Semua orang yang beriman berkehendakkan amalan yang dikerjakannya bernilai dan diterima oleh Allah SWT. Amalan yang dilakukan akan dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak batal. Amalan yang terbatal tentunya tidak mempunyai nilai. Iia hanya sia-sia seumpama debu-debu yang berterbangan. Antara perkara yang boleh membatalkan aqidah kita ialah syirik kepada Allah SWT.
Syirik boleh terjadi dengan dua keadaan. Pertama adalah menyekutukan Allah SWT dengan sesuatu yang lain. Ia dikenali sebagai syirik kecil. Ini termasuklah menyembah dan menyamakan Allah SWT dengan batu, pokok, matahari, bulan, Nabi, pemimpin, malaikat dan sebagainya.
Syirik merupakan dosa yang paling besar berbanding dosa-dosa besar yang lain. Ia boleh meruntuhkan akidah seseorang. Apabila akidah telah runtuh, maka ibadah yang dilakukan sia-sia dan tidak berguna sama sekali.
Lebih dahsyat dari itu ialah dosa syirik tidak diampunkan dosa oleh Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik dan Dia mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barang siapa yang mempersekutukan Allah maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar. (an-Nisa': 48).
Jelas daripada ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT tidak mengampunkan dosa-dosa orang yang telah melakukan syirik kepada-Nya. Namun, sekiranya orang yang melakukan syirik itu sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum meninggal dunia, maka dengan rahmat dan kasih sayang Allah yang Maha Pengampun, dia akan diampunkan dosa walaupun telah melakukan syirik.
Manakala orang yang tidak sempat bertaubat setelah mengerjakan dosa syirik tidak akan diampunkan dosa.
Dengan kata lain, dia kekal dalam seksaan neraka selama-lamanya. Adapun mereka yang melakukan dosa-dosa yang lain walaupun tidak sempat bertaubat, akan diampunkan dosa-dosa mereka setelah melalui tempoh hukuman di akhirat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh para ulama termasuk Imam Az-Zahabi dalam kitab terkemukanya, Al-Kabair.
Antara amalan-amalan yang boleh membawa kepada berlakunya syirik ialah mempercayai dukun atau bomoh dan meminta pertolongan daripada mereka.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang menemui tukang tilik atau bomoh dan bertanya sesuatu kepada mereka, lalu dia mempercayai apa yang dikatakan oleh mereka itu, maka sesungguhnya dia telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada nabi Muhammad SAW." (Riwayat Ashabus Sunan).
Amalan bertemu dengan dukun, pawang dan bomoh banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Antaranya disebabkan sikap permusuhan yang membuahkan perasaan cemburu dan iri hati yang tidak berkesudahan. Lantas, jalan singkat untuk menjatuhkan dan menghancurkan kehidupan musuhnya ialah dengan meminta pertolongan bomoh yang sesat.
Di samping itu, kepercayaan bahawa pada tarikh dan bulan tertentu boleh membawa malang dan sial juga boleh membawa kepada syirik. Ini adalah kerana, hanya Allah SWT sahaja yang Maha Berkuasa menentukan segalanya. Ia tiada kaitan dengan detik dan masa tertentu.
Perbuatan lain yang boleh menyebabkan berlakunya syirik menggunakan atau memakai barangan tertentu untuk mendapat tuah atau menghalang sial. Ini termasuklah memakai tangkal atau azimat yang dipercayainya boleh menyembuhkan penyakit, pelaris perniagaan, ilmu kebal dan sebagainya.
Begitu juga yang menggunakan alatan seperti keris, tengkorak dan barangan mistik yang lain untuk dipuja bagi meraih sesuatu untuk keuntungan duniawi. Semua perbuatan ini juga dianggap syirik berdasarkan hadis Nabi SAW: "Sesungguhnya jampi mantera, tangkal dan ilmu pengasih adalah syirik". (riwayat Abu Daud).
Keadaan kedua yang boleh menyebabkan syirik ialah riak iaitu melakukan sesuatu ibadah bukan kerana Allah SWT, tetapi untuk mempamerkannya kepada manusia. Riak adalah sebuah penyakit hati yang berpunca dari perasaan ingin dilihat hebat melebihi orang lain. Lalu ditunjuk-tunjukkan amalannya supaya orang yang melihatnya menyanjungi dan memujinya.
Riak juga dikenali sebagai syirik kecil. Ini adalah kerana orang yang melakukan amalan dengan hati yang riak seolah-olah melakukan amalan untuk orang lain, bukan untuk Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka barang siapa yang mengharapkan untuk bertemu dengan Tuhannya hendaklah dia mengerjakan amalan yang soleh (baik), dan janganlah mempersekutukan sebarangpun dalam beribadah kepadanya. (al-Kahfi: 110)
Nabi SAW bersabda: "Jauhilah kamu dari syirik yang kecil." Lalu para sahabat bertanya, "Apakah syirik kecil itu?" Nabi SAW menjawab: "Riya.'" (riwayat Ahmad dan Baihaqi).
Ini bermakna, apabila seseorang itu melakukan sesuatu amalan dengan riak, maka amalannya sudah tidak bermakna lagi kerana ia tidak mendatangkan ganjaran pahala oleh Allah SWT. Firman Allah SWT: Dan kami hadapi segala amalan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikan amalan itu seperti debu yang berterbangan. (al-Furqan: 23).
Sumber
No comments:
Post a Comment