Tuesday, April 8, 2014

MH370-Sumber Berita harian




Operasi SAR guna satelit

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan bertujuan untuk mendapatkan dan menstabilkan mangsa yang dalam kecemasan (distress).
Setiap bidang SAR menggunakan teknik yang khusus bergantung kepada keadaan semasa dan tempat kecemasan tersebut.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad bagaimanapun berkata, asas untuk semua bentuk SAR ialah penentuan lokasi.

“Semasa kecemasan, masa adalah amat berharga, cepat kawasan carian dikenal pasti, maka lebih tinggi keberangkalian untuk berjaya.

Antara teknologi penentuan lokasi ialah menggunakan cara optik (kamera), sonar di laut dan radar di daratan.
Menjelaskan lebih lanjut Noordin berkata, dalam zaman teknologi angkasa, operasi SAR boleh digerakkan dengan dua bantuan atau dua kaedah utama iaitu satelit penderiaan jauh dan juga sistem berasaskan konstelasi satelit.

Satelit penderiaan jauh dapat mengambil gambar permukaan bumi dari angkasa.

Oleh kerana ketinggian satelit tersebut, ia dapat meliputi kawasan yang luas dan gambar yang dihasilkan bentuk digital yang boleh diproses untuk mengenal objek di bumi.

Beliau berkata, sistem pemantauan penderiaan jauh boleh mengatasi kelemahan dan kekurangan pandangan mata manusia serta meningkatkan kelajuan mencari serta meningkatkan kadar kejayaan menyelamat.
Kaedah tersebut katanya, amat popular untuk pengesanan dan pengurusan bencana.
“Sesetengah satelit ini juga menghantar gelombang ke bumi dan menyimpan hasil pantulan dari bumi iaitu konsep yang sama dengan radar) manakala data boleh dianalisis untuk tujuan pengelasan dan kejelasan objek.
“Antara satelit ini ialah Ikonos dan Quickbird (Amerika Syarikat), SPOT (Perancis), Alos (Jepun), Radarsat (Kanada), Yaogan (China) dan IRS (India).

Kaedah kedua pula ialah sistem SAR berasaskan konstelasi satelit seperti Cospas-SARSAT yang merupakan sistem satelit antarabangsa untuk tujuan tersebut.
Noordin berkata, satelit tersebut terdiri daripada beberapa konstelasi satelit dalam orbit kutub dan geopegun dan rangkaian stesen bumi.

Sistem berkenaan memberikan amaran berlaku sesuatu dan maklumat lokasi dalam SAR kepada pihak berkuasa di peringkat global bagi maritim, penerbangan dan pengguna yang dalam kesusahan.
Menurut Noordin berdasarkan rekod, dari September 1982 hingga Disember 2011, sistem Cospas-SARSAT telah membantu menyelamatkan 33,026 mangsa dalam 9,031 operasi SAR.

“Bagaimanapun rekod untuk penggunaan satelit penderiaan jauh bagi tujuan SAR tidak didapati kerana boleh dilakukan oleh negara-negara individu," katanya.

Dalam pada itu, menurut beliau terdapat antara 20 dan 30 satelit penderian di angkasa ketika ini.
“Namun begitu, menurut Noordin , tidak semuanya sesuai untuk SAR kerana kekangan kepada teknologi terutama tahap kejituan yang rendah.

“Sistem Cospas-SARSAT adalah lengkap melengkapi dan menggunakan tidak kurang dari 14 satelit iaitu enam di orbit rendah dan lapan di orbit geopegun di seluruh dunia sertan beroperasi 24 jam.



Satelit jejak MH370

Bukan mudah mencari objek yang hilang. Apatah lagi di kawasan yang terlalu luas dan tidak ada petunjuk. Itulah cabaran pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang hilang daripada radar pada 8 Mac lalu.
Ketika artikel ini ditulis Jumaat lalu usaha menjejak pesawat MH370 masih diteruskan menggunakan segala kemudahan yang ada daripada kapal laut dan udara.
Satu daripada kaedah yang telah mula digunakan ialah satelit.
“Inilah (penggunaan satelit) sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk membantu pencarian operasi dan menyelamat (SAR) daripada aspek teknikal,’’ kata Ketua Pengarah Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM), Datuk Darus Ahmad dalam satu pertemuan di pejabatnya.
ARSM menggunakan kemudahannya dengan memanfaatkan imej satelit bagi mencari objek yang boleh digunakan sebagai petunjuk dalam operasi mengesan.
Penggunaan satelit remote sensing hanyalah usaha untuk mengesan objek dan bukan kali pertama ia digunakan.
Teknologi remote sensing atau satelit penderiaan jauh sebenarnya satu bidang yang penting dalam mengurus dan merancang aset semula jadi berkaitan hutan, tanah serta ladang. Begitu juga dengan pengurusan bencana alam yang memerlukan satelit jenis itu.
ARSM menerusi kerjasama rapat dengan beberapa pengendali satelit antarabangsa memanfaatkan hubungan tersebut bagi mendapatkan data-data secepat yang boleh.
“Tiga satelit yang digunakan ialah SPOT-6, RadarSat-2 dan LandSat-8 yang mana hasil hubungan rapat pengendali satelit terbabit memberi keutamaan kepada kita untuk memberi perkhidmatan,’’ katanya.
Menurut Darus kawasan seluas 157,225 kilometer persegi telah diliputi oleh satelit terbabit dengan kebanyakannya di Teluk Siam manakala kawasan baharu melibatkan seluas 100,000 kilometer persegi sejak Jumaat lalu.
Imej satelit SPOT-6 diterima di Stesen Penerima Bumi ARSM di Temerloh, Pahang manakala imej dua lagi satelit di muat turun dengan kaedah fast transfer protocol (FTP).
Antara hasil awal analisis imej yang dijalankan tersebut dengan pihak antarabangsa ialah mengesan banyak tompokan minyak di kawasan operasi tetapi sukar dikaitkan dengan pesawat kerana dipercayai daripada kapal yang berlayar di Teluk Siam.
Kerja-kerja pengesan menggunakan teknologi satelit remote sensing turut menghadapi kesukaran kerana ketiadaan maklumat lokasi kehilangan atau laluan penerbangan yang jelas.

sumber