Thursday, June 10, 2010

Sehari lagi diharungi di UPM

Kekurangan "mood" tetapi digagahi juga untuk meneruskan operasi "correction" setelah diberi amaran olehNya....Tidak itu indah? menandakan Allah masih melihat diri ini..:)..Melalui pengamatan na, cuma chapter 2 dan kena edit format thesis, selepas tur harap2 thesis terkini terbang ke dalam email supervisor na, Amenn...Chapter 2 paling berat sebab kena membaca dan memahami banyak "papers".  Berehat sebentar...sambil menjenguk blog ustaz penyedar cinta. Gambar menarik telah disambar na, dan ini "points"  yang na amik secara rawak tetapi berkesan untuk diri ini.

1. Apa jua pekerjaan sering kita lakukan setiap sesuatu sama ada baik dan buruk kita akan tetap diuji oleh-Nya supaya kita sebagai umat yang diberi perasaan, emosi dan akal dapat merasai, meluahkan isi hati dan berfikir sendiri akan kehadiran Allah Taala dalam setiap gerak hati kita untuk menjadikan diri ini lebih beriman dan memperingati diri supaya ingatkan yang Maha Satu.

2. Dengarlah apa yang diperkatakan, bukannya melihat siapa yang berkata. Bukannya menilai orang yang berkata secara peribadinya.

3.Hendaklah kita mengambil nasihatnya, bukannya sibuk menghujahkan peribadi si penasihat. Itulah tandanya orang yang menggunakan akal fikirannya dalam mencari kebaikan.

4.Ketakwaan dan keyakinan yang teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya.

5. Kita perlu sedar dari lamunan sedih, kita tahu berkali-kali dipalit kecewa, kecewa dalam pelajaran, kecewa dalam mendamba kasih kekasih hati, kecewa dalam rumahtangga, kecewa dalam urusan pejabat... ini bukan bermakna Dia tiada, tidak menemani kita di saat ini. Dia menunggu masa dan ketika untuk memberi kita bahagia. Persoalkan diri, adakah kita turut mengingati, memandang Allah ketika saat cerca ini, kalau tidak, jangan salahkan Allah kerana tidak pula ‘memandang’ kalian.

6.Terlintas juga, kenapa orang-orang yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta dipandang beriman seringkali berdepan dengan pelbagai risiko, kesusahan dan halangan. Rupa-rupanya Allah Taala hendak menjatuhkan rasa ketuanan dalam diri supaya kita sedar hanya seorang hamba, tidak memiliki apa-apa pun.

7.Kita mesti tetap muslim, dan mukmin dalam apa jua keadaan.. senang kita ialah muslim dan mukmin, susah kita mesti muslim dan mukmin.


8.Jangan lupa juga untuk bekalkan doa bagi menguatkan usaha kita tadi. Doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Mendekatkan jodoh dengan doa adalah amalan para solifus soleh.


Nabi s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Allah tidak akan mengubah qada’ seseorang hamba melainkan kerana doa” (al-Hadith)


9. Kitalah yang patut mengubah suasana. Bukan suasana yang mengubah kita. Jadilah seperti ikan, walau di lautan mana pun diletakkan, tetap tidak terkesan dengan keadaan yang ada. Tidak kecut dan tidak pula menjadi masin. Kadang-kadang kita juga kena belajar daripada Ikan. Bukan jadi Ikan, tapi resmi ikan.


10. Kisah seorang ayah yang menjelang ajalnya di hadapan sang isteri berpesan dua hal kepada dua anak lelakinya; iaitu pertama, jangan ada di kalangan kamu menagih hutang kepada orang yang berhutang daripadamu, dan kedua, jika pergi berniaga jangan sampai muka kamu terkena sinar matahari. Maka beberapa tahun setelah ayahnya meninggal, didapati anak yang sulung bertambah kaya sedangkan anak yang bongsu menjadi semakin miskin.


Pada suatu hari sang ibu menanyakan hal itu kepada mereka.


Jawab anak yang bongsu: “Hal ini kerana saya mengikuti pesanan arwah ayah. Ayah berpesan bahawa saya tidak boleh menagih hutang kepada orang yang berhutang kepadaku, akibatnya modalku susut kerana orang yang berhutang kepadaku tidak membayar sementara saya tidak boleh menagih daripadanya”


“Juga ayah berpesan supaya kalau saya pergi atau pulang ke rumah dari berniaga tidak boleh terkena sinaran cahaya matahari. Akibatnya saya harus naik kereta, padahal sebetulnya saya bisa berjalan kaki saja, tetapi kerana pesan ayah itu, jadi belanja duit poket saya untuk beli minyak bertambah banyak”


Kepada anak yang sulung yang bertambah kaya, sang ibu pun bertanya hal yang sama.


Jawab anak sulung: “Ini semua adalah kerana saya mentaati pesanan ayah. Kerana ayah berpesan supaya saya tidak menagih kepada orang yang berhutang kepada saya, maka saya tidak pernah menghutangkan sehingga dengan demikian modal tidak susut”


“Juga ayah berpesan agar supaya jika saya berangkat untuk berniaga atau pulang dari berniaga, tidak boleh terkena sinaran cahaya matahari, maka saya berangkat untuk berniaga sebelum matahari terbit dan pulang sesudah matahari terbenam. Kerana saya membuka kedai sebelum kedai lain dibuka, dan ditutup lewat sesudah semua kedai yang lain tutup.”


“Sehingga kerana kebiasaan itu, orang menjadi tahu dan kedaiku menjadi laris kerana mempunyai jam kerja lebih berbanding para pekedai biasa”


Kisah di atas menunjukkan bagaimana sebuah wasiat atau kenyataan ditanggani dengan persepsi yang berbeza. Jika kita melihat dengan pandangan positif dan betul, maka segala kesulitan di hadapan sebenarnya adalah sebuah perjalanan membuat kita bakal menempuh kejayaan. Tetapi kita bisa juga terhanyut dengan adanya kesulitan kerana terjerat dengan perangkap yang dipasang sendiri, pilihan berada di tangan anda.


11. Ingatlah, hati ini ibarat bekas, yang mana jika tidak diisi dengan air maka akan diisi oleh pepejal lain. Begitulah hati, jika tidak diisi dengan kebaikan maka akan disi dengan kejahatan. Maka isilah hatimu dengan segala macam jenis kebaikan... dengan zikir, dengan alunan al-Quran, dengan ilmu. Moga disaat itu jua, Allah Taala mencampakkan rasa ketenangan dan mencabut segala rasa kesunyian, kesunyian, kesepian yang bisa menggugat hadirnya iman.


12.Elemen penting bagi suatu perubahan adalah Istiqamah (konsisten) termasuk juga persekitaran yang menyokong istiqamah itu dan membuat perancangan susulan. Antaranya keperluan berada di kalangan teman-teman yang baik. Kita memilih kawan yang baik bukan kerana kita baik, tapi sebab kita hendak jadi baik.


13.Niat dan matlamat perlu jelas dan dicanang mengikut kemampuan diri sendiri, tidak perlu banyak dan drastik kerana kelak jenuh untuk terus konsisten... biar perlahan, buat sedikit demi sedikit tapi kita mampu untuk kekalkan momentum hingga kita merasai kemanisan detik-detik perubahan tersebut yang berada di penghujung. Niat dan matlamat ini akan membekalkan sinergi dan kekuatan peratusan terbesar untuk kita terus berubah. Tapi perlu ingat, berubah pula bukan kita mendabik dada mampu berubah, bukan kerana kita perlu berubah tapi kerana kita adalah hamba, kita lakukan kerana Allah Taala semata-mata.

No comments:

Post a Comment