Monday, October 10, 2011

Rahsia Kening

Ramai buat perubahan pada alis untuk tampil menawan

Wanita amat mengambil berat soal kecantikan dan penampilan diri terutama untuk menambah kejelitaan wajah kerana ia memberikan tarikan tersendiri terhadap mata yang memandang. Tidak mustahil mengapa ramai yang sanggup membelanjakan wang untuk mendandankan diri demi menambah aura wajahnya. Di samping penjagaan kulit wajah dan mengenakan solekan, ramai wanita menganggap mencukur atau membentuk kening adalah cara untuk tampil kemas, seksi dan menarik. Bulu kening akan dibentuk semula dengan alat solekan seperti celak dan pensil alis sehingga kelihatan lebih cantik dan menarik. Amalan itu bukanlah perkara baru dalam dunia persolekan wanita tetapi sudah diamalkan sejak zaman berzaman hingga ke hari ini.

Wanita juga dilihat semakin berani untuk mencuba mencukur kening mereka hingga tinggal garisan halus ibarat kehilangan keningnya. Dengan cara itu, mereka lebih mudah melukis bentuk dan mewarnakan kening sama mengikut gaya solekan yang ingin dikenakan sebelum keluar rumah.

Malah, proses mencukur kening yang dilakukan sekadar untuk merubah keadaan fizikal sebenar terbahagi kepada beberapa jenis mengikut wajah untuk mendapatkan kesan rapi yang lebih anggun dan menawan.

Sebagai contoh, wanita yang berwajah petak perlu membentuk keningnya secara melengkung bagi menghilangkan pandangan pada rahang pipi sekali gus elakkan kening berpotongan membulat atau bersegi bagi melembutkan penampilan tulang rahang yang agak besar.

Selain itu, untuk mereka yang memiliki bentuk wajah panjang, kening yang dicukur adalah sebaiknya rata dan panjangkan pada ekor bagi impak keseimbangan pada bentuk wajah.

Berbeza pula dengan wanita berwajah bulat, mereka digalakkan tajamkan sedikit bahagian puncak kening untuk membuat bentuk wajah menjadi sedikit bujur dan bagi si gadis yang memiliki wajah berbentuk hati adalah lebih cantik jika kening itu lebih pendek untuk memberikan kesan penampilan dagu yang serata dengan muka.

Tidak hanya itu, evolusi melukis mahupun mencantas kening juga sentiasa merubah ikut aliran seperti kening tebal dan nipis. Apapun jenis atau bentuk kening yang dipamerkan, wanita seharusnya arif mengenai tujuan mereka menghias diri jangan sampai keterlaluan dan tidak saja melanggar ajaran agama, malahan dipandang pelik pada pandangan umum.

Dengan kebanjiran pelbagai jenis alat solek di pasaran serta kepakaran yang ada, bulu kening atau alis yang sesuai dengan raut wajah seseorang boleh dibentuk dengan mudah. Walau bagaimanapun, wanita hari ini perlu memastikan apa yang dilakukan tidak bercanggah dengan ajaran Islam, termasuk bidang persolekan.

Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menjelaskan kini ramai dilihat wanita mencabut bulu kening dan bagaikan fenomena yang kononnya ingin mengikut aliran fesyen.

Sedar atau tidak sebenarnya mencabut bulu kening atau alis hukumnya haram kerana ia dianggap mengubah ciptaan Allah. Bagaimanapun, merapi kening masih boleh dilakukan atas alasan tertentu.

“Mencabut bulu kening hingga mengubah bentuk asal kejadian Allah adalah haram. Namun, jika seseorang itu terasa aib dengan keadaan keningnya yang berselerak atau bercantum, mereka hanya dibenarkan untuk mencukur sedikit bahagian yang tidak diingini untuk kelihatan rapi dan kemas.

“Allah suka pada yang cantik. Bagaimanapun di dalam Islam, untuk kelihatan cantik ada tata tertibnya. Mencabut semua bulu kening dan kemudian membentuknya semula adalah berdosa kerana dikira mengubah kejadian Allah,” jelasnya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Menjelas lanjut, Mohamad Shukri yang juga Mufti Kelantan menjelaskan, perkara itu adalah berdasarkan hadis diriwayatkan Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang menerangkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah melaknat wanita yang mencabut bulu kening atau bulu muka (al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu mengubah ciptaan Allah.

Jelasnya, hadis itu jelas membuktikan bahawa seseorang wanita atau lelaki yang mencabut bulu kening sempurna atau sebaliknya membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu supaya menepati cita rasa sendiri untuk kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan haram di sisi Islam.

Di samping itu, tokoh agama itu turut berpendapat melukis kening sementara seperti tatu yang banyak diamalkan adalah satu lagi perkara yang perlu dititikberatkan sebelum keputusan untuk melakar kening diambil oleh wanita.

“Melukis kening tidak membawa kepada kesalahan jika bahan yang digunakan tidak menyekat air dari terkena kulit. Andai kata tatu yang disapu pada alis kening adalah bersifat gel, maka ia perlu di elak jauh dari terkena kulit sebegitu juga dengan peralatan atau bahan yang mengandungi najis.

“Begitu juga dengan meletakkan minyak pada bulu kening supaya lebat dan hitam bagi individu yang mempunyai bulu kening yang jarang dan tipis, ia tidak haram dilakukan. Bagaimanapun, seseorang isteri perlu mendapatkan izin suami terlebih dulu untuk berbuat demikian.

“Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah kerana itu sikap diwarisi daripada syaitan.” jelasnya sebelum menamatkan perbualan.

Bagaimanapun, walaupun menyedari tentang hukum dan kesalahan yang melanggar syariah Islam masih ramai wanita yang melihat merapi kening sebagai perkara penting untuk menambah seri bahkan menjadikannya sebagai rutin amalan walaupun tidak mempunyai masalah yang mengaibkan penampilan mereka.
INFO

SEHINGGA kini, ramai enggan mencukur atau membuang kening. Sama ada mereka bertindak sedemikian kerana mematuhi hukum syarak mahupun memang minatnya adalah lebih kepada bentuk kening yang lebih tebal menghiasi wajah dan penampilan harian mereka.

Namun tidak semuanya yang bernasib baik dan memiliki bentuk kening yang tersusun rapi dan tebal. Penampilan wajah yang sudah disolek mungkin nampak kurang menyerlah kerana bentuk kening yang tidak seberapa jelas. Justeru, untuk menyelamatkan keadaan itu, anda boleh cuba melakukan beberapa teknik melakar kening menggunakan warna yang betul tanpa perlu mencukur.

Solekan melakar bentuk kening

MULAKAN dengan menyapu krim asas untuk mendapatkan sapuan solekan yang lebih sekata dan tahan lama.

SAPU dan ratakan bedak asas ke seluruh kulit. Seeloknya gunakan span kemudian diikuti dengan bedak.

GUNAKAN pembayang mata warna asas seperti coklat gelap untuk disapukan ke kening mengikut bentuk dengan menggunakan berus kening. Lakarkan perlahan-lahan agar nampak sekata. Jangan sesekali lukis kening dengan warna hitam kerana ia akan menimbulkan tekstur yang tidak asli.

BAGI memberikan kesan yang lebih cantik dan asli, sebarkan warna menggunakan berus bersesuaian dengan teliti.

SELESAI mewarnakan kelopak mata, jangan lupa untuk turut mengenakan maskara bulu mata atau menambahkan bulu mata palsu sebagai penyeri. Kening yang dilukis tadi pasti membuatkan anda tampak lain dan lengkap untuk menjalankan aktiviti.

Rahsia Di Sebalik Bulu Kening (bagi na, jangan percaya)

Bulu kening bertemu di tengah (bersambung)

Gemar mengambil tahu hal remeh.
Emosional.
Kuat berfikir dan cemburu
Perlukan seseorang yang selalu bagi semangat dan kongsi masalah.
Gemar membantah

Bulu kening tidak teratur dan liar

Cepat terburu-buru
Kurang berhemah
Sering terbabit dalam pertengkaran kerana kerap campur tangan dalam urusan orang lain.

Bulu kening lurus

Gagah
Suka berdebat

Bulu kening melengkung

Antara individu yang suka menghiburkan orang lain.

Bulu kening tipis

Tahap keyakinan diri yang rendah
Ragu-ragu dengan kebolehan sendiri

Bulu kening tebal

Orang yang gemarkan aktiviti lasak dan mengembara
Sukar untuk setia pada pasangannya
Banyak berceloteh

Sumber

No comments:

Post a Comment