Oleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
izyanliyana.darif@kosmo.com.my
PADA petang itu Sazzy Falak, 29, beria-ria menolak pelawaan hidangan berasaskan daging atau ayam. Seolah-olah menikmati menu tersebut merupakan kesalahan besar yang sukar dimaafkan.
"Maaf bukan cerewet tapi saya hanya makan ikan. Sudah setahun saya mengamalkan pescetarianisme iaitu makan sayur-sayuran dan ikan sahaja. Langkah drastik ini saya praktikkan bagi menjalani kehidupan yang lebih sihat.
"Sebelum ini rejim kesihatan saya lebih cenderung pada amalan bersenam di gim dan aktiviti yoga berbanding terlalu memikirkan aspek pemakanan. Meskipun jarang makan makanan yang berkalori tinggi tetapi badan saya masih belum cergas dan bertenaga khususnya untuk bangun pada waktu pagi," kata Sazzy sambil menjamu ikan kembung dan kerabu sayur.
Sejak mengamalkan rutin pemakanan tersebut dia dapat merasakan perubahan positif pada dirinya. Dia tidak menyangka pengambilan ikan dalam menu harian dapat membantu meningkatkan stamina, sekali gus mengurangkan keletihan walaupun bekerja sejak awal pagi hingga lewat malam.
Malah, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga mendapati kulit wajah dan badannya semakin cerah. Akui Sazzy: "Minda semakin cerdas dan pergerakan badan bertambah cergas. Bayangkan pada sebelah pagi saya sibuk dengan tugasan menguruskan syarikat dan memenuhi sesi fotografi pada sebelah petang, namun pada sebelah malam saya masih bertenaga menjalani penggambaran drama.
"Bukan itu sahaja, badan terasa lebih ringan dan saya mampu menikmati tidur nyenyak. Barangkali, protein dan zat yang terkandung dalam ikan membantu menjadikan saya individu yang sihat.
Jelas anak sulung daripada tiga adik-beradik itu, biasanya dia mengelakkan ikan goreng kerana lebih gemar ikan yang dikukus atau dibakar. Semasa mengukus Sazzy tidak lupa mencampurkan sayur-sayuran dan rempah ratus agar semua ramuan sebati bersama ikan.
Menyedari kehilangan zat dan nutrisi yang terdapat dalam ayam dan daging, Sazzy yang ditemui di restoran Theborama Chocolate, The Curve, Petaling Jaya memberitahu, dia menggantikan produk tenusu dan serat yang memberi tenaga.
Dalam pada itu penyelidik dari Klinik Mayo Rochester, Minnesota, Amerika Syarikat (AS), Prof. Virend Somers mendedahkan, kajian mendapati diet berasaskan ikan merupakan rutin pemakanan yang sihat.
Buktinya rejim diet itu membantu mengurangkan kadar hormon leptin yang mempengaruhi nafsu makan secara berlebihan.
Berat ideal
"Hormon leptin yang terdapat dalam tubuh manusia berfungsi menghasilkan sel lemak dan berperanan memberi amaran kepada individu sama ada tahap pengambilan makanan yang diambil sudah mencukupi atau berlebihan.
"Selain itu berat badan ideal juga boleh dicapai dengan mengamalkan diet ikan. Ini bermakna individu yang hanya makan ikan dapat merendahkan risiko obesiti berbanding golongan yang obses makan ayam atau daging," ulas Somers yang turut memberitahu diet ikan masih berada di tahap rendah di kalangan rakyat AS.
Sementara itu, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 26, yang tidak gemar makan ikan sejak berusia tujuh tahun menjelaskan: "Tidak dinafikan jika terlalu banyak makan ayam atau daging ia boleh menyebabkan penambahan berat badan, tetapi masalah kegemukan dapat diatasi sekiranya individu bijak memilih makanan yang ideal dan sihat.
"Saya lebih cenderung makan ayam dan daging, jadi sewaktu memasak atau membeli makanan saya pastikan makanan tersebut kurang berminyak dan berlemak. Kaedah ini dapat mengelakkan berat badan meningkat mendadak. Paling menggembirakan sehingga kini berat badan saya tidak pernah melebihi 48 kilogram (kg)," katanya yang geli pada ikan.
Berbicara mengenai kekurangan protein dalam dietnya, graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu menjelaskan, dia menggantikannya makanan berprotein yang lain seperti kacang soya, susu, keju dan tauhu.
Selain itu Nur Aina turut menyatakan dia tidak pernah mengalami sebarang penyakit atau kurang bermaya gara-gara kehilangan protein ikan. Saban hari sebelum memulakan aktiviti harian dia meminum segelas susu dan melebihkan sayur-sayuran dalam setiap hidangan.
Menurut pakar diet dari Hospital Pantai Ampang, Kuala Lumpur, Nor Lizawati Che 'Lah, selain masalah obes, pengambilan ayam dan daging yang tidak terkawal juga mengakibatkan penyakit jantung dan masalah kolesterol tinggi. Memandangkan ayam dan daging mempunyai kadar nutrisi, jumlah lemak tepu dan kolesterol yang berbeza daripada ikan.
Menguatkan tulang
Sehubungan itu, Nor Lizawati menyarankan supaya makan lebih banyak ikan berbanding ayam dan daging.
Ikan merupakan salah satu sumber protein yang penting. Badan memerlukan protein untuk proses pertumbuhan, perkembangan dan pembaikan tisu, enzim dan hormon. Pada masa yang sama, ia membekalkan vitamin dan mineral untuk pembentukan tulang.
"Malangnya saya dapati kebanyakan masyarakat tempatan berpendapat kekuatan tulang hanya terbentuk dengan pengambilan kalsium dalam susu. Sedangkan, vitamin D dan vitamin K yang terdapat dalam ikan turut membantu menguatkan tulang.
"Misalnya, vitamin D dalam ikan air masin, ikan halibut, ikan tuna dan minyak hati ikan. Pengambilan vitamin D secara berterusan amat digalakkan bagi penyerapan dan penggunaan kalsium dan fosforus. Ia juga penting untuk tumbesaran tulang dan gigi kanak-kanak. Ia juga mencegah otot lemah dan ritma denyutan jantung dengan lebih baik," terang Nor Lizawati ketika ditemui Kosmo!.
Tegas Nor Lizawati individu tidak digalakkan mengehadkan satu-satu jenis ikan saja kerana setiap ikan itu mempunyai kandungan zat yang berbeza-beza untuk kesihatan tubuh .
Pengambilan ikan dalam sehari pula perlu bergantung kepada keperluan dan gaya hidup seseorang.
Makan ikan secara berterusan sama sekali tidak memudaratkan kesihatan. Cuma terdapat beberapa jenis ikan yang mungkin pengambilannya perlu dihadkan khususnya kanak-kanak dan wanita hamil.
Kumpulan pakar Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) dan Agensi Alam Sekitar AS menyatakan ikan yang tinggi paras merkuri harus dielakkan sama sekali kerana ia memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak dan boleh perkembangan otak bayi dalam kandungan.
"Ikan todak, yu, salmon, tuna dan tenggiri antara ikan yang mempunyai paras merkuri yang tinggi. Walaupun rasanya enak dan isinya lembut tetapi semua ikan tersebut mengandungi sejenis logam cecair berbahaya yang memudaratkan kesihatan ibu dan kandungan melalui keracunan darah," kata Nor Lizawati yang menyarankan golongan vegetarian dan individu yang tidak menggemari ikan supaya menggantikannya dengan protein daripada produk-produk soya.
Kepada Pengurus Perundingan Perhubungan Awam di salah sebuah agensi pengiklanan, Subashini Rajandra, 30, yang mengamalkan makan sayur-sayuran (vegetarian) selama sedekad mengakui tidak memberi apa-apa kesan pada kesihatan tubuhnya.
Dia yang tidak makan makanan yang berasaskan haiwan termasuklah telur menggantikannya dengan sumber protein daripada vitamin dan makanan berasaskan soya.
"Kebanyakan sayur-sayuran hijau mempunyai kandungan protein walaupun kadar proteinnya tidak setinggi seperti ikan atau ayam. Bagi meningkatkan tenaga saya banyakkan makan kentang, labu dan soya," tambah Subashini yang memilih beras perang kerana proteinnya lebih tinggi berbanding beras biasa.
Selain menambah tenaga dan protein, beras perang juga membantu mengurangkan gula dalam badan.
Sumber
No comments:
Post a Comment