Memiliki idealisme adalah sesuatu yang amat dituntut. Idealisme dalam maksud yang luas tidak sekadar lahir daripada idea-idea manusia, tetapi pedoman daripada ALLAH. Membina idealisme mengarah kepada suatu faham yang serba sempurna terhadap sesuatu dan ia menjadi idaman setiap manusia.
Idealisme perlu berjejak di bumi nyata. Pemahaman terhadap realiti atau waqi’ adalah amat penting supaya sesuatu yang murni dihajatkan berlaku dapat diimbangi dengan pemahaman terhadap realiti itu sendiri. Ia bakal melahirkan strategi bijaksana supaya antara matlamat dan usaha ke arah sesuatu, mampu menemui titik keseimbangannya.
Seseorang yang sifatnya idealis perlu menjadi realis. Gandingan kedua-duanya menghasilkan kebijaksanaan. Bersifat idealis tanpa memahami realiti boleh menyebabkan seseorang kehilangan tempat berpijak, arah dan sasaran.
Idea-idea besar dan indah memberi sumbangan kepada ketangkasan berfikir. Tetapi apabila ingin dilaksanakan ia menuntut perancangan rapi, bekalan sumber tenaga yang kompeten, sumber kewangan baik dan strategi bijaksana.
Hijratul Rasul umpamanya adalah gagasan besar daripada ALLAH untuk melonjakkan Islam sebagai sumber rahmah alamiah (rahmatan lil ‘alameen). Rasulullah SAW melakukan itu dengan perancangannya sendiri dan bantuan daripada ALLAH. Cita-cita besar Rasulullah SAW ialah untuk menyebarkan aqidah tauhid dan menjadikan Islam sebagai agama anutan umat manusia.
Tetapi usaha Rasulullah terhalang dengan sikap pemuda Quraisy yang akhirnya merancang membunuh Baginda. Walaupun aqidah tauhid sesuatu yang murni dan Islam itu aman dan mendamaikan, tetapi realiti yang ada ialah penentangan dan kezaliman.
Strategi Hijratul Rasul itu membimbing ke arah kebijaksanaan dan kemenangan bersama campur tangan ALLAH. Meletakkan Saidini Ali di tempat tidur Rasulullah, keluar pada waktu malam ke Gua Thur yang berada di Selatan Mekah disertai oleh Saidina Abu Bakar AsSiddik orang yang amat dipercayai, bersama sumbangan anak Abu Bakr iaitu Abdallah dan Asma’ yang memberikan maklumat pergerakan musuh dan makanan adalah perancangan Rasulullah. Terlenanya pemuda Quraisy sewaktu Rasulullah meninggalkan rumah, terbinanya sarang labah-labah yang mengelirukan musuh adalah pertolongan ALLAH.
Meminta seorang Yahudi memandu jalan ke arah Madinah adalah strategi bijaksana. Terbenamnya kaki kuda Surakah bin Malik di pasir sewaktu mengejar Rasulullah adalah perancangan ALLAH. Akhirnya Rasullah sampai ke Madinah dan membina masjid di tempat unta berhenti. Ia menjadi turning-point atau titik penting ke arah perubahan lebih bermakna.
Dalam bahasa mudah merancang ke arah perubahan tidaklah salah. Mengatur strategi bijaksana dengan pertolongan ALLAH, itulah yang seharusnya menjadi pedoman. Islam ialah agama perubahan dan perubahan yang ingin berlaku menuntut usaha dan perancangan.
Oleh itu memiliki idealisme atau gagasan cita-cita tidaklah salah. Memahami realiti menjadi tuntutan yang tidak boleh dielakkan dan perubahan tidak boleh berlaku secara mendadak. Ia kena dirancang dan mengambil kira banyak perkara.
Asas perubahan bermula dengan pemerkasaan ilmu dan keterampilan. Keterampilan yang didapati mestilah mampu memberi nilai guna yang baik. Jika ini terjadi corak modal insan yang terbina memiliki kemampuan untuk melakukan perubahan bermakna.
Perubahan yang bermakna mengikut acuan al-Quran ialah perubahan terhadap rijal atau manusia itu sendiri. Manusia perlu dibangunkan aqidah, ibadah, syariah dan akhlaknya. Keseimbangan terhadap corak pembangunan yang Qurani ini bakal mencetuskan perubahan diri dan sistem lebih bermakna. Tidak ada jalan singkat dalam melakukan perubahan.
Namun, realiti yang sering berlaku ialah gagasan besar tanpa asas pemahaman terhadap realiti menyebabkan kebebangan terjadi. Ibarat pelanduk yang ingin berak besar seperti gajah, teran punya teran keluar najis sebesar biji saga lalu pelanduk mengalami kebebangan. Impiannya tinggi tetapi tidak mampu mengukur baju di badan sendiri.
Sumber
No comments:
Post a Comment