Wednesday, November 28, 2012

Salah Suami atau Salah Ilahi?

Sms seorang ibu muda mencuit rasa hati saya untuk berkongsi.
“Ustazah, suami saya bercinta balik dengan bekas kekasih lama dia. Saya terkontang-kanting jaga anak dua orang. Badan masih lemah sebab baru lepas keguguran. Suami saya pula berseronok asyik keluar ‘dating’ dengan perempuan tu. Ustazah, kenapa Allah buat begini kepada saya? Kenapa Allah kejam? Kenapa Islam benarkan suami berseronok-seronok tapi membiarkan isteri dalam derita?”

Astargfirullah! Suaminya curang tapi kepada Allah dan Islam pula dilontarkan kesalahan. Saya mesti membela Allah dan Islam di hatinya. Hanya Allah yang memiliki ubat terhadap segala kesedihan. Jika kita rasa Allah kejam, bukan Allah yang kejam tetapi kita yang belum kenal baiknya Allah SWT. Jika kita rasa Islam tidak adil, bukan Islam yang tidak adil tapi kita yang belum menambah ilmu terhadap keadilan Islam dan kesyumulan undang-undangnya.

Saya cuba masuk ke dalam ‘kasut’ ibu muda ini. Kondisinya yang baru lepas keguguran menyebabkan jiwanya terganggu dan perasaannya kecamuk. Kasihan dia. Saya tunjukkan empati sebelum memberi solusi. Saya tadahkan telinga mendengar jeritan batinnya. Dia berulang-ulang mempersoalkan keadilan Allah dan menyalahkan takdir. Saya bertanya,

“Dulu sebelum nikah, saudari selalu keluar ‘dating’ dengannya?”
“Err, ya. Ber’couple’ sakan,” jawabnya lambat-lambat.

Allah Mahu Kita Bahagia
Saya nampak puncanya. Tak mengapa. Hal yang silam itu untuk dimuhasabah bagi mengcungkil ibrah (pengajaran). Ia bukan untuk dirintih-rintihkan. Saya mesti membantunya memanfaatkan potensi hari ini untuk ‘mengubat’.

Allah sudah memberitahu kita awal-awal di dalam al-Quran,
Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tanganmu sendiri, dan Allah memaafkan sebahagian besar (daripada kesalahan-kesalahanmu). (Surah al-Syura: 30).

Betul! Kebanyakan musibah yang menimpa diri kita adalah kerana diri kita sendiri yang menempahnya. Allah tidak membenarkan kita ‘menghampiri zina’ sebelum bernikah termasuklah ber’couple’ tapi ramai orang yang melanggarnya. Islam memperkenalkan cara yang jauh lebih bermaruah dan layak dihormati tapi kita tidak mahu memilihnya. (Insya-Allah kita bincangkan dalam artikel seterusnya).
Apabila sudah bernikah, mereka mendapat pasangan yang suka ber’couple’ dengan orang lain pula. Oleh sebab itulah, jika kita mengikut petunjuk Allah sejak awal, potensi untuk bahagia lebih besar. Allah bukan sengaja hendak susah-susahkan kita apabila Dia bagi peraturan. Bahkan, Dia mahukan yang terbaik untuk kita.

Firman Allah SWT,
“Allah mahukan kesenangan bagimu. Allah tidak mahukan kesusahan bagimu.”

dari Ustazah Fatimah Syarha

No comments:

Post a Comment