Monday, January 31, 2011

Saham Akhirat

Salam, disini na sertakan beberapa keratan surat khabar,semoga ada insan di luar sana berbesar hati untuk membuat sumbangan. Semoga saham akhirat kita bertambah dengan memberi sumbangan....amennn



Friday, January 28, 2011

Cara tangani selera anak

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my

MASALAH pemakanan melibatkan anak kecil bukan sesuatu yang baru dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Banyak cara yang ibu bapa perlu lakukan bagi memastikan si anak menghabiskan makanannya termasuk secara paksaan.

Malah, ada ibu bapa yang terpaksa menghukum dan memukul tetapi tidak kurang bertindak memberikan ganjaran supaya si anak menghabiskan makanan mereka.

Adakah cara berikut merupakan pendekatan terbaik bagi si kecil ?

Ikuti tips pakar kanak-kanak Hospital Pantai Cheras, Dr. Yeoh Seen Hun mengenai bagaimana mengatasi masalah pemakanan yang dihadapi oleh si kecil.

* Jika anak anda mahukan makanan yang sama setiap hari

Biarkan anak anda mengambil makanan kegemarannya selagi ia berkhasiat. Teruskan memberi pilihan makanan yang sihat pada setiap hidangan. Anda juga harus sedar bahawa apabila anak anda makan makanan yang kurang variasinya, pengambilan nutrien adalah terhad.

* Jika anak anda mengambil masa lama untuk makan

Sabar dan berikan anak anda masa untuk mengenali, menyentuh dan merasa makanan mereka. Anak kecil memerlukan masa mengenali makanan, makan dan belajar bagaimana menggunakan sudu dan garpu. Selepas satu tempoh masa (20 hingga 30 minit), alihkan bekas makanan tanpa rungutan.

* Jika anak anda tidak mahu makan

Hormati kesedaran anak anda terhadap tubuhnya sendiri. Selera kanak-kanak berbeza dan berubah-ubah dari sehari ke sehari dan hidangan ke hidangan atau mungkin dia sendiri tidak lapar. Hidangkan makanan dengan kuantiti yang sedikit dan pastikan snek diberikan dua jam sebelum waktu makan.
Tidak mengapa jika si anak tidak mahu mengambil makanan pada waktu sepatutnya, selagi dia membesar dengan normal.

* Jika anak anda enggan mencuba hidangan baru

Teruskan menghidangkan menu baru dan letakkan makanan tersebut dalam kuantiti yang sedikit di pinggannya.
Sesetengah kanak-kanak perlu melihat makanan yang baru dengan kerap sebelum mereka mencuba sekali gus menerimanya.

Galakkan anak anda mencuba sedikit makanan tersebut. Elakkan memaksa mereka kerana keadaan itu akan mengurangkan penerimaannya. Perkenalkan hidangan baru kepada anak anda ketika kanak-kanak lain seronok menikmati hidangan yang sama. Biarkan anak anda mengenali makanan mereka dan ajak bersama untuk menyediakannya.

Jika anak anda tidak suka sayur

Hidangkan sayuran pada waktu snek ketika anak anda lapar. Berikan variasi sayuran yang mempunyai warna terang supaya mereka dapat memilih sayur kesukaan.

Hati-hati apabila memberikan sayuran mentah kepada kanak-kanak di bawah tiga tahun kerana mereka berisiko untuk tercekik.

Kurangkan komplikasi semasa meneran

Oleh NIZHA PERIASWAMY

nizha.periswamy@kosmo.com.my

APABILA bercakap mengenai kepentingan kalsium, kebanyakan daripada kita sering kali merujuk zat itu hanya untuk kanak-kanak sebagai sumber tumbesaran tulang.

Bagi orang tua pula, ia penting bagi mengelakkan pereputan tulang. Jarang sekali orang muda atau yang berada di usia pertengahan mengambil berat mengenai pengambilan kalsium dalam struktur diet harian mereka.

Selain diperlukan golongan dewasa yang aktif, tahukah anda bahawa kalsium adalah zat yang amat penting bagi ibu-ibu hamil? Kekurangan pengambilan kalsium atau kealpaan dalam memberi tumpuan terhadap zat kalsium sebenarnya boleh menyebabkan komplikasi semasa meneran saat-saat melahirkan anak. Lebih buruk, kesannya akan berterusan sehingga usia tua.

“Saya terkejut apabila ada doktor yang tidak mempraktikkan pemberian pil kalsium kepada ibu-ibu mengandung ketika membuat pemeriksaan bulanan. Kalsium dilihat sebagai satu zat yang amat penting di samping zat besi, folik, potasium dan lain-lain,” kata pembuka Pakar Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Sime Darby, Subang Jaya (PPSDSJ), Dr. Delilah Ahmad.

Beliau yang mahu semua ibu hamil tidak memandang remeh keperluan kalsium juga berharap agar golongan suami turut mengambil peranan mengingatkan pasangannya.

Apabila berjumpa doktor dalam sesi pemeriksaan, pasangan dinasihatkan agar jangan segan untuk meminta pil kalsium di samping mengamalkan diet tinggi zat kalsium.

“Sebanyak 75 peratus ibu-ibu hamil tidak mengambil keperluan kalsium yang mencukupi dan ketidaksedaran ini akan memberi kesan kepada mereka khususnya pada semester ketiga mereka mengandung dan saat-saat melahirkan anak,” kata beliau.

Jelas Delilah, ibu hamil lazimnya memerlukan 1,200 hingga 1,300 miligram kalsium sehari iaitu tambahan 300 hingga 500 miligram zat yang diperlukan orang dewasa.

Thursday, January 27, 2011

Malaikat bantu tentera Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

KEMUNCULAN tiga pahlawan Islam, iaitu Ubaidah bin Harith, Ali bin Abi Talib dan sepupu Ali yang juga bapa saudara Rasulullah, Hamzah Abdul Mutalib sama sekali tidak menggentarkan pihak lawan.

Mereka ialah Utbah bin Rabiah dan anaknya Walid bin Utbah serta saudaranya Syaibah bin Rabiah ingin bertarung satu lawan satu dengan para pahlawan Islam itu.

Ibarat buku bertemu ruas, akhirnya ketiga-tiga pahlawan Quraisy ini berjaya ditumpaskan dengan mudah oleh Ubaidah, Ali dan 'Singa Allah', Hamzah.

Namun Ubaidah sebenarnya mengalami kecederaan parah ketika berlawan dengan Utbah. Sebelah tangannya putus ditetak lawan. Ini menyebabkan Hamzah segera membantu Ubaidah dengan menerkam dan terus membunuh Utbah.

Namun Ubaidah dengan semangatnya yang masih tinggi terus bertahan walaupun cedera parah akhirnya gugur sebagai syahid.

Setelah ketiga-tiga pahlawan mereka dibunuh menyebabkan, tentera Quraisy tergamam dan tidak lagi berani mencabar untuk berlawan satu lawan satu. Lalu strategi ditukar kepada serangan besar-besaran terhadap tentera Islam.

Pihak musuh yakin dengan cara itu dengan jumlah anggota tentera Quraisy yang lebih ramai berbanding pihak lawan, kemenangan di medan Badar akan menjadi milik mereka.

Rasulullah yang mengetahui taktik serangan yang bakal dilakukan oleh pihak musuh terus mengeluarkan arahan kepada anggota tentera baginda, satu arahan yang disifatkan agak pelik dan luar biasa kerana tidak pernah strategi seperti itu dilakukan sebelum ini.

Lazimnya serangan akan dibalas dengan serangan. Maka pada suatu titik pertempuran kedua-dua belah akan bertempur dan berlawan antara satu sama lain.

Tetapi kali ini baginda meminta anggota tenteranya supaya bertahan.

Baginda memerintahkan supaya tenteranya duduk berlutut dan menunggu kemaraan pihak musuh.

"Kalau pihak musuh mula menyerang sambil memanah kamu bertahan di belakang perisai masing-masing. Tetapi apabila mereka semakin dekat dan menyerbu untuk menyerang ketika itulah kamu segera bangun dan serentak itu juga kamu balas serangan dengan cara mengejut," tegas Rasulullah.

Sebagaimana yang dijangkakan, gerombolan tentera Quraisy mara dan apabila mendapati pihak Islam tidak turut mara, mereka begitu galak untuk terus menyerang dengan anak-anak panah dihala dan menghujani tentera Islam.

Sebagaimana diarahkan, tentera Islam hanya tunduk menahan di sebalik perisai masing-masing. Namun ada juga anggota tentera Islam yang menemui ajal akibat terkena anak panah yang beracun dari pihak musuh itu.

Namun pasukan tentera Islam terus bangkit secara mengejut dan mengeluarkan pedang masing-masing lalu dengan pantas menyerang pasukan Quraisy yang menyerbu mereka.

Lalu berlakulah pertempuran buat pertama kalinya antara tentera kafir Quraisy dan tentera Islam.

Walaupun dalam jumlah yang sedikit daripada pihak lawan namun tentera Islam tetap bertarung seolah-olah kekuatan seorang tentera Islam itu mampu mengalahkan lebih dari seorang tentera musuh. Atau dengan nisbah 1:3.

Begitupun dikatakan bantuan Allah sebagaimana yang dipohon oleh baginda turut bersama dengan pasukan tentera Islam.

"Bergembiralah wahai Abu Bakar! Bergembiralah wahai Abu Bakar! Ini Jibrail, malaikat yang sedang menunggang kuda putih datang bagi mengetuai 1,000 malaikat lain yang turun membantu kita," kata Rasulullah SAW.

Elakkan diri jangan jadi orang munafik

Saya ingin berkongsi pengalaman sewaktu bertugas di dalam program Khabar Haji di kota suci Mekah, baru-baru ini.
Syukur ke hadrat Ilahi atas limpah rahmatnya yang telah memberikan saya peluang dan rezeki berkhidmat di Mekah dalam usia yang masih muda. Terlalu banyak pengalaman yang diperolehi dan berjuta cabaran yang ditempuh, dalam tempoh tersebut.

Di sana, Allah telah menunjukkan segala-galanya, membuka sifat sebenar diri kita. Saya ditugaskan bersama rakan menyampaikan berita haji di Astro Oasis.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Ibarat mengharap panas sampai ke petang, rupa-rupanya hujan di tengah hari. Tanggungjawab dan amanah yang diberi, akhirnya dikhianati oleh mereka.

Mungkin juga niat asal yang pada mulanya baik, tetapi telah terpesong di pertengahan jalan. Apa yang pasti, jika niat asal kita tidak baik, maka di penghujungnya adalah natijah yang menterjemahkan niat asal seseorang itu dalam melakukan sesuatu perkara.

Sebab itulah tokoh ulama hadis yang terkenal, iaitu Imam an-Nawawi telah meletakkan hadis yang pertama di dalam karangan beliau, adalah berkaitan tentang niat.

Tidak perlu saya hurai hadis berkaitan niat, kerana sudah jutaan kali dan seringkali kita mendengar hadis ini dari mulut para imam, guru-guru agama dan ramai lagi.

Apa yang lebih menyedihkan apabila mereka ini sanggup memperalatkan orang lain demi mengejar kemewahan, dalam erti kata yang mudah ialah zalim terhadap sesama manusia.

Golongan seperti inilah yang perlu kita hapuskan, kerana telah menggunakan agama untuk mengaut keuntungan ataupun mereka ini bertopengkan agama semata-mata.

Mereka ini juga termasuk salah satu daripada golongan munafik yang diriwayatkan oleh asy-Syaikhan, daripada Abi Hurairah yang bermaksud, tanda munafik ada tiga perkara: Berdusta ketika ia bercakap mungkir janji apabila ia berjanji dan khianat apabila diamanah akan dia. Di dalam hadis riwayat At-Thabrani, daripada Khuzaimah bin Tsabit pula ada menyatakan bahawa: "takutlah kamu akan doa seorang yang kena zalim, kerana doanya itu mustajab, Allah SWT berfirman: Demi kebesaran-Ku, Aku nanti tolong akan dikau walaupun kemudian daripada beberapa abad".

Tetapi masih ramai di antara kita yang tidak takut untuk melakukan kezaliman sesama manusia, mungkin belum sampai saat dan ketikanya pembalasan.Ingatlah bahawa di akhirat nanti adalah hari perhitungan yang sebenarnya, di mana tiada seorangpun yang akan terlepas daripada mahkamah Allah.

Sidang pembaca sekelian, antara tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan oleh Allah kepada para ibubapa, adalah anak-anak. Anak-anak adalah merupakan anugerah yang tidak ternilai kepada kita.

Rasulullah SAW bersabda: Setiap anak yang dilahirkan, membawa fitrah beragama (percaya kepada Allah), maka ibubapalah yang mencoraknya sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat Bukhari).

Pemergian Charles Le Gai Eaton dirasai

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

TARIKH 26 Februari ini genaplah setahun pemergian Charles Le Gai Eaton ke rahmatullah. Seorang aristokrat Inggeris yang lahir daripada sebuah keluarga bangsawan yang terkenal.

Namun yang membuatkan seluruh dunia Islam sangat dukacita dengan pemergiannya itu ialah kerana pengabdian seluruh hidupnya untuk Islam sejak memeluk agama itu pada tahun 1951 (Iaitu semasa bertugas sebagai diplomat di Mesir di bawah bimbingan mentor beliau, ahli sufi terkenal British, Martin Lings).

Charles atau nama Islamnya, Hassan Le Gai Eaton atau Hassan Abdul Hakeem tetapi beliau lebih dikenali dengan panggilan Sidi Hassan.

Beliau adalah antara yang banyak memberikan sumbangan besar terhadap Islam di Britain dan Eropah amnya. Terutama sebagai salah seorang jawatankuasa yang membentuk perlembagaan untuk Majlis Islam Britain.

Walaupun tanpa perlu mempunyai imej seperti seorang Arab namun beliau sering disifatkan sebagai 'Sheikh Utama' (the main shaykh) mahupun ensiklopedia bergerak Islam di United Kingdom kerana beliau boleh dirujuk untuk apa juga persoalan mengenai Islam.

Membaca buku yang beliau tulis, terutama yang bertajuk Islam and the Destiny of Man telah menjadi sumber inspirasi kepada banyak pihak sehingga ramai di antara mereka terbuka hati untuk memeluk Islam.

Bagi nasihat dengan hikmah, lemah lembut

Sidi Hassan tidak pernah menghukum sesiapa kerana baginya yang lebih penting adalah memberikan panduan dan menasihat dengan kaedah lembut.

Dengan itu ia sentiasa menjadikan Islam itu agama yang mudah untuk diamalkan. Ia bukan agama yang sukar seperti yang sering difahami oleh orang ramai bahkan di kalangan umat Islam itu sendiri.

Dalam satu peristiwa, Kristiane Backer mengadu kepada Sidi Hassan kerana perlu menjadi hos seminar sehari di Barcelona sedangkan dia perlu berpuasa sempena bulan Ramadan.

"Saya memang ingin berpuasa tetapi bimbang akibat menahan lapar dan dahaga itu akan menjejaskan persembahan dan tugas.

"Lalu Sidi Hassan menjelaskan dengan penuh hikmah bahawa saya boleh meninggalkan puasa tersebut kerana saya dikira dalam keadaan musafir untuk tugas yang tidak bertentangan dengan Islam.

"Malah ganjaran pahala puasa itu tetap saya perolehi dengan menggantikan puasa itu pada hari-hari lain.

"Sebagai orang yang baru dalam Islam, nasihat Sidi Hassan benar-benar satu rahmat dari Allah. Saya tidak perlu menyeksa diri mahupun kehilangan kerja kerana persembahan buruk kerana Islam memberikan banyak kemudahan kepada umatnya," kata Kristiane.

Apabila Sidi Hassan menuangkan susu ke dalam cawan teh Kristiane sebelum menuangkan susu itu ke cawannya sendiri, Kristiane menyifatkan Sidi sebagai seorang yang sangat gentleman.

Dalam nada bergurau, Sidi memperbetulkan tanggapan Kriastiane itu.

"Ini bukan soal gentleman tetapi adab dalam Islam," katanya.

Dalam soal adab itu bagi Sidi, ia adalah prinsip Islam yang mesti ada bagi setiap yang bergelar Muslim.

"Ia menjadi penanda aras sebuah tabiat yang mulia seorang hamba kepada tuhannya sebagai tanda berterima kasih terhadap segala pemberian yang Allah berikan, terhadap makanan yang memberikan tenaga, pada cahaya matahari yang menerangi alam sehinggalah udara untuk kita bernafas.

"Kedua, adab yang mulia adalah apa yang kita mesti tunjukkan dalam setiap urusan kita dengan orang lain hata sekalipun terhadap musuh, terhadap haiwan malah seluruh alam sekitar," jelas Sidi.

Tuesday, January 25, 2011

Sudahkah kita berfikir?

TIDAK pernah dalam sejarah, sesebuah masyarakat atau kaum itu mencapai ketinggian tamadun melainkan dengan pemikiran yang tinggi.

Sejarah umat Islam menunjukkan betapa ramai lahirnya tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang hebat seperti Imam Asy-Syafie, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun dan ramai lagi yang mana mereka ini merupakan tokoh pemikir ulung Islam.

Kewujudan ini kesan daripada kesedaran yang mendalam tentang betapa pentingnya falsafah atau pemikiran sesebuah umat itu dibentuk. Rasulullah SAW, seorang insan pilihan yang sangat menitikberatkan soal pemikiran pernah bersabda: "Yang terlebih hampir dengan aku pada hari kiamat, adalah orang yang terlebih lapar dan berfikir".

Ini jelas betapa penting dan mulianya seseorang yang menggunakan sepenuhnya nikmat fikiran yang hanya Allah anugerahkan kepada kita. Sering kita mendengar pesanan-pesanan daripada ilmuwan Islam yang menyuruh kita memikirkan tentang apa yang diciptakan oleh Allah, kerana itu akan mendatangkan manfaat buat diri.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 190 bermaksud: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan hemah Allah bagi orang-orang yang berakal (berfikir).

Kita tertanya-tanya, berfikir bagaimana yang akan membuatkan kita beruntung di sisi Allah. Adakah memikir tentang bagaimana mengejar kekayaan seperti seorang ahli perniagaan memikir cara mengembangkan perniagaannya?

Memikir bagaimana mengurus kehidupan harian seperti si ayah memikir apa yang terbaik perlu dilaksanakan untuk keluarganya? Banyak sekali cabang fikirnya, dan semua pemikiran yang disebut tadi ada manfaatnya untuk diri kita. Cumanya kolum kali ini kita akan mencari makna fikir yang dikehendaki oleh baginda Nabi SAW.

Ibrahim ibnu Adham, seorang ulama sufi mengenengahkan tiga bentuk pemikiran:

1. Memikirkan segala kejadian Allah dan menjadikan itu sebagai dalil kewujudan dan kekuasaan Allah, ini kelakuan golongan ulama.

2. Memikirkan setiap kejadian Allah dengan lebih mendalam dan kelebihan setiap nikmatnya, lalu timbul perasaan syukur kepada Allah.

3. Memikirkan tentang amalan hariannya (post moterm) supaya tidak tercemar dengan perasaan riak dan takbur yang membinasakan amalan dan dirinya, ini kelakuan ahli ibadah.

Bicara Agama : Persoalan Mengenai Haid

Soalan 1:
SAYA mengalami haid buat pertama kalinya bulan lepas. Tempohnya adalah lima hari. Adakah ini normal? Pada kebiasaannya berapa lamakah tempoh haid bagi seorang wanita?

Jawapan:

Tempoh haid tidak sama antara seorang wanita dengan wanita yang lain. Sekiranya adik mengalami haid untuk jangka masa yang sama bulan hadapan dan seterusnya, maka itu adalah jangka masa normal bagi adik.
Pada kebiasaannya tempoh haid adalah antara enam sehingga tujuh hari.

Soalan 2:

Sudah tiga bulan adik saya mengalami haid hanya satu hari bermula daripada sebelah pagi dan habis kira-kira tengah malam iaitu lebih kurang 16 jam. Adakah itu dikira haid?

Jawapan:

Ia bukan haid kerana tempoh haid adik puan adalah kurang daripada 24 jam. Tempoh haid adalah sekurang-kurangnya satu hari satu malam iaitu 24 jam.

Soalan 3:

Saya mengalami haid selama 18 hari sehingga 20 hari setiap bulan. Adakah ini haid atau darah penyakit?

Jawapan:

Bagi tempoh satu hari sehingga 15 hari, ia adalah darah haid dan darah yang keluar selepas itu adalah darah penyakit (istihadah).

Soalan 4:

Apakah maksud suci antara hari-hari kebiasaan haid? Apakah hukumnya?

Jawapan:

Apabila seorang wanita mendapati dia kedatangan haid, misalnya dua hari, kemudian pada hari berikutnya tiada darah keluar (suci), hari keempat keluar semula darah hingga hari keenam.

Dalam keadaan ini, menurut pandangan Imam Syafie dan Abu Hanifah, keseluruhan hari daripada hari pertama hingga keenam dikira haid.