Penduduk marah, dakwa ditipu
Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
pengarang@utusan.com.my
HULU SELANGOR 28 Feb. – Beberapa hari selepas insiden yang meragut nyawa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, penduduk di Taman Batu 30 di sini melahirkan rasa marah dan kecewa kerana ditipu oleh ibu dan teman lelaki kanak-kanak malang tersebut.Rata-rata penduduk yang tinggal di kawasan perumahan itu mendakwa, mereka selama ini ditipu pasangan tersebut yang mengatakan kononnya mereka suami-isteri.Namun, insiden yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah pada Khamis lalu akhirnya membongkar rahsia pasangan itu apabila mereka sebenarnya masih belum mempunyai ikatan.
Berikutan rasa marah terhadap pasangan tersebut, beberapa individu bertindak menconteng dinding hadapan rumah suspek menggunakan cat hitam dengan perkataan ‘pembunuh’.Menurut penduduk, dalam ‘sandiwara’ itu, teman lelaki wanita tersebut yang merupakan pemandu teksi tidak berasa segan untuk memperkenalkan anak lelaki berusia setahun enam bulan sebagai anak mereka.Ahli jawatankuasa surau taman itu, Khalid Abdul Hamid, 43, berkata, sejak mengenali pasangan tersebut awal tahun lalu, penduduk pernah bertanya kepada bapa suspek mengenai status hubungan mereka.“Ketika ditanya, bapa suspek yang tinggal sekali di rumah itu berkata, dia mengaku telah menikahkan mereka.“Selepas itu, kami cuba meminta bukti hubungan mereka, namun keluarga terbabit tidak memberi kerjasama dan hanya cuba meyakinkan penduduk melalui percakapan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.Allahyarham Syafiah Humairah mati akibat didera oleh teman lelaki ibunya di padang bola berhampiran rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama dekat Batang Kali pada Khamis lalu. Kanak-kanak malang terbabit sebelum itu dihantar ke wad kecemasan Hospital Kuala Kubu Bharu oleh suspek yang mendakwa mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya.Namun, pihak hospital yang curiga dengan tingkah laku lelaki itu menghubungi polis kira-kira pukul 11 malam untuk memaklumkan mengenai kemungkinan kematian kanak-kanak itu akibat didera.Berikutan itu, suspek yang berusia 28 tahun kemudian ditahan bagi membantu siasatan.Khalid menambah, berikutan tiada gangguan daripada penduduk, pasangan tersebut tinggal seperti suamiisteri meskipun pada hari-hari tertentu.Seorang lagi penduduk, Muhd. Halilur Rahman, 32, memberitahu, sebagai penduduk, mereka berasa terkilan dengan penipuan itu dan berasa bersalah terhadap insiden yang menimpa mangsa.“Akibat mempercayai penipuan itu, nyawa seorang kanak-kanak telah melayang dan tragedi itu tidak akan kami lupakan.“Kami juga meminta maaf kepada orang ramai dan keluarga mangsa kerana tidak membantu Syafiah Humairah ketika dia dipukul oleh konon bapanya di tepi padang pada hari kejadian,” ujarnya.Jiran suspek, Rafani Osman, 56, pula memberitahu, dia tinggal berjiran dengan keluarga terbabit yang berpindah dari Melaka kira-kira 15 tahun lalu namun tidak pernah melihat Syafiah Humairah menangis.“Saya hanya melihat ibu mangsa sahaja yang selalu memandu teksi Mat (suspek) meronda di kawasan taman bersama anak mereka berusia setahun enam bulan.“Walaupun tidak rapat dengan keluarga mereka tetapi saya dan semua orang tahu Mat adalah seorang yang bermasalah,” ujarnya yang tinggal selang empat buah rumah dengan keluarga suspek.Tambahnya, penduduk taman itu bagaimanapun ternyata terkejut apabila mengetahui kanak-kanak malang itu mati selepas didera suspek dan pasangan terbabit juga tidak pernah bernikah sebelum ini. (sumber)
Pengakuan ibu Syafiah
Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA
pengarang@utusan.com.my
HULU SELANGOR 28 Feb. – Mungkin ramai yang tidak pernah merasai pengalaman kehilangan anak tersayang. Dan jika boleh, sesiapapun tidak sanggup untuk melalui pengalaman itu.Tetapi, jika ditakdirkan berlaku, adakah kita sebagai ibu bapa bersedia dan reda menerima hakikat kehilangan anak tersebut.
Sudah pasti, hanya tangisan yang mampu mengiringi pemergian kanak-kanak itu, seperti yang menimpa Allahyarham Syafiah Humairah Sahari, 3, mangsa penderaan kejam yang meninggal dunia pada Khamis lalu.
Ibu kandungnya, Siti Norhanim Aziz, sudah tidak mampu lagi mengeluarkan air mata mengenangkan kehilangan anak perempuan kesayangannya.Sebak, pilu dan berlinangan air mata – itulah yang dilalui oleh Siti Norhanim selepas insiden itu dan setiap kali nama Syafiah Humairah disebut.Teman lelakinya ditahan untuk membantu siasatan, namun wanita itu masih belum ‘dilepaskan’ oleh suaminya yang kini ditahan dalam penjara, menambah lagi derita yang ditanggung.Siti Norhanim mendakwa, dia pernah memohon untuk bercerai dengan suaminya yang kini ditahan dalam penjara namun tidak dilepaskan.Akibatnya, wanita berusia 25 tahun itu mengaku dia telah melakukan kesilapan kerana begitu percaya kepada teman lelakinya yang kini menjadi suspek utama kematian anak keduanya itu.“Suami saya tidak mahu lepaskan saya...Saya mengaku telah lakukan banyak silap. Untuk itu, saya berharap supaya Jabatan Kebajikan Masyarakat dapat membantu saya,” ujarnya sebak.Siti Norhanim ditemui pemberita selepas lawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di rumah ibu bapanya di Sungai Plong di sini hari ini.Khamis lalu, Allahyarham Syafiah Humairah meninggal dunia selepas didera teman lelaki Siti Norhanim di padang bola berhampiran rumah mereka di Taman Batu 30, Ulu Yam Lama di Batang Kali.
Berikutan kejadian itu, teman lelaki Siti Norhanim yang bekerja sebagai pemandu teksi dan berusia 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan.Siti Norhanim yang masih sebak dengan kejadian menimpa anaknya itu mendakwa, dia tidak menyangka teman lelakinya yang dilihat begitu penyayang dan baik terhadap Syafiah Humairah sanggup bertindak sedemikian.“Sepanjang saya kenal dia (teman lelakinya), dia seorang yang agak kelakar. Depan saya, dia begitu menyayangi anak saya, sebab itu saya tak pernah curiga dengan dia.“Dia melayan Syafiah seperti anaknya sendiri, memanjakan dia, belikan dia baju. Anak saya pula memang tak pernah mengadu kena pukul,” katanya.Masih trauma dengan kejadian itu, Siti Norhanim yang sebelum ini bekerja sebagai jurujual turut menafikan laporan bahawa dia sedang mengandung empat bulan hasil hubungan terlarang dengan teman lelakinya itu. (sumber)
Ibu Syafia Humairah nafi mengandung
KUALA LUMPUR: Nurhanim Aziz, 25, ibu mangsa dera Syafia Humairah Sahari, 3, hari ini menafikan laporan sebuah akhbar bahawa beliau sedang mengandung empat bulan hasil hubungan dengan suspek yang membunuh anak perempuannya itu. Beliau berkata, laporan akhbar itu mengaibkan dirinya dan menyebabkan beliau bertambah sedih dan tertekan. "Saya tidak mengandung seperti yang dilaporkan...sudahlah saya kehilangan anak, ditambah pula dengan dakwaan tersebut membuatkan saya bertambah sedih," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sungai Plong, Kuang, di Sungai Buloh, dekat sini. Laporan sebuah akhbar hari ini juga menyebut beliau dan suspek berusia 28 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan. Nurhanim mendakwa anak bongsunya itu, Shakimi Iqbal Sahari, adalah anak bersama-sama suaminya Sahari Usol, 33, yang kini ditahan reman tanpa jaminan di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan jenayah sejak 2006. Menceritakan kejadian itu, Nurhanim berkata beberapa hari sebelum kejadian, berlaku pergaduhan antara beliau dan suspek menyebabkan suspek tertekan kerana perlu menjaga kedua-dua anaknya semasa beliau keluar bekerja. "Kami bergaduh mulut saja tetapi tidak sehingga dipukul dan suspek juga tidak pernah marah anak-anak saya di depan saya. "Kali terakhir saya jumpa Syafia Humairah ialah pada Rabu lalu dan dia gembira sangat nak keluar dengan Abang Mat (panggilan mangsa kepada suspek) sebab dah lama tak jumpa dengan suspek sejak beberapa minggu lalu," katanya. Nurhanim berkata, beliau menerima panggilan daripada suspek kira-kira 8.30 malam pada hari kejadian yang memberitahunya Syafia Humairah telah meninggal dunia akibat jatuh motosikal. "Masa dia hubungi saya, dia menangis-nangis beritahu kejadian yang menimpa anak saya dan saya amat terkejut," katanya. Beliau tidak menyangka suspek yang berperwatakan baik dan sering bergurau dengan anak-anaknya adalah seorang yang kejam dan beliau tidak akan memaafkan perbuatan suspek. Pasangan itu telah menjalinkan hubungan sejak empat tahun lalu dan bercadang untuk berkahwin tahun ini selepas proses tuntutan fasakh Nurhanim selesai. - Bernama (sumber)
Komen Na : Perlunya kita kembali kepada Islam itu sendiri.......
No comments:
Post a Comment