Sunday, September 18, 2011

Sakit Kepala Teruk

Oleh HIDAYATUL AKMAL AHMAD
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Pernahkah anda berasa sakit kepala, pandangan kabur, muntah-muntah dan sering lupa? Jika ya anda harus segera berjumpa doktor kerana dikhuatiri ia mungkin antara gejala awal barah otak. Barah otak antara penyakit paling digeruni masyarakat dunia selain barah payudara. Ia boleh menyerang sesiapa tanpa mengira umur dan jantina sama ada kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Menurut Perunding Pakar Bedah Otak Stereotaktik Advanced Neuroscience and Orthopaedic Clinic, Dr Chee Chee Pin, terdapat dua jenis barah yang diklasifikasikan sebagai Tumor Benigna dan Tumor Malignan.

“Selain itu, terdapat juga dua kategori barah otak iaitu Tumor Otak Primer (berasal atau tumbuh dari otak) serta Tumor Otak Sekunder (ia berasal atau merebak dari bahagian badan seperti buah pinggang, payudara dan kulit).

“Seperti yang dinyatakan di atas, tumor benigna tumbuh secara perlahan-lahan dan tidak merebak di bahagian dalam badan. Jika tumor ini berjaya dibuang ia tidak akan menimbulkan masalah,” katanya sewaktu ditemui baru-baru ini.

Pun begitu jika barah itu terletak berdekatan struktur otak penting, ia boleh menimbulkan masalah kesihatan serius kerana ketumbuhan yang membesar boleh menyebabkan beberapa komplikasi serta mengancam nyawa.

“Bagi tumor Malignan pula, sel ketumbuhan ini berkemampuan merebak ke bahagian badan lain dan menyerang dengan pantas. Bagaimanapun tumor otak malignan jarang merebak keluar dari sistem saraf pusat.

“Berlainan dengan tumor otak Primer bermula dan terbentuk dalam otak. Ia mungkin tumbuh dan terbentuk di kawasan kecil atau merebak di kawasan berdekatan,” katanya.

Tumor secara langsung boleh memusnahkan sel otak dan secara tidak langsung memusnahkan sel-sel apabila berlaku keradangan, mampatan akibat ketumbuhan tumor, bengkak dan peningkatan tekanan dalam otak (tekanan intrakranium). 

Apakah penyebab barah otak?

Sehingga kini penyebab kanser otak masih belum ditemui namun pengkaji masih mencari jawapan kepada masalah ini. Antara faktor utama ditemui adalah genetik, keturunan, persekitaran dan bahan kimia.

Apakah faktor yang boleh meningkatkan risiko barah otak?

Tidak terdapat faktor risiko yang jelas di kalangan pesakit yang menghidap barah otak. Kajian dijalankan mendapati sesetengah jenis barah otak lebih kerap berlaku kepada pekerja kilang penapis minyak, industri pembuatan bahan getah dan dadah selain ahli kimia. 

Bagaimana insiden penyakit ini?

Barah otak boleh berlaku pada semua lapisan umur, namun kajian menunjukkan terdapat dua kumpulan umur lebih biasa mengalaminya iaitu kanak-kanak (tiga hingga 12 tahun) serta golongan dewasa (40 hingga 70 tahun).

Apakah gejala barah otak?

Sakit kepala yang teruk terutama di sebelah pagi berbanding tengah hari.
Sakit kepala berterusan diikuti loya dan muntah
Pandangan kabur
Sering lupa
Epilepsi (sawan, kekejangan otot dan tidak sedarkan diri)
Gangguan percakapan
Kesukaran menggerakkan kaki dan tangan
Gangguan ingatan atau perubahan personaliti
Kerap diserang sakit kepala

Gejala di kalangan kanak-kanak

Loya dan muntah
Gangguan penglihatan seperti penglihatan berganda atau juling
Gangguan makanan
Sebelah tangan menjadi lemah dan kekok
Perubahan pada gaya berjalan seperti terhincut
Kesukaran berjalan
Letih dan lemah badan
Peningkatan berat badan
Perubahan pada endokrin

Apakah jenis barah otak?

Supra tentoria (bahagian atas otak)
Infra tentoria (bahagian bawah otak) 

Kanser pada bahagian atas otak ialah:

Astrocytoma (ketumbuhan otak yang bukan berasal daripada sel-sel saraf
Craniopharngioma (berasal daripada saki baki Rathker)
Kanser kelenjar pinea

Kanser pada bahagian bawah otak ialah:

Infra tentorial
Medulloblastoma (belakang otak)
Cerebeller astrocytoma (ketumbuhan pada serebrum)
Brain stem glioma (pangkal otak)
Ependymoma (ketumbuhan serebral yang berasal daripada sel-sel ependimal slia. Ia menyekat cecair serebrospina dan menyebabkan hidrosefulus jenis yang paling kerap berlaku. 

Apakah rawatan yang dijalankan bagi mengesan barah otak? 

Biasanya doktor akan membuat diagnosis melalui pemeriksaan neurologi termasuk ujian mental, pemeriksaan mata, ujian pendengaran, kuasa dan pemeriksaan saraf kranial dan lain-lain. Selain itu doktor akan melakukan pemeriksaan menggunakan alat pengimbas tomografi berkomputer iaitu sejenis alat sinar-X menggunakan komputer untuk memaparkan struktur otak terperinci.

Biopsi- kaedah ini dilakukan bagi mengesahkan kewujudan tumor otak disamping menentukan jenis histologi tumor.

Pengimbas Pet (Positron Emission Tomography)- alat ini menggunakan bahan gula yang dirawat menggunakan bahan radioaktif deoksiglukosa. Bahan ini akan disuntik dalam vena dan proses pengimbasan dilakukan. 

Rawatan

Rawatan am dan spesifik dilakukan untuk menyembuhkan pesakit dilaksanakan oleh doktor pakar. Ada barah yang boleh dirawat 100 peratus dan ada yang tidak dapat dirawat tanpa kombinasi cara rawatan iaitu - pembedahan, radioterapi dan kimoterapi. Tugas pakar bedah otak ialah membuang barah, jika boleh sehingga 100 peratus tetapi ada jenis barah yang tidak dapat dibuang keseluruhannya walaupun di tangan pakar bedah yang cekap di dunia.

Jika barah berlaku di kawasan otak, pembedahan mungkin membawa risiko tinggi. Oleh itu, rawatan radioterapi atau kimoterapi dipilih selepas biopsi dilakukan iaitu mengambil ‘daging’ barah yang berukuran 2 milimeter atau lebih untuk siasatan patalogi.Ada sesetengah barah dirawat dengan keadaan embolisasi mengecutkan barah itu. Radioterapi memberi rawatan berbeza daripada kaedah kecil hinggalah ke kaedah besar.

Cara baru rawatan barah otak yang masih kecil adalah melalui kaedah radiosurgeri iaitu menggunakan akselerator linear, cobalt gamma knife atau kaedah brachiterapi.Kimoterapi iaitu menggunakan ubat-ubat yang kuat dapat memberhentikan proses pertumbuhan barah kini menjadi terapi yang mendapat perhatian dunia.Desas-desus yang mengatakan penggunaan telefon selular sebagai salah satu punca barah otak adalah tidak benar sama sekali kerana Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mengesahkan ia tiada kaitan antara risiko barah otak dan penggunaan telefon bimbit. Frekuensi elektromagnet telefon selular terbukti selamat.
Sumber

Contohi Sifat Positif Lebah

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Perumpamaan orang beriman itu bagaikan lebah. Ia makan yang bersih, mengeluarkan sesuatu yang bersih, hinggap di tempat yang bersih dan tidak merosak atau mematahkan (yang dihinggapinya).” (Ahmad, Al-Hakim, dan Al-Bazzar).

Seorang mukmin adalah manusia yang memiliki sifat unggul. Sifat berkenaan membuatnya memiliki keistimewaan dibandingkan dengan manusia lain.

Sehingga di mana pun mereka dia berada, ke mana pun mereka pergi, apa yang mereka lakukan, apa peranan dan tugas apa pun yang mereka lakukan selalu membawa manfaat dan maslahat bagi manusia lain.

Maka jadilah dia orang yang seperti dijelaskan Rasulullah, “Manusia paling baik adalah yang paling banyak memberikan manfaat bagi manusia lain.”

Kehidupan ini agar menjadi indah, menyenangkan, dan sejahtera memerlukan manusia seperti itu. Menjadi apa pun, dia akan menjadi yang terbaik; apa pun peranan dan fungsinya maka segala yang dia lakukan adalah hal yang membuat orang lain, menjadi bahagia dan sejahtera.

Nah, sifat yang baik itu antara lain terdapat pada lebah. Rasulullah SAW dengan penyataan dalam hadis di atas mengisyaratkan agar kita mencontohi sifat positif yang dimiliki oleh lebah.

Tentu saja, sifat itu sendiri memang adalah ilham daripada Allah SWT seperti mana yang Dia firmankan, “Dan Tuhanmu mewahyukan (mengilhamkan) kepada lebah: ‘Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibikin manusia.

“Kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buahan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda (kebesaran Tuhan) bagi orang-orang yang memikirkan.” (Surah An-Nahl ayat 68-69).

Sekarang, bandingkan apa yang dilakukan lebah dengan apa yang seharusnya dilakukan seorang mukmin, seperti berikut: Hinggap di tempat yang bersih dan menyerap hanya yang bersih.

Lebah hanya hinggap di tempat-tempat pilihan. Dia sangat jauh berbeza dengan lalat. Serangga yang terakhir amat mudah ditemui di tempat sampah, kotoran, dan tempat berbau busuk.

Tapi lebah ia hanya mendatangi bunga-bungaan atau buah-buahan atau tempat bersih lainnya yang mengandung bahan madu.

Begitulah pula sifat seorang mukmin. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Hai manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan; kerana sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagimu. (Surah Al-Baqarah ayat 168).

(Yaitu) orang-orang yang mengikut Rasul, Nabi yang ummi yang (namanya) mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka, yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, memuliakannya, menolongnya dan mengikuti cahaya yang terang yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang beruntung. (Surah Al-A’raf ayat 157).

Kerananya, jika ia mendapatkan amanah dia akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Ia tidak akan melakukan rasuah, pencurian, penyalahgunaan sewenang-wenangnya, manipulasi, penipuan dan dusta.

Segala kekayaan hasil perbuatan tadi adalah khabaits (kebusukan). Mengeluarkan yang bersih. Siapa yang tidak kenal madu lebah. Semuanya tahu madu mempunyai khasiat kepada kesihatan manusia.

Tapi dari organ tubuh manakah keluarnya madu itu? Itulah salah satu keistimewaan lebah. Dia produktif dengan kebaikan, bahkan daripada organ tubuh yang pada binatang lain hanya melahirkan sesuatu yang menjijikkan ditemukan pula produk lebah selain madu yang juga diyakini mempunyai khasiat tertentu untuk kesihatan: air liurnya!

Seorang mukmin adalah orang yang produktif dengan kebajikan. “Hai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah Al-Hajj ayat 77).

Al-khair adalah kebaikan atau kebajikan. Akan tetapi al-khair dalam ayat di atas bukan merujuk pada kebaikan dalam bentuk ibadah ritual. Sebab, perintah ke arah ibadah ritual sudah diwakili dengan kalimat “rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Rabbmu” (irka’u, wasjudu, wa’budu rabbakum).

Al-khair di dalam ayat itu bermakna kebaikan atau kebajikan yang buahnya dirasakan manusia dan makhluk lainnya. Segala yang keluar dari dirinya adalah kebaikan.

Hatinya jauh daripada prasangka buruk, iri, dengki; lidahnya tidak mengeluarkan kata-kata kecuali yang baik perilakunya tidak menysahkan orang lain melainkan malah membahagiakan; hartanya bermanfaat bagi banyak manusia; kalau dia berkuasa atau memegang amanah tertentu, dimanfaatkannya untuk sebesar-besar manfaat manusia.

Tidak pernah merosak seperti yang disebutkan dalam hadis yang sedang kita bahas ini, lebah tidak pernah merosak atau mematahkan ranting yang dihinggapi.

Begitulah sifat seorang mukmin. Dia tidak pernah melakukan kerosakan dalam hal apa pun: baik material mahupun bukan material. Bahkan dia selalu melakukan kebaikan terhadap orang lain.

Dia melakukan kebaikan akidah, akhlak, dan ibadah dengan cara berdakwah. Mengubah kezaliman apa pun bentuknya dengan cara berusaha menghentikan kezaliman itu.

Jika kerosakan terjadi akibat rasuah, ia perlu membanterasnya kemudian menjauhi perilaku buruk itu. Berbalik kepada lebah, ia serangga yang kuat bekerja.

Ketika muncul pertama kali dari biliknya (menetas), lebah membersihkan bilik sarangnya untuk telur baru dan setelah berumur tiga hari ia memberi makan larva, dengan membawakan serbuk sari madu.

Begitulah, hari-harinya penuh semangat berkarya dan beramal. Bukankah Allah pun memerintahkan umat mukmin untuk bekerja keras? “Maka apabila kamu selesai (dari sesuatu urusan), kerjakanlah dengan sungguh-sungguh (urusan) yang lain.” (Surah al-Insyirah ayat 7).

Kerja keras dan semangat pantang undur itu lebih dituntut lagi dalam upaya menegakkan keadilan. Meskipun memang banyak yang cinta keadilan, namun kebanyakan manusia kecuali yang mendapat rahmat Allah- tidak suka jika dirinya “dirugikan” dalam menegakkan keadilan.

Bekerja secara berkumpulan (jama’i) dan tunduk pada satu pimpinan. Lebah selalu hidup dalam kelompok besar, tidak pernah menyendiri.

Mereka pun bekerja secara kolektif dan masing-masing mempunyai tugas sendiri. Ketika mendapatkan sumber sari madu, mereka akan memanggil teman-temannya untuk menghisapnya.

Demikian pula ketika ada bahaya, seekor lebah akan mengeluarkan feromon (suatu zat kimia yang dikeluarkan oleh binatang tertentu untuk memberi isyarat tertentu) untuk memanggil teman-temannya untuk membantu dirinya.

Itulah seharusnya sikap orang beriman. “Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah Ash-Shaff ayat 4).

Tidak pernah melukai kecuali kalau diganggu. Lebah tidak pernah memulakan serangan. Ia akan menyerang ketika terasa terganggu atau terancam.

Untuk mempertahankan “kehormatan” umat lebah itu, mereka rela mati dengan melepas sengatnya di tubuh pihak yang diserang. Sikap seorang mukmin: musuh tidak dicari.

Tapi jika ada, tidak lari. Itulah beberapa karakter lebah yang perlu dicontohi orang beriman. Bukanlah sia-sia Allah menyebut dan mengabadikan binatang kecil itu dalam al-Quran sebagai salah satu nama surah: An-Nahl. Allahu a’lam.

Sumber

Kenikmatan Menjadi Orang Tuhan

Perintah menunaikan solat adalah ketetapan daripada Allah. Ia bukannya datang daripada ciptaan atau direka-reka oleh manusia. Sebenarnya jika kita benar-benar fahami dan amati solat itu cukup hebat.

Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya, tetapi terasa kebesaran-Nya. Maka di situ cukup terasa kesempurnaan Allah.

Kita boleh minta apa sahaja daripada Allah dan Dia pasti memenuhi permintaan hamba-Nya. Solat itu satu modul Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia.

Dalam solat ada ubat, pil, tonik dan vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung.

Boleh timbul pelbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya dan faham, bahkan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.

Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat positif:

1. Rajin - Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas

Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakonkan atau dibuat-buat. Ia mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah.

Di dalam solat kita memuja dan memuji Tuhan. Kita akui Allah Maha Suci, Tuhan pentadbir dunia dan akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar.

Kita rasa, Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar yang semua solat, ibadat, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan.

Solat dan ibadat dipisahkan walhal solat pun ibadat juga. Itu tandanya solat itu ibadat penting, utama dan pertama dari ibadat lain, sama ada yang wajib atau sunat.

Kita bertungkus-lumus melakukan semua ibadat. Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ia perkara ibadat, boleh jadi tidak.

Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadat ataupun tidak. Tetapi kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita menjadikannya ibadat. Jadi mana boleh rehat-rehat.

Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Ini dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Segala macam perkara yang menjadi ibadat kita lakukan. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadat. Maknanya solat itu membunuh sifat kemalasan.

Orang yang kuat hubungannya dengan Allah, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Jika betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itu sepatutnya natijah atau hasil dari solat.

2. Berjiwa besar

Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itu yang kita rasa, akan timbul rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertakwa itu, Allah kata (maksudnya): “Dia orang Aku.” Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya pelbagai perkara dan Tuhan tidak mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati.

Apa janji Allah kepada orang mukmin, orang bertakwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya keselamatan, kewangan, kehidupan, kepandaian dan kemenangan.

Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera Tuhan. Allah boleh arah mereka bertindak.

Kalau begitu keyakinan kita hasil dari solat, dari solat itu kita akan beroleh jiwa yang besar. Orang yang sudah menjadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain.

Orang melihat gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana berasa insaf dengan kebesaran Tuhan.

Tetapi dengan melihat orang yang bertakwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertakwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.

Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan.

Dia tidak boleh tengok orang susah. Apabila tengok orang pasti dibantunya kerana dia simpati dengan kesusahan itu. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya.

Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat baik pada orang yang buat jahat padanya.

Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak, tetapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka.

Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.

Sumber

‘Wahai anak dengarlah keluhan bonda’

Sempena Hari Ibu, marilah wahai anak dengarlah suara hati ibumu ini: Wahai anakku, bertahun-tahun berlalu dan tahun itu adalah kebahagiaan dalam kehidupanku.

Satu ketika dulu doktor datang menyampaikan khabar berita kehamilanku, diri ini bercampur rasa gembira dan bahagia. Semenjak berita gembira itu, aku membawamu ke mana-mana saja selama sembilan bulan.

Tidur, berdiri, makan dan bernafas dalam kesulitan, tetapi semua itu tidak mengurangi cinta dan kasih sayangku kepadamu bahkan ia tumbuh bersama berjalannya waktu.

Aku mengandungkanmu, wahai anakku! Aku begitu gembira tatkala berasakan melihat terajang kakimu dan balikan badanmu di perutku.

Aku berasa puas setiap aku menimbang diriku kerana semakin hari semakin bertambah berat perutku bererti engkau sihat dalam rahimku.

Penderitaan yang berpanjangan menderaku, sampailah saat itu ketika fajar pada malam berkenaan aku tidak dapat tidur atau memejamkan mataku barang sekejap.

Aku berasakan sakit tidak tertahan dan rasa takut yang tidak dapat dilukiskan. Sakit itu terus berlanjutan sehingga membuatku tidak dapat lagi menangis.

Sebanyak itu pula aku melihat kematian menari-nari di pelupuk mataku hingga tibalah waktunya engkau keluar ke dunia. Engkau pun lahir...tangisanku bercampur dengan tangismu.

Semua itu, sirna keletihan dan kesedihan. Hilang semua sakit dan penderitaan malah kasihku padamu semakin bertambah dan bertambah.

Aku peluk dan cium dirimu sebelum meneguk satu titis air yang ada di kerongkonganku. Wahai anakku...sudah berlalu tahun daripada usiamu, aku membawamu dengan hatiku dan memandikanmu dengan kedua-dua tangan kasih sayangku.

Sari pati hidupku kuberikan kepadamu. Aku tidak tidur demi tidurmu, berletih demi kebahagiaanmu. Harapanku pada setiap hari; agar aku melihat senyumanmu.

Kebahagiaanku setiap saat adalah celotehmu dalam meminta sesuatu agar aku berbuat sesuatu untukmu...itulah kebahagiaanku!

Kemudian, berlalulah waktu.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun. Selama itu pula aku setia menjadi pelayanmu yang tidak pernah lalai, menjadi dayangmu yang tidak pernah berhenti, dan menjadi pekerjamu yang tidak pernah mengenal lelah serta mendoakan selalu kebaikan dan taufik untukmu.

Aku selalu memperhatikan dirimu hari demi hari hingga engkau menjadi dewasa. Badanmu yang tegap, kumis dan jambang tipis yang menghiasi wajahmu menambah ketampananmu.

Tatkala itu aku mulai melirik ke kiri dan ke kanan demi mencari pasangan hidupmu. Semakin dekat hari perkahwinanmu, semakin dekat pula hari kepergianmu.

Saat itu pula hatiku mulai serasa terhiris, air mataku mengalir, entah apa rasanya hati ini. Bahagia bercampur dengan duka, tangis bercampur pula dengan tawa.

Bahagia kerana engkau mendapatkan pasangan dan sedih kerana engkau pelipur hatiku akan berpisah denganku. Waktu berlalu seakan-akan aku menyeretnya dengan berat.

Kiranya setelah perkahwinan itu aku tidak lagi mengenal dirimu, senyummu yang selama ini menjadi pelipur duka dan kesedihan, sekarang sirna bagaikan matahari yang ditutupi kegelapan malam.

Tawamu selama ini ku jadikan buluh perindu, sekarang tenggelam seperti batu yang dijatuhkan ke dalam kolam yang hening, dengan dedaunan yang berguguran.

Aku benar-benar tidak mengenalmu lagi kerana engkau sudah melupakanku dan melupakan hakku. Terasa lama hari-hari yang ku lewati hanya untuk ingin melihat rupamu.

Detik demi detik ku hitung demi mendengarkan suaramu. Akan tetapi penantian ku rasakan sangat panjang. Aku selalu berdiri di pintu hanya untuk melihat dan menanti kedatanganmu.

Setiap kali berderit pintu aku menyangka engkaulah orang yang datang itu. Setiap kali telefon berdering aku rasa engkaulah yang menelefon.

Setiap suara kenderaan yang lewat aku rasa engkaulah yang datang. Akan tetapi, semua itu tidak ada. Penantianku sia-sia dan harapanku hancur berkeping.

Yang tersisa hanyalah kesedihan daripada semua keletihan yang selama ini kurasakan. Sambil menangisi diri dan nasib yang memang ditakdirkan oleh-Nya.

Anakku...ibumu ini tidaklah meminta banyak dan tidaklah menagih kepadamu yang bukan-bukan. Yang ibu pinta, jadikan ibumu sebagai sahabat dalam kehidupanmu.

Jadikanlah ibumu yang malang ini sebagai pembantu di rumahmu, agar dapat juga aku menatap wajahmu, agar Ibu teringat pula hari-hari bahagia masa kecilmu.

Dan Ibu memohon kepadamu: Nak! Janganlah engkau memasang jerat permusuhan denganku, jangan buang wajahmu ketika ibu hendak memandang wajahmu!

Yang ibu tagih kepadamu, jadikanlah rumah ibumu, satu tempat persinggahanmu agar engkau dapat sekali-kali singgah ke sana sekalipun hanya satu detik.

Jangan jadikan ia sebagai tempat sampah yang tidak pernah engkau kunjungi atau sekiranya terpaksa engkau datangi sambil engkau tutup hidungmu dan engkau pun berlalu pergi.

Wahai anakku, setiap kali aku mendengar engkau bahagia dengan hidupmu, setiap itu pula bertambah kebahagiaanku. Bagaimana tidak, engkau buah daripada kedua-dua tanganku, engkaulah hasil keletihanku.

Engkaulah laba daripada semua usahaku! Kiranya dosa apa yang kuperbuat sehingga engkau jadikan diriku musuh bebuyutanmu? Pernahkah aku berbuat khilaf dalam salah satu waktu selama bergaul denganmu atau pernahkah aku berbuat lalai dalam melayanimu?

Wahai anakku! Aku hanya ingin melihat wajahmu dan aku tidak mengingin yang lain. Wahai anakku! Hatiku terhiris, air mataku mengalir sedangkan engkau sihat.

Orang sering mengatakan engkau seorang lelaki baik, dermawan dan berbudi. Anakku...Tidak tersentuhkah hatimu terhadap seorang wanita tua yang lemah, tidak terenyuhkah jiwamu melihat orang tua renta ini, ia binasa dimakan rindu, berselimutkan kesedihan dan berpakaian kedukaan?

Bukan kerana apa-apa? Akan tetapi hanya kerana engkau berhasil mengalirkan air matanya...Hanya kerana engkau membalasnya dengan luka di hatinya... hanya kerana engkau pandai menikam dirinya dengan belati derhakamu tepat menghujam jantungnya...hanya kerana engkau berhasil pula memutuskan tali silaturahim?

Wahai anakku, ibumu inilah sebenarnya pintu syurga bagimu. Maka titilah jambatan itu menujunya, lewatilah jalannya dengan senyuman yang manis, pemaaf dan balas budi yang baik.

Semoga aku bertemu denganmu di sana dengan kasih sayang Allah seperti hadis: “Orang tua adalah pintu syurga yang di tengah.

“Sekiranya engkau mahu, maka sia-siakanlah pintu itu atau jagalah!” (Hadis riwayat Ahmad). Akan tetapi, anakku! Mungkin ada satu hadis yang terlupakan olehmu! Satu keutamaan besar kamu lalai iaitu Nabi s.a.w yang mulia bersabda: Daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu berkata: Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah, amal apa yang paling mulia?

Beliau berkata: “Solat pada waktunya”, aku bertanya: “Kemudian apa, wahai Rasulullah?” Beliau berkata: “Berbakti kepada kedua-dua orang tua”, dan aku bertanya: “Kemudian, wahai Rasulullah!” Beliau menjawab, “Jihad di jalan Allah”, lalu beliau diam. Sekiranya aku bertanya lagi, nescaya beliau akan menjawabnya. (Muttafaqun ‘alaih).

Anakku, yang aku cemaskan terhadapmu, yang aku takutkan bahawa jangan-jangan engkaulah yang dimaksudkan Nabi s.a.w dalam sabdanya: “Merugilah seseorang, merugilah seseorang, merugilah seseorang”, Rasulullah ditanya: “Siapa dia, wahai Rasulullah?, Baginda menajwab: “Orang yang mendapatkan kedua-dua ayah ibunya ketika tua, dan tidak memasukkannya ke syurga.” (Hadis riwayat Muslim).

Anakku...Aku tidak akan angkat keluhan ini ke langit dan aku tidak adukan duka ini kepada Allah kerana sekiranya keluhan ini membumbung menembus awan, melewati pintu langit, maka akan menimpamu kebinasaan dan kesengsaraan yang tidak ada ubatnya serta tidak ada tabib yang dapat menyembuhkannya.

Aku tidak akan melakukannya, nak! Bagaimana aku melakukannya sedangkan engkau jantung hatiku... Bagaimana ibumu ini kuat menengadahkan tangannya ke langit sedangkan engkau adalah pelipur laraku.

Bagaimana ibu tegar melihatmu merana terkena doa mustajab, padahal engkau bagiku adalah kebahagiaan hidupku. Bangunlah, nak! Uban sudah mulai merambat di kepalamu.

Akan berlalu masa hingga engkau akan menjadi tua pula, dan engkau akan memetik sesuai dengan apa yang engkau tanam... Aku tidak ingin engkau nantinya menulis surat yang sama kepada anakmu, engkau tulis dengan air matamu sebagaimana aku menulisnya dengan air mata itu kepadamu.

Wahai anakku, bertakwalah kepada Allah dan pada ibumu, peganglah kakinya! Sesungguhnya syurga di kakinya

Sumber

Cara Nabi Jaga Kesihatan Diri

Bagaimanakah cara hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi? Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan, tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita.

Kali ini penulis ingin kongsikan bersama cara hidup sihat Nabi Muhammad amalkan. Bukan bermakna nabi terhindar daripada penyakit, tetapi baginda sebenarnya hanya pernah sakit beberapa kali saja.

Baginda sentiasa berada dalam keadaan sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan. Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:

Selalu bangun sebelum subuh

Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh secara berjemaah.

Hal ini memberi hikmah yang mendalam antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

Aktif menjaga kebersihan

Rasulullah sentiasa bersih dan rapi. Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)

Tidak pernah makan berlebihan

Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)

Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga lainnya untuk makanan.

Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.

Gemar berjalan kaki

Rasulullah berjalan kaki ke masjid, pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki, peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.

Ini penting untuk mencegah penyakit jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan. Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita pergi.

Tidak pemarah

Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’ diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada kebersihan jiwa.

Ada terapi yang tepat untuk menahan perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu berbaring.

Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan gundah di hati.

Optimis dan tidak putus asa

Sikap optimis memberikan kesan emosional yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar, istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.


Tidak pernah iri hati

Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati. “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

Pemaaf

Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.

Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.

Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya, banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.

Sumber

Batasan Pergaulan Lelaki, Wanita Bukan Mahram

Alam remaja adalah alam yang sangat mencabar sehingga disebut nabi dalam satu senarai orang kenamaan akhirat adalah remaja yang terselamat dan menyelamatkan diri daripada zina.

Maksud hadis: “Lelaki yang apabila diajak perempuan cantik berzina lalu berkata, ‘sesungguhnya aku takut kepada Allah.’”

Sebagai satu agama yang amat hebat, Islam menampilkan cara pengawalan yang sangat berkesan dalam mengatasi penyakit seksual iaitu sebagaimana dalam firman Allah yang kita baca di atas, perkataan ‘jangan kamu hampiri zina.’

Kalau hampiri sudah dilarang dan ditegah, apatah lagi melakukannya. Menghampiri bermakna apa saja perbuatan yang menjadi penyebab, pendorong, keinginan dan sebagainya, adalah haram.

Kalau ada pendorong mudah datang keinginan diulit bisikan syaitan sama merelakan pula, terjadilah perbuatan terkutuk yang saban hari kita lihat dan dengar iaitu remaja melahirkan anak luar nikah.

Semuanya bermula dengan pergaulan bebas tanpa batas, berkawan tak salah yang salahnya bila melampaui batas. Kali ini penulis tampilkan batas-batas dalam pergaulan supaya menjadi bimbingan kepada khalayak remaja sekalian, iaitu:

1) Pandangan

2) Pertemuan

3) Percakapan

4) Berjabat tangan

5) Bersentuhan badan

Pandangan yang dimaksudkan di sini adalah pandangan yang biasa bukan bertujuan untuk menimbulkan hawa nafsu sama ada dari pihak lelaki atau perempuan.

Bagi kaum lelaki, Allah s.w.t memberi peringatan di dalam firman-Nya dalam Surah An-Nur ayat 30 yang bermaksud: “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, hendaklah mereka memejamkan setengah dari pandangan mereka...”

Bagi kaum perempuan juga Allah s.w.t memberi peringatan-Nya sebagaimana maksud Surah An-Nur ayat 31 “Katakanlah olehmu (wahai Muhammad) kepada orang-orang perempuan yang beriman hendaklah mereka memejamkan (tidak tengok) setengah dari pandangan mereka...” dari kedua-dua ayat itu kita dapat menafsirkan bahawa kita boleh memandang seseorang yang berlainan jantina sekadar yang perlu sahaja.
Pandangannya pula tidak keterlaluan atau memandang melampaui batas sehingga menerbitkan hawa nafsu sesama sendiri. Hanya dengan pandangan saja kita percaya hawa nafsu akan menguasai dan syaitan mudah menggoda akhirnya mendorong mereka ke arah kancah maksiat.

Maksud pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat sunyi.

Dalam konteks hari ini lebih di kenali dengan istilah ‘khalwat’ mengikut kebiasaannya apabila dua orang yang bukan mahramnya bertemu di tempat sunyi, mereka akan mudah terdorong untuk melakukan maksiat.

Dalam hal ini Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah ia melakukan pertemuan dengan seorang perempuan tanpa disertai mahramnya kerana sesungguhnya yang ketiga itu tentulah syaitan.” (Riwayat Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Dari hadis di atas dapat kita membuat kesimpulan bahawa Allah melarang pertemuan di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya di tempat-tempat sunyi dan jauh dari pandangan orang ramai.

Percakapan atau perbualan yang dimaksudkan di sini ialah apabila dua orang individu yang bukan mahramnya bertemu dan bercakap-cakap dengan tujuan tertentu yang boleh mendatangkan syak wasangka.

Dalam soal ini bukan bermakna antara lelaki dan perempuan tidak untuk bergaul dan bercakap-cakap, Islam tidak melarangnya, tetapi percakapan yang dibenarkan ialah mempunyai tujuan yang tertentu atau urusan yang penting sahaja.

Larangan itu dibuat semata-mata untuk menghindari pandangan serong atau fitnah orang terutama sekali kaum perempuan.

Berjabat tangan bermaksud menghulurkan dan menyambut tangan orang lain tanda hubungan silaturahim antara mereka, perlakuan itu meliputi lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan atau sebaliknya.

Menurut Islam hukum berjabat tangan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya adalah haram. Siti Aisyah r.a ada berkata: “...demi Allah, tidak pernah Rasulullah s.a.w menyentuh tangan seorang perempuan lain yang bukan mahramnya, hanya baginda membai’ah mereka dengan percakapan.” (Riwayat Imam Ahmad)

Bersentuhan badan bermakna apabila berlaku pertemuan mana-mana anggota tubuh badan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahramnya.

Sentuhan di sini lebih bermaksud sentuhan dengan sengaja, lebih-lebih lagi hingga menerbitkan keinginan nafsu. Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya jika kepala seseorang dari kamu ditikam dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya.”

Dari hadis di atas dapatlah kita mentakrifkan bahawa persentuhan badan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah dilarang keras Allah s.w.t.

Sumber

Jangan Jadi Macam Unta Arab

Tentunya kita pernah sangat melihat unta di kaca televisyen dan filem. Kepada yang pergi ke zoo pasti tidak akan melepaskan peluang melihat unta dengan lebih dekat.

Apa yang kita tahu unta ini lahir di negara Arab. Ia lahir di Arab, hidup di Arab bahkan mungkin mati pun di negara Arab. Tetapi ia tidak boleh berbahasa Arab, betulkan? Memanglah binatang mana boleh bercakap.

Sebenarnya penulis buat cerita unta itu sebagai kiasan kita lahir dari rahim ibu yang Muslimah, ayah juga Muslim, kita lahir di negara dengan majoriti penduduk Islam, di besarkan menjadi anak Muslim, kita sekolah di sekolah Muslim, kita besar menjadi remaja Muslim.’

Identiti kita juga menyebutkan bahawa kita seorang Muslim. Ijazah kita Muslim, baju yang kita kenakan juga baju Muslim, dan insya-Allah, kelak ketika kita kembali kepada Allah, kita akan mati di negara yang sekali lagi penduduknya majoriti Muslim.

Apa yang agak kelakar ialah kita ini sebagai Muslim dan ada pasport Muslim, tetapi yang sedihnya ada antara kita yang tidak tahu apa itu Islam.

Kita tidak boleh membaca kitab suci orang Islam, kita tidak tahu siapa nabi umat Islam, kita tidak tahu hukum Islam, kita tidak tahu apa yang diperintah dan dilarang Islam.

Bukankah kita seperti unta arab tadi, yang lahir dan besar dan Insya-Allah meninggal pun berada di tengah-tengah Muslim, tetapi tidak mengerti dan tidak mengenal Islam.

Penulis bukan menuduh, tetapi sekadar bermuhasabah agar kita lebih prihatin kepada anak cucu kita yang sedang membesar kerana nampak sangat akhir-akhir ini Islam menjadi dagang tidak dikenali oleh penganutnya sendiri.

Islam bukan hanya sekadar agama. Islam adalah jalan hidup kita menuju puncak kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan ketika kita sudah bersyahadat, isytiharkan diri sebagai orang Islam, maka sebagai kesinambungannya kita wajib menjadikan Islam sebagai cara hidup dan panduan untuk melangkah.

Ia termasuk bagaimana kita berpakaian, berniaga, berpolitik, berumah tangga, berhubung sesama manusia. Semua kena ikut cara tuhan bukannya ikut cara kita.

Sebaik mana pun peta yang kita miliki, secanggih apapun kompas yang kita pegang, tetapi kalau kita tak tahu menggunakannya boleh jadi peta dan kompas itu menjadi tidak berharga lagi bagi kita.

Islam pun begitu, dalam setiap solat, kita memohon kepada Allah: “Ya Allah tunjukkan kami jalan yang lurus, jalan para anbia, jalan para syuhada, jalan orang-orang yang mendapat redanya.”

Tetapi kita tidak atau kurang menyedari bahawa apa yang kita minta itu sesungguhnya ada di hadapan kita iaitu al-Quran dan Sunnah.

Ini adalah peta kehidupan yang dibuat oleh Allah untuk memandu kita menapak setiap jengkal langkah kita dalam menjalani kehidupan ini.

Al-Quran dan Sunnah adalah kompas yang dijamin seratus peratus benar dan tepat oleh Allah. Setiap solat kita memohon diberi petunjuk ke jalan yang lurus, padahal petunjuk kepada jalan yang lurus itu sudah ada. Hanya kita yang tidak atau belum boleh memahaminya.

Kita tidak akan dapat memahami dan menggunakan al-Quran dan Sunnah sebagai pedoman dan panduan hidup kita. Ibarat hari ini kita merasa belum lengkap seperti tidak lagi membaca e-mel, maka kita mesti gelisah jika kita masih belum baca Al-Quran.

Begitu juga rasa tidak selesa kita kalau tidak bersembang sehari, asyik tunggu mesej saja, asyik tengok telefon saja, tetapi Al-Quran kenapa kita tidak tengok dan baca.

Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum mengemas kini status facebook, sepatutnya juga kita berasa cemas kalau kita belum ‘mengemas kini’ bacaan Al-Quran kita.

Kalau hari ini kita merasa belum lengkap kerana belum dapat membaca SMS teman, maka semestinya kita lebih cemas ketika kita belum membaca ‘pesanan’ Allah yang terakam dalam Al-Quran.

Jadi tidak hairanlah kalau masih ramai orang Islam laksana unta Arab lahir dari rahim Islam, dibesarkan dalam lingkungan Islam, sekolah Islam, kuliah Islam tetapi masih tidak boleh membaca Al-Quran, apalagi untuk menggunakannya sebagai panduan dalam kehidupannya.

Sememangnya kita bukannya unta. Justeru, sebagai seorang Muslim kita perlu tahu, faham dan mengerti apa itu Islam dan bagaimana menggunakannya dalam kehidupan kita.

Salah satu caranya dengan membaca dan memahami al-Quran iaitu menjadikan al-Quran sebagai menu wajib bagi kita untuk dalam melalui hari-hari dalam kehidupan kita apa lagi kita sudah dekat dengan bulan al-Quran.

Sumber

Waktu Mustajab untuk Berdoa

Berdoa adalah otak ibadat. Begitulah besarnya kedudukan doa. Lagi banyak kita mohon bertambah sayang Allah kepada kita dan ia berbeza dengan manusia, lagi banyak kita minta, lagi banyak kita dimarahi atau dimaki. Doa sifat perhambaan manusia dan mereka diciptakan untuk hamba-Nya. Supaya doa mudah diterima kita patut meneliti serta mengetahui waktu yang sangat mustajab untuk berdoa antaranya ialah:

•Pada waktu sepertiga malam iaitu waktu terakhir, ketika orang lain nyenyak tidur. Allah s.w.t berfirman, maksudnya: “Mereka (muttaqin) sedikit sekali tidur pada waktu malam dan pada akhir malam, mereka memohon ampun (kepada Allah)” (Surah Adz-Dzariyat ayat 18-19).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Rabb (Tuhan) kita turun di setiap malam ke langit terendah iaitu ketika sepertiga malam terakhir, lalu Dia berfirman: Siapa yang berdoa kepada-Ku, Aku kabulkan.

Siapa yang meminta kepada-Ku, Aku berikan kepadanya dan siapa yang meminta ampun kepada-Ku, Aku ampunkan untuknya” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

•Waktu antara azan dan iqamah iaitu ketika menunggu solat berjemaah. Sayangnya waktu mustajab ini sering disalahgunakan sesetengah umat Islam yang kurang mengerti sunnah sehingga diisi dengan hal tidak baik dan tidak dianjurkan Islam, membicarakan urusan dunia yang tidak bernilai ibadat.

•Pada waktu sujud iaitu sujud di dalam solat atau sujud lain yang diajarkan Islam seperti sujud syukur, sujud tilawah dan sujud sahwi.

Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a, bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kedudukan hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam keadaan sujud, maka perbanyaklah doa” (Hadis riwayat Muslim).

Hadis Ibnu Abbas r.a, dia berkata: “Rasulullah s.a.w membuka tabir (ketika baginda sakit), sementara orang ramai sedang berbaris (solat) di belakang Abu Bakar r.a lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya tidak ada lagi daripada mubasysyirat nubuwwah (khabar gembira kenabian) kecuali mimpi baik yang dilihat oleh seorang Muslim atau diperlihatkan untuknya. Ingatlah bahawasanya aku dilarang untuk membaca al-Quran ketika rukuk atau ketika sujud. Adapun di dalam rukuk, agungkanlah Allah dan adapun di dalam sujud, bersungguhlah berdoa, sebab (hal itu) segera dikabulkan bagi kamu” (Hadis riwayat Muslim).

•Selepas solat fardu iaitu selepas melaksanakan solat wajib lima waktu termasuk selepas solat Jumaat. Allah berfirman, maksudnya: “Dan bertasbihlah kamu kepada-Nya di malam hari dan selesai solat” (Surah Qaaf ayat 40).

Oleh kerana itu, Imam Syafie dan pengikutnya menjelaskan, dianjurkan bagi imam dan makmumnya serta orang yang solat sendirian memperbanyakkan zikir, wirid dan doa selepas selesai solat fardu.

Dianjurkan membaca doa dengan perlahan kecuali jika makmum belum mengerti, imam boleh menguatkan bacaan agar makmum menirunya. Apabila mereka mengerti, kembalilah secara perlahan.

•Pada waktu khusus tetapi tidak diketahui dengan pasti batasannya iaitu satu detik pada setiap malam dan setiap hari Jumaat.

Ini berdasarkan hadis Jabir r.a, dia berkata: “Saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di malam hari ada satu saat (yang mustajab), tidak ada seorang Muslim pun yang bertepatan pada waktu itu meminta kepada Allah kebaikan urusan dunia dan akhirat melainkan Allah pasti memberi kepadanya” (Hadis Riwayat Muslim).

Hadis Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w pernah menyebut hari Jumaat, baginda bersabda: “Di dalamnya ada satu saat (yang mustajab), tidaklah seorang hamba Muslim yang kebetulan waktu itu sedang mendirikan solat (atau menunggu solat) dan memohon kepada Allah sesuatu (hajat) melainkan Allah pasti mengabulkan permohonannya.” Nabi s.a.w mengisyaratkan dengan tangannya akan sedikitnya saat mustajab itu (Hadis riwayat al-Bukhari). p/s - na ada dengar dalam rancangan tv al Hijjrah, waktu itu ketika terbenamnya matahari pada hari Jumaat , dan daripada mak abah..waktu itu antara 2 khutubah Jumaat. Allahu'alam

Di dalam hadis Muslim dan Abu Daud dijelaskan: “Iaitu waktu antara duduknya imam (khatib) sehingga selesainya solat (Jumaat).” Inilah riwayat yang paling sahih dalam hal ini.

Sementara dalam hadis Abu Daud yang lain, Nabi s.a.w memerintahkan agar kita mencarinya pada akhir waktu Asar. Waktu lain yang mustajab ialah sepertiga akhir malam, ketika hujan turun, waktu awal pagi ketika dengar ayam berkokok, ketika berpuasa, ketika bermusafir, bulan Ramadan dan pada 10 akhir Ramadan.

Sumber

Yogurt Boleh Ubati Stres

Berdasarkan laporan ilmiah yang diterbitkan oleh Proceeding of the National Academy of Sciences, minuman susu fermentasi atau yogurt dikatakan mampu mengubati depresi.


Menurut sekumpulan pengkaji Ireland, probiotik, atau bakteria baik yang terkandung di dalam yogurt memiliki potensi untuk mengubah kimia otak dan mengurangkan kecemasan dan gangguan yang berkait rapat dengan tekanan.

Rumusan itu hasil daripada uji kaji ke atas seekor tikus yang diberikan probiotik Lactobacillus rhamnosus. Kumpulan pengkaji tersebut mendapati, tikus yang diberi probiotik kurang memiliki tanda-tanda mengalami stres, cemas dan murung. Tikus itu juga mempunyai hormon stres kortikosteron yang jauh lebih rendah.

“Ini membuktikan bahawa probiotik dapat mempengaruhi kimia otak. Ia juga menunjukkan bakteria berperanan penting dalam komunikasi di antara usus dan otak,” ujar Profesor John Cryan dari Kolej Universiti Cork, Ireland.

Namun begitu, dia menegaskan bahawa orang yang mengalami kemurungan tidak boleh mengambil jalan mudah dengan membeli semua jenis yogurt di pasaran.

EKSTRA: Amalan meminum air daun mangga yang telah direndam semalaman di dalam secawan air sangat membantu meringankan gejala diabetes.

Sumber

Aktif bersenam Pintar Matematik

Bijak dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.

Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.

Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).

Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.

Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.

Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.

Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.

Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.

Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.

Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.

Sumber

Sakit perut bukan remeh

Oleh ZULKIPLE IBRAHIM

Pada satu hari selepas Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, penulis yang kebetulan berada di sebuah penempatan Felda dekat Triang diminta menemani dua anak saudara untuk mendapatkan rawatan di klinik kerana masalah sakit perut.

Sampai sahaja di sebuah klinik swasta di pekan Triang, kelihatan ramai sedang menunggu giliran untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan, yang kebanyakannya mengadu sakit perut. Apa yang boleh menyebabkan sakit perut? Itulah pertanyaan penulis kepada doktor di klinik berkenaan yang mahu dikenali sebagai Dr. Vijay.

“Ada beberapa sebab. Kalau perut anda sakit, mungkin disebabkan oleh apa yang anda makan atau minum.

“Mungkin kerana keracunan makanan atau anda telah makan dan minum terlampau banyak. Makan dan minum terlampau banyak boleh menyebabkan anda mengalami sakit perut,” kata beliau.

Kata Vijay, pada musim perayaan sebegini, ramai orang datang ke kliniknya untuk mendapatkan rawatan sakit perut.

Thursday, September 15, 2011

Friday, September 9, 2011

Bersihkah Zon V anda?

TANYALAH apa sahaja mengenai kecantikan, fesyen, kosmetik kepada anak gadis zaman sekarang ini, pasti lancar sahaja mulut mungil mereka menjawab mengenai trend, fesyen dan jenama terkini yang sesuai dengan jiwa remaja mereka. Jangan terperanjat jika mendapati mereka mempunyai pengetahuan lebih luas daripada anda selaku ibu. Namun, di sebalik keghairahan mereka terhadap penjagaan dan penampilan diri, masih ramai di antara mereka masih kurang menitikberatkan mengenai penjagaan dan kebersihan zon wanita atau Zon V. Penjagaan Zon V adalah amat penting dalam kesihatan keseluruhan dan kesejahteraan seseorang wanita.

“Jika aspek kesihatan wanita ini diabaikan, jangkitan dan penyakit mungkin terjadi. Ini boleh menjejaskan kesihatan dan juga keyakinan diri. Anda harus kerap memeriksa Zon V anda untuk memastikan ia sihat. Kita selaku wanita perlu selalu mengawasi tubuh masing-masing,” kata Pakar Sakit Puan, Dr. Premitha Damodaran. Tambahnya, simptom seperti bau atau bendalir yang kurang menyenangkan, haid tidak teratur atau pendarahan antara kitaran haid adalah tanda amaran.


PENGGUNAAN liner setiap hari adalah untuk mengekalkan kekeringan dan kesegaran Zon V sepanjang masa.


“Jika ia berlaku, anda sepatutnya segera berjumpa dengan doktor untuk menentukan sama ada rawatan diperlukan. Jangan ambil mudah atau terlalu membersihkan Zon V anda. Sentiasa peka dan jangan gunakan produk cucian atau wangian yang boleh merosakkan keseimbangan semula jadi Zon V anda,” ujarnya.

Jelas Premitha, minyak dan bendalir yang berada secara semula jadi dalam Zon V membantu melindungi dan memelihara kesihatan. Oleh yang demikian, pembersihan yang melampau akan menghapuskan perlindungan tersebut dan menjadikan Zon V mudah mendapat jangkitan. “Apa yang diperlukan untuk mengekalkan kebersihan Zon V? Anda hanya perlu membersihkannya menggunakan air suam (bukan air panas) dan sabun lembut di sekeliling Zon V jika perlu.

“Lindungi Zon V anda dengan membenarkan ia bernafas dengan memakai seluar dalam kain kapas dan tukar tuala wanita atau tampon secara kerap ketika haid,” jelasnya. Selain itu, gunakan liner setiap hari untuk mengekalkan kekeringan dan kesegaran Zon V sepanjang masa tetapi pastikan anda menukarnya sekurang-kurangnya setiap empat jam!

Premitha memberitahu, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya perubahan pada persekitaran Zon V iaitu pengambilan antibiotik, kehamilan, pil hormon, perubahan hormon, diabetes, stres, hubungan seks, bertukar-tukar pasangan, cuaca panas dan lembap serta penggunaan pencuci vagina.

Penggunaan seluar dalam dengan fabrik kapas memberi keselesaan pada Zon V.


Katanya, pengeluaran cecair vagina yang normal biasanya berwarna putih, tiada bau, tidak gatal, basah, cair dan banyak ketika ovulasi atau pekat pada waktu lain. “Pengeluaran cecair yang tidak normal tidak semestinya kerana jangkitan tetapi, mungkin disebabkan kerengsaan daripada penggunaan cecair pencuci vagina, garam mandian, air laut, peluh dan kelembapan, alergi kepada kondom lateks, terlupa mengeluarkan tampon dan kekeringan vagina.

“Setiap wanita pasti ada satu episod jangkitan kulat sepanjang kehidupan mereka. Ia bukan penyakit yang berjangkit melalui hubungan seks tetapi, 12 hingga 15 peratus pasangan mungkin mengalami kegatalan,” ujarnya. Menurutnya, jangkitan kulat pada vagina berlaku kerana beberapa perkara seperti pengambilan antibiotik, diabetes, kehamilan, pengambilan alkohol berlebihan, pil perancang kehamilan, perubahan hormon, penggunaan steroid, kemerosotan sistem imunisasi, cecair pembersih vagina, berpakaian ketat, perubahan jenama pad atau tampon, cuaca yang lembap dan stres.

“Sebanyak 50 peratus daripada jangkitan vagina disebabkan oleh bakteria vaginosis (BV). BV berlaku kerana pertumbuhan lampau bakteria tertentu seperti gardnerella vaginalis pada vagina.

“BV akan menjangkiti mereka yang mengadakan hubungan seks secara kerap dan bertukar-tukar pasangan seks,” jelasnya sambil memberitahu BV tidak boleh berjangkit melalui tandas duduk, tempat tidur atau kolam renang.

Buat masa ini BV tidak menunjukkan simptom cuma seseorang itu mengeluarkan cecair kelabu keputihan dengan berbau hanyir terutamanya selepas hubungan seks, sakit ketika membuang air kecil dan kegatalan pada kawasan keliling vagina.

Bagi mengelakkan jangkitan, Premitha menyarankan wanita memastikan kawasan alat kelamin bersih dan kering, elakkan penggunaan sabun yang menyebabkan iritasi, penyembur vagina, pencuci vagina, syampu rambut, menukar tampon dan pad dengan kerap serta memakai pakaian dalam yang tidak memerangkap kelembapan.

Selain itu, seseorang perlu menukar pakaian yang kering segera selepas berenang, mengambil antibiotik apabila disarankan doktor sahaja dan jika menghidap diabetes, seseorang itu perlu mengawal paras gula dalam darah. Premitha menasihatkan kepada mereka yang dijangkiti supaya mengelakkan aktiviti seks sehingga sembuh sepenuhnya, merawat jangkitan, menggunakan kondom, mengelap alat kelamin dari bahagian depan hingga ke belakang dan mengurangkan pengambilan roti, gula dan alkohol.

“Sesiapa sahaja boleh mengalaminya. Tidak semestinya seseorang yang aktif seks akan mendapat jangkitan pada vagina.

“Anda tidak perlu membasuh secara berlebih-lebihan kawasan vagina anda kerana ia mempunyai sistem pembersihannya sendiri,” pesannya.

Sumber