Sunday, October 16, 2011

Pembedahan Sendi Lutut

PEMBEDAHAN menggunakan artroskop berkembang dengan ketaranya seiring perkembangan teknologi kamera beresolusi tinggi, fiber optik dan skrin monitor berdefinisi tinggi. Teknologi ini dapat menghasilkan gambar lebih jelas dan tepat ketika pembedahan artroskopik. Ini membantu pakar bedah ortopedik melihat ke dalam sendi lutut lebih jelas, seterusnya melakukan diagnosis dan rawatan lebih tepat dan cekap.

Penciptaan implan dan peralatan artroskop berteknologi tinggi turut memudahkan dan mempercepatkan pakar bedah ortopedik melakukan pembedahan untuk merawat masalah di dalam sendi lutut.  Pembedahan artroskopik sendi lutut satu kaedah pembedahan secara memasukkan kamera bersaiz pensil ke dalam rongga sendi lutut melalui satu tebukan kecil pada kulit, yang mana kamera itu berfungsi sebagai mata kepada pakar bedah ortopedik untuk melihat di dalam rongga sendi dan seterusnya imej dalaman sendi lutut itu dapat dipapar pada monitor.

Peralatan artroskop untuk sebarang prosedur pembedahan pula dimasukkan ke dalam rongga sendi lutut melalui satu tebukan lain.

Pembedahan secara artroskopik teknik terkini untuk merawat kebanyakan masalah sakit di dalam sendi lutut. Antara masalah sendi lutut yang biasa dirawat secara pembedahan atroskopik ialah:


Meniskus koyak

Menisektomi kaedah pembedahan membuang sebahagian meniskus yang terkoyak sehingga meniskus yang stabil dan normal dikekalkan. Meniskus ialah satu struktur rawan di dalam sendi lutut yang terletak antara hujung tulang femur dan tibia yang berbentuk baji berfungsi sebagai penyerap hentakan, kusyen dan penstabil sendi lutut.

Koyak bersaiz kecil pada meniskus boleh dipulih menggunakan peralatan artroskop untuk melegakan gejala sakit disebabkan meniskus koyak.

Membaik pulih meniskus

Membaik pulih meniskus satu prosedur membetulkan meniskus rosak atau koyak.

Dengan itu, anatomi asal meniskus dapat dikembalikan seterusnya jika berjaya, prognosis jangka panjangnya adalah lebih baik. Bagaimanapun, membaik pulih meniskus tidak semestinya boleh dilakukan kerana bekalan darahnya terhad dan proses sembuh yang panjang.

Rekonstruksi ACL

Ligamen krusiat depan atau ACL satu ligamen penting dalam lutut untuk kestabilannya dan pesakit yang ACL cedera selalu mengadu lutut mereka longgar. Oleh itu, ramai memilih rawatan secara pembedahan. Majoriti pembedahan rekonstruksi ACL dibuat secara artroskopik.

Membuang plika

Plika ialah baki tisu ketika perkembangan fetus. Jika tisu plika terlalu besar dan tebal, ia menyebabkan geseran kepada permukaan sendi ketika pergerakan. Sakit yang terhasil daripada iritasi plika dikenali Sindrom Plika dan plika terbabit perlu dibuang.

Prosedur pembedahan boleh dilakukan secara artroskopik.

Hirisan tisu lateral

Jika tisu lateral sendi lutut terlalu ketat sehingga menyebabkan tulang tempurung tertarik ke lateral atau terkeluar daripada alur, tulang paha akan menghasilkan rasa sakit ketika sendi lutut dibengkokkan. Satu prosedur biasa dilakukan untuk melonggarkan tisu bahagian lateral sendi lutut ialah hirisan kapsul dan ligamen menggunakan artroskop.

Patahan mikro

Patahan mikro kaedah rawatan merangsang pembentukan tisu rawan di kawasan permukaan sendi yang rosak. Dalam prosedur ini, dengan bantuan artroskop, permukaan tulang ditebuk sehingga tembus ke tulang sumsum. Sel sumsum akan keluar ke permukaan sendi rosak dan menutup permukaan sendi rosak dengan pembentukan tisu parut rawan.

Implantasi autologus chondrocyte (ACI)

Prosedur itu membabitkan teknologi pembiakan sel rawan di makmal. Secara artroskopik, sedikit tisu rawan diambil daripada permukaan sendi yang tidak menampung beban dan dikulturkan (dibiakkan). Selepas sel rawan cukup jumlahnya, ia diletakkan kembali ke dalam lutut pada permukaan sendi rosak.

Pemindahan tulang rawan/OATS

Ia prosedur membabitkan pemindahan rawan yang diambil daripada permukaan sendi sihat ke permukaan sendi yang rosak rawannya. Rawan ini diambil berbentuk silinder kecil bersama sedikit tulang di permukaan sendi yang tidak menampung beban ketika pergerakan, dan dipalamkan ke dalam lubang yang dibentuk pada permukaan sendi rosak.

Prosedur ini boleh dilakukan menggunakan artroskop. Artroskopik sendi lutut boleh dilakukan bersama bius am, bius kawasan atau bius setempat. Pesakit yang menjalani pembedahan artroskopik sewaktu diberi bius setempat atau bius kawasan, boleh menonton secara langsung pembedahan dilakukan pada skrin monitor.

Tempoh pembedahan artroskopik sendi lutut berbeza bergantung kepada jenis prosedur. Selepas pembedahan, lutut dibalut dengan pembalut. Bergantung prosedur dilakukan, doktor mungkin atau tidak mungkin membenarkan anda berpijak atau berjalan di atas kaki yang dibedah.

Pesakit perlu bekerjasama dengan jurufisioterapi untuk mendapatkan balik kekuatan kaki dan pergerakan sendi lutut sepenuhnya. Tempoh rehabilitasi juga bergantung jenis prosedur dilakukan.

Komplikasi pembedahan lutut secara artroskopik termasuk jangkitan kuman, bengkak dan pembekuan darah dalam salur darah kaki.

Namun, komplikasi jarang berlaku selepas pembedahan secara artroskopi kerana luka pada kulit adalah kecil dan membolehkan proses rehabilitasi dilakukan lebih awal berbanding pembedahan secara konvensional. Tempoh penyembuhan juga lebih cepat berbanding cara pembedahan tradisional.

Sumber

No comments:

Post a Comment