanak boleh juga mendapat asma daripada pendedahan faktor-faktor persekitaran yang dikenali sebagai asma alahan. Pencetus-pencetus yang boleh mengakibatkan serangan asma mungkin berbeza antara individu.

Bagi sesetengah kanak-kanak, asma menjadi lebih buruk apabila menyedut asap rokok, bau atau udara tercemar, wap cat dan semburan aerosol.

Bahan-bahan ini mudah merengsa bahagian atas dan bawah saluran pernafasan lalu menyebabkan kanak-kanak berdehit, batuk, dan hidung atau mata berair. Asma juga boleh dicetuskan oleh cuaca, pendedahan kepada udara sejuk atau udara terlalu panas.

Antara pencetus dalam rumah yang lazim boleh mencetuskan serangan asma termasuk:

Bulu haiwan peliharaan, bulu burung, kelemumur, air kencing atau air liur haiwan peliharaan.
Hama debu dalam rumah.
Kulat dan spora.
Tahi dan bangkai lipas.
Asap tembakau.
Minyak wangi, semburan rambut, losen wangi.
Bahan pencuci, racun serangga, wap cat.

Elakkan perengsa

Cara terbaik untuk membantu kanak-kanak penghidap asma adalah dengan mengelakkan pencetus asma mereka. Namun, kadang-kadang pencetus itu tidak boleh dielak dan hanya boleh diuruskan dengan pengambilan ubat.

Kanak-kanak yang bergejala ringan tidak berterusan, iaitu gejala waktu siang kurang daripada seminggu dan gejala waktu malam kurang daripada dua kali sebulan serta akan sihat pada waktu-waktu lain, tidak perlu mengambil ubat untuk jangka panjang.

Kanak-kanak ini hanya akan menggunakan ubat asma apabila diserang asma. Ini dikenali sebagai ubat penyelamat atau pelega (bronkodilator seperti agonis beta tindakan singkat (SABA) dan antikolinergik) kerana ia bertindak cepat untuk membuka saluran pernafasan bagi membenarkan pernafasan.

Kanak-kanak yang mengalami gejala asma waktu siang lebih dari sekali seminggu, gejala malam lebih dari dua kali sebulan dan mengalami serangan asma yang mengganggu tidur serta aktiviti lebih daripada sekali sebulan akan memerlukan rawatan jangka panjang, iaitu ubat pencegah dalam bentuk sedutan kortikosteroid.

Ubat ini perlu diambil setiap hari bagi mencegah keradangan dan serangan asma. Sekiranya masih tidak terkawal walaupun dengan mematuhi pengambilan ubat sedutan kortikosteroid, maka satu ubat pengawal akan ditambah dalam bentuk agonis B2 tindakan lama atau antileukotriene.

Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mengikuti terapi jangka panjang perlu kerap berjumpa doktor untuk menilai gejala dan kawalan asmanya serta untuk menyelaras dos ubat dari semasa ke semasa.

Ubat asma paling kerap adalah semburan alat penyedut yang ditekup pada mulut dan ditekan untuk melepaskan kabut ke dalam paru-paru apabila menarik nafas. Kanak-kanak tidak digalak menggunakan ubat sedutan teknik ini kerana ia memerlukan kordinasi.

Mereka perlukan alat corong dengan topeng mulut. Ubat ini akan mengembangkan saluran pernafasan untuk memudahkan kanak-kanak bernafas. Terapi penyedutan merupakan jenis ubat pilihan berbanding ubat makan, kerana ubat yang disedut boleh sampai terus ke paru-paru, dengan hanya sedikit atau tiada kesan sampingan.

Bukan mudah bagi seisi keluarga jika mempunyai anak yang menghidap asma. Namun demikian, dengan langkah berjaga-jaga dan pengurusan yang betul, anda sekeluarga boleh hidup dalam keadaan yang hampir normal.

Ramai kanak-kanak akan sembuh sepenuhnya daripada asma atau kurang mengalami serangan yang teruk apabila lebih besar. Doktor percaya, saluran pernafasan kanak-kanak akan lebih luas apabila mereka lebih besar dan ini memudahkan udara keluar dan masuk lantas mengurangkan kekerapan mereka diserang asma.

Sementara itu, jangan pandang remeh tentang penyakit asma dan sentiasa pastikan ubat anak anda tidak jauh daripada anda. Asma yang tidak dikawal boleh menyebabkan serangan yang lebih teruk dan boleh membawa maut jika tidak segera diberi rawatan kecemasan yang betul.

Sumber

Punca yang Menyebabkan Serangan Asma di Persekitaran Kita


Wajib bahasa Melayu...Na Cukup Setuju!!!

Kerajaan keluar pekeliling urusan rasmi penjawat awam mesti guna bahasa kebangsaan
DURIAN TUNGGAL: Semua penjawat awam diwajib menggunakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan rasmi dan pentadbiran kerajaan termasuk ketika bermesyuarat, surat-menyurat atau seminar. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Kabinet bersetuju dengan keputusan itu bagi memantapkan peranan bahasa Melayu selain memperkasakannya sebagai bahasa ilmu. "Bagi memastikan arahan ini dipatuhi, Pekeliling Perkhidmatan berkaitan Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan Dalam Perkhidmatan Awam akan dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya ketika melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat kebangsaan 2011 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini, semalam.

Beliau berkata, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan adalah sebahagian daripada rantaian perjuangan yang panjang dalam memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran turut meminta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan penting memperkasakan bahasa kebangsaan dalam segala urusan syarikat.

“GLC sewajarnya mempelopori usaha menyokong agenda nasional untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dalam bidang berkaitan perbankan, kewangan, perdagangan, perniagaan, pembuatan dan lain-lain perkhidmatan,” katanya.

Katanya, Malaysia wajar mencontohi sikap beberapa negara maju dan sedang berkembang maju yang tidak meminggirkan bahasa kebangsaan masing-masing, meskipun masih mementingkan penguasaan bahasa Inggeris.

Malah, katanya, daripada lapan ekonomi gergasi dunia iaitu negara G7, dan China, hanya tiga negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada yang rakyatnya berbahasa Inggeris. Rakyat Kanada juga sebahagiannya berbahasa Perancis manakala di United Kingdom sebahagian rakyatnya berbahasa Welsh, Scottish dan Irish.

“Di Brazil, Russia, India dan China (BRIC) iaitu negara yang berada pada tahap kemajuan ekonomi paling rancak, hanya India tidak mengekalkan bahasa sendiri. Kebanyakan negara Nordik yang maju, juga mengekalkan bahasa masing-masing.

“Daripada empat negara Ekonomi Perindustrian Baru Asia Timur, hanya Singapura tidak mengekalkan bahasa ibunda. Jika kita teliti perkembangan negara-negara berkenaan, kita dapati bahasa Inggeris adalah bahasa penting tetapi bukanlah satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan.

“China tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikannya semata-mata kerana mahu meraih laba globalisasi. Mereka menyanjungi bahasa kebangsaan mereka dan menghormati bahasa kebangsaan negara lain,” katanya.

Sempena majlis itu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu Universiti Pengajian Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) China, Profesor Wu Zongyu dianugerahkan Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa sekali gus menerima hadiah wang tunai RM50,000, watikah penghormatan negara dan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Hadir sama Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin; Exco kerajaan negeri mewakili Ketua Menteri, Datuk Gan Tian Loo dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Termuzi Abdul Aziz.

Muhyiddin juga mengumumkan penyediaan dana kerajaan menerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebanyak RM2 juta untuk menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu.

Setiap penulis yang menghasilkan buku jenis berkenaan yang diterbitkan oleh DBP akan menerima ganjaran sebanyak RM20,000 selain bayaran royalti yang biasa diterima. DBP akan menentukan karya yang layak diterbitkan berdasarkan manuskrip dihantar dan memberi ganjaran kepada penulis berjaya.

Sementara itu, Rais berkata, menteri, timbalan menteri serta pemimpin pada peringkat negeri digalak bertutur dalam bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan di samping berusaha memberi pesanan ringkas mengenai kepentingan masyarakat mempertahankannya sebagai bahasa rasmi negara.

Sumber

Wednesday, October 12, 2011

Cara Rasullah Menjaga Kesihatan Diri


SELALU BANGUN SEBELUM SUBUH

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

AKTIF MENJAGA KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

TIDAK PERNAH MAKAN BERLEBIHAN

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

GEMAR BERJALAN KAKI

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

TIDAK PEMARAH

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.


OPTIMIS DAN TIDAK PUTUS ASA

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.

TIDAK PERNAH IRI HATI

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

PEMAAF

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

"BAHAGIA sebenarnya bukan MENDAPAT tetapi dengan MEMBERI. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasulullah.. semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.."-)

Oleh Ustaz Zawawi Yusof

p/s- dapat dari facebook....