Sering kedengaran berlakunya pencerobohan terhadap akaun-akaun laman web sosial Facebook. Bagaimanakah untuk menggunakannya secara selamat?
- Suria , KL
Dewasa ini, penggunaan laman web sosial Facebook menjadi satu budaya penting dalam kehidupan seharian.
Ia bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan peribadi tetapi digunakan sebagai satu alat teknologi maklumat untuk komunikasi antara pelanggan-pelanggan dengan agensi-agensi jualan, rakyat dengan pemerintah, pelajar-pelajar dengan pensyarah dan lain-lain.
Capaiannya menerusi Internet juga tidak terbatas kepada penggunaan komputer peribadi yang mempunyai sambungan talian tetap.
Malah, dengan munculnya alat-alat komunikasi mudah alih berkuasa tinggi dengan harga yang murah seperti komputer tablet, komputer riba, netbook dan telefon pintar berupaya mencapai laman web Facebook menerusi talian Internet tanpa wayar.
Masa, alat dan tempat bukan lagi menjadi kekangan utama untuk mencapainya. Oleh itu, laman sosial Facebook ini boleh dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja.
Malah, ada kedai-kedai atau pihak-pihak tertentu yang menyediakan kemudahan capaian Internet tanpa wayar ini secara percuma menerusi teknologi Wifi.
Capaian Internet tanpa wayar ini sebenarnya mengundang sebahagian besar masalah pencerobohan ke atas akaun-akaun di laman web Facebook.
Ini kerana data-data atau maklumat ‘berterbangan’ di udara dan sesiapa sahaja berupaya mengambilnya termasuklah data-data yang penting seperti login dan kata laluan.
Tambahan pula program-program komputer untuk tujuan pencerobohan ini agak mudah diperoleh di Internet dan mudah digunakan.
Dengan itu, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melayari Internet menerusi capaian tanpa wayar ini.
Antara langkah-langkah awal yang boleh di ambil untuk menggunakan laman web sosial Facebook ini dengan selamat ialah menerusi konfigurasi keselamatan dan privasi yang baik pada akaun Facebook tersebut.
Apabila kita mencapai laman web sosial Facebook menerusi Internet sama ada menerusi teknologi berwayar atau pun tidak berwayar, sambungan terhadap laman web tersebut tidak dienkrip.
Ini bermaksud, sesiapa sahaja yang berupaya berada di kawasan sambungan tersebut akan boleh memperolehi apa sahaja maklumat atau data yang melalui sambungan itu secara jelas termasuk login dan kata laluan.
Bagi mengatasi masalah sambungan yang tidak dienkrip ini, pihak Facebook telah menyediakan fungsi keselamatan untuk kita mengenkrip sambungan capaian ke laman web Facebook menerusi Internet.
Dengan ini, sesiapa boleh atau berupaya mendapatkan data-data atau maklumat yang melalui sambungan tersebut tetapi data-data dan maklumat tersebut tidak dalam bentuk yang nyata.
Data atau maklumat tersebut akan disembunyikan dalam bentuk yang rahsia.
Penceroboh atau penggodam perlu meemecahkan kod terhadap proses enkripsi yang dibuat terhadap data atau maklumat itu untuk mendapatkannya.
Dalam Facebook, anda perlu pergi ke ruangan konfigurasinya.
Seterusnya memilih fungsi Account Security dan tandakan pada ruangan Secure Browsing (https).
Seterusnya, jangan lupa untuk menyimpan konfigurasi yang telah anda buat dengan mengklik pada butang Save.
Fungsi Secure Browsing ini baru sahaja diperkenalkan oleh pihak Facebook.
Jadi, pastikan dikemas kini terlebih dahulu akaun Facebook tersebut dengan kemas kini yang dianjurkan oleh pihak Facebook.
Sekiranya fungsi tersebut masih belum ada dalam akaun kita, sila maklum atau mohon kepada pihak Facebook atau nantikan sahaja kemas kininya oleh pihak Facebook.
Hasil daripada konfigurasi tersebut, melayari laman web Facebook menerusi Internet akan dienkrip seperti mana melayari laman-laman perbankan Internet yang menggunakan protokol keselamatan rangkaian https.
Selain daripada itu, pastikan juga konfigurasi untuk fungsi Privacy bagi akaun Facebook adalah baik. Pastikan dan tentukan mana maklumat yang perlu dikongsi oleh siapa sahaja dalam akaun Facebook anda. Pihak Facebook ada menyediakan cadangan konfigurasi Privacy dalam perkongsian maklumat seperti maklumat peribadi, maklumat rakan, gambar dan lain-lain.
Anda boleh tentukan sama ada anda mahu berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja, rakan sahaja, rakan kepada rakan sahaja atau menerima cadangan pihak Facebook.
Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan konfigurasi tersebut, boleh memilih pilihan Custom. Di sini, anda boleh membuat konfigurasi sendiri untuk perkongsian maklumat dan boleh menetapkan hanya untuk tatapan atau capaian diri sendiri.
Konfigurasi pada bahagian Privacy ini penting bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan maklumat yang dikongsikan atau dijadikan panduan untuk melakukan penggodaman atau pencerobohan terhadap akaun Facebook seseorang.
Sekiranya ada mana-mana akaun rakan Facebook yang disangsikan tujuannya, bolehlah kita blok akaun tersebut dalam fungsi Block Users.
Kadangkala kita melihat remeh-temeh berkenaan dengan fungsi Security dan Privacy dalam akaun Facebook ini.
Namun begitu, sekiranya akaun Facebook mendapat masalah seperti digodam dan sebagainya, barulah kelam kabut untuk mencari jalan penyelesaian.
Jadi, sebelum perkara yang lebih parah berlaku, marilah kita ambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan konfigurasi yang betul dan selamat pada akaun Facebook.
Selain daripada itu, berhati-hatilah dengan e-mel palsu yang meminta maklumat dan kata laluan bagi akaun Facebook anda.
Ia merupakan satu penipuan yang sepatutnya kita sedar akan perkara tersebut dengan menyemak kembali sambungan URL yang disediakan, e-mel tersebut dihantar secara tiba-tiba tanpa ada keperluan atau anda memintanya, semak penghantar e-mel tersebut dan lain-lain.
Ia merupakan satu teknik penggodaman yang sangat mudah tanpa perlu melakukan perkara-perkara teknikal kerana pemilik akaun Facebook sendiri yang memberi maklumat-maklumat penting tersebut. Layari Internet dan laman web Facebook anda dengan selamat dan berhati-hati.
Sumber
No comments:
Post a Comment