Sunday, May 8, 2011

Usah pandang ringan kesihatan mulut

KESIHATAN gigi ditentukan oleh gaya hidup, tabiat pemakanan dan cara seseorang individu menjaga giginya. Sikap suka bertangguh melakukan pemeriksaan berkala dan hanya berjumpa doktor ketika gigi sudah bermasalah hanya memberi kesan terhadap kesihatan badan secara keseluruhan.

Bagaimanapun, jangan pula menyangka kerap memberus gigi mengikut cara yang betul sudah memadai. Kebanyakan masyarakat juga mengatakan masalah gigi adalah masalah ringan dan ia tidak akan mengakibatkan pelbagai penyakit kronik lain. Kerana itu, rata-rata mengambil langkah mudah serta acuh tidak acuh menjaga kebersihan gigi dan mulut.

Hakikatnya, kesihatan mulut yang menjadi pintu masuk makanan dan pintu keluar pertuturan sangat penting kerana ia boleh menjadi petanda kepada pelbagai penyakit lain. Jika tidak diberi penjagaan teliti, ribuan bakteria yang hidup dalam mulut boleh menyebabkan kerosakan gigi dan penyakit periodontal atau gusi.

Penyelidik juga berpendapat bahawa periodontitis (keradangan gusi) mempunyai kaitan dengan penyakit sistemik seperti penyakit kardiovaskular, strok, diabetes dan pneumonia.

Menurut Presiden Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), Datuk Doktor How Kim Chuan, kebanyakan penyakit kronik dan berbahaya boleh berpunca daripada masalah kuman yang membiak di dalam mulut.

“Banyak penyakit boleh disebabkan bakteria yang berada di dalam mulut. Ramai tidak menyedari hakikat ini kerana kekurangan pendedahan terhadap kepentingan kesihatan mulut dan gigi.

“Melihat kepada kaitan antara periodontitis dan penyakit sistemik, pencegahan boleh menjadi langkah yang penting dalam usaha mengekalkan kesihatan badan secara keseluruhan.

“Bunyinya remeh tetapi ia benar-benar berlaku. Beberapa pesakit yang tidak menjaga kesihatan gigi dan mulut terpaksa menjalani pembedahan akibat dijangkiti kuman di paru-paru, limpa dan sebagainya.

“Justeru, masalah kesihatan mulut tidak boleh dipandang ringan,” katanya pada pelancaran ubat kumur Listerine Total Care.

Menurut Dr How, gusi yang sihat sepatutnya memiliki ciri berikut: berwarna pucat, tekstur pejal dan sepatutnya berada dalam kedudukan yang rapat dengan gigi.

“Seandainya gusi anda tidak menunjukkan ciri sedemikian, ia mungkin tanda keradangan gusi tetapi usah bimbang kerana keadaan ini boleh diatasi dengan mengambil langkah penjagaan gigi yang baik. “Kita perlu memberus gigi dua kali sehari dan diikuti penggunaan ubat kumur antiseptik yang berkesan menembusi plak bakteria. Bagaimanapun ia hanya membantu membersihkan sebanyak 50 peratus daripada keseluruhannya. “Jika terdapat kotoran kekal seperti tar dan karang gigi, ia tidak boleh dicuci dengan hanya memberus gigi. Kotoran kekal itu perlu dibuang tetapi ia hanya boleh dilakukan oleh doktor gigi.

 “Ramai juga tidak tahu bahawa mulut atau lidah manusia turut mempunyai pelbagai kuman tersembunyi. Inilah sebabnya kebanyakan orang hanya memberus gigi tanpa membersihkan lidah. Jadi, untuk mendapatkan mulut yang sihat, kita seharusnya menggunakan ubat kumur antiseptik di mana sedikit sebanyak ia turut mencuci keseluruhan mulut” katanya.

Kebanyakan kajian turut mendapati bakteria di mulut boleh masuk ke dalam badan dan mengurangkan daya yang menyebabkan seseorang mudah mendapat penyakit. Malah mereka yang mempunyai penyakit diabetes juga sering mengalami masalah sama. Sempena sambutan Bulan Kesihatan Mulut sepanjang April ini, eloklah kita mula memberikan lebih tumpuan kepada kesihatan mulut yang secara tidak langsung turut mempengaruhi kesihatan badan secara keseluruhan. Untuk itu, ada enam perkara yang perlu diberi perhatian iaitu: Memastikan gigi bersih daripada plak dan sisa makanan.

l Gigi bebas daripada kesan tartar (yang biasanya disebabkan nikotin dalam asap rokok)

l Gusi sihat dan lembut.

l Gigi bebas daripada kaviti (lubang)

l Mulut mempunyai nafas yang segar

l Gigi yang sihat secara semula jadi.

Enam perkara tadi boleh dikecapi dengan mudah menerusi empat langkah:

l Memberus gigi dua kali sehari.

l Bersihkan sisa makanan di celah gigi dengan benang flos

l Berkumur menggunakan ubat antiseptik.

l Jalani pemeriksaan gigi sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Penggunaan cecair kumur dapat membantu:

l Membasmi kuman yang menjadi punca masalah mulut.

l Menguatkan enamel gigi dengan fluorida.

l Mengekalkan gusi yang sihat.

l Mengurangkan plak gigi.

l Menyegarkan nafas.

l Membuatkan gigi nampak lebih bersih dan putih.

Sumber

No comments:

Post a Comment