Thursday, January 27, 2011

Pemergian Charles Le Gai Eaton dirasai

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

TARIKH 26 Februari ini genaplah setahun pemergian Charles Le Gai Eaton ke rahmatullah. Seorang aristokrat Inggeris yang lahir daripada sebuah keluarga bangsawan yang terkenal.

Namun yang membuatkan seluruh dunia Islam sangat dukacita dengan pemergiannya itu ialah kerana pengabdian seluruh hidupnya untuk Islam sejak memeluk agama itu pada tahun 1951 (Iaitu semasa bertugas sebagai diplomat di Mesir di bawah bimbingan mentor beliau, ahli sufi terkenal British, Martin Lings).

Charles atau nama Islamnya, Hassan Le Gai Eaton atau Hassan Abdul Hakeem tetapi beliau lebih dikenali dengan panggilan Sidi Hassan.

Beliau adalah antara yang banyak memberikan sumbangan besar terhadap Islam di Britain dan Eropah amnya. Terutama sebagai salah seorang jawatankuasa yang membentuk perlembagaan untuk Majlis Islam Britain.

Walaupun tanpa perlu mempunyai imej seperti seorang Arab namun beliau sering disifatkan sebagai 'Sheikh Utama' (the main shaykh) mahupun ensiklopedia bergerak Islam di United Kingdom kerana beliau boleh dirujuk untuk apa juga persoalan mengenai Islam.

Membaca buku yang beliau tulis, terutama yang bertajuk Islam and the Destiny of Man telah menjadi sumber inspirasi kepada banyak pihak sehingga ramai di antara mereka terbuka hati untuk memeluk Islam.

Salah seorang yang membacanya dengan penuh minat tentulah personaliti stesen televisyen muzik Eropah terkenal, MTV Kristiane Backer yang kisahnya disiarkan pada minggu lalu.

Kristiane berkesempatan menemui dan menemuramah Sidi Hassan beberapa kali setelah diperkenalkan oleh Imran Khan sebelum tokoh itu meninggal dunia dalam usia 89 tahun.

Namun Kristiane lebih menganggap Sidi Hassan umpama seorang bapa dan mahaguru yang banyak mengajarnya mengenal Islam dan bagaimana untuk terus kekal dengan Islam.

Ini kerana Sidi Hassan memahami situasi sukar yang lazimnya terpaksa dihadapi oleh Kristiane sebagai saudara baru.

Pelbagai pengalaman diperolehi ketika bersama dengan Sidi Hassan dan antara yang ditulis oleh Kristiane apabila ditanya apakah rahsia Sidi Hassan begitu bertahan bahkan bertambah-tambah cintanya terhadap Islam sehingga ke akhir hayatnya.

Lalu Sidi berkongsi rahsia, iaitu: "Jika dengan hanya selangkah kaki kita pergi kepada Allah, 10 langkah lebih cepat Allah akan datang kepada kita. Iaitu jika kita hanya berjalan kepada-Nya tetapi seolah-olah Allah pula berlari kepada kita!"

Bagi Sidi Hassan hidup perlu sentiasa mendekati Allah kerana Islam umpama seutas tali yang Allah hulurkan kepada kita, tali yang padanya penuh dengan kasih sayang dan belas kasihan dari Allah.

"Jika kita terus berpegang dengan tali tersebut, mematuhi syariah dan dan sentiasa mengingati Allah dalam apa juga situasi, dalam apa juga yang kita lakukan, maka kita akan selamat.

"Tidak kira apa juga cabaran yang mendatang, kita ada tali Allah untuk berpaut," jelas Sidi Hassan.

Ini menyebabkan Sidi Hassan sentiasa mengambil pendekatan Islam yang cukup sederhana dan penuh dengan kasih sayang serta menerima sesiapa sahaja yang datang kepadanya dengan tangan terbuka.

"Terutama golongan muda, pasangan suami isteri yang bermasalah dalam rumahtangga, lelaki gay sehinggalah kepada wanita muda yang kecewa dalam hidup boleh mempercayai Sidi Hassan untuk berkongsi rahsia dan masalah peribadi mereka itu," kata Katherine dalam tulisannya.

Sumber

No comments:

Post a Comment