Showing posts with label Umum-keselamatan. Show all posts
Showing posts with label Umum-keselamatan. Show all posts

Tuesday, April 10, 2012

Langkah Langkah Keselamatan: Bahaya Tersedak Susu



Ibu bapa usah panik, pelajari CPR sebagai persediaan saat cemas

Kes bayi tersedak susu sebenarnya sering berlaku. Namun keadaan ini yang boleh dikawal dengan teknik tertentu, menjadi sesuatu yang amat ditakuti berikutan meningkatnya laporan kes bayi yang mati akibat tersedak susu.

Selepas menelannya, ia perlu diselaras pula dengan otot di belakang tekak. Semua proses itu jika difikirkan, sangat rumit bagi seorang bayi kerana ia bukan saja membabitkan satu otot sebaliknya banyak otot berbeza.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Anthony James Mansul berkata, bagi bayi yang masih kecil, ada saraf yang belum matang terutama bayi yang dilahirkan tidak cukup bulan atau pra-matang.

Dr Anthony berkata, pengamal perubatan perlu berhati-hati dengan bayi pra-matang di bawah 34 minggu terutama apabila menyusu menggunakan botol atau susu badan.

“Agak sulit untuk menjelaskan kepada setiap ibu bapa mengenai penyelarasan otot ini. Jadi sebagai langkah pertama, perkara terbaik ialah usah berfikiran negatif dan anggap semua bayi yang dilahirkan tiada masalah serta secara automatik pandai menyusu.

“Ini kerana 90 peratus bayi yang baru lahir tidak menghadapi masalah ini,” katanya kepada Sihat & Selamat.

Dr Anthony berkata, faktor yang boleh mengganggu penyusuan bayi dan menyebabkan tersedak ialah gejala seperti selsema, bayi tidak cukup bulan, tidak sihat atau menyusukan bayi dalam keadaan yang tidak betul.

"Kebanyakan kes tersedak susu yang kita lihat selalunya disebabkan masalah penyelarasan seperti mungkin ketika menyusu ada sedikit mukus atau kahak yang masuk atau susu tiba-tiba terlampau laju, contohnya susu badan bagi ibu dan bayi yang baru pertama kali menyusu badan.

“Akibat tekanannya laju, kita selalu lihat bayi tersedak,” katanya.

Dr Anthony berkata, lazimnya nasihat doktor kepada ibu yang anaknya kerap tersedak ialah memerah sedikit susu dari payu dara bagi mengurangkan tekanannya ketika bayi menyusu atau periksa puting botol susu untuk memastikan lubangnya tidak terlalu besar.

“Jika bayi masih lagi tersedak, jumpa doktor untuk pastikan keseluruhan saluran udara, pernafasan, lidah dan mulut bayi tiada masalah dan tidak sakit.

“Jika semuanya baik, mungkin teknik penyusuan yang diamalkan tidak betul dan kebanyakan hospital dan bidan-bidan boleh membantu menasihati ibu mengenai teknik penyusuan yang betul,” katanya.

Apa yang kita perlu buat jika bayi tersedak - pertama sekali jangan panik sebab ibu bapa sering bimbang susu akan masuk ke saluran udara. Berikutan rekaan saluran udara manusia yang baik, jika ada sesuatu yang tidak betul, ia akan tertutup serta merta (dipanggil spasm).

Bagaimanapun, bayi akan kelihatan sedikit biru atau mungkin pucat pada permulaan. Apa yang perlu dilakukan ialah dukung bayi dan tepuk belakang badan di mana lazimnya teknik itu sudah mencukupi.

Dalam kes yang agak kurang bernasib baik, kemungkinan susu itu masuk ke dalam paru-paru sehingga pernafasan terganggu. Jika ini berlaku, bantuan pernafasan mulut ke mulut atau CPR diperlukan untuk bayi. Sehubungan itu, ibu bapa sangat digalakkan mempelajari teknik CPR kerana ia bukan saja baik untuk bayi, malah orang dewasa.

Bagi ibu bapa yang terpaksa meninggalkan bayi di pusat jagaan kanak-kanak, disaran memantau pusat jagaan terbabit sebelum menghantar anak-anak. Cuba selidik dan bertanya dengan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke pusat jagaan sama, lawat dan luangkan masa beberapa jam sambil memerhatikan keadaan kebersihan, persekitaran dan cara penjaga mengendalikan bayi dan kanak-kanak. Selain itu, pastikan jumlah kanak-kanak tidak terlalu ramai hingga sukar dikawal.

Paling penting, pilih pusat jagaan berdaftar secara sah dan pastikan pengusaha serta kakitangan yang mengendalikan pusat berkenaan cukup terlatih serta cekap mengenal pasti bayi bermasalah. Selain itu, pusat penjagaan kanak-kanak yang memiliki sijil bantuan pernafasan mulut ke mulut adalah satu kelebihan dan pada masa sama, mempunyai pelan kecemasan terancang dan terletak berhampiran pusat perubatan.

Sumber

Saturday, April 2, 2011

Pencerobohan Facebook

Sering kedengaran berlakunya pencerobohan terhadap akaun-akaun laman web sosial Facebook. Bagaimanakah untuk menggunakannya secara selamat?


- Suria , KL

Dewasa ini, penggunaan laman web sosial Facebook menjadi satu budaya penting dalam kehidupan seharian.

Ia bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan peribadi tetapi digunakan sebagai satu alat teknologi maklumat untuk komunikasi antara pelanggan-pelanggan dengan agensi-agensi jualan, rakyat dengan pemerintah, pelajar-pelajar dengan pensyarah dan lain-lain.

Capaiannya menerusi Internet juga tidak terbatas kepada penggunaan komputer peribadi yang mempunyai sambungan talian tetap.

Malah, dengan munculnya alat-alat komunikasi mudah alih berkuasa tinggi dengan harga yang murah seperti komputer tablet, komputer riba, netbook dan telefon pintar berupaya mencapai laman web Facebook menerusi talian Internet tanpa wayar.

Masa, alat dan tempat bukan lagi menjadi kekangan utama untuk mencapainya. Oleh itu, laman sosial Facebook ini boleh dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.

Malah, ada kedai-kedai atau pihak-pihak tertentu yang menyediakan kemudahan capaian Internet tanpa wayar ini secara percuma menerusi teknologi Wifi.

Capaian Internet tanpa wayar ini sebenarnya mengundang sebahagian besar masalah pencerobohan ke atas akaun-akaun di laman web Facebook.

Ini kerana data-data atau maklumat ‘berterbangan’ di udara dan sesiapa sahaja berupaya mengambilnya termasuklah data-data yang penting seperti login dan kata laluan.

Tambahan pula program-program komputer untuk tujuan pencerobohan ini agak mudah diperoleh di Internet dan mudah digunakan.

Dengan itu, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melayari Internet menerusi capaian tanpa wayar ini.

Antara langkah-langkah awal yang boleh di ambil untuk menggunakan laman web sosial Facebook ini dengan selamat ialah menerusi konfigurasi keselamatan dan privasi yang baik pada akaun Facebook tersebut.

Tuesday, November 30, 2010

Pendedahan Wikileaks: Amerika pandang hina pemimpin dunia

WikiLeaks anggap Washington bersikap hipokrit dalam hal-ehwal antarabangsa.

WASHINGTON: Laman web pembocor maklumat WikiLeaks semalam menyiarkan ratusan ribu dokumen diplomatik Jabatan Negara Amerika Syarikat yang mendedahkan secara terperinci bagaimana Washington memandang rendah hingga menghina pemimpin dunia.

Paling serius, kabel itu juga menunjukkan Amerika mengarahkan operasi pengintipan terhadap diplomat asing di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tindakan yang melanggar undang-undang antarabangsa. "Pembocoran maklumat itu adalah 'sejarah diplomatik Amerika' meliputi semua isu penting ketika Washington berdepan pendedahan memalukan"

Julian Assange
Pengasas WikiLeaks Semua wakil tetap Majlis Keselamatan termasuk Russia, China, Perancis dan Britain menjadi sasaran intipan termasuk Setiausah Agung, Ban Ki-Moon.

Amerika menyifatkan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy terlalu mudah tersinggung dan mempunyai gaya kuku besi; Perdana Menteri Russia, Vladimir Putin digelar Batman manakala Robin ialah Presiden Dmitry Medvedev dan Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dirujuk sebagai ‘Hitler’.

Selain itu, pemimpin Itali, Silvio Berlusconi, suka berparti dan tidak cekap sebagai seorang pemimpin moden Eropah; pemimpin Libya, Muammar Gaddafi pula dikatakan suka dengan seorang jururawat Ukraine yang montok dan mengiringinya ke mana saja manakala Canselor Jerman, Angela Merkel tidak suka mengambil risiko dan tidak kreatif.

Sementara itu, Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, disifatkan ‘amat lemah dan tidak suka mendengar fakta tetapi mudah dipengaruhi sesiapa yang melaporkan komplot terhadapnya meskipun sukar dipercayai manakala pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il, disifatkan ‘lelaki tua yang gendut’ dan mengalami trauma fizikal dan psikologi.

Akhbar The New York Times, The Guardian, akhbar Jerman Der Spiegel, akhbar Perancis Le Monde dan akhbar Sepanyol El Pais menyiarkan bahagian pertama dokumen berkenaan dan berkata susulan akan dibuat pada hari berikutnya.

Pengasas WikiLeaks, Julian Assange menyifatkan pembocoran maklumat itu sebagai ‘sejarah diplomatik Amerika’ yang meliputi semua isu penting ketika Washington berdepan pendedahan memalukan itu.

WikiLeaks mula menyiarkan 251,287 maklumat, 15,652 daripadanya dianggap ‘sulit’ dari 274 kedutaan Amerika di seluruh dunia di laman webnya sendiri http://cablegate.wikileaks.org

Dalam satu pengenalan, ia menyifatkan Amerika sebagai kuasa besar hipokrit dengan dua sikap berbeza ketika berada di khalayak dan ketika ‘di balik tabir’.

“Maklumat itu menunjukkan tahap pengintipan Amerika ke atas sekutunya dan PBB; ‘menutup sebelah mata’ dalam isu rasuah dan hal asasi dengan ‘negara rakan’ rundingan ‘belakang pintu’ dengan negara yang sepatutnya berkecuali; melobi untuk korporat Amerika dan kaedah yang diambil diplomat Washington untuk merebut peluang.

Dokumen juga mendedahkan pertelingkahan nuklear Pakistan hingga kepada gesaan pemimpin Arab Saudi agar Iran diserang.

Maklumat yang dibocorkan itu juga mendedahkan usaha kerajaan China menggodam laman web Google, rancangan menyatukan Semenanjung Korea selepas kejatuhan Korea Utara dan kenyataan Raja Arab Saudi bahawa Amerika perlu mengebom Iran untuk menghentikan program nuklearnya dengan berkata: “Potong saja kepala ular itu”.

Ia memperincikan kenyataan tertutup yang boleh mencetuskan skandal termasuk kata-kata Presiden Yaman kepada tentera Amerika, ‘Kami akan terus kata bahawa bom itu kepunyaan kami dan bukan anda’ ketika membincangkan serangan rahsia Amerika ke atas al-Qaeda. – AFP/Agensi

Sumber

Wednesday, October 6, 2010

Ketahui cara beri bantuan kecemasan- tersedak Susu

KES kematian akibat menyusu ketika tidur bukan sesuatu yang baru. Hampir setiap bulan, kemalangan disebabkan tersedak susu atau tercekik makanan dilaporkan media yang kebanyakannya berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak.

Ia sesuatu yang cukup malang apabila bayi yang baru saja mengenal dunia tidak dapat meneruskan kehidupan dek kelalaian ibu bapa atau penjaganya sendiri. Belum lagi dengan emosi si ibu dan bapa yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan anak tersayang disebabkan kecuaian.

Menurut Pakar Kanak-Kanak, Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi, Dr Nik Rosenorleyaney Nik Ibrahim, kes kematian akibat menyusu ketika tidur atau sedar berpunca daripada bayi yang ditinggalkan menyusu bersendirian tanpa pengawasan.

Apabila seorang bayi tertidur semasa sedang menghisap botol susu, susu itu akan terus mengalir membuatkan bayi tersedak dan susu akan terus masuk ke saluran pernafasan dan paru-paru mereka.

"Dalam tubuh manusia, terdapat dua saluran iaitu pernafasan pada bahagian hadapan manakala saluran makanan pada bahagian belakang. Apabila bayi minum dalam keadaan tergesa-gesa atau mungkin lubang puting botol yang terlalu besar, susu akan terus mengalir tanpa henti ketika bayi tertidur.

"Sudah tentu bayi tidak mempunyai daya untuk menarik botol itu sendiri menyebabkan susu memasuki saluran pernafasan, seterusnya ke dalam paru-paru. Apabila ini berlaku, biasanya bayi akan tersedak atau batuk iaitu tindakan refleks yang menunjukkan bayi memerlukan pertolongan atau perlindungan.

"Namun, bagi bayi yang ditinggalkan berseorangan, sudah tentu tidak mendapat maklum balas menyebabkan bayi lemas kerana tidak dapat bernafas. Walaupun bayi tersedak susu dalam jumlah yang amat sedikit, ini sudah cukup untuk melemaskan mereka.