Oleh Badli Shah Alauddin
Aktiviti fizikal sederhana berkesan kurangkan lemak terkumpul, lambatkan proses penuaan .
KAJIAN mengenai hikmah berpuasa sudah banyak dibuat bukan saja sarjana Islam bahkan pengkaji Barat seperti garapan Steve Meyerowits dalam buku Fasting and Eating for Health, Richard Schult dalam Juice Fasting, the Power of Healing dan Phyllis Balch dalam Prescription for Nutritional Healing.
Semuanya secara tuntas membuktikan kebaikan amalan berpuasa. Selain itu, kajian mengenai kebaikan amalan bersahur juga mula dibuktikan secara ilmiah. Contohnya, kajian semasa menunjukkan makanan paling utama dalam masa 24 jam adalah sarapan.
BBC News bertarikh 7 Mac 2003 melaporkan, bersarapan pagi adalah penting bagi memelihara kesihatan seseorang berbanding mengambil makanan pada waktu lain. Kajian Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard mendapati, mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi menjadi gemuk, mendapat sakit jantung dan menghidap penyakit kencing manis.
Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan yang berkaitan dengan lebihan kadar gula dalam darah berbanding mereka yang jarang bersarapan pagi.
Kajian Dr Theresa Nieklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya terhadap 700 pelajar dari Louisiana seperti dilaporkan Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001 menunjukkan, mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah dan ini menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah).
Kini, perkembangan teknologi dan ilmu menyebabkan saintis bukan saja berjaya membuat lebih banyak kajian berkaitan manfaat puasa dan sahur, bahkan terhadap amalan tarawih yang lazim dilakukan setiap malam Ramadan.
Ketika berpuasa Ramadan, umat Islam digalakkan menunaikan ibadat solat tarawih secara berjemaah di masjid. Solat tarawih ditunaikan sama ada lapan atau 20 rakaat setiap malam sebenarnya adalah suatu aktiviti fizikal sederhana.
Secara saintifiknya, kesan aktiviti fizikal sederhana dan berpuasa terhadap komposisi badan boleh dinilai dengan menggunakan teknik bioimpedans (BIA). Kajian sekumpulan penyelidik Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan Universiti Malaya, mendapati ada beberapa kesan positif terhadap kesihatan seseorang yang bersolat tarawih.
Kajian selama 20 hari dilakukan kepada 18 peserta lelaki yang sihat tubuh badan berumur antara 19 hingga 21 tahun, dimulakan pada 30 Syaaban (Pengukuran Analisis Bioimpedans awal) dan berakhir pada 20 Ramadan (pengukuran BIA akhir).
Kajian yang dilaporkan dalam buku berjudul Solat: Kebaikan dari Perspektif Sains itu dijalankan berdasarkan standard dan saranan Persatuan Pemakanan Malaysia (PPM). Menurut PPM, untuk memastikan kesihatan berada pada tahap optimum, seseorang itu bukan hanya perlu melakukan senaman, juga menjaga pemakanan (diet).
Pergerakan fizikal dalam solat tarawih didapati meningkatkan aktiviti otot badan selari peningkatan kadar metabolisme basal (BMR) daripada nilai purata 1,455 kal kepada 1,486 kal. Juga didapati penurunan nilai jisim lemak badan (FM) sebanyak 21 peratus.
Keadaan ini sebenarnya setara aktiviti senaman aerobik sederhana dan amalan pemakanan seimbang yang boleh mengurangkan lemak badan. Penurunan nilai jisim lemak itu menunjukkan solat tarawih dan berpuasa adalah kombinasi yang boleh menghasilkan kesan sama seperti senaman aerobik sederhana dengan amalan diet seimbang.
Maka, jelas di sini solat tarawih sebenarnya berkesan untuk mengurangkan lemak yang berkumpul dalam badan. Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru akan mula meningkat dan memenuhi ruang. Hasilnya, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu.
Selain itu, solat tarawih mengurangkan nilai glukosa. Lazimnya pergerakan solat tarawih kira-kira 140 minit dalam satu sesi menurunkan kadar glukos dalam badan dengan nyata, keadaan ini sama dengan keputusan jika senaman tahap sederhana dilakukan melebihi 150 minit seminggu.
Kesan nilai komposisi badan yang lain ialah pertambahan jisim badan tanpa lemak seperti komponen sel dan tisu yang tiada lipid (lemak) termasuklah air, tulang dan tisu penghubung, menunjukkan tahap kesihatan lebih baik.
Dengan peningkatan BMR, pembakaran lemak dalam badan turut meningkat. Natijahnya, kandungan lemak dalam badan semakin berkurangan dan secara tidak langsung mengurangkan mendakan lemak dalam salur darah membolehkan kekenyalan salur darah meningkat.
Bagi sesetengah individu yang sentiasa mengeluh kerana tidak berdaya berjemaah terlalu lama semasa solat tarawih, kajian Dr Yusof Abbas menerusi bukunya Bio-Mekanik Solat sewajarnya dijadikan renungan.
Menurut beliau, kedudukan yang sempurna ketika solat seperti amalan regangan otot dan tendon secara betul ketika mengangkat takbir, meletakkan tangan di dada, ketika rukuk, sujud, duduk antara dua sujud akan memberi kesan positif kepada kesihatan.
Semua regangan yang betul ini jika dilakukan dalam tempoh lama akan meningkatkan aliran darah selain aktiviti ‘kembang kuncup’ otot pada bahagian yang terbabit. Ketika sujud, sebenarnya sudah berlaku regangan otot bahu, lengan, belakang badan, punggung, pelvik, peha dan betis.
Malah, akan berlaku juga regangan otot di sekeliling anus dan otot sekeliling pangkal kemaluan lelaki serta otot uterus wanita. Dengan kata lain, ada persamaan regangan otot ketika senaman ‘batin’ yang biasa diamalkan seperti senaman harimau atau teknik tertentu dalam gerakan yoga.
Banyak kajian jelas membuktikan solat tarawih dan berpuasa memberikan manfaat dari sudut kesihatan. Selain itu, kajian juga menunjukkan kombinasi solat tarawih dan berpuasa dari sudut kesihatan tubuh badan adalah bersamaan dengan senaman dan diet. Oleh itu, kombinasi ibadat solat tarawih dan berpuasa boleh menjadi alternatif dalam mengamalkan gaya hidup sihat serta boleh diamalkan bagi individu yang ingin menguruskan badan.
Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang, kini meneruskan pengajian peringkat Sarjana Sains di Universiti Malaysia Terengganu.
Sumber
No comments:
Post a Comment