Thursday, June 23, 2011

Gerhana Bulan 16 June 2011

Suasana di perkarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur pada pagi Khamis, 16 Jun lalu sedikit berbeza berbanding hari-hari lain. Tepat pukul 1 pagi, orang ramai yang terdiri daripada berbilang kaum mula berkumpul dengan satu tujuan iaitu untuk melihat sendiri fenomena gerhana bulan penuh berlaku.


Aktiviti mencerap gerhana bulan anjuran Planetarium Negara dengan kerjasama Masjid Negara buat kali kedua itu bertujuan menggalakkan budaya ilmu dalam kalangan warga kota.

Kira-kira 10 buah teleskop disediakan oleh pihak Planetarium, Persatuan Astronomi Starfinder dan orang perseorangan bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan jelas fenomena itu berlaku.

Menurut Pengarah Bahagian Pendidikan dan Sains Angkasa, Azreena Ahmad, makmal sebenar bagi ilmu astronomi adalah di kawasan luar dan bukan di bilik darjah.

“Cuma, saintis boleh menjangkakan sesuatu fenomena itu berlaku kerana ia satu putaran tetapi, masih bergantung kepada keadaan cuaca,” ujarnya

Bayang warna jingga


Katanya, program-program seperti itu disasarkan kepada pelajar sekolah dan kolej supaya mereka dapat merasa sendiri pengalaman tersebut.


“Kebanyakan pelajar kita akan membuat ulang kaji dengan menggunakan teknologi internet bagi mendapatkan maklumat tambahan. Ia bukan 100 peratus salah, tetapi kurang tepat kerana apa yang dilihat dan dicerap di Amerika Syarikat dan Australia pasti berbeza kerana kedua-dua negara tersebut berada dalam hemisfera yang berlainan.

“Malaysia yang terletak di garisan khatulistiwa beruntung kerana dapat melihat sedikit kedudukan bintang di hemisfera selatan dan sedikit lagi di utara,” ujar Azreena yang ditemui di Program Cerapan Gerhana Bulan Penuh.

Gerhana bulan penuh terjadi apabila bumi berada di antara bulan dan matahari dalam garisan lurus. Selain Malaysia, kawasan barat Australia, tengah Asia dan Afrika turut dapat menyaksikan fenomena itu kali ini.

Ia juga merupakan gerhana bulan terpanjang sejak tahun 2000 iaitu selama 100 minit bermula tepat pada pukul 1.25 pagi apabila bulan mula memasuki kawasan Penumbra.


Penumbra merujuk kepada bahagian luar bayang yang relatifnya lebih cerah.

Ketika itu, bulan akan mula membentuk seperti sabit kerana sedang memasuki bayang bumi sehingga kedudukannya berubah sepenuhnya apabila memasuki Umbra.

Umbra merujuk kepada bahagian bayang yang sangat gelap.

Bayang warna merah kejinggaan akan mula kelihatan di permukaan bulan di antara pukul 2.23 pagi hingga 3.23 pagi dan mencapai fasa gerhana penuh tepat pukul 4.13 pagi.

Warna permukaan bulan ketika gerhana bulan penuh adalah berbentuk seperti gegelang merah kejinggaan.

Fenomena tersebut berlaku kerana cahaya matahari yang terpancar akan diserakkan oleh atmosfera bumi dan hanya cahaya merah dan jingga terpantul dari permukaan bulan.

Fenomena dikaji saintis

Ketika sesi taklimat kepada orang ramai, Pegawai Penyelidik Planetarium Negara, Lau Chen Chen berkata, proses cerapan ketika gerhana bulan amat berguna kepada para penyelidik.

“Mereka dapat mengkaji kandungan debu dalam atmosfera bumi melalui warna yang dipantul oleh bulan ketika gerhana berlaku,” ujar ketika ditemui.

Warna pantulan adalah berbeza daripada coklat tua, merah, oren cerah dan kuning bergantung kepada kehadiran debu dan awan yang hadir dalam atmosfera.

Sebagai contoh, semasa kejadian gerhana bulan penuh pada tahun 1992, abu dari gunung berapi Pinatubo, Filipina telah menyebabkan bulan hampir tidak kelihatan.

Tambah Chen Chen lagi, ketika gerhana bulan juga saintis dapat mengkaji fenomena air pasang surut serta dapat mengesahkan teori-teori seperti cahaya bergerak lurus.

“Bagi para penyelidik, gerhana bulan juga adalah masa untuk mengkaji diameter bumi dan bulan,” kata Chen Chen lagi.

Selain itu, Azreena pula menambah, gerhana bulan juga menjadi salah satu cara orang zaman dahulu kala menentukan kedudukan dan arah kerana ketika itu masih lagi tiada teknologi moden seperti Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS).

Bukan petanda buruk

Ketika waktu bulan mula memasuki kawasan Umbra, umat Islam turut disunatkan untuk melakukan solat sunat gerhana. Ini adalah sebagai satu lagi kebesaran Maha Pencipta yang wajib setiap umat Nabi Muhammad SAW mengambil ikhtibar.


Malah, tiada hubung kait antara kejadian gerhana dengan perkara berlaku yang berlaku dalam Islam. Ia hanya menunjukkan kebesaran Allah sahaja.

Penolong Pegawai Unit Perhubungan Awam dan Pusat Sumber Masjid Negara, Azhar Tuarno berkata, terdapat hadis nabi bermaksud: Tiada kaitan gerhana dengan kematian seseorang.

“Hadis itu keluar ketika anak nabi yang masih kecil, Ibrahim meninggal dunia dan kebetulan berlaku gerhana matahari.

"Jadi, orang ramai berkata alam turut berduka dengan kematian anak nabi lalu keluar hadis tersebut,” ujar Azhar yang turut menyertai solat sunat gerhana pada 16 Jun lalu.

Ia jelas menunjukkan fenomena gerhana adalah salah satu daripada kebesaran Allah dan kita sebagai umatnya harus memperbanyakkan ibadat seperti sembahyang, sedekah dan beristighfar.

“Selain itu, ia juga menggalakkan budaya ilmu terutama astronomi atau lebih dikenali sebagai ilmu falak,” ulasnya lagi.

Mengulas mengenai program kerjasama dengan planetarium yang diadakan di perkarangan Masjid Negara, Azhar berkata, ia amat baik sekali kerana menambahkan fungsi masjid.
“Ia juga dapat merapatkan hubungan antara kaum apabila semua bangsa dapat berkumpul bagi melihat fenomena tersebut,” katanya lagi.

Gerhana bulan mula bergerak keluar dari Umbra pada pukul 5.03 pagi dan keluar sepenuhnya dari Penumbra pada pukul 7.01 pagi.

Selain cerapan gerhana bulan, aktiviti-aktiviti lain yang diadakan adalah mencerap planet Zuhrah, Musytari dan Marikh. Kuiz gerhana, taklimat dan tayangan dokumentari turut diadakan.

Untuk tidak mengecewakan pengunjung pada hari cerapan jika tidak nampak fenomena tersebut, sebuah tayangan secara langsung dari tempat-tempat seluruh negara seperti di Pejabat Sains dan Teknologi Ranau, Sabah diadakan.

Di Masjid Negara pula, sembahyang sunat gerhana secara berjemaah turut diadakan bermula tepat pukul 3 pagi disusuli dengan khutbah gerhana.

Sumber

No comments:

Post a Comment