Sunday, April 4, 2010

H1N1 Kembali.....

JASIN 3 April - Murtaza Samat, 29, terpaksa menerima hakikat kehilangan isteri dan ibu mertuanya dalam tempoh selang beberapa hari sahaja akibat serangan selesema babi atau virus influenza A (H1N1).

Rabu lalu, kakitangan swasta itu kehilangan ibu mertuanya, Maimunah Dimah, 54, disusuli isterinya, Sumarni Mat Nor, 30, semalam.

Murtaza berkata, isterinya sepatutnya melahirkan anak pada 14 April ini namun selepas mengadu sakit badan, demam dan batuk yang agak teruk, dia membawanya ke Hospital Melaka (HM) pada Rabu lalu.
Ekoran itu, katanya, isterinya terpaksa menjalani pembedahan untuk melahirkan anak pada hari berkenaan.
''Selepas itu, dia terus tidak sedarkan diri sehinggalah dia meninggal dunia semalam.
''Sumarni sempat berpesan supaya menjaga ibunya tanpa mengetahui ibunya sudah meninggal dunia pada hari dia melahirkan anaknya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu 14 1/2, Jalan Jasin-Merlimau di sini hari ini.Murtaza berkata, dia terkilan kerana isteri dan ibu mertuanya tidak sempat melihat anak keduanya.
Menurutnya, ibu mertuanya yang tinggal bersamanya menghidap penyakit kencing manis dimasukkan ke HM selepas mengalami batuk dan sukar bernafas pada Isnin lalu.
''Bagaimanapun, keadaannya agak stabil dan dikuarantin di wad khas HM malah dia kelihatan sihat.
''Namun Rabu lalu, dia disahkan meninggal dunia sebelum sempat melihat cucu yang lahir pada hari yang sama dia pergi meninggalkan kami,'' ujarnya.
Murtaza berkata, dia tidak menyangka kehilangan dua insan tersayang dalam hidupnya itu berpunca daripada penyakit tersebut.
Bagaimanapun katanya, dia tetap bersyukur kerana anak kedua yang belum diberikan nama itu disahkan sihat dan tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.
''Kini, apa yang merunsingkan saya ialah anak sulung saya, Noraina Batrisyah yang baru berusia dua tahun.
''Sehingga kini, dia masih tidak mengetahui kematian ibunya dan beranggapan isteri saya itu sedang tidur," katanya.
Jenazah Sumarni selamat dikebumikan di Muar, Johor semalam manakala ibu mertuanya di Sepang, Selangor.
Sumber

No comments:

Post a Comment