Friday, December 23, 2011

Sebak...Kad HariJadi Tuk Abah Na

Kad ni , anak buah na yang pertama bagi untuk atuknya . Harijadi abah na 21hb Disember :)


Thursday, December 22, 2011

Atasi Sakit Belakang

Pembedahan MIS pulihkan tisu rosak, cepat sembuh

ANATOMI bahagian belakang tubuh adalah kombinasi tulang yang kuat, ligamen dan tendon yang fleksibel selain otot dan saraf yang sensitif.

Rekaannya bukan saja ‘kuat’ tetapi berfungsi melindungi akar saraf yang sensitif. Bagaimanapun, seperti juga bahagian badan yang lain, ada kalanya ia tidak dapat lari daripada kesakitan. Malah, sakit belakang adalah yang paling ‘digeruni’ kerana selain kesakitan, ia turut menjejaskan rutin harian kerana menyebabkan individu sukar bergerak. Kesakitan bahagian tulang belakang mungkin disebabkan pelbagai faktor misalnya, akar saraf yang bengkak; otot besar (erector spinae) menegang; tulang, ligamen atau sendi cedera atau mungkin juga diska tergelincir.

Berbanding rawatan lain, bagi tulang belakang, pembedahan adalah pilihan terakhir melainkan dalam kes-kes kecemasan. Selalunya, doktor hanya akan mencadangkan pembedahan jika kesakitan berterusan meskipun anda sudah melakukan rawatan bukan pembedahan. Andai berdepan situasi sedemikian, anda mungkin boleh menimbangkan pembedahan minima invasif (MIS).

Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Harwant Singh, berkata berbanding dengan prosedur lama pembedahan tulang belakang, MIS dibantu dengan peralatan canggih berkomputer dan teknik pembedahan minima yang mengurangkan kesakitan.

Jelasnya, prosedur MIS mengurangkan rasa sakit, cepat sembuh, memendekkan masa pembedahan, kurang kerosakan pada tisu lembut selain saiz tusukan pembedahan yang lebih kecil sekali gus menyebabkan bekas tusukan kurang berparut.

Bagi pembedahan cara terbuka, pakar bedah membuat potongan panjang melalui kulit, otot dan ada kalanya tulang. Tempoh pemulihan untuk pembedahan jenis ini selalunya sakit dan lambat. Ada juga pesakit yang belum pulih sepenuhnya selepas sebulan tempoh pembedahan.

“Terma minima invasif digunakan bagi merujuk pada prosedur yang hanya memerlukan tusukan pembedahan kurang daripada 1.5 sentimeter. Hari ini dunia perubatan moden bergerak ke arah rawatan jenis ini. Namun ada banyak pembedahan berbeza yang didefinisikan sebagai ‘minima invasif” dan menggunakan pendekatan berbeza. Justeru, penting untuk pesakit memahami setiap perbezaan itu dan membuat pilihan terbaik untuk mereka,” katanya.

Meskipun MIS tidak merujuk kepada satu jenis pembedahan saja, namun tujuan pembedahan jenis ini adalah untuk mencapai kesan yang sama dengan pembedahan terbuka. Bezanya ia dilakukan dengan tusukan yang lebih kecil. Ada kala pembedahan jenis ini dilakukan melalui tiub kecil. Perlu juga diketahui bukan semua pesakit boleh menjalani prosedur ini.

Satu daripada kelebihan prosedur MIS adalah dalam pembedahan ‘open lumbar’ (bahagian bawah tulang belakang) yang dulunya menyebabkan pembedahan sebesar lima ke enam inci. Keadaan ini boleh menyebabkan kerosakan pada tisu normal. Namun menerusi MIS, ia membantu mengurangkan ‘gangguan’ pada otot.

Dalam sesetengah pendekatan MIS yang juga disebut sebagai ‘keyhole surgeries’ pakar bedah menggunakan endoskopi kecil dengan kamera di hujung yang dimasukkan melalui bawah kulit. Kamera itu membolehkan pakar bedah melihat lokasi yang terjejas. Hari ini MIS sudah menjadi pilihan popular di kebanyakan hospital di seluruh dunia.

Bagaimanapun pesakit perlu menjalani rawatan konservatif seperti terapi fizikal, pengambilan ubat-ubatan sebelum memilih pembedahan sebagai alternatif rawatan. Selalunya doktor memberi tempoh p penilaian bergantung pada keadaan pesakit, umumnya antara enam minggu ke enam bulan.

Sumber

Kawal Kolesterol Secara Semula Jadi

Diet makanan seimbang termasuk buah dan sayur bantu mengawal tahap kolesterol
PENYAKIT jantung dan strok adalah dua masalah kesihatan serius yang berpunca daripada tahap kolesterol tinggi. Keadaan itu dikatakan berkait rapat dengan beberapa faktor seperti keturunan, diet pemakanan dan gaya hidup seseorang.

Bagi mengatasi kebimbangan seseorang berhubung risiko menghidap penyakit jantung dan strok, kajian terkini membuktikan sumber semula jadi juga dapat membantu merendahkan tahap kolesterol secara berkesan.

Kajian itu juga menunjukkan, ada empat produk berasaskan sumber semula jadi yang kini berada di pasaran mampu mengurangkan tahap kolesterol secara sihat dan efektif, tanpa kesan sampingan. Empat bahan itu adalah sterol tumbuhan (plant sterols), bijirin oat, serbuk minyak ikan Omega 3 dan Psyllium Husk. Sterol tumbuhan yang turut dikenali Phytosterols atau Stanols adalah sebatian pada tumbuhan dan bersifat merendahkan tahap kolesterol. Malah, pengambilan produk itu akan menurunkan tahap kolesterol sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus.

Oat pula bijirin yang mengandungi serat larut dikenali ‘beta glukan’ yang terbukti merendahkan tahap kolesterol mereka yang mengamalkan pemakanannya. Kandungan serat, karbohidrat kompleks dan protein yang tinggi itu turut membantu menstabilkan kadar glukos dalam darah.

Minyak ikan Omega 3 atau produk Omega 3 Fish Oil Powder pula adalah asid lemak yang penting bagi metabolisma normal kerana ia mengandungi Asid Lemak Tak Tepu (EPA) bagi mengurangkan inflamasi seluruh badan.

Produk ini juga sesuai untuk penghidap masalah kesihatan hipertrigliseridemia, kardiovaskular sekunder dan tekanan darah tinggi.  Selain itu, Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan kepada pesakit jantung koronari supaya mengambil 1 gram minyak ikan seperti produk ini setiap hari.

Psyllium Husk pula secara lazimnya digunakan untuk menangani sembelit, sindrom sakit perut serta meningkatkan kemampuan dan mengekalkan otot usus.  Pada masa sama, penggunaannya mampu untuk menurunkan tahap kolesterol, mengawal diabetes dan mengurangkan risiko penyakit jantung koronari.

Hasil kajian dijalankan The American Journal of Clinical Nutrition menunjukkan produk itu jika digunakan bersama bahan makanan, berkesan untuk mengurangkan glukosa dalam darah.

Sumber

Rumah selamat: Tip Bersih Kediaman Elak Si Kecil Alami Alahan

Alahan adalah masalah kesihatan lazim yang dihadapi semua golongan tanpa mengira usia. Namun, tidak semua orang terdedah atau berisiko mengalami alahan. Pemerhatian menunjukkan, jika ibu bapa mengalami alahan, anak-anak lebih berisiko tinggi untuk menghadapi situasi sama.

Perunding Pediatrik DEMC Specialist Hospital, Shah Alam, Dr Iftikhar Ahmad Mohamed Akup berkata, allergic rhinitis atau alahan adalah radang yang biasanya berlaku di sekitar hidung akibat terdedah kepada faktor alergen terutama alam sekitar seperti debunga, hama, debu, habuk, kulapuk dan haiwan. Dalam hal ini, adalah mustahil untuk mengelak anak-anak dari terdedah kepada faktor alergen. Ini kerana penyumbang ini ada di mana-mana. Namun, pelbagai cara boleh dilakukan bagi menyediakan persekitaran baik dan sihat bagi mengelak berlakunya masalah alahan. Langkah pertama ialah dengan mengenalpasti faktor alergen itu terlebih dulu.  Ini disusuli langkah membasmi atau mengurangkan risiko terdedah kepada faktor alergen bermula dari rumah.

Ibu bapa boleh mula melakukannya dengan memperbaiki kualiti udara dalam rumah. Antara langkah yang boleh diambil ialah menjadikan rumah sebagai zon larangan merokok; mengelak pembakaran kayu api dan jangan gunakan penyegar udara, sabun atau penyembur serangga berbau wangi. Selain itu, anda digalakkan untuk memasang penghawa dingin dan menukar penapisnya secara berkala.

Jika langkah itu tidak mencukupi, anda boleh memasang penapis udara di bilik anak-anak atau bilik permainan mereka.

Perlu diingatkan, habuk dan hama adalah satu lagi faktor lazim yang menyebabkan alahan di rumah. Hama adalah pepijat bersaiz mikroskopik yang hidup dengan memakan sel kulit mati manusia dalam habuk di serata kediaman. Ini terutamanya pada perabot, cadar, tilam dan karpet. Hama lazimnya banyak ditemui di bilik tidur.

Bagi mengurangkan hama, bersihkan rumah terutama bilik anak anda secara kerap dengan vakum seminggu sekali. Kesat habuk dengan kain lembap supaya ia tidak melayang. Elak bantal kekabu atau bulu, sebaliknya pilih batal diperbuat daripada sintetik.

Selain itu, cuci cadar anak-anak seminggu sekali dengan air panas. Alihkan karpet dan tanggalkan dari dinding bilik anak anda dan ruang permainan mereka. Pastikan hamparan di rumah mudah dibasuh dan dibersihkan dengan air panas.

Anda juga dinasihat menyimpan koleksi buku anak-anak di bilik lain. Ini kerana ia boleh menjadi perangkap habuk. Permainan anak-anak yang boleh memerangkap habuk dan hama perlu disimpan dalam beg plastik berasingan. Bagi permainan kegemaran, basuhlah ia sekerap mungkin.

Selain itu, kulapuk dan kulat pula boleh membiak di permukaan lembap seperti bilik mandi dan bilik bawah tanah. Seperti debunga, kulapuk membiak dengan melepaskan debunga di udara. Dalam hal ini, kanak-kanak yang sensitif dengan debunga kulapuk, boleh mendapat alahan termasuk lelah.

Sehubungan itu, pastikan bilik air mempunyai peredaran udara yang baik dengan kebocoran dan kerosakan diperbaiki segera. Selain itu, tanggalkan kertas dinding dan karpet dinding di bilik air dan bilik bawah tanah; elak pokok hiasan; ganti atau cuci langsir pancuran; tukar marmar yang sudah berkulat di siling dan periksa paip bocor yang menyebabkan kehadiran kulat.

Seperkara lagi, haiwan juga boleh menjadi punca alahan. Kajian menunjukkan kira-kira 30 peratus daripada mereka yang menghidap lelah, alah kepada haiwan. Ini kerana tubuh memberi tindak balas protein tertentu terhadap air liur, air kencing atau sel mati haiwan terbabit.

Bulu haiwan bagaimanapun tidak menyebabkan alahan, tetapi ia memerangkap hama, debunga dan kulapuk. Haiwan yang dikurung seperti burung akan menghasilkan najis yang menarik kulapuk dan habuk.

Jika anda memiliki haiwan peliharaan di rumah dan anak-anda alah kepadanya, saranan terbaik ialah mendapatkan kediaman baru untuk haiwan terbabit.

INFO: Lima langkah mudah kurangkan risiko alahan

Alas semua tilam anak anda dengan cadar bersih
Simpan semua permaidani
Kurangkan habuk
Hapuskan serangan haiwan perosak
Jadikan kediaman zon bebas merokok

Sumber

Membina Idealisme, Memahami Realiti

Memiliki idealisme adalah sesuatu yang amat dituntut. Idealisme dalam maksud yang luas tidak sekadar lahir daripada idea-idea manusia, tetapi pedoman daripada ALLAH. Membina idealisme mengarah kepada suatu faham yang serba sempurna terhadap sesuatu dan ia menjadi idaman setiap manusia.

Idealisme perlu berjejak di bumi nyata. Pemahaman terhadap realiti atau waqi’ adalah amat penting supaya sesuatu yang murni dihajatkan berlaku dapat diimbangi dengan pemahaman terhadap realiti itu sendiri. Ia bakal melahirkan strategi bijaksana supaya antara matlamat dan usaha ke arah sesuatu, mampu menemui titik keseimbangannya.

Seseorang yang sifatnya idealis perlu menjadi realis. Gandingan kedua-duanya menghasilkan kebijaksanaan. Bersifat idealis tanpa memahami realiti boleh menyebabkan seseorang kehilangan tempat berpijak, arah dan sasaran.

Idea-idea besar dan indah memberi sumbangan kepada ketangkasan berfikir. Tetapi apabila ingin dilaksanakan ia menuntut perancangan rapi, bekalan sumber tenaga yang kompeten, sumber kewangan baik dan strategi bijaksana.

Hijratul Rasul umpamanya adalah gagasan besar daripada ALLAH untuk melonjakkan Islam sebagai sumber rahmah alamiah (rahmatan lil ‘alameen). Rasulullah SAW melakukan itu dengan perancangannya sendiri dan bantuan daripada ALLAH. Cita-cita besar Rasulullah SAW ialah untuk menyebarkan aqidah tauhid dan menjadikan Islam sebagai agama anutan umat manusia.

Tetapi usaha Rasulullah terhalang dengan sikap pemuda Quraisy yang akhirnya merancang membunuh Baginda. Walaupun aqidah tauhid sesuatu yang murni dan Islam itu aman dan mendamaikan, tetapi realiti yang ada ialah penentangan dan kezaliman.

Strategi Hijratul Rasul itu membimbing ke arah kebijaksanaan dan kemenangan bersama campur tangan ALLAH. Meletakkan Saidini Ali di tempat tidur Rasulullah, keluar pada waktu malam ke Gua Thur yang berada di Selatan Mekah disertai oleh Saidina Abu Bakar AsSiddik orang yang amat dipercayai, bersama sumbangan anak Abu Bakr iaitu Abdallah dan Asma’ yang memberikan maklumat pergerakan musuh dan makanan adalah perancangan Rasulullah. Terlenanya pemuda Quraisy sewaktu Rasulullah meninggalkan rumah, terbinanya sarang labah-labah yang mengelirukan musuh adalah pertolongan ALLAH.

Meminta seorang Yahudi memandu jalan ke arah Madinah adalah strategi bijaksana. Terbenamnya kaki kuda Surakah bin Malik di pasir sewaktu mengejar Rasulullah adalah perancangan ALLAH. Akhirnya Rasullah sampai ke Madinah dan membina masjid di tempat unta berhenti. Ia menjadi turning-point atau titik penting ke arah perubahan lebih bermakna.

Dalam bahasa mudah merancang ke arah perubahan tidaklah salah. Mengatur strategi bijaksana dengan pertolongan ALLAH, itulah yang seharusnya menjadi pedoman. Islam ialah agama perubahan dan perubahan yang ingin berlaku menuntut usaha dan perancangan.

Oleh itu memiliki idealisme atau gagasan cita-cita tidaklah salah. Memahami realiti menjadi tuntutan yang tidak boleh dielakkan dan perubahan tidak boleh berlaku secara mendadak. Ia kena dirancang dan mengambil kira banyak perkara.

Asas perubahan bermula dengan pemerkasaan ilmu dan keterampilan. Keterampilan yang didapati mestilah mampu memberi nilai guna yang baik. Jika ini terjadi corak modal insan yang terbina memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan bermakna.

Perubahan yang bermakna mengikut acuan al-Quran ialah perubahan terhadap rijal atau manusia itu sendiri. Manusia perlu dibangunkan aqidah, ibadah, syariah dan akhlaknya. Keseimbangan terhadap corak pembangunan yang Qurani ini bakal mencetuskan perubahan diri dan sistem lebih bermakna. Tidak ada jalan singkat dalam melakukan perubahan.

Namun, realiti yang sering berlaku ialah gagasan besar tanpa asas pemahaman terhadap realiti menyebabkan kebebangan terjadi. Ibarat pelanduk yang ingin berak besar seperti gajah, teran punya teran keluar najis sebesar biji saga lalu pelanduk mengalami kebebangan. Impiannya tinggi tetapi tidak mampu mengukur baju di badan sendiri.
 
Sumber

Siapa Mudah Dipengaruhi Syaitan?

Permusuhan syaitan dengan manusia tidak akan berubah. Ia berlaku lantaran pengusirannya dari syurga serta kutukan yang diterimanya, gara-gara bapa seluruh manusia iaitu Nabi Adam AS. Tujuan utama dan sasaran terakhir syaitan ialah untuk melemparkan manusia ke dalam neraka dan menjauhkan mereka dari syurga.

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala.” (Surah Al Fathir: 6).

“Dia (Iblis berkata), “Terangkanlah kepada ku inikah orang yang Engkau muliakan atas diri ku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepada ku sampai Hari Kiamat, nescaya benar-benar aku akan sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.” (Surah Al-Isra’: 62).

Sebahagian kecil yang dimaksudkan ayat merujuk kepada golongan beriman lagi bertakwa. Kebanyakan ulama mengajar ilmu tasawuf membicarakan akhlak dari sudut nafsu. Mereka kurang menghuraikan musuh manusia yang utama iaitu syaitan. Antara paling jelas seperti ditekankan oleh ulama sufi-falsafah iaitu Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin.

ALLAH memperingatkan manusia kewujudan syaitan dan memerintahkan mereka agar berlindung daripadanya. Rasulullah SAW pada awal khutbah bersabda, “Dan kami berlindung kepada Allah daripada kejahatan nafs (diri) dan keburukan amal kami.” Jadi ketika membicarakan akhlak, ulama tasawuf harus memberi perhatian untuk memerangi syaitan.

ALLAH sediakan dua jenis makhluk untuk mendampingi manusia sepanjang masa iaitu malaikat dan syaitan. Muslim dan Ahmad mentakhrij daripada Ibnu Masud, dia berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Tidaklah ada salah seorang antara kalian melainkan diserahi pendampingnya daripada jenis jin dan daripada seorang pendampingnya daripada malaikat.” Mereka bertanya, “Begitu juga engkau wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Begitu juga aku. Tetapi Allah menolong ku dalam menghadapi jin, hingga aku terselamat dan tidak menyuruhkan kecuali kepada kebaikan.”

Pendamping manusia

Iblis dan syaitan sebenarnya berasal daripada makhluk yang serupa dengan hantu iaitu jin. Iblis ialah ketua syaitan akan terus hidup sampai hari kiamat. Jin kafir ialah syaitan. Jin Islam yang jahat dengan tipu daya dan mengganggu manusia juga adalah syaitan. Maksud jahat ialah menyesatkan manusia dengan pelbagai cara dengan mencemar kehidupan dan kerohanian manusia.

ALLAH SWT dan Rasulullah SAW mengajak manusia kepada pertunjuk dan keimanan. Jin pendamping manusia atau qarin ialah kategori syaitan. Ia tidak dapat mempengaruhi manusia yang benar-benar beriman lagi bertakwa. Orang ini ialah orang yang ikhlas sama ada dari segi kehidupannya dan kerohaniannya.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Wahai Rabbku, oleh sebab Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik (perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali hamba Engkau yang ikhlas antara mereka.” (Surah Al Hijr: 39-40).

Untuk menjadikan seluruh amalan kehidupan dan kerohanian ikhlas kerana ALLAH, perlukan kepada elemen utama iaitu berdasarkan kepada keimanan yang benar. Pemfokusan keseluruhan amalan perlu berpaksikan kepada dua kalimat syahadah. Maksudnya sesuatu perbuatan ibadah itu diamalkan ikhlas kerana ALLAH dan ia harus benar seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.

Sebagai pendamping manusia, malaikat dan qarin saling bersaing. Malaikat pendamping menganjurkan manusia kepada kebaikan. Sebaliknya jin kafir pendamping bertugas bermati-matian menghasut agar manusia mengingkari perintah ALLAH dan berbuat maksiat.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Barang siapa yang berpaling daripada pengajaran Tuhan Yang Maha Pemurah (Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan), maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.” (Surah Al Zukhruf: 36).

Maksud maksiat secara umum ialah tidak taat kepada Allah iaitu dengan meninggalkan suruhan-Nya serta melanggar larangan-Nya. Ia meliputi dosa besar mahupun dosa kecil. Tipu daya syaitan bukan sahaja meliputi lingkungan ibadah tetapi kehidupan manusia secara keseluruhan.

Mereka yang sering meremehkan perintah ALLAH ialah orang yang dalam hatinya ada penyakit. Pendusta (termasuk mereka yang menyembunyikan kebenaran) serta orang yang banyak dosa amat disukai syaitan seperti firman ALLAH dalam Surah Asy-Syu’araa: 222.

Sebahagian orang menyangka amalan mereka benar padahal ia menyimpang dari petunjuk seperti firman ALLAH maksudnya, “Dan sesungguhnya syaitan itu benar-benar menghalangi mereka dari jalan yang benar dan mereka menyangka mereka mendapat petunjuk.” (Surah Az-Zukhruf: 37).

Senjata mukmin

Terdapat beberapa cara bagi membentengi diri daripada bisikan dan godaan syaitan. Pertama lengkapkan diri dengan ilmu dengan berguru kepada guru agama yang benar ilmunya. Firman ALLAH SWT yang bermaksud: “Dan bahawa Yang Kami perintahkan ini adalah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah ia, dan janganlah kalian mengikut jalan yang lain, kerana jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Yang demikian itu diperintah kepada kalian agar kalian bertakwa.” (Surah Al-An’am: 153)

Inilah cara yang paling utama untuk berlindung daripada syaitan iaitu dengan memberi komitmen secara bersungguh-sungguh terhadap Quran dan Sunnah. Syaitan tidak mengganggu orang yang sering berlindung kepada ALLAH seperti dinyatakan dalam Surah al-A’raf ayat 199-120 dan Surah al-Mukminun ayat 97-98.

Rasulullah SAW sentiasa mohon perlindungan ALLAH daripada syaitan pada pelbagai tempat dan keadaan. Syaitan tidak mampu menghasut orang yang sentiasa berzikir kepada ALLAH.

Maksud zikir sangat luas, bukan terbatas kepada solat, membaca al-Quran dan kalimah wirid sebagaimana dicontohkan Rasulullah SAW. Zikir juga bermaksud mendengar ceramah atau membaca buku bertujuan menambah ilmu agama dan mendekatkan diri kepada ALLAH. Hidup secara islamik dan dalam lingkungan orang bertakwa dibenci syaitan. Ini seperti dinyatakan Rasulullah dalam hadis, “Barang siapa antara kalian yang inginkan kesenangan hidup di syurga, maka hendaklah ia mengikut jemaah. Sesungguhnya syaitan itu bersama satu orang dan dia semakin jauh daripada dua orang.” (Riwayat at-Tarmidzi).

Orang yang sering bermuhasabah dan bertaubat sepanjang hayatnya tidak disukai syaitan.

Firman ALLAH SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang bertakwa apabila mereka ditimpa waswas daripada syaitan, mereka ingat kepada ALLAH, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan mereka.” (Surah al-A’raf: 201).

Sumber

Syirik Runtuhkan Akidah, Hancurkan Ibadah

Semua orang yang beriman berkehendakkan amalan yang dikerjakannya bernilai dan diterima oleh Allah SWT. Amalan yang dilakukan akan dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak batal. Amalan yang terbatal tentunya tidak mempunyai nilai. Iia hanya sia-sia seumpama debu-debu yang berterbangan. Antara perkara yang boleh membatalkan aqidah kita ialah syirik kepada Allah SWT.

Syirik boleh terjadi dengan dua keadaan. Pertama adalah menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Ia dikenali sebagai syirik kecil. Ini termasuklah menyembah dan menyamakan Allah SWT dengan batu, pokok, matahari, bulan, Nabi, pemimpin, malaikat dan sebagainya.

Syirik merupakan dosa yang paling besar berbanding dosa-dosa besar yang lain. Ia boleh meruntuhkan akidah seseorang. Apabila akidah telah runtuh, maka ibadah yang dilakukan sia-sia dan tidak berguna sama sekali.

Lebih dahsyat dari itu ialah dosa syirik tidak diampunkan dosa oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (an-Nisa': 48).

Jelas daripada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengampunkan dosa-dosa orang yang telah melakukan syirik kepada-Nya. Namun, sekiranya orang yang melakukan syirik itu sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum meninggal dunia, maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengampun, dia akan diampunkan dosa walaupun telah melakukan syirik.

Manakala orang yang tidak sempat bertaubat setelah mengerjakan dosa syirik tidak akan diampunkan dosa.

Dengan kata lain, dia kekal dalam seksaan neraka selama-lamanya. Adapun mereka yang melakukan dosa-dosa yang lain walaupun tidak sempat bertaubat, akan diampunkan dosa-dosa mereka setelah melalui tempoh hukuman di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.  Inilah pandangan yang dikemukakan oleh para ulama termasuk Imam Az-Zahabi dalam kitab terkemukanya, Al-Kabair.

Antara amalan-amalan yang boleh membawa kepada berlakunya syirik ialah mempercayai dukun atau bomoh dan meminta pertolongan daripada mereka.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menemui tukang tilik atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka, lalu dia mempercayai apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW." (Riwayat Ashabus Sunan).

Amalan bertemu dengan dukun, pawang dan bomoh banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya disebabkan sikap permusuhan yang membuahkan perasaan cemburu dan iri hati yang tidak berkesudahan. Lantas, jalan singkat untuk menjatuhkan dan menghancurkan kehidupan musuhnya ialah dengan meminta pertolongan bomoh yang sesat.

Di samping itu, kepercayaan bahawa pada tarikh dan bulan tertentu boleh membawa malang dan sial juga boleh membawa kepada syirik. Ini adalah kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa menentukan segalanya. Ia tiada kaitan dengan detik dan masa tertentu.

Perbuatan lain yang boleh menyebabkan berlakunya syirik menggunakan atau memakai barangan tertentu untuk mendapat tuah atau menghalang sial. Ini termasuklah memakai tangkal atau azimat yang dipercayainya boleh menyembuhkan penyakit, pelaris perniagaan, ilmu kebal dan sebagainya.

Begitu juga yang menggunakan alatan seperti keris, tengkorak dan barangan mistik yang lain untuk dipuja bagi meraih sesuatu untuk keuntungan duniawi. Semua perbuatan ini juga dianggap syirik berdasarkan hadis Nabi SAW: "Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik". (riwayat Abu Daud).

Keadaan kedua yang boleh menyebabkan syirik ialah riak iaitu melakukan sesuatu ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi untuk mempamerkannya kepada manusia. Riak adalah sebuah penyakit hati yang berpunca dari perasaan ingin dilihat hebat melebihi orang lain. Lalu ditunjuk-tunjukkan amalannya supaya orang yang melihatnya menyanjungi dan memujinya.

Riak juga dikenali sebagai syirik kecil. Ini adalah kerana orang yang melakukan amalan dengan hati yang riak seolah-olah melakukan amalan untuk orang lain, bukan untuk Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka barang siapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan Tuhannya hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh (baik), dan janganlah mempersekutukan sebarangpun dalam beribadah kepadanya. (al-Kahfi: 110)

Nabi SAW bersabda: "Jauhilah kamu dari syirik yang kecil." Lalu para sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu?" Nabi SAW menjawab: "Riya.'" (riwayat Ahmad dan Baihaqi).

Ini bermakna, apabila seseorang itu melakukan sesuatu amalan dengan riak, maka amalannya sudah tidak bermakna lagi kerana ia tidak mendatangkan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: Dan kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amalan itu seperti debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23).

Sumber

Bacaan Na : Suami Isteri Idola

Daripada Saad bin Abi Waqqas bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Di antara sumber kebahagiaan anak Adam itu tiga perkara, manakala di antara punca kecelakaan anak Adam itu juga tiga perkara. Tiga sumber kebahagiaan mereka adalah isteri yang solehah, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang baik. Manakala punca kesengsaraan mereka pula adalah isteri yang jahat, tempat tinggal yang buruk dan kenderaan yang tidak menyenangkan.

Menurut Abdul Aziz( Pensyarah di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Ustaz Abdul Aziz Abdul Samad ) ,

1. Isteri yang solehah yang disebutkan dalam hadis itu bermaksud patuh dan taat kepada perintah Allah, Rasul malah perintah daripada para suami juga perlu ditaati isteri selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat agama.

2.  Manakala yang dimaksudkan dengan tempat tinggal yang baik pula ialah di dalamnya dilakukan aktiviti ketaatan kepada Allah dan Rasul.  Contohnya solat, membaca al-Quran, melaksanakan ibadat dan begitu juga dengan wirid. Di samping itu juga rumah yang baik juga adalah rumah yang dikunjungi oleh tetamu.  "Rumah yang di dalamnya tidak ada bacaan al-Quran seumpama tanah perkuburan. Oleh kerana itu, isteri yang baik daripada keluarga yang baik mereka akan melakukan ketaatan di dalam rumah-rumah mereka.

3. "Sementara itu, kenderaan yang baik pula bermaksud, kenderaan yang digunakan kepada ketaatan kepada Allah ataupun kenderaan tersebut bergerak kepada jalan-jalan kebaikan bukan sebaliknya," kata Abdul Aziz pada slot pertama seminar tersebut.

"Sebenarnya, apabila kita memahami ilmu, kita akan sedar sebenarnya ada panduan yang jelas berkaitan kebahagiaan. Ini kerana ilmu yang datang kepada kita adalah berpandukan kepada al-Quran manakala dijelaskan menerusi hadis. "Sekiranya kita berpandukan kepada al-Quran dan hadis, walau hebat mana cabaran duniawi itu, kita tidak akan mudah diperdayakan oleh kesenangan di dunia semata-mata," ujar Abdul Aziz.

Artikel lengkap, Klik di sini

Pencipta Tanda Baca Al-Quran

AL-QURAN diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW melalui wahyu dalam bentuk hafalan. Rasulullah tidak tahu membaca dan menulis untuk membuat catatan bagi setiap wahyu yang diterima.

Ada hikmahnya kenapa baginda dizahirkan ke dunia oleh Allah sebagai seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Antaranya tentulah supaya umat yang diseru kepada Islam dan agar beriman kepada kalamullah tidak akan menganggap al-Quran hasil karangan baginda.

Ayat-ayat al-Quran itu sendiri terlalu indah dan tidak mampu diatasi oleh susunan bahasa hasil karya para sasterawan sejak dulu hingga kiamat.

Bukan sahaja setiap ayat tetapi juga setiap huruf ada kekuatan dan manfaatnya kepada manusia yang beriman dan bertakwa.

Sebenarnya, bukan tidak ada catatan ayat-ayat al-Quran dibuat tetapi ia sangat terhad dan catatannya pula dibuat pada belulang, kayu, batu, pelepah tamar dan sebagainya oleh para penulis wahyu, pada umumnya untuk simpanan peribadi.

Rata-rata pemilikan ayat-ayat al-Quran pada waktu itu adalah dalam bentuk hafalan. Kebetulan ayat-ayat al-Quran pula diwahyukan kepada baginda secara berperingkat-peringkat dan pendek. Secara tidak langsung ia mudah diingat.

Cara yang betul dan tepat bacaan al-Quran pula dirujuk kepada baginda oleh para penulis wahyu serta para sahabat ketika baginda belum wafat manakala baginda pula bertadarus dengan Jibril bagi membetulkan bacaan.

Semasa hayat baginda, soal ketepatan bacaan al-Quran tidak menjadi masalah. Tetapi bila baginda wafat, diikuti pula dengan kematian sahabat-sahabat besar dan penulis wahyu, mahu tidak mahu akan timbul masalah kerana bahasa Arab sendiri ada pelbagai loghatnya.

Disebabkan bimbang generasi di luar era hayat para sahabat akan terpisah daripada al-Quran, maka para sahabat telah mencadangkan supaya ayat-ayat al-Quran dibukukan. Ia dilaksanakan pada era Uthman Affan sebagai khalifah. Uthman adalah antara penulis wahyu.

Bagaimanapun ayat-ayat al-Quran yang ditulis oleh para penulis wahyu tanpa titik dan tanpa baris. Kepada bangsa Arab tentulah ia tidak menjadi masalah kerana al-Quran ditulis dalam bahasa mereka walaupun loghatnya berbeza.

Namun, ia mendatangkan masalah kepada umat Islam yang bukan berbangsa Arab. Islam diturunkan kepada semua manusia, tidak hanya terhad kepada bangsa Arab sahaja.

Dalam pada itu, timbul perbezaan lahjah dan menimbulkan pelbagai qiraat di kalangan bangsa Arab sendiri berdasarkan loghat masing-masing. Pada tahun 200 Hijrah muncul ahli qiraat yang tidak terhingga banyaknya. Antaranya qiraat Ibnu Mas'ud.

Sebagaimana yang telah dicatatkan di atas, al-Quran pada mulanya ditulis tanpa titik dan baris. Pun begitu ia tidak mempengaruhi bacaan kerana para sahabat dan tabi'en adalah orang yang fasih dalam bahasa Arab.

Sebab itu mereka dapat membaca dengan baik dan tepat. Tetapi setelah agama Islam tersebar luas dan dianuti oleh kalangan yang bukan berbangsa Arab, sulit bagi mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab untuk membaca dengan baik dan tepat.

Jika keadaan itu kekal, tentu ia menimbulkan kesalahan bacaan 'ain di kalangan mereka yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab. Justeru Abul Aswad mengambil inisiatif memberi tanda-tanda dalam al-Quran dengan tinta yang berlainan warnanya dengan tulisan al-Quran.

Tanda-tanda itu adalah titik di atas bagi fathah, titik di bawah untuk kasrah, titik di sebelah kiri untuk dhammah dan dua titik untuk tanwin. Usaha murni itu dilakukan pada era kekhalifahan Muawiyah.

Pada era khalifah Abdul Malik bin Marwan (685-705 Masehi), Nasyir bin Asyim dan Yahya bin Ya'mar menambahkan lagi tanda-tanda untuk huruf-huruf yang bertitik dengan tinta yang sama dengan tulisan al-Quran.

Ia untuk membezakan antara maksud dari titik Abul Aswad Ad-Duali dengan titik yang baru. Titik Abul Aswad adalah untuk tanda baca dan titik Nasyir bin Asyim adalah titik huruf.

Cara penulisan jenis ini tetap berlaku pada era pemerintahan Bani Umaiyyah dan pada permulaan era pemerintahan Bani Abbasiyah. Malah telah dipakai pula di Sepanyol sampai pertengahan abad ke-4 Hijrah.

Kemudian ternyata bahawa cara pemberian tanda seperti itu menimbulkan kesulitan kepada para pembaca al-Quran kerana terlalu banyak titik yang mana titik-titik itu lama kelamaan hampir menjadi serupa warnanya.

Maka Al-Khalil mengambil inisiatif membuat tanda-tanda yang baru iaitu huruf wau kecil dibuat untuk tanda dhammah, huruf alif kecil untuk tanda fathah, huruf ya kecil untuk tanda kasrah, kepala huruf sin untuk tanda syaddah, kepala huruf ho untuk sukun dan kepala huruf 'ain untuk hamzah.

Berteraskan itulah maka tanda-tanda bacaan al-Quran dipermudah, dipotong dan ditambah sehingga menjadi bentuk seperti sekarang dan dapat dibaca dengan baik dan tepat oleh setiap umat Islam yang bukan berbangsa dan berbahasa Arab.

Justeru amat patut jika setiap kali membaca al-Quran, kita sedekahkan al-Fatihah dan Qul-Huallah kepada Abul Aswad, Nasyir, Yahya dan Al-Khalil kerana inisiatif mereka mencipta tanda bacaan al-Quran, maka umat Islam sehingga kiamat dapat membaca al-Quran dengan baik dan tepat.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan mereka mendapat kemuliaan di alam barzakh dan di akhirat.

Sumber

Kesan Fibroid Terhadap Kehamilan

Fibroid ialah ketumbuhan biasa atau ketumbuhan yang mengandungi tisu-tisu otot dan berlaku di dalam rahim. Bagi wanita, mengetahui sesuatu yang asing sedang tumbuh dan membesar di dalam rahimnya merupakan perkara yang merunsingkan. Ketumbuhan fibroid menyerang lebih seorang daripada setiap lima orang wanita di bawah umur 50 tahun.

Kajian menunjukkan bahawa sebanyak 20 peratus wanita dalam lingkungan usia subur, iaitu 30 hingga 40 tahun menghidap fibroid.

Kehamilan dan fibroid

Fibroid biasanya terdapat dalam kalangan wanita pada usia subur. Maka tidak hairanlah fibroid ditemui dalam kalangan wanita hamil. Kadang-kadang fibroid boleh menimbulkan kesan yang tidak dijangka semasa seseorang itu hamil. Ada fibroid yang dapat menimbulkan masalah dan ada yang tidak. Akan tetapi, kebanyakan fibroid tidak akan membesar ketika hamil. Pembesaran fibroid bergantung pada aras hormon estrogen di dalam badan. Kesan kehamilan terhadap fibroid mungkin bergantung pada faktor genetik dan juga aras faktor pertumbuhan yang terdapat di dalam darah yang mungkin boleh mengawal pertumbuhan fibroid tersebut.

Mengikut laporan kajian yang dijalankan ke atas wanita hamil yang menghidap fibroid, imbasan ultrabunyi menunjukkan lebih kurang 70 peratus wanita hamil tersebut tidak mengalami pembesaran fibroid semasa hamil.

Sebanyak 30 peratus wanita pula menghadapi pembesaran fibroid, dan fibroid ini didapati membesar dalam tempoh tiga bulan pertama kehamilan. Hal ini mungkin juga disebabkan oleh pengaruh hormon estrogen yang berada pada aras yang tinggi ketika awal kehamilan.

Hanya segelintir wanita hamil yang diketahui mempunyai fibroid ketika menjalani ujian imbasan ultrabunyi dan kebanyakan wanita yang menghidap fibroid jarang mengalami masalah ketika hamil. Walaupun fibroid didapati membesar ketika hamil, kaum wanita tidak perlu gusar kerana fibroid biasanya akan mengalami pengecutan selepas kelahiran anak.  Pasti ramai di kalangan wanita hamil akan tertanya-tanya adakah fibroid akan menyebabkan kehamilan mereka menghadapi masalah.

Wanita hamil yang menghidap fibroid memerlukan pengawasan berkala. Perkara ini penting untuk memastikan pembesaran janin berlaku dengan baik. Ia juga untuk membantu ibu supaya tidak mengalami keguguran dan kesakitan semasa hamil serta menghindari kelahiran bayi pramatang. Ibu juga berpeluang mempunyai cara terbaik bagi kelahiran bayinya dan tidak mengalami perdarahan yang teruk selepas kelahiran bayi.

Apabila wanita hamil dan menghidap fibroid, beberapa masalah mungkin berlaku. Antaranya termasuklah kehamilan itu berisiko untuk mengalami keguguran, meningkatnya risiko untuk kelahiran pramatang, pembesaran fibroid, kelahiran yang tidak normal dan mengalami perdarahan yang banyak selepas melahirkan bayi.

Keguguran

Hal ini berlaku disebabkan oleh kesan fibroid jenis submukosa yang membesar di dalam kaviti (rongga) rahim. Apabila pembesaran berlaku, fibroid ini akan menyebabkan lapisan rahim, iaitu bahagian bagi penempelan janin menjadi nipis dan menghalang bekalan darah yang mencukupi untuk tumbesaran janin tersebut. Selain itu, fibroid juga akan menyebabkan inflamasi di lapisan penempelan dan mengakibatkan janin tidak dapat menempel dengan baik dan hal ini akan menyebabkan keguguran.

Kelahiran pramatang

Keadaan ini berlaku kerana fibroid yang makin membesar semasa janin dalam kandungan membesar akan menyebabkan rahim membesar pada masa yang sama. Keadaan ini lebih kerap berlaku bagi fibroid yang berada di bahagian bawah rahim yang pada masa yang sama boleh menekan kepala bayi yang belum matang. Keadaan ini boleh menyebabkan wanita tersebut mengalami kontraksi (kesakitan bersalin) lebih awal sebelum waktu yang sepatutnya.

Pembesaran fibroid

Ketika hamil, kebanyakan hormon akan dihasilkan oleh uri (plasenta) dan kebiasaannya menyebabkan peningkatan aras hormon estrogen. Peningkatan aras hormon estrogen yang tinggi akan menyebabkan pembesaran fibroid yang mungkin secara mendadak.

Jika pembesaran fibroid berlaku terlalu cepat, salur darah yang membekalkan nutrien kepada fibroid mungkin tidak boleh membekalkan oksigen yang mencukupi kepada tisu fibroid.

Jadi, sebahagian fibroid yang tidak mendapat bekalan darah akan mengalami degenerasi atau dikenal sebagai 'degenerasi merah' (red degeneration).

Proses degenerasi ini akan menyebabkan wanita yang sedang hamil mengalami kesakitan. Biasanya, kesakitan ini akan hilang dalam jangka masa yang pendek tanpa rawatan dan tidak akan mendatangkan masalah kepada kandungan. Bagi wanita yang tidak dapat menahan kesakitan, mereka boleh diberikan ubat penahan sakit jika perlu.

Kelahiran yang tidak normal

Kelahiran normal terganggu jika fibroid berada pada bahagian bawah rahim. Bentuk rahim juga mungkin akan berubah disebabkan kewujudan fibroid. Hal ini akan meningkatkan risiko kedudukan bayi tidak normal seperti melintang atau songsang.

Bayi yang berada dalam keadaan melintang atau songsang terpaksa dilahirkan melalui pembedahan Caesarean. Wanita yang mempunyai masalah sebegini akan diberikan tarikh tertentu bagi pembedahan Caesarean secara terancang.

Pendarahan yang banyak selepas melahirkan bayi

Rahim akan mengalami masalah untuk mengecut. Keadaan ini merupakan salah satu penyebab utama tumpahan darah selepas bersalin. Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, pakar perbidanan akan memberikan suntikan ubat yang kuat untuk memastikan rahim tersebut dapat mengecut.

Rawatan fibroid ketika hamil

Bagi wanita hamil, doktor hanya akan memberikan rawatan seperti ubat penahan sakit, jika perlu. Ubat penahan sakit selalunya diberikan dalam bentuk suntikan. Pembedahan untuk membuang fibroid tidak akan dilakukan semasa hamil. Jika kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean, sebarang pembedahan membuang fibroid (miomektomi) tidak dilakukan pada masa yang sama.

Perdarahan yang banyak ini mungkin agak sukar dikawal. Keadaan ini berlaku kerana ada saluran darah yang agak banyak dan besar di bahagian rahim ketika hamil berbanding sewaktu tidak hamil. Pembedahan hanya boleh dilakukan selepas ibu melahirkan anaknya, sekiranya fibroid tersebut berbahaya jika tidak dibuang. Oleh itu, lazimnya saiz fibroid akan diawasi lagi selepas tempoh pantang apabila aras hormon kembali normal.

Sumber

Kualiti Ereksi Gambarkan Tahap Kesihatan

Sebelum  ini ada laporan pernah mendedahkan ramai wanita menganggap aktiviti seks hanya untuk mendapat zuriat tanpa perlu memikirkan soal kepuasan.

Hakikatnya, seks lebih daripada itu. Ia lebih daripada sekadar mendapatkan zuriat. Sebab itu dalam setiap perlakuan seks perlu mengambil kira kemuncak kepuasan bagi setiap pasangan.

Walaupun kebanyakan wanita menganggap soal kepuasan seks merupakan perkara biasa, tetapi sebenarnya ia juga adalah hak mereka.

Bagi kebanyakan lelaki pula, mereka percaya aspek fizikal dalam hubungan seks seperti kualiti ketegangan atau ereksi dapat memberi kepuasan kepada pasangan masing-masing.

Sebenarnya perkara ini merupakan sesuatu yang serius untuk diperbincangkan bagi kebanyakan pasangan iaitu ketegangan atau ereksi bukanlah sesuatu yang dianggap enteng.

Menurut kaji selidik Seks Yang Ideal Pfizer 2011, pasangan Asia bersetuju sepenuhnya bahawa kualiti ereksi serta kebolehan untuk mengekalkan ketegangan adalah kriteria penting dalam mencapai pengalaman seks yang ideal.

Menurut Perunding Urologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Profesor Dr. Ong Teng Aik, ereksi atau ketegangan pada zakar berlaku jika darah memasuki ruang zakar dengan secukupnya. Tambahnya, saluran darah atau arteri pada zakar mempunyai kaitan rapat dengan tahap ereksi.

“Darah akan memenuhi ruang zakar tanpa gangguan serta memberi kekuatan ereksi andainya saluran darah tidak terganggu atau tersumbat.

“Zakar akan membesar dan menegang apabila sepasang tisu korpus kavernosum pada alat kelamin itu terisi dengan darah,” ujarnya ketika ditemui ketika sesi bersama media yang dianjurkan oleh Pfizer bagi membincangkan keputusan Kaji Selidik Seks Ideal 2011 baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, kepuasan seks merupakan satu yang begitu subjektif dan berbeza-beza kepada setiap pasangan mengikut umur.

Dalam pada itu, Pensyarah Psikologi Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Low Wah Yun pula berkata, tahap ereksi yang rendah mampu menjejaskan emosi dan psikologi kedua-dua pasangan.

Seorang lelaki akan berasa lebih yakin kerana keperluan emosi dan psikologinya dicapai melalui hubungan seksual.

“Sebenarnya, dalam situasi ini, sekiranya setiap pasangan memenuhi keinginan seks, mereka akan rasa lebih disayangi.

“Tetapi perlu diingatkan usia tidak mempunyai kaitan dengan tahap ereksi zakar. Malah selagi pasangan sihat anda akan merasai kepuasan seks.

“Tidak kira tua atau muda, kesemua mereka masih boleh berereksi sekiranya tiada gangguan pada zakar,” ujarnya.

Begitupun, hari ini, apabila membicarakan mengenai tahap kepuasan seks bagi setiap pasangan, mungkin ramai yang tidak mengetahui terdapat satu ukuran untuk menentukan ereksi iaitu menerusi Skala Ketegangan Ereksi atau EHS (Erection Hardness Scale).  Ukuran ini dapat menentukan sama ada seseorang lelaki itu mengalami masalah disfungsi erektil (ED) atau mati pucuk. EHS digunakan untuk menyukat ketegangan ereksi semasa hubungan seks.

Gred 4 merupakan keadaan ereksi paling optimum yang memberikan kepuasan seks sebenar untuk pasangan mereka. Dalam pada itu, golongan doktor juga sering menggunakan ukuran ini bagi memantau hasil rawatan ke atas setiap pesakit mereka. Ketegangan paling maksimum dapat dicapai pada Gred 4 iaitu zakar tegang dan keras sepenuhnya.

Kualiti ereksi sebenarnya melibatkan nilai dan harga diri untuk lelaki dan wanita. Apabila kedua-dua lelaki dan wanita mendapat kepuasan seks, keperluan emosi dan psikologi mereka juga turut dicapai.

Lelaki Malaysia yang meletakkan mereka di gred yang teratas mengikut skala EHS mempunyai keyakinan dan imej diri tiga kali ganda lebih daripada rakan yang kurang bertenaga dan berkebolehan di negara lain.

Tetapi bagaimana pula mereka yang tidak mencapai ketegangan tahap yang memuaskan? Menurut kaji selidik tersebut, 25 peratus daripada kaum lelaki Malaysia menilai ketegangan mereka pada gred 3 EHS.

Ini menunjukkan keadaan kesihatan yang lemah atau sederhana jika dibandingkan 17 peratus responden dengan penilaian gred 4. Penemuan itu penting kerana ketegangan separa optimum selalu dikaitkan dengan penyakit jantung ischemic.

Kebanyakan orang tidak menyedari kualiti ereksi lemah merupakan petanda awal kepada penyakit jantung. Akibat peningkatan tahap kolestrol dan kencing manis, saluran darah akan disekat oleh bahan berlemak di sepanjang permukaan arteri.

Saluran menjadi keras dan sempit mengakibatkan kurang pengaliran darah kepada organ-organ penting yang lain.

Lagi pula saluran darah yang sampai ke organ seks lelaki adalah lebih kecil dibandingkan dengan saluran lain.
Oleh itu apabila ia mengalami kesulitan, bahagian tubuh yang lain juga akan turut terjejas terutamanya di bahagian jantung.

Mengambil kira kualiti ereksi dan mendapatkan rawatan awal menerusi perundingan dengan pakar perubatan bukan sahaja dapat meningkatkan pengalaman seks bahkan meningkatkan kesihatan secara keseluruhan.

Sekiranya berhadapan dengan masalah ini, setiap pasangan perlu membincangkannya secara terbuka. Isu ereksi berkualiti tidak harus ditolak begitu sahaja kerana selain menjejaskan hubungan intim ia boleh mengganggu kesejahteraan emosi dan kesihatan.

Sumber

Kelakar Tapi Betul...Hehehe...

Na dapat dari FB adik na...

Monday, December 12, 2011

Pemandu Cekap Letak Kereta di Ruang Sempit

SIRI urutan gambar di New York menunjukkan seorang pemandu meletak kereta sedan di ruang yang cuma boleh memuatkan sebuah kereta kompak. - YouTube

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seorang pemandu yang menunjukkan kecekapannya meletak kereta di ruang sempit menjadi sensasi di laman perkongsian video YouTube, lapor akhbar MailOnline.

Lelaki tidak dikenali itu meletak kereta sedan miliknya di ruang sempit yang cuma muat untuk sebuah kereta bersaiz kompak.

Malah, dia berjaya keluar dari ruang parkir sama tanpa mencalarkan bampar kenderaan di hadapan dan belakangnya.

Dia mengambil masa sekitar lima minit untuk meletakkan keretanya di ruang parkir berkenaan di sini baru-baru ini. - Agensi

Sumber

p/s- wahh, bilalah na nak jadi macam tur?..hehehe

Monday, December 5, 2011

LSD penyakit jarang ditemui

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

adawiyah.koh@utusan.com.my

ADNIN Baharudin, 11, dan Aqilah Baharudin, 9, sepatutnya membesar dan sama tinggi dengan kanak-kanak sebaya.

Namun, takdir tidak mengizinkan mereka melayari kehidupan seperti insan lain yang dibuai keseronokan meneroka keindahan alam kanak-kanak. Kanak-kanak comel ini menderita Mucopolysaccharidosis jenis IV A (MPS IV A) iaitu penyakit penyimpanan lisosom (LSD) yang berlaku pada kadar satu bagi setiap 7,700 kelahiran di sesetengah negara.

MPS IV A adalah sejenis penyakit menyerang kanak-kanak yang jarang berlaku disebabkan gangguan metabolik kerana kekurangan enzim dalam badan. Sewaktu dilahirkan, Adnin dan Aqilah adalah seperti bayi normal yang lain dengan berat 3.25 kilogram dan 3.3 kilogram.

Menurut ibu Adnin dan Aqilah, Nor Hayati Abdul Hamid, sehari sebelum menyambut ulang tahun Adnin yang ke-8 pada 15 April 2008, sindrom ini mula menyerang Adnin. Ketika itu, mereka menetap di United Kingdom bersama ibu bapa dan tiga adik beradik yang lain.

"Saya menyedari perubahan Adnin dan Aqilah apabila melihat tumbesaran mereka tidak sama seperti sepupu-sepupunya.

''Kemudian, saya dan suami merujuk masalah ini ke Klinik Genetik, Hospital City, Nottingham, United Kingdom,'' kata Nor Hayati yang juga Setiausaha Pertubuhan Penyakit Lisosomal Malaysia (PPLM).

Setelah ujian air kencing dan darah, doktor mengesahkan Adnin dan Aqilah menghidap MPS IV A. Rangkaian Mucopolyssaccharides gagal berfungsi menyebabkan mereka gagal untuk menerima enzim seperti seperti galactosamine-6-sulphate sulphatase nyebabkan pertumbuhan sel dalam tubuh badan mereka terganggu. Mereka juga tidak dapat membesar seperti kanak-kanak seusia.

Perubahan fizikal

Dalam pada itu, Adnin dan Aqilah mengalami perubahan fizikal seperti lutut dan dada mereka membengkok ke depan, dahi menonjol dan masalah sendi-sendi lain. Bahkan ramai yang mengatakan mereka adalah kembar seiras.

Adnin yang mengalami gangguan pada saraf tunjang telah pun menjalani pembedahan pada kakinya di United Kingdom. Pergerakan tangan dan kakinya dapat berfungsi dengan baik tetapi sering keletihan.

Bersyukur MPS IV A tidak memberi kesan kepada otak Adnin dan Aqilah, Nor Hayati memastikan mereka menerima pembelajaran yang sempurna di sekolah sama seperti rakan-rakan seusia.

"Cuma mereka tidak mengikuti aktiviti jasmani kerana tahap kemampuan fizikal mereka kurang daripada kanak-kanak yang lain.

''Tetapi dari segi pembelajaran, kedua-duanya tidak pernah ketinggalan,'' katanya.

Aqilah yang mengalami injap jantung rosak dan lemah menjalani pembedahan membetulkan saraf dan tulang lutut di Hospital Kuala Lumpur baru-baru ini. Manakala pembedahan Adnin akan menyusul kemudian.

Bagi Nor Hayati, penyakit LSD seperti MPS bukan sesuatu yang baru di Malaysia. Bagaimanapun kebanyakan ibu bapa tidak tahu mengenainya.

''Saya tidak pernah menganggap mereka kurang sempurna tetapi saya dan suami akan memastikan mereka mendapat layanan yang baik tanpa mengabaikan rawatan. ''Alhamdulillah, mereka mampu bergerak sendiri dan melakukan urusan harian tanpa bantuan orang lain," ujarnya.

Tambah Nor Hayati, Adnin dan Aqilah sedang menunggu keputusan untuk mendapatkan Rawatan Penggantian Enzim (ERT) iaitu rawatan sejenis cecair yang akan dimasukkan ke dalam badan bagi untuk menggantikan enzim baru dan yang menelan belanja RM1 juta seorang pesakit.

Pertubuhan

Pertubuhan Penyakit Lisosomal Malaysia (PPLM) merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak pesakit dan mendidik orang ramai mengenai pelbagai jenis penyakit penyimpanan lisosom yang mengancam nyawa.

Terdapat lebih kurang 50 jenis penyakit LSD yang berbeza dan kebanyakannya memudaratkan kanak-kanak. Mereka kebiasaannya meninggal dunia pada usia muda malah kebanyakannya beberapa bulan atau tahun selepas kelahiran.

Disebabkan gejala penyakit LSD yang sangat bermasalah, para pesakit memerlukan penjagaan perubatan oleh doktor-doktor daripada pelbagai agensi. Akses kepada penjagaan dan perkhidmatan perubatan tersebut adalah sukar diperolehi bagi kebanyakan pesakit LSD. Untuk maklumat lanjut tentang PPLM, orang ramai boleh layari www.mymlda.com.

Sumber

Awas tempias bersin!

Oleh DATUK DR. ZULKIFLI ISMAIL

Jangkitan virus influenza, ada kalanya dikenali sebagai "flu", sangat mudah berlaku dan menyebabkan gejala umum seperti demam, sakit kepala dan sengal otot, serta hidung tersumbat, sakit tekak, hidung berair dan batuk. Pada masa dahulu, masyarakat di negara tropika dan subtropika menganggap influenza hanya berlaku di negara barat yang beriklim lebih sejuk.

Bagaimanapun, sistem pemantauan influenza di Malaysia dan negara jiran sentiasa menunjukkan bahawa influenza adalah punca utama penyakit di kalangan kanak-kanak. Sejak virus influenza yang biasanya terdapat dalam burung (A/H5N1) menjangkiti manusia di Asia Timur pada 1997, kerajaan telah menambah baik dan meluaskan pemantauan. Selain mengenal pasti virus jenis baru yang boleh menyebabkan wabak global yang serius, sistem pemantauan ini memberi maklumat yang berharga tentang siapa yang mendapat influenza dan bila jangkitan paling banyak berlaku. Di Malaysia, jangkitan influenza berlaku sepanjang tahun dan memuncak antara Mei-Jun dan Ogos-September. Pengetahuan ini boleh membantu pihak berkuasa kesihatan dan doktor anda membuat keputusan yang lebih baik untuk mencegah influenza menerusi pemvaksinan dan untuk merawat jangkitan influenza di kalangan kanak-kanak yang lebih berisiko mengalami komplikasi serius.

Kita perlu mengubah tanggapan umum bahawa influenza bukan penyakit biasa dan bukan pula penyakit teruk. Virus influenza sentiasa tersebar di seluruh dunia, menyebabkan berjuta-juta orang jatuh sakit dan kerugian ekonomi yang sangat besar, terutamanya dari segi kehilangan hari kerja dan sekolah, dan berjuta-juta kunjungan ke klinik. Dalam selang waktu yang tidak dapat diramalkan, virus influenza jenis baru boleh muncul, menyebabkan kebanyakan orang tidak mempunyai pelalaian untuk melindungi diri daripada ancamannya. Ini boleh mengakibatkan wabak global, seperti yang berlaku pada 2009 apabila virus influenza H1N1 muncul. Setakat Ogos 2010, lebih 214 negara telah diserang wabak H1N1, dengan lebih 18,449 kematian dilaporkan. Di Malaysia sahaja, sehingga bulan Mei 2010, sebanyak 14,772 kes H1N1 disahkan dengan 87 kematian dilaporkan.

Amalan menjaga kebersihan seperti membasuh tangan dengan kerap, menutup mulut apabila bersin dan batuk, dan tidak keluar rumah apabila merasa tidak sihat, boleh membantu mengurang penyebaran influenza. Bagaimanapun, pada hakikatnya, tabiat ini sukar diamalkan, lebih-lebih lagi di kalangan kanak-kanak dan dalam keadaan sesak. Cara paling berkesan untuk mencegah jangkitan influenza ialah dengan pemvaksinan tahunan.

Tempias bersin

Sebab utama influenza sangat mudah berjangkit ialah kerana ia boleh tersebar daripada seorang kepada seorang menerusi tempias daripada mulut apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin ataupun bercakap. Tempias virus dalam udara boleh menjangkiti orang yang menyedut udara ini. Virus influenza boleh juga tersebar apabila seseorang menyentuh permukaan atau objek yang tercemar.

Anda boleh menyebarkan influenza sebelum anda sendiri menyedari anda dijangkiti, kerana manusia boleh menjangkitkan virus ini kepada orang lain bermula satu hari sebelum penyakit ini menunjukkan gejalanya. Orang yang dijangkiti boleh terus menjangkitkan virus ini kepada orang lain sehingga 5 hari selepas mereka jatuh sakit, iaitu apabila mereka mula menunjukkan gejala penyakit. Kanak-kanak yang dijangkiti influenza selalunya mengalami gejala gastrousus seperti loya, muntah dan juga cirit-birit.

Menjauhkan masalah

Jika dibiarkan dan tidak dikawal, virus influenza sering menyebabkan wabak di rumah, sekolah dan dalam masyarakat. Pemvaksinan adalah langkah paling penting yang anda boleh ambil untuk mencegah jangkitan influenza. Disebabkan virus sentiasa berubah, vaksin influenza sentiasa dikemas kini untuk memastikan perlindungan daripada jenis virus yang sedang tersebar. Terdapat juga virus jenis utara dan jenis selatan, merujuk kepada wabak yang berlaku semasa musim sejuk di kedua-dua hemisfera. Inilah juga sebabnya kita perlu mengambil vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza paling baru bagi 2010-2011 melindungi kita daripada tiga jenis virus – influenza A (H3N2 dan H1N1) dan influenza B – jenis yang paling biasa tersebar.

Tahukah anda bahawa jangkitan influenza juga boleh menyebabkan komplikasi perubatan yang serius?

Sumber