Thursday, December 22, 2011

Kualiti Ereksi Gambarkan Tahap Kesihatan

Sebelum  ini ada laporan pernah mendedahkan ramai wanita menganggap aktiviti seks hanya untuk mendapat zuriat tanpa perlu memikirkan soal kepuasan.

Hakikatnya, seks lebih daripada itu. Ia lebih daripada sekadar mendapatkan zuriat. Sebab itu dalam setiap perlakuan seks perlu mengambil kira kemuncak kepuasan bagi setiap pasangan.

Walaupun kebanyakan wanita menganggap soal kepuasan seks merupakan perkara biasa, tetapi sebenarnya ia juga adalah hak mereka.

Bagi kebanyakan lelaki pula, mereka percaya aspek fizikal dalam hubungan seks seperti kualiti ketegangan atau ereksi dapat memberi kepuasan kepada pasangan masing-masing.

Sebenarnya perkara ini merupakan sesuatu yang serius untuk diperbincangkan bagi kebanyakan pasangan iaitu ketegangan atau ereksi bukanlah sesuatu yang dianggap enteng.

Menurut kaji selidik Seks Yang Ideal Pfizer 2011, pasangan Asia bersetuju sepenuhnya bahawa kualiti ereksi serta kebolehan untuk mengekalkan ketegangan adalah kriteria penting dalam mencapai pengalaman seks yang ideal.

Menurut Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan secukupnya. Tambahnya, saluran darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat.

“Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah,” ujarnya ketika ditemui ketika sesi bersama media yang dianjurkan oleh Pfizer bagi membincangkan keputusan Kaji Selidik Seks Ideal 2011 baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, kepuasan seks merupakan satu yang begitu subjektif dan berbeza-beza kepada setiap pasangan mengikut umur.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun pula berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sebenarnya, dalam situasi ini, sekiranya setiap pasangan memenuhi keinginan seks, mereka akan rasa lebih disayangi.

“Tetapi perlu diingatkan usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar. Malah selagi pasangan sihat anda akan merasai kepuasan seks.

“Tidak kira tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” ujarnya.

Begitupun, hari ini, apabila membicarakan mengenai tahap kepuasan seks bagi setiap pasangan, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat satu ukuran untuk menentukan ereksi iaitu menerusi Skala Ketegangan Ereksi atau EHS (Erection Hardness Scale).  Ukuran ini dapat menentukan sama ada seseorang lelaki itu mengalami masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk. EHS digunakan untuk menyukat ketegangan ereksi semasa hubungan seks.

Gred 4 merupakan keadaan ereksi paling optimum yang memberikan kepuasan seks sebenar untuk pasangan mereka. Dalam pada itu, golongan doktor juga sering menggunakan ukuran ini bagi memantau hasil rawatan ke atas setiap pesakit mereka. Ketegangan paling maksimum dapat dicapai pada Gred 4 iaitu zakar tegang dan keras sepenuhnya.

Kualiti ereksi sebenarnya melibatkan nilai dan harga diri untuk lelaki dan wanita. Apabila kedua-dua lelaki dan wanita mendapat kepuasan seks, keperluan emosi dan psikologi mereka juga turut dicapai.

Lelaki Malaysia yang meletakkan mereka di gred yang teratas mengikut skala EHS mempunyai keyakinan dan imej diri tiga kali ganda lebih daripada rakan yang kurang bertenaga dan berkebolehan di negara lain.

Tetapi bagaimana pula mereka yang tidak mencapai ketegangan tahap yang memuaskan? Menurut kaji selidik tersebut, 25 peratus daripada kaum lelaki Malaysia menilai ketegangan mereka pada gred 3 EHS.

Ini menunjukkan keadaan kesihatan yang lemah atau sederhana jika dibandingkan 17 peratus responden dengan penilaian gred 4. Penemuan itu penting kerana ketegangan separa optimum selalu dikaitkan dengan penyakit jantung ischemic.

Kebanyakan orang tidak menyedari kualiti ereksi lemah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung. Akibat peningkatan tahap kolestrol dan kencing manis, saluran darah akan disekat oleh bahan berlemak di sepanjang permukaan arteri.

Saluran menjadi keras dan sempit mengakibatkan kurang pengaliran darah kepada organ-organ penting yang lain.

Lagi pula saluran darah yang sampai ke organ seks lelaki adalah lebih kecil dibandingkan dengan saluran lain.
Oleh itu apabila ia mengalami kesulitan, bahagian tubuh yang lain juga akan turut terjejas terutamanya di bahagian jantung.

Mengambil kira kualiti ereksi dan mendapatkan rawatan awal menerusi perundingan dengan pakar perubatan bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman seks bahkan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Sekiranya berhadapan dengan masalah ini, setiap pasangan perlu membincangkannya secara terbuka. Isu ereksi berkualiti tidak harus ditolak begitu sahaja kerana selain menjejaskan hubungan intim ia boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan kesihatan.

Sumber

No comments:

Post a Comment