Wednesday, March 9, 2011

Bagaimana menukar masa menjadi emas?

SOLAT adalah institusi yang agung dalam memberi pendidikan kepada umat Islam dalam pelbagai aspek kehidupan. Antaranya solat melatih serta mendidik seseorang itu supaya menjadi tidak malas dan tidak membuang masa.

Apakah fungsi solat kepada kehidupan manusia? Allah berfirman yang bermaksud: Tidaklah kamu tahu bahawasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing mengetahui (cara) solat dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan. (Surah an-Nuur ayat 41).

Bermakna solat bukan hanya dilakukan oleh manusia semata-mata, malah semua apa yang ada di langit dan di bumi tahu cara solat masing-masing. Menjelang siang, muazzin mengingatkan kita masa tidur sudah berlalu. Siang bukannya waktu untuk tidur lagi sebaliknya waktu untuk membina dunia.

Laungan marilah solat, marilah menuju kejayaan. Solat lebih baik daripada tidur.' Hebatnya solat yang memberi motivasi pagi. Apabila matahari menegak di atas kepala ketika asyik dengan tugas diingatkan lagi, `marilah solat' Zuhur.

Ia mengingatkan kita supaya prihatin dengan masa. Apabila bayang sama panjang dengan benda dan matahari mula melabuh, datang lagi seruan `marilah solat', malah ketika matahari tenggelam dan tidak nampak lagi cahayanya, suara `marilah solat' datang lagi.

Ketika luput lembayung merah di langit, muazzin sekali lagi mengajak manusia untuk menunaikan solat secara berjemaah. Begitulah hidup kita membuka dan menutup hari dengan solat.

Ada pepatah berbunyi, 'masa adalah wang dan masa bergerak laju seperti anak panah'. Ungkapan itu menggambarkan sifat masa sangat bernilai dan berlalu begitu pantas.

Solat mendesak umat Islam supaya menukarkan masa menjadi wang. Ramai orang tahu masa itu emas tetapi tidak ramai orang tahu bagaimana hendak menukar masa menjadi emas.

Apabila tidak menghayati solat, kita banyak menghabiskan masa dengan sia-sia. Salah satu cara bagaimana menukar masa kepada emas ialah tidak malas atau belajar bagaimana mengisi masa dengan berfaedah, menggunakan masa dengan cermat, cepat dan tepat.

Menggunakan masa dengan cermat maknanya jangan sampai masa kita dicuri oleh kelalaian, kealpaan kerja yang tidak berfaedah seperti berkhayal, lepak kosong dan jangan sampai orang mengambil masa kita yang sangat berharga itu.

Menggunakan masa dengan cepat bermakna jangan bertangguh apabila sudah merancang sesuatu perkara. Peluang kadangkala hanya datang sekali.

Kita ada tiga masa saja iaitu masa lalu sebagai pengalaman, kita ada masa sekarang dan kita ada masa depan atau hari akhirat. Ketiga-tiga masa itu sangat bergandingan.

Apabila kita lambat bertindak, kita pasti akan menyesal. Menggunakan masa dengan tepat maknanya buat kerja betul pada masa yang betul.

Seperti membunuh dalam peperangan akan digelar sebagai wira negara tetapi kalau membunuh orang tanpa sebab akan dihukum gantung.

Allah berfirman yang antara lainnya bermaksud: "Apabila kamu telah selesai (dari sesuatu urusan) maka kerjakanlah dengan sungguh-sungguh urusan yang lain dan hanya Tuhanmu tempat kamu berharap."

Ayat di atas mengisyaratkan agar kita menyiapkan kerja dengan sempurna, barulah melakukan kerja lain dengan cermat, cepat dan tepat serta menggantungkan harapan hanya kepada Allah.

Selepas merancang, berserah dan bertawakal kepada Allah. Sebenarnya tiada sesuatu yang untung, yang kita dapat daripada kemalasan kecuali penyesalan dan kekecewaan.

Jaminan Allah, berjaya orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Orang yang khusyuk mereka belajar, bukan sahaja fikah solat yang betul tetapi juga falsafah di sebalik tarbiah solat berkenaan.

Justeru, lakukan solat dengan penuh khusyuk yang bermula daripada pelaksanaan yang sempurna, memahami pergerakan dalam solat, memahami ayat dan zikir yang dibaca, bersolat di awal waktu, bersolat secara berjemaah serta pastikan tempat solat dan pakaian bersih daripada sebarang najis.

Sumber

No comments:

Post a Comment