Thursday, May 6, 2010

Tenaga nuklear efektif, jimat: PM

Najib ajak orang ramai beri pandangan gunakan sumber baru jana elektrik


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai masa depan penjanaan tenaga elektrik di Malaysia, khususnya penggunaan nuklear. Beliau berkata, penggunaan tenaga nuklear adalah efisien dan kos efektif tidak boleh dipertikaikan, tetapi kerajaan perlu mengkaji sama ada ia pilihan tepat sebagai sumber baru tenaga di negara ini. "Adakah sebarang alternatif yang belum dipertimbangkan yang benar-benar boleh meletakkan Malaysia sebagai pelopor revolusi bumi hijau," tanya beliau dalam blog www.1malaysia.com.my semalam.

Najib berkata, ia kerana kerajaan sedang melakukan kajian kebolehlaksanaan terhadap penggunaan tenaga nuklear untuk menjana tenaga elektrik.

"Saya sangat berminat untuk lebih memahami dan mengetahui hasil kajian itu. Jika kita memutuskan untuk meneruskan dengan penggunaan tenaga nuklear 12 hingga 15 tahun akan berlalu sebelum tenaga dapat dihasilkan dengan menggunakan reaktor kecil.

"Kita tidak akan bersendirian jika memilih menggunakan tenaga nuklear, sebab itulah kita meninjau di seluruh dunia untuk belajar dari negara lain dan mengambil perhatian daripada kemajuan teknologi dalam industri serta sektor ini," katanya.

Semalam, kerajaan memberi lampu hijau kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk mengenal pasti lokasi membina sebuah loji jana kuasa nuklear negara pertama yang dijangka beroperasi menjelang 2021.

Najib berkata, adalah penting untuk negara menyimpan dan menguruskan sumber semula jadi khususnya yang tidak boleh diperbaharui yang amat terbatas dan bekalannya akan kehabisan.

"Dalam hal ini, penggunaan bahan bakar semasa untuk menjana tenaga terlalu menjurus kepada penggunaan gas asli dan arang batu, iaitu bahan bakar bagi kebanyakan penjanaan tenaga elektrik kita.

"Ketidakseimbangan sedemikian perlu diperbetulkan dalam usaha kita menjadi sebuah ekonomi menghasilkan kadar karbon yang rendah. Ketepikan pertimbangan alam sekitar, penggunaan arang batu dan gas asli secara berterusan selepas 2020 amat mahal dan merugikan," katanya.

Beliau juga berkata perkembangan ini menuntut penggunaan bahan bakar fosil secara bijaksana dalam jangka masa sederhana dan panjang serta berpindah kepada sumber tenaga alternatif yang lebih bersih dan cekap.

"Ini sebabnya kenapa inovasi menjadi sangat penting bagi kita menemukan kaedah baru supaya menjadi lebih efisien dalam usaha menjadi sebuah negara maju.

"Selagi kita berkesempatan mempergunakan limpahan cahaya matahari yang di negara kita, jangan pula kita lupa peluang yang mungkin terdapat daripada biojisim," katanya. – Bernama

SUMBER

No comments:

Post a Comment