Thursday, January 27, 2011

Bagi nasihat dengan hikmah, lemah lembut

Sidi Hassan tidak pernah menghukum sesiapa kerana baginya yang lebih penting adalah memberikan panduan dan menasihat dengan kaedah lembut.

Dengan itu ia sentiasa menjadikan Islam itu agama yang mudah untuk diamalkan. Ia bukan agama yang sukar seperti yang sering difahami oleh orang ramai bahkan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Dalam satu peristiwa, Kristiane Backer mengadu kepada Sidi Hassan kerana perlu menjadi hos seminar sehari di Barcelona sedangkan dia perlu berpuasa sempena bulan Ramadan.

"Saya memang ingin berpuasa tetapi bimbang akibat menahan lapar dan dahaga itu akan menjejaskan persembahan dan tugas.

"Lalu Sidi Hassan menjelaskan dengan penuh hikmah bahawa saya boleh meninggalkan puasa tersebut kerana saya dikira dalam keadaan musafir untuk tugas yang tidak bertentangan dengan Islam.

"Malah ganjaran pahala puasa itu tetap saya perolehi dengan menggantikan puasa itu pada hari-hari lain.

"Sebagai orang yang baru dalam Islam, nasihat Sidi Hassan benar-benar satu rahmat dari Allah. Saya tidak perlu menyeksa diri mahupun kehilangan kerja kerana persembahan buruk kerana Islam memberikan banyak kemudahan kepada umatnya," kata Kristiane.

Apabila Sidi Hassan menuangkan susu ke dalam cawan teh Kristiane sebelum menuangkan susu itu ke cawannya sendiri, Kristiane menyifatkan Sidi sebagai seorang yang sangat gentleman.

Dalam nada bergurau, Sidi memperbetulkan tanggapan Kriastiane itu.

"Ini bukan soal gentleman tetapi adab dalam Islam," katanya.

Dalam soal adab itu bagi Sidi, ia adalah prinsip Islam yang mesti ada bagi setiap yang bergelar Muslim.

"Ia menjadi penanda aras sebuah tabiat yang mulia seorang hamba kepada tuhannya sebagai tanda berterima kasih terhadap segala pemberian yang Allah berikan, terhadap makanan yang memberikan tenaga, pada cahaya matahari yang menerangi alam sehinggalah udara untuk kita bernafas.

"Kedua, adab yang mulia adalah apa yang kita mesti tunjukkan dalam setiap urusan kita dengan orang lain hata sekalipun terhadap musuh, terhadap haiwan malah seluruh alam sekitar," jelas Sidi.

Menurut Kristiane lagi, Sidi pernah menjalani rawatan akibat serangan angin ahmar di sebuah hospital.

Tetapi Sidi tidak memerlukan sebuah bilik rawatan yang eksklusif atau kelas pertama sekalipun dia mampu berbuat demikian.

"Kecuali hanya sebuah bilik wad yang biasa, berkongsi dengan lima pesakit yang lain dalam satu bilik. Tidak ada privasi atau layanan istimewa.

"Sidi tidak pernah merungut apatah lagi hilang sabar, jauh sekali marah kecuali beliau bersabar malah dia lebih gembira kerana dapat berkenalan dan menziarahi pesakit lain," kata Kristiane.

Sidi Hassan pernah berkahwin dengan seorang wanita Inggeris, Katherine Clayton dan mereka dikurniakan seorang anak, iaitu Leo Eaton yang kini merupakan seorang penerbit filem dokumentari dan program televisyen yang sangat terkenal.

Setelah bercerai, Sidi berkahwin dengan seorang wanita Jamaica, Corah Hamilton dan mereka dikurniakan Judy, Maurice dan Coran Ann. Corah meninggal dunia 26 tahun lalu dan sejak itu Sidi Hassan tidak berkahwin lagi.

Bercakap soal kematian, Sidi Hassan berkata, beliau telah lama bersedia untuk menghadapi kematian iaitu dengan sentiasa mengingati Allah dengan cara berzikir, zikrullah.

Sidi Hassan sangat berpegang kepada "Ingatlah Allah, nescaya Allah akan ingat kamu".

Pegangan itu menjadikan beliau berlapang dada dalam soal kematian dan bersedia untuk menghadapinya.

Ini bagi menjelaskan hidup secara sufi turut menjadi sebahagian perjalanan hidup Sidi Hassan. Malah dia mahukan sufisme ada dalam setiap hari umat Islam yang beliau panggil sebagai Tradisi Ihsani.

Ia turut berasal dari perkataan Hassan yang bermakna kebaikan, iaitu sebuah kecantikan dalaman yang membawa kecemerlangan dalam hidup.

"Sidi Hassan benar-benar hidup dengan bergantung kepada makna namanya itu," kata Kristiane.

Sebelum beliau meninggal dunia, sesuatu yang sangat tepat pada masanya dan sempat meninggalkan sesuatu yang sangat berharga kepada umat Islam apabila sebuah lagi buku karangannya diterbitkan.

Ia adalah buku terakhir, sebuah autobiografi karangan Sidi Hassan bertajuk A Bad Beginning and the Path to Islam yang diterbitkan pada Januari 2010.

Dengan bukunya itu, lebih banyak keindahan mengenai Islam yang Sidi mahu kongsikan bersama dengan seluruh warga pembaca tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Sumber

No comments:

Post a Comment