Thursday, July 26, 2012

Tanda-Tanda Stress

TANDA-TANDA STRESS
 
Stress merupakan suatu perkara yang sering mengganggu kecerian dalam kehidupan seseorang. Seringkali ketika stress manusia hilang keceriaan di dalam kehidupan. Keceriaan di dalam hidup seseorang itu akan hilang secara mendadak apabila mengalami stress. Stress merupakan salah satu tekanan yang hadir di dalam diri seseorang akibat daripada masalah yang dihadapi oleh seseorang.

Sebenarnya stress berpunca daripada pelbagai faktor. Antara faktor yang sering dikaitkan apabila seseorang itu mengalami stress adalah disebabkan oleh faktor diri sendiri, persekitaran sosial, perasaan dan psikologi, biologikal dan banyak lagi faktor-faktor lain.

Apabila individi mengalami stress, seringkali akan memberi tanda-tanda kepada fizikal, psikologi dan tingkah laku. Secara ringkasnya tanda-tanda stress boleh diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu tanda-tanda fizikal, tanda-tanda psikologi dan tanda-tanda tingkah laku.

Tanda-tanda Fizikal

Individu yang mengalami stress selalunya akan mengalami masalah atau perubahan secara mendadak kepada fizikal. Apabila mengalami stress individu seringkali akan mengalami beberapa masalah antaranya adalah sakit kepala. Sakit kepala berlaku apabila seseorang itu sering memikirkan masalah dan stress yang dihadapi. Sakit kepala bergantung kepada tahap stress seseorang dan ada yang mengalami sakit kepala yang teruk sehingga menyebabkan penyakit migraine.

Tanda fizikal seterusnya yang dialami oleh individu yang mengalami stress adalah kesukaran untuk tidur. Individu yang mengalami stress selalunya akan bermasalah di dalam tidurnya dan seringkali masa tidurnya terganggu. Mereka tidak boleh tidur semasa waktu malam dan akan tidur secara sendirinya apabila badan terlalu letih.

Selain itu, terdapat juga perubahan kepada selera makan apabila seseorang itu mengalami stress. Seseorang yang dahulunya sangat berselera ketika makan akan berubah kepada tiada selera untuk makan apabila mengalami stress dan sebaliknya. Ada juga individu yang sangat berselera ketika makan apabila mengalami stress. Banyak kes yang berlaku individu yang sering mengalami stress memiliki berat badan yang berlebihan dan dilabelkan sebagai individu yang obesiti.

Individu yang mengalami stress juga cenderung kepada cepat letih. Walaupun mereka tidak melakukan aktiviti atau kerja yang berat tetapi badannya sering cepat letih. Keadaan ini berlaku akibat terlalu tinggi tahap stress seseorang itu. Walaupun tidak berlaku gerakan yang banyak kepada tubuh badan seseorang tetapi minda seseorang yang mengalami stress itu terlalu banyak perkara yang difikirkan. Oleh hal demikian, badan orang yang mengalami stress cepat menjadi letih.

Tanda yang berikutnya adalah seringkali seseorang yang mengalami stress akan mengalami jantung berdebar-debar. Jantung berdebar-debar akan terjadi secara tiba-tiba tanpa seseorang itu mengalami tekanan ataupun melihat sesuatu yang menakutkan.
” Apabila Stress kelenjar adrenal merembeskan hormon adrenalin dan kortisol, ia meningkatkan kadar denyutan jantung dan tekanan darah serta kandungan gula ” ( Datuk Dr Ahmad Shukri Md Salleh, Ketua Jabatan Perubatan Hospital Putrajaya)

Akibat daripada stress, seseorang itu juga mudah mengalami sakit-sakit badan yang kurang jelas puncanya. Walaupun pada hakikat sebenar seseorang itu tidak mengalami sebarang masalah kesihatan tetapi pada masa stress mereka selalunya mengalami sakit-sakit badan. Sakit-sakit badan yang dialami bukanlah akibat daripada masalah kesihatan tetapi kesan daripada stress yang dialami.


Tanda-tanda Psikologi

Individu yang mengalami stress juga akan mengalami perubahan kepada psikologi. Apabila seseorang itu stress, selalunya seseorang itu akan mengalami kegelisahan perasaan. Kegelisahan itu dialami tanpa punca atau erti kata lain secara tiba-tiba akan mengalami gelisah. Kegelisahan sering memberi kesan yang tidak baik kepada seseorang.

Seterusnya, individu yang mengalami stress juga turut merasa dirinya sangat bosan. Perkara ini selalunya berlaku apabila mereka yang stress duduk bersendirian di tempat yang senyap dan tiada orang. Stress semakin bertambah dan tahap bosan juga boleh menyebabkan emosi seseorang itu semakin meningkat.

Kemurungan atau dalam Bahasa Inggerisnya “moody” seringkali berlaku apabila seseorang itu mengalami stress. Individu yang mengalami kemurungan boleh diketahui oleh rakan-rakan atau ahli keluarga yang terdekat. Sifat murung akan terserlah apabila seseorang itu seringa mengalami stress. Stress yang tinggi menyebabkan semakin tinggi tahap kemurungan seseorang itu.

Tanda yang berikutnya kepada psikologi seseorang yang mengalami stress adalah mudah marah. Seseorang yang mengalami stress akan mudah marah kepada seseorang walaupun seseorang itu tidak bersalah. Marah akan hadir secara tiba-tiba tanpa sebab yang munasabah. Seeloknya individu yang mengalami stress tidak perlu berhadapan dengan orang ramai kerana itu mungkin akan menambahkan lagi tahap stress yang dialaminya. Individu yang mengalami stress tidak boleh bersesak-sesak dengan orang ramai sebagai contoh menaiki tren dengan dipenuhi ramai orang. Emosi seseorang yang mengalami stress itu akan semakin terganggu dan hal ini menyebabkan mereka cepat marah.

Perkara yang sangat membimbangkan pada seseorang yang mengalami stress adalah mudah lupa. Individu yang mengalami stress cenderung untuk mudah lupa dengan ilmu atau ingatan yang disimpan di kotak fikirannya selama ini. Oleh itu, banyak kes yang berlaku pelajar yang mengalami stress yang terlalu banyak mendapat keputusan yang kurang cemerlang di dalam peperiksaan.

Tanda-tanda Tingkah Laku
Bagi individu yang merokok, apabila mereka mengalami stress kecenderungan untuk merokok itu akan lebih tinggi. Individu yang terlalu stress akan merokok secara berlebihan. Mereka beranggapan bahawa merokok secara berlebihan boleh menghilangkan stress. Pada hakikat sebenar merokok secara berlebihan bukanlah dapat menghilangkan stress tetapi boleh meningkatkan stress dan kesihatan boleh terganggu.

Perkara yang paling berbahaya apabila seseorang yang mengalami stress adalah mereka cenderung untuk bertingkah laku seperti mengambil ubat-ubatan yang tidak terkawal. Ada yang mengambil ubat tanpa mengikut sukatan yang telah ditetapkan oleh doktor. Sebagai contoh, individu yang susah untuk tidur apabila mengalami stress cenderung untuk mengambil ubat tidur yang berlebihan bagi memaksa dirinya untuk tidur. Keadaan ini boleh menyebabkan kesihatan mereka terjejas.

Ada juga kes seseorang yang mengalami stress terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Mereka mudah terpengaruh dengan ajakan rakan untuk bertingkah laku sedemikian. Hal ini berlaku kerana meraka terlalu stress dan menganggap tindakan itu boleh menghilangkan stress yang dialami. Pada hakikat sebenarnya tindakan yang dilakukan itu tidak betul dan boleh merosakkan masa depan mereka. Tanpa berfikir panjang mereka yang mengalami stress mudah terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah dan alkohol.

Mereka yang mengalami stress juga akan melakukan tindakan di luar kawalan seperti membunuh diri. Membunuh diri akibat stress yang di alami merupakan peringkat stress yang paling teruk dan sangat membahayakan. Individu yang mengalami stress yang melampau akan cenderung melakukan perkara di luar jangkaan iaitu membunuh diri. Banyak kes bunuh diri yang berlaku di seluruh dunia akibat daripada stress yang dialami. Jika stress tidak dapat dikawal dengan baik seseorang itu akan mudah untuk cenderung kepada bunuh diri.

Sumber

1 comment:

  1. Alamak, nampaknya byk juga simptom stress pada saya sendiri ni..

    Kena belajar atasi stress pula nampaknya :D

    ReplyDelete