Tuesday, May 29, 2012

Gila Meroyan Selepas Bersalin

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim diperkatakan oleh masyarakat Melayu dan lebih banyak dilihat dihidapi oleh wanita biasa, namun ia juga sebenarnya turut menimpa wanita profesional.

Gila meroyan

Gila meroyan adalah gangguan perasaan atau jiwa yang serius. Penyakit ini sering dikaitkan dengan masalah yang dialami wanita sewaktu atau selepas berpantang. Pada tahap ini, seseorang wanita yang mengalaminya mampu melakukan perkara-perkara yang boleh mencederakan dirinya, bayi serta orang di sekelilingnya.

Pendapat terkini mengatakan penyakit gila meroyan postpartum pyschosis juga seperti penyakit psikosis yang dialami oleh pesakit jiwa lain. Mujurlah keadaan ini hanya dialami oleh segelintir sahaja wanita selepas bersalin.

Sebenarnya tiada kaitan yang kukuh antara cara berpantang mengikut orang tua dan risiko untuk mendapat meroyan. Mungkin elok untuk saya kongsi pengalaman daripada kajian kami 10 tahun lepas di Kelantan terhadap wanita yang hamil dan dalam masa berpantang.

Daripada kajian kami ada sedikit sebanyak kesan positif bagi ibu-ibu muda yang mengamalkan urutan selepas bersalin dan bertungku semasa dalam pantang kerana ia dapat mengurangkan risiko kemurungan. Kajian tersebut turut mendapati ibu muda berpeluang berbual-bual sambil meluahkan perasaan semasa menjalani prosedur tersebut yang pada kebiasaannya berlangsung selama dua jam sehari dalam jangka masa dua minggu pertama selepas bersalin. Perbualan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stres yang dialami oleh ibu muda tersebut.

Gangguan perasaan

Gangguan perasaan selepas bersalin sebenarnya dialami oleh ramai wanita iaitu sehingga 85 peratus sewaktu tempoh berpantang. Namun, kebanyakannya hanya mengalami pada tahap yang ringan dan tidak membahayakan. Malah ia berlaku sekejap sahaja, biasanya tidak memerlukan rawatan perubatan. Bagaimanapun, dalam segelintir 10 peratus wanita, gangguan perasaan berlaku lebih mendalam dan berpanjangan.

Dalam bidang perubatan, gangguan perasaan selepas bersalin dikelaskan kepada tiga peringkat mengikut tahap keterukannya iaitu postpartum blues, postpartum depression dan postpartum psychosis (gila meroyan). Postpartum blues adalah masalah perubahan emosi yang normal dan tidak serius. Ia kerap berlaku kepada wanita selepas bersalin. Perubahan emosi ini memuncak pada hari ketiga hingga kelima selepas bersalin. Ia akan berkurangan selepas lebih kurang 10 hari bersalin dan akhirnya emosi mereka kembali kepada sediakala. Ia boleh berlaku selepas kelahiran pertama dan seterusnya kerana setiap kelahiran adalah berbeza. Ibu-ibu yang mendapat perubahan emosi ini mudah merasa penat dan keletihan.

Kemurungan

Gejala kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression pula adalah gangguan psikologi yang perlu mendapat rawatan pakar. Ia lebih teruk dan mendatangkan kesan buruk kepada ibu dan bayi yang baru dilahirkan. Ia boleh berlaku satu dalam setiap lapan (1:8) ibu yang melahirkan anak atau 10 peratus hingga 20 peratus daripada ibu yang mengandung. Ia lebih kerap berlaku pada bulan pertama sehingga selepas setahun kelahiran anak. Malah ia boleh juga berlaku selepas keguguran atau kematian bayi dalam kandungan. Ibu-ibu yang menghidap kemurungan selepas bersalin mengalami perubahan emosi yang lebih teruk dan lebih lama berbanding perubahan emosi pada postpartum blues.

Psikosis

Psikosis selepas bersalin atau postpartum psychosis juga di panggil gila meroyan merupakan peringkat paling teruk yang jarang berlaku selepas bersalin. Ia berbeza daripada masalah psikosis yang biasa berlaku kepada masyarakat umum kerana kaitannya dengan proses bersalin, manifestasi yang lebih mirip masalah emosi dan prognosisnya adalah lebih baik.

Dalam kalangan 1,000 ibu yang melahirkan anak, satu hingga dua orang (1- 2: 1000) boleh diserang psikosis selepas bersalin. Ia biasanya bermula tiga hingga lima hari selepas bersalin dan dua pertiga daripada pesakit mendapat psikosis dalam dua minggu pertama selepas kelahiran.

Gejala psikosis selepas bersalin boleh berlaku sehingga satu atau dua tahun selepas bersalin. Ia bermula dengan gangguan emosi seperti perasaan resah dan tidak tenang. Mereka tidak dapat cukup tidur walaupun bayi tidur lena. Mereka sering merasa keletihan. Kemudiannya, ibu yang menghidap psikosis selepas bersalin ini akan mengalami emosi yang tidak stabil dan berubah-ubah. Terdapat tempoh kemurungan atau kesedihan yang melampau dan sering menangis. Psikosis berlaku apabila mereka mula mempunyai perasaan ragu-ragu, bercelaru, bercakap merapu dan mengeluarkan fakta-fakta yang sukar diterima akal yang waras. Separuh daripada mereka mempunyai pelbagai kepercayaan karut atau delusi.

Ada kalangan pesakit yang beranggapan bahawa bayinya cacat walaupun sebenarnya sihat, bayi yang dilahirkan bukan anak mereka, bayi yang dilahirkan membawa sial dan sebagainya. Satu perempat daripada mereka (25 peratus) mengalami gangguan halusinasi dengan mendengar suara-suara ghaib yang kadang-kadang memburukkan mereka, menyuruh pesakit membunuh bayi dan sebagainya.

Terdapat ibu-ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin tidak mahu menjaga bayi mereka sendiri, membenci bayi tersebut dan ada yang mencuba membunuh bayi infanticide mereka sendiri. Kadar bunuh diri dalam kalangan ibu yang mengalami psikosis selepas bersalin juga adalah tinggi.

Panduan

Bagi mengurangkan masalah tersebut, pelajarilah tanggungjawab sebagai ibubapa daripada kawan-kawan, keluarga atau bahan-bahan bacaan sebelum mengandung.

Pastikan anda mendapat bantuan daripada suami, ahli keluarga yang lain untuk memberi sokongan emosi jika merasa tertekan. Dapatkan pembantu rumah atau ahli keluarga yang lain untuk menguruskan kerja-kerja seharian dan membantu penjagaan bayi dan anak anda yang lain semasa tempoh berpantang kerana anda masih lemah.

Rehat yang cukup juga adalah penting. Ambil udara segar di luar dan jangan hanya berada di rumah walaupun anda berpantang. Beri masa untuk diri anda sendiri. Pengambilan diet dan pemakanan yang berkhasiat juga penting dititikberatkan untuk kembali cergas.

Sumber

Mencantikkan Bahagian Paha

Sememangnya wanita amat mengambil berat mengenai bahagian tubuh mereka agar cantik dan meyakinkan.
Salah satu bahagian yang mendapat perhatian wanita adalah paha.  Semua wanita tentu saja mahukan paha yang cantik untuk menambah keyakinan semasa menggayakan pakaian.  Minggu ini ruangan senaman akan menunjukkan cara-cara untuk mendapatkan paha yang cantik, sihat dan menarik.

Gunakan bola

-Letakkan bola ke dinding dan sandar ke bola.

Secara perlahan-lahan turun ke bawah sehingga bahagian lutut berada pada sudut 90 darjah.

Pastikan tangan berada diangkat separas dengan bahu. Biarkan selama 40 saat.

Gunakan stepper

1. Berdiri tegak di atas stepper.

Langkah kaki kanan setapak ke belakang. Jengket kaki belakang.

2. Kemudian turunkan lutut hampir mencecah ke lantai.

-Biarkan selama 40 saat.

Ulangi dengan kaki sebelah kiri juga selama 40 saat.

Jika boleh buat dalam ulangan lima hingga lapan kali untuk mendapat keputusan yang baik.

Sumber

Bahaya Uri bawah Rahim

Dr., apakah yang dimaksudkan dengan uri? Adakah berbahaya jika uri berada di bawah? Saya selalu mendengar rakan-rakan berbual tentang perkara ini. Saya baru mengandung dua bulan dan amat takut dengan perkara ini.

Puteri R, Subang.

Jawapan:

Uri adalah organ yang terdapat di dalam rahim wanita hamil dan bertanggungjawab membawa oksigen dan nutrisi daripada ibu kepada bayinya. Kedudukan uri yang normal apabila ia berada di tengah atau di bahagian atas rahim. Ini bermakna ia jauh daripada kawasan bayi sepatutnya keluar dari rahim.

Uri di kedudukan bawah pula berada di kawasan bawah rahim, menutup ruang laluan bayi (pintu rahim) semasa kelahiran. Ini seterusnya akan memberikan komplikasi semasa proses bersalin.

Ia bukanlah sesuatu yang jarang ditemui di awal kehamilan kerana 20 peratus daripada uri berada di bawah pada awalnya, tetapi apabila kandungan berusia melebihi 28 minggu, kebanyakan uri sudah tertarik ke atas oleh rahim yang semakin membesar dan cuma lima peratus yang masih berada pada bahagian bawah rahim. Jika uri ini masih kekal di bawah, keadaan ini dipanggil Placenta Previa (PP).

Sekiranya uri anda masih di bawah selepas kandungan 28 minggu, tidak banyak yang anda boleh buat untuk menaikkannya. ke atas. Rawatan pula bergantung kepada tahap PP tersebut, sama ada ia menutup keseluruhan laluan bayi (pintu rahim) atau separuh sahaja. Tahap keseriusan dibahagikan kepada empat jenis iaitu uri berada di kedudukan bawah tanpa menutup pintu rahim, uri berada di bahagian rahim dan di pintu rahim, uri menutupi sebahagian pintu rahim dan uri menutup keseluruhan pintu rahim.

Sekiranya wanita mengalami PP jenis keempat, terdapat risiko tinggi kelahiran pramatang dan pendarahan. Kadang-kadang pendarahan boleh menjadi terlalu banyak sehingga membahayakan nyawa. Doktor selalunya memantau simptom pesakit dengan memasukkan mereka ke wad pada usia kandungan 32 minggu sekiranya terdapat risiko pendarahan yang tinggi. Sekiranya anda mengalami pendarahan tidak normal dari faraj, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk memastikan yang anda tidak mengalami PP.

Risiko

Sehingga hari ini, punca berlakunya PP tidak diketahui. Namun terdapat beberapa keadaan yang meningkatkan risiko PP, iaitu wanita yang mempunyai sejarah kelahiran secara pembedahan sebelum ini, wanita yang melahirkan anak secara kerap dan bilangan yang ramai, wanita muda di bawah umur 20, merokok semasa hamil dan kandungan kembar.

Wanita yang mengalami PP pada kebiasaannya mengalami kedudukan bayi tidak normal (mungkin melintang, songsang atau oblik). Kedudukan kepala bayi perlu sentiasa berada di atas rongga pelvis di saat tempoh matang kehamilan.

Selain masalah pendarahan yang membimbangkan, faktor lain yang mempengaruhi keadaan ibu adalah kaedah kelahiran bayi itu sendiri. Mereka ini biasanya tidak dapat melahirkan bayi secara normal akibat kedudukan uri yang menghalang kelahiran bayi melalui bukaan pintu rahim. Pembedahan caesarean adalah kaedah yang disyorkan. Selain itu, jika keadaan ibu membimbangkan akibat pendarahan, pembedahan caesarean terpaksa dijalankan walaupun dalam keadaan kehamilan yang tidak cukup bulan.

Apa yang membimbangkan mengenai PP ini, komplikasi yang boleh timbul pada bayi dan ibu. Komplikasi pada bayi adalah seperti pendarahan yang banyak pada ibu. Ini boleh meningkatkan kadar morbiditi dan kematian pada bayi dan meningkatkan risiko lahir tidak cukup bulan.

Komplikasi pada ibu pula pendarahan serius yang boleh mengancam nyawa. Pembedahan caesarean, meningkatkan risiko pendarahan selepas bersalin (postpartum haemorrhage) dan meningkatkan risiko uri melekat pada rahim. Keadaan uri melekat pada rahim dikenali sebagai placenta accreta. Dalam keadaan ini uri tidak boleh dipisahkan daripada dinding rahim akibat sebahagian tisu uri telah melekat pada otot-otot rahim. Jika ini berlaku, rahim terpaksa dibuang demi menyelamatkan ibu.

Bagaimanapun, risiko placenta accreta dalam kalangan ibu yang tidak mempunyai sejarah pembedahan pada rahim hanyalah sekitar lima peratus sahaja.

Bagaimanapun jika seseorang itu mempunyai sejarah pembedahan di rahim umpamanya caesarean, risiko placenta accreta bertambah 25 peratus.

Selamat

Dalam menangani PP, doktor akan mengesyorkan ibu supaya melahirkan kandungan dengan kaedah yang selamat, iaitu pembedahan caesarean. Bagaimanapun apabila pembedahan itu harus dilakukan, ia bergantung kepada penilaian dan faktor-faktor berikut iaitu tahap keseriusan pendarahan, usia bayi dalam kandungan dan juga sokongan perkhidmatan pediatrik.

Kebiasaannya jika seseorang ibu yang mengalami PP tetapi tiada pendarahan, pembedahan caesarean secara elektif akan dilakukan pada minggu ke 38 usia kandungan. Jika pendarahan berlaku sebelum usia kandungan tersebut, keputusan pembedahan akan dibuat oleh pakar setelah mempertimbangkan faktor-faktor di atas.

Saya harap Puteri R sudah jelas dengan penjelasan yang diberikan dan jangan mendengar bualan rakan-rakan sahaja. Anda perlu mendapatkan nasihat doktor dan semoga penjelasan yang diberikan akan menghilangkan kegusaran tersebut.

Sumber

Hari Jadi Na...Hari Ni...


Alhamdulillah na masih diberi kesempatan untuk menikmati hidup di muka bumi ....insyaallah, lagi lama na dapat menghirup udara, lagi itulah na akan cuba menjadi lebih baik....(hamba, anak, kakak,......dan lain2....)

Tiada ternilai bagi diri ini apabila terpilih memiliki agama yang satu, keluarga yang cukup memahami terutamanya makabah..insyaallah, akan ana balas jasa kalian...