Monday, March 7, 2011

Otak sihat pemikiran pintar

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my


PERKEMBANGAN kanak-kanak berbeza mengikut tahap kecerdasan mereka. Ada kanak-kanak pada usia setahun sudah boleh bercakap dan berjalan malah ada juga belum menunjukkan sebarang petanda.

Ramai pakar kanak-kanak berpendapat kecergasan kanak-kanak bergantung kepada perkembangan otak mereka.

Dalam erti kata lain, perkembangan otak pula bergantung kepada zat makanan yang diambil oleh ibu mengandung serta dalam tempoh tumbesaran mereka.

Kanak-kanak yang kekurangan zat makanan dalam tempoh tumbesaran akan menunjukkan kadar atau tahap pembelajaran yang lebih lambat, lambat bertutur serta lemah perkembangan motor. Justeru, ibu bapa harus memastikan anak mereka dibekalkan dengan zat makanan penting agar perkembangan otak anak mereka berada dalam keadaan yang aktif.

Berikut adalah nutrisi penting yang diperlukan untuk perkembangan otak:

- Zat besi
- Zink
- Asid folik
- DHA

Menurut Ketua Jaminan Kualiti dan Pensyarah, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Norimah A Karim, asid docosahexaenoic atau DHA adalah sejenis rantaian panjang asid lemak Omega-3 yang secara semula jadi boleh didapati dalam makanan seperti ikan salmon, tuna dan ikan daripada perairan laut dalam serta minyak kanola.

DHA merangkumi kira-kira 97 peratus dan 93 peratus daripada semua asid lemak Omega-3 dalam otak dan mata.

“Menurut kajian yang dijalankan oleh Perbadanan Keselamatan Pemakanan Eropah (EFSA), keperluan DHA kanak-kanak berusia enam bulan sehingga dua tahun ialah 100 miligram manakala mereka yang berumur dua tahun hingga 18 tahun memerlukan 250 miligram asid eicosapentaenoic (EPA) dan DHA untuk perkembangan otak mereka,” katanya.

Wujud perkaitan antara jumlah DHA yang diambil oleh ibu mengandung terutama ketika tiga bulan terakhir sehingga anak berusia dua tahun. Pada dasarnya, jumlah DHA yang diambil ibu akan mempengaruhi perkembangan otak anak.

“DHA adalah ramuan utama yang diperlukan untuk membentuk sel membran neuron, yang menjadi penghubung antara sel yang lain serta mempengaruhi fungsi neurotransmitter acetylcholine dan membantu sel otak berhubung.

“Otak yang sihat akan melahirkan pemikiran yang pintar,” ujar Dr Norimah.

Tambahnya, pemakanan yang kaya dengan DHA akan memperbaiki tumpuan kanak-kanak, sikap dan fungsi kognitif serta kadar pembelajaran mereka. Dalam erti kata lain kanak-kanak akan lebih fokus serta memberi tumpuan sama ada ketika bermain atau belajar.

Secara umum DHA adalah kunci untuk perkembangan otak. Pengambilan optimum DHA pada awal usia kanak-kanak akan memberikan faedah pada fungsi kognitif untuk jangka masa yang panjang.

“Fungsi kognitif mempunyai hubung kait yang sangat jelas dengan pengambilan DHA. DHA bersama AA akan melengkapi fungsi otak serta sistem saraf kanak-kanak,” jelasnya.

Menurut Dr Norimah, DHA diperlukan untuk perkembangan otak. DHA yang secukupnya diperlukan dalam diet kanak-kanak bagi memastikan perkembangan otak adalah optimum.

Kanak-kanak boleh memperoleh DHA daripada makanan seperti telur, ayam dan terutamanya ikan. Tetapi kebiasaannya, kebanyakan kanak-kanak menolak untuk makan ikan kerana bau yang hanyir.

Bagaimanapun, sekiranya cara penyediaan makanan ikan dilakukan dengan betul, anak-anak pasti akan gemar memakan ikan.

Anak-anak juga memerlukan DHA secara terus kerana tubuh kanak-kanak tidak mampu untuk memproses DHA dengan sempurna sekali gus akan timbul masalah kekurangan DHA bagi perkembangan otak.

Kajian daripada Perbadanan Keselamatan Makanan Eropah juga mengesyorkan kanak-kanak untuk mengambil 100 miligram DHA setiap hari.

Selain perkembangan otak, Profesor Madya dan Ketua Unit Psikologi Kesihatan, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu UKM, Dr Alvin Ng Lai Oon, memberitahu ibu bapa kadang-kadang kurang memberi penekanan terhadap emosi kanak-kanak (EQ) yang dianggap penting dalam tempoh pembesaran mereka.

“Pembentukan emosi adalah bagaimana seseorang kanak-kanak menggunakan perkataan yang terakam dalam otak mereka dan meluahkannya dalam persekitaran positif.

“Emosi kanak-kanak dibentuk menerusi pembinaan sel otak dan mempunyai pertalian yang sangat rapat sehingga kanak-kanak meningkat usia sembilan tahun. Dalam tempoh ini lebih banyak emosi dibentuk,” katanya.

Tambah Dr Ng, kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran positif mempunyai keyakinan diri yang tinggi serta tidak malu berhadapan orang ramai.

Membentuk emosi kanak-kanak sama pentingnya seperti mengajar ABC dan 123. Kekurangan EQ akan mencacatkan penggunaan ABC dan 123. Kanak-kanak yang menunjukkan emosi yang baik juga mempunyai hubungan positif dengan keluarga dan persekitaran.

“Memiliki emosi positif dan kepintaran yang tinggi adalah sangat baik berbanding hanya mempunyai kepintaran saja. Ini kerana emosi akan meningkatkan tahap pemikiran kanak-kanak,” ujarnya.

Kepintaran emosi boleh dibentuk dengan cara membantu kanak-kanak meluahkan perasaan mereka dengan cara meminta mereka menyebut “saya rasa .... kerana.....”

Contohnya:-

Mak: Kenapa adik menangis? Apa yang terjadi sampai adik menangis?

Anak: Mak, saya menangis sebab pensel saya patah, saya menangis sebab saya sedih mak!

Dengan cara ini, kanak-kanak akan belajar memahami perasaan yang dialaminya dan menitikberatkan perasaan orang lain. Ini akan mewujudkan anak yang mempunyai sifat empati terhadap persekitarannya.

Anda juga harus sentiasa berbual dengan mereka secara lebih terbuka, bertindak sebagai ‘jurulatih’ untuk mengajar mengenai nilai hidup dan jangan sesekali membuatkan mereka berasa rendah diri.

Bagi ibu bapa pula, penting merangsang pembentukan otak kanak-kanak sejak awal kelahiran dengan cara memperkenalkan kemahiran intelektual dan bahasa.

Misalnya kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan orang dewasa akan mempelajari kemahiran berbahasa lebih awal berbanding kanak-kanak yang tidak meneroka persekitaran, tidak bercakap serta mengalami sendiri apa yang ada di sekeliling mereka akan membuatkan perkembangan otak mereka terhenti dan pasif.

Justeru, berikut cara terbaik merangsang emosi dan pemikiran kanak-kanak:

- Memberi perhatian dan tindak balas yang baik kepada anak.

- Menyayangi anak dengan menyentuhnya dengan penuh kasih sayang, berbual, mengajar membaca dan menyanyi bersama mereka.

- Membentuk persekitaran selamat untuk bermain.

- Mengajar anak-anak untuk meluahkan perasaan dengan cara yang sesuai dan menerangkan mengenai perasaan itu.

- Membuat jadual waktu justeru anak-anak akan lebih memahami apa yang ibu bapa inginkan.

- Menyertai aktiviti anak-anak sama ada di pusat jagaan atau tadika.

- Memastikan anak-anak sihat, selamat serta mendapat nutrisi seimbang.

Sumber

No comments:

Post a Comment