SAKIT cakera diskogenik adalah punca sakit belakang yang sering berlaku tapi tidak diketahui umum. Sakit cakera diskogenik antara penyebab utama sakit belakang kronik yang jarang dibincangkan.
Kajian mendapati insiden penyakit ini di kalangan pesakit tulang belakang yang kronik ialah 35 peratus. Walaupun penyakit ini peratusnya tinggi berbanding penyakit tulang belakang lain, diagnosisnya jarang ditemui dalam rawatan atas beberapa sebab.
Antaranya ialah pesakit selalunya datang dengan beberapa masalah penyakit tulang belakang pada masa sama. Oleh itu rawatan diberi kepada pesakit akan difokus pada penyakit lain yang jelas diagnosisnya terlebih dulu.
Tambahan pula gejala sakit cakera diskogenik juga mirip kesakitan yang berpunca daripada cakera tergelincir. Dengan kata lain, rawatan diberi mungkin tersasar jika penyakit ini tidak dikenal pasti. Kebiasaannya diagnosis penyakit cakera diskogenik dilakukan secara ‘penyisihan’ selepas penyakit tulang belakang yang lain disahkan negatif.
Gejala klinikal sakit cakera diskogenik
Pesakit akan mengalami sakit tulang belakang kronik, biasanya di tengah pinggang. Sakit belakang secara khususnya bersifat mekanikal; iaitu rasa sakit akan teruja jika pesakit berdiri dan jelas akan berkurangan jika berbaring. Sakit pada pinggang juga akan dirasai menjalar turun ke punggung atau paha.
Namun pastinya tidak akan berlaku sakit renjatan elektrik atau mencucuk (sakit saraf) yang menjalar turun ke kaki seperti biasa dihadapi pesakit cakera tergelincir.
Batuk dan bersin juga boleh mencetuskan kesakitan ini jika pesakit berdiri. Pemeriksaan klinikal oleh doktor biasanya tidak menemui tanda spesifik selain kesakitan pada tengah tulang belakang bila dipicit.
Diagnosis
Biasanya gejala klinikal yang bersifat mekanikal sudah cukup untuk mengesyaki bahawa pesakit ini mengalami sakit cakera diskogenik. Kepastian untuk penyakit ini hanya dapat dibuat dengan melakukan prosedur suntikan ke dalam cakera itu. Suntikan ini dinamakan ‘provocative discogram’. Suntikan ini dilakukan di bilik bedah di bawah panduan sinar-X.
Selepas kulit diberi ubat bius setempat, jarum panjang disuntik ke dalam beberapa cakera pada tulang belakang. Sedikit cecair kontras atau ubat bius disuntik ke dalam cakera tadi secara mendadak dan terkawal.
Jika pesakit “terkejut” dan merasa sakit ketika suntikan, ini mengesahkan pesakit itu mengalami sakit cakera diskogenik. Sebaliknya jika ubat bius disuntik ke dalam cakera tadi, sakit dari cakera itu akan beransur-ansur hilang. Suntikan dibuat pada beberapa lapisan yang bertujuan membezakan cakera yang sakit dan yang sihat.
Cabaran rawatan sakit cakera diskogenik
Biasanya diagnosis sakit cakera diskogenik akan mengambil masa. Ini kerana kebanyakan pesakit tulang belakang kronik akan datang dengan beberapa masalah lain dalam satu pakej.
Contohnya pesakit mungkin mengalami sakit sendi lumbar faset atau sindrom piriformis pada masa sama yang diagnosis klinikalnya jelas dan mudah dibuat.
Jadi rawatan pada peringkat awalnya akan menjurus pada kedua-dua gejala klinikal ini sehingga selesai. Oleh itu secara tidak langsung diagnosis sakit cakera diskogenik dipertimbangkan kemudian jika kesakitan tulang belakang masih tidak berkurangan.
Bagaimanapun ada juga pesakit datang dengan jelas gejala klinikal bersifat mekanikal tanpa gejala penyakit tulang belakang lain. Bagi pesakit ini, prosedur suntikan provokatif diskogram akan terus dilakukan untuk mengesahkannya.
Rawatan muktamad yang biasa dilakukan untuk sakit cakera diskogenik ialah pembedahan yang mencantumkan ruas tulang belakang.
Kaedah ini dilakukan doktor pakar ortopedik. Biasanya cakera yang sakit dibuang dan ruas tulang belakang dicantum menggunakan beberapa skru.
Cantuman menghentikan pergerakan pada paras itu dan dengan itu tiada lagi rasa sakit. Kesan susulannya ialah belakang pesakit akan tegak dan tidak dapat membongkok pada paras cakera berkenaan.
Kaedah lain ialah memasukkan cakera tiruan sebagai pengganti. Kaedah ini mampu melegakan rasa sakit, disamping mengekalkan pergerakan tulang belakang.
Apakah ada rawatan tanpa pembedahan?
Ada. Kini rawatan untuk gejala sakit cakera diskogenik dapat dilakukan dengan hanya suntikan. Teknik ini dinamakan rawatan intradiskal radiofrekuensi.
Sejak akhir-akhir ini teknik ini sangat popular dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pesakit. Kaedah ini dilakukan dengan menyuntik sepasang jarum ke dalam cakera yang sakit pada kiri dan kanan dengan bantuan sinar-X.
Arus elektrik radiofrekensi pula akan disalur kedua-dua jarum berkenaan yang bertujuan meningkatkan suhu panas di tengah cakera.
Suhu panas ini bertujuan melumpuhkan saraf di dalam cakera. Apabila saraf ini rosak, isyarat rasa sakit dari cakera ini dapat dihentikan.
Struktur cakera dan fungsinya pula dapat dikekalkan. Kaedah ini mempunyai komplikasi minimum dan keberkesanannya mencapai 60 hingga 80 peratus. Biasanya prosedur ini hanya memerlukan satu atau dua hari.
Sumber
No comments:
Post a Comment